Sabtu, Disember 19, 2009

Travelog Haji Muda siri 2 - Madinah dan Kebahagiaan Hati






Peristiwa yang berlaku sepanjang berada di hudud ( sempadan ) di antara Arab Saudi dan Jordan membuat kami ahli rombongan Haji dari Jordan begitu lelah. Keadaan di dalam bas sepi. Hanya bunyi enjin dan pemandangan padang pasir menjadi muzik serta paparan mengisi kepenatan.

Saya penat. Serasa lelah, namun bila difikir-fikirkan keadaan jemaah haji pada satu masa dahulu, sebelum adanya sistem jalan raya dan pengangkutan yang baik, saya akur dengan segala ujian. Ini hanyalah sebutir debu dari padang pasir ujian yang meluas. Tolehan saya pada rakan-rakan yang malam tadinya riuh dengan celoteh masing-masing menemukan pancaran keletihan dari wajah masing-masing.

Kini kami sedang menuju ke Madinah. Tanah Haram kedua selepas Mekah. Tanah suci yang diberkati. Tanah yang tidak boleh ada di dalamnya pertumpahan darah walau setitis. Tempat yang tidak boleh diburu binatang buruannya. Kawasan yang menerbit cahaya kebahagiaan buat para tetamu yang bertandang kepadanya.

Sungguh saya cintakan bandar ini. Madinah adalah buah hati saya yang membuat hati rindu tidak sabar mahu menjejakkan kaki di atas pasir yang melatarinya. Cinta saya berputik lewat kunjungan umrah beberapa bulan yang lalu. Sungguh selepas itu tiada bandar yang menempat cinta seumpama ini di hati.

Ini bukan cinta buta saya, ia terbit setelah terbaca akan sebuah hadis dari Abdullah bin Zaid, dari Rasulullah SAW bersabda : " Sesungguhnya Ibrahim telah menjadikan kota Mekah sebagai tanah haram dan berdoa ( meminta berkat ) bagi kota Mekah. Dan aku menjadikan kota Madinah sebagai tanah haram sebagaimana Ibrahim menjadikan Mekah sebagai tanah haram. Aku mendoakan berkat bagi kota Madinah pada mudnya dan sha'nya ( ukuran yang digunakan oleh penduduk Madinah) seperti doa Ibrahim bagi Mekah." - riwayat Bukhari.
Memang benar, setelah berada di Madinah keberkatan yang didoakan oleh Rasullullah SAW bagai berlari memeluk hati, lalu timbul kebahagiaan dan ketenangan. Sungguh ramai yang berasa demikian.

Kami tiba di Madinah pada jam 10 malam. Dalam kepala kami hanya memikirkan katil dan selimut yang bakal kami temui tidak lama lagi. Mana tidaknya, sudah terlalu lama duduk di atas kerusi yang kurang selesa ini dengan posisi-posisi menyakitkan pinggang. Saya mahu berlunjur, mahu merenggang-renggangkan sendi yang lenguh. Tapi malang bagi kami kerana belum tiba masanya lagi untuk kami berehat-rehat dan bersenang hati. Kami perlu ke pusat pengumpulan bagi jemaah haji yang melalui jalan darat untuk mendaftar masuk ke kota Madinah.

Mujur hati berkata perjalanan ini bukan sekadar melancong tapi sebuah advencer bermisi!

Misi mencari haji yang mabrur dan misi bertandang sebagai seorang yang betul-betul hamba dan perlu patuh pada Tuhannya.

Semua urusan selesai 2 jam selepas itu. Kami masuk semula ke dalam bas dan bergerak ke hotel yang bakal kami diami selama 2 hari di Madinah. Dari cermin di sisi saya, cahaya yang memancar dari menara-menara Masjid Nabawi seakan melambai agar segera didatangi.

Sebaik sahaja bas berhenti, saya dan rakan-rakan bergegas turun. Kami mengeluarkan beg dan terus ke kaunter pendaftaran. Jam sudah menunjukkan lewat malam. Badan terlalu penat. Hajat di hati memang mahu terus sahaja ke Masjid Nabawi tetapi memikirkan waktu itu masjid sudah ditutup kepada awam membuat rasa itu tiba-tiba mati.

Alhamdulillah hotel yang kami diami ini tidak jauh dari Masjidil Haram. Jarak yang betul-betul membuat hati puas, tidak seperti waktu umrah dahulu yang memerlukan peluh menitis baru sampai ke halaman Masjid Nabawi. Sudah tentu kehampirannya dengan Masjid Nabawi tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berkerah ke sana setiap kali masuknya waktu solat.

Saya tinggal bersama 6 orang rakan yang lain. Syukur, badan yang penat dapat direhatkan dengan begitu selesa. Hotel ini lengkap dengan penghawa dingin, bilik mandi yang agak baik dan suasana yang memuaskan. Keselesaan dicampur dengan lelah perjalanan telah membuat kami lena dengan asyiknya.

Keesokannya

Pagi di Madinah terasa begitu aman dan nyaman. Rasa itu meresap ke dalam sanubari, menerbit ketenangan yang aneh. Melihat masjid mulia yang dahulunya dibina dengan beratapkan daun dan pelepah kurma begitu merangsang hati untuk mengimbau sirah junjungan mulia, Muhammad SAW.

Teringat sebuah hadis dari Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda : " Janganlah bersafar ke tempat tertentu kerana keutamaan tempat tersebut kecuali untuk pergi ke tiga masjid. Masjidil Haram, masjidku ini ( Masjid Nabawi ) dan Masjidil Aqso "

Baginda SAW juga bersabda : " Solat di masjidku ini lebih afdol daripada seribu solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram."

Masjid Nabawi kini bukan lagi seperti di zaman para sahabat jika diteliti sudut binaannya. Tiang-tiang yang besar dengan reka bentuk yang unik lagi futuristik seolah-seolah mebuat jasad beserta roh kita tidak mahu untuk bangun keluar daripadanya.



Saya kini hanya beberapa meter dari baginda SAW, di dalam salah satu masjid yang diutamakan solat di dalamnya. Di dalam masjid yang menempatkan maqam kekasih Allah itu. Bergetar rasa hati. Rindu bercampur dengan malu untuk berhadapan dengan manusia agung yang satu ini. Manakan tidak, jika difikirkan berapa banyaklah sahaja sunnah Baginda yang saya amalkan. Jika diselami sedalam manalah sangat cinta kepada insan agung yang membawa rahmat pada alam ini. Kehampiran seumpama ini betul-betul membuat ummatnya memuhasabah kembali cinta kepada baginda, termasuk saya.

Pagi itu saya dan Syukri merancang untuk ke raudhah dahulu sebelum terus ke maqam Rasullullah SAW. Selepas solat sunat dhuha, kami pn bergerak di celah-celah jemaah haji yang lain.

Masjid sesak. Bermacam manusia boleh ditemui. Ada yang bermata sepet berhidung mancung. Ada yang bertubuh sasa, berkulit gelap. Ada juga yang tua kerepot, berpakaian lusuh. Senang juga ditemu manusia bertubuh sederhana, berkulit sawo matang yang sudah tentu sebangsa dengan saya. Kepelbagaian ini memang memberi keistimewaan kepada ibadah yang satu ini.

Saya dan Syukri sudah menghampiri raudhah. Kawasan yang menjadi perhatian para jemaah apabila berkunjung ke sini dari dahulu hinggalah sekarang. Raudhah adalah sebuah kawasan yang terletak di antara rumah Nabi SAW iaitu Hujrah Siti Aisyah dan mimbar syarif. Raudhah dinamakan demikian kerana sebagaimana tersebut dalam hadis shahih : " Apa yang berada antara rumahku dan mimberku adalah Raudhah ( taman ) dari taman-taman syurga - Hadis riwayat Bukhari.

Raudhah dan Kedudukannya

Luas raudhah sekitar 330 meter persegi dan terdapat di bahagian-bahagiannya beberapa peninggalan sejarah. Antaranya adalah Hujrah Syarifah iaitu rumah baginda Rasullullah SAW yang terletak di bahagian timur raudhah, Mihrab Nabi Muhammad SAW yang terdapat di tengah-tengah dinding mengarah ke kiblat dan mimbar as-Syarif yang terletak di bahagian barat Raudhah.

Cara paling mudah untuk mengetahui kawasan raudhah ini adalah dengan melihat kepada perbezaan warna karpet yang melatarinya. Ia berbeza dengan warna karpet yang terbentang di seluruh pelusuk masjid Nabawi.

Para jemaah sentiasa berasak-asak mahu duduk dan beribadah di raudhah ini untuk mendapatkan keberkatan kawasan ini. Kawasan ini sentiasa penuh dengan manusia.

Saya dan Syukri cuba untuk meneruskan perancangan kami untuk ke raudhah namun gagal. Kami langsung tidak berpeluang untuk terus ke sana akibat asakan dari jemaah yang ramai. Kami lalu mengambil keputusan untuk membelok lalu menghala ke laluan terus ke Maqam Baginda Rasullullah SAW.

Di sini juga keadaaannya sentiasa sama. Manusia tidak pernah putus untuk mengunjungi baginda SAW. Terlalu ramai. Sesak.

Kami terpaksa bergerak perlahan-lahan dalam asakan manusia lain yang bertubuh besar dan sasa. Kami dipijak, tubuh dilanggar, itu perkara biasa. Hati makin berdebar kencang. Langkah demi langkah diiring selawat ke atas baginda SAW. Moga pertemuan ini menjadi saksi kecintaan umatnya seorang ini. Perasaan bercampur-baur.

Kini saya sudah berdepan dengan Maqam insan agung ini. Utusan Tuhan yang kuat mencintai umatnya. Saya tidak terkejar akan rasa cinta itu. Martabatnya tinggi, cinta seorang Rasul ke atas hambanya, manakan mampu saya tandingi.

" Salam ke atas kamu wahai Kekasih Allah.. Salam ke atas kamu wahai Rasullullah..Salam ke atas kamu duhai Pesuruh Allah.."

Hati sebak dalam salam yang diungkap. Salam dari keluarga dan sahabat ke atas Baginda SAW juga saya sampaikan. Alhamdulillah, syukur kerana Allah memberi kesempatan yang mahal harganya ini. Seorang hamba Allah dan umat Muhammad SAW yang kerdil ini berhadapan dengan Baginda SAW, penghulu bagi sekalian nabi dan rasul. Air mata menitis. Tubuh bergetar.

Saya melangkah sedikit kehadapan. Ditolak dengan kuat oleh seorang yang mungkin dari Pakistan, hampir-hampir saya jatuh. Kini saya berhadapan pula dengan maqam Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA yang terletak bersebelahan maqam Baginda Rasul SAW. Sekali lagi ucapan salam dilafaz, kali ini buat Khalifah pertama umat Islam. Kemudian saya menysuri lagi laluan itu dengan melalui pula maqam Saidina Umar bin Al-Khattab RA. Sekali lagi salam diungkap.

Kedudukan ketiga-tiga maqam ini hanya bersebelahan dengan jarak yang cukup dekat sebenarnya. Namun akibat dari lautan manusia yang berasak-asak, menjadikan jarak yang pendek serasa lama untuk ditempuh.

Selesai ziarah, saya dan Syukri merancang untuk terus ke Perkuburan Baqi' yang terletak bersebelahan kawasan Masjid Nabawi. Dari pintu keluar ini, perkuburan tersebut terletak betul-betul searah dengan tempat saya berdiri. Kami pun mula bergerak. Sambil-sambil berjalan, kepala tertoleh-toleh kubah hijau yang dibawahnya menempatkan maqam Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat utama di sisi baginda.



Kami kini berada hampir di tangga untuk naik ke perkuburan Baqi' namun kelihatan pintu pagar bertutup. Mungkin belum ada rezeki untuk menziarahi perkuburan ini hari ini.

Kami menukar perancangan. Kali ini, kami mahu sarapan dahulu di medan selera dicelah hotel-hotel indah berhampiran masjid, kemudian kami akan terus i'tikaf di masjid sementara menunggu masuknya waktu solat.

Kami perlu mengambil sebanyak mungkin peluang yang ada untuk berada di masjid ini dan di sisi Rasullullah SAW. Jangka masa kami tidak lama di Madinah. Hanya 2 hari sahaja, kemudian kami akan berangkat ke Mekah Al-Mukarramah. Jadi amatlah rugi jika kami pulang ke penginapan dan bersenang-senang di sana.

Duduk di dalam Masjid Nabawi amat menyeronokkan. Terasa bagai tidak mahu bergerak ke mana-mana pun. Perut yang lapar pun bagai terisi. Kantuk yang dirasa bagai dihapus, tambah-tambah melihat ke arah kawasan yang menempatkan Maqam Rasullullah SAW.

Kita semua tidak sempat untuk hidup sezaman dengan baginda Rasul namun kehadiran di Madinah membuat fikiran terbang ke zaman itu. Ah! Sungguh indah dan tidak mampu terluah!
Bayangkan di atas pasir bumi Madinah inilah baginda Rasul SAW hidup bersama para sahabat. Di sinilah baginda berjuang menegak kebenaran. Inilah kawasan yang menyimpan berbilion sejarah tentang awal bangkitnya Islam. Bagaimana Rasullullah SAW mengajar para sahabat bermuamalah, mengajar para sahabat mentadbir negara, memberi ilmu peperangan, mendidik rahsia keimanan yang menerbit kebahagiaan pada diri setiap insan Madinah.

Di sisi tiang masjid yang dahulunya Rasullullah SAW sentiasa mengimami jemaah muslimin ini, saya mengharap pancaran kebahagiaan dari iman yang pernah menerangi hati penduduk Madinah, turut menyerap ke hati saya.

Duduk dan beribadah di Masjid ini betul-betul membuat hati puas! Jika anda semua dapat merasai kepuasan yang saya alami ini, nescaya anda akan percaya bahawa Madinah memang menjanjikan kebahagiaan yang terindah.



Bukan kerana indahnya bandar ini. Bukan juga kerana cantiknya binaan Masjid Nabawi ini tapi kerana setiap butiran pasirnya menyimpan banyak rahsia perjuangan, pengorbanan dan kebangkitan agama yang diredhai ini. Dan yang paling penting, di sinilah Rasul junjungan mulia Muhammad SAW dimaqamkan selepas kewafatan Baginda SAW.

Madinah adalah kota yang membahagiakan hati.




Sabtu, Disember 12, 2009

Sekalung Takziah

Semalam saya dikejutkan dengan berita kematian salah seorang pegawai di Jabatan Penuntut Malaysia Jordan ( MSD ) , Ust Arman bin Md Rusoff . Beliau diserang strok dan telah terlantar di hospital selama beberapa minggu, dan semalam beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di bumi yang pernah disinggahinya dahulu sebagai seorang penuntut ilmu.

Beliau yang bertugas sebagai Atase Pendidikan di MSD Jordan memang saya kenali dengan baik. Awal perkenalan saya dengan beliau adalah sewaktu dilantik sebagai ketua Biro Program dan Protokol untuk program Persidangan Tahunan Mahasiswa SeJordan ( PERTAMA ) pada awal tahun ini.

Kemudian, setelah saya diberi taklifan sebagai Yang diPertua Badan Kebajikan Mahasiswa Pahang Jordan, pertemuan saya dengan beliau semakin kerap. Kunjungan saya ke MSD untuk mendapat khidmat nasihat dan bantuan dalam pentadbiran persatuan sering disambut beliau dengan ramah dan penuh senyuman.

Nyata beliau seorang yang ramah, mudah mesra dan amat berdedikasi dalam tugas. Beliau juga sering memberi kata-kata semangat dan nasihat khususnya berkenaan tugas sebagai seorang pemimpin.

Dan kali terakhir kami bertemu adalah ketika beliau merasmikan kursus haji di MSD. Pulang dari menunaikan ibadah tersebut, saya dimaklumkan oleh rakan-rakan beliau sudah terlantar di hospital.

Sungguh kehilangannya dirasai.

Dan kembalinya beliau ke rahmatullah juga sungguh-sungguh menyedarkan kelekaan saya dan rakan-rakan bahawa kita bakal dijemput kembali, ditarik nyawa pada bila-bila masa sahaja dan walau di mana jua kita berada.

Sediakanlah bekalan secukupnya untuk menghadapi saat itu.

Saya dan rakan-rakan khususnya dari Badan Kebajikan Mahasiswa Pahang Jordan mengucapkan takziah kepada isterinya, ustazah Suriani dan seisi keluarga. Moga diberi kekuatan menghadapi ujian yang tiba.

Mudah-mudahan Allah tempatkan Ust Arman bersama orang-orang yang diredhai dan dikurniakan keampunan serta rahmat yang luas ke atas rohnya.

Al-fatihah buat hambaMu itu..


* anda boleh baca luahan ust Hasrizal berkenaan pemergian sahabatnya ini di
http://saifulislam.com/?p=7232#more-7232





Sabtu, Disember 05, 2009

Travelog Haji Muda Siri 1- Bermula Kembara

Kali ini, ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama anda semua. Sesuatu yang besar dan amat tinggi nilai maknanya pada diri saya. Satu kisah kembara. Bukan sekadar kembara biasa saya seperti sebelum-sebelum ini. Bukan sekadar kembara fizikal semata-mata namun kembara rohani yang begitu mengesankan.

Kembara ini adalah kembara seorang hamba menuju Tuhan dalam menyahut seruan agung Penciptanya.

Saya sebenarnya ingin berkongsi kisah pengalaman haji yang saya tunaikan 1, 2 minggu yang lepas. Pengkisahan ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau membesar-besarkan cerita bahawa saya sudah pun melakukan ibadah haji di usia sebegini awal, jika ini niatnya saya sudah ketemu ramai yang lebih muda remaja usianya daripada saya di sana. Bukan juga untuk membesar diri bahawa saya seorang yang bertuah kerana dijemput menjadi tetamuNya, jika ini hasratnya ada berjuta-juta umat Islam dari berbagai latar benua dan negara dijemput olehNya hatta yang kelihatan miskin dan kekurangan juga ada bersama.

Perkongsian ini saya nukilkan adalah semata-mata untuk menjadi pengiktibaran dan mungkin juga panduan bagi anda yang sudah tentu juga bakal dijemput untuk menjadi tetamuNya.

Dan sudah tentu nukilan ini adalah buat tatapan keluarga saya dan sahabat-sahabat yang menanti-nanti kisah kembara saya ini.

Saya tidak tahu adakah saya mampu untuk menceritakan semuanya secara terperinci kerana pengalaman tersebut amatlah unik dan terlalu hebat untuk diterjemahkan melalui aksara-aksara di blog ini. Namun, insyaallah saya akan cuba menukilkan dengan baik agar ianya mampu dihayati bersama secara berkesan.

Saya mulakan dengan persiapan awal saya dan rakan-rakan untuk pengembaraan ini. Biarpun kami ini di dalam fatrah peperiksaan namun kami sedar yang perjalanan ini lain dari yang lain. Bukan jalan-jalan ke negeri orang untuk suka-suka dan untuk berehat-rehat. Tapi berjalan dengan hati penuh tunduk dan berharap kepadaNya.

Jadi banyak yang perlu dikorbankan untuk itu semua. Dalam mempersiapkan diri, peperiksaan kami hadapi dengan penuh semangat. Diselang-seli dengan urusan-urusan, kursus dan sebagainya. Kami usahakan agar segala pekerjaan dapat disempurnakan sebaiknya.

Perjalanan kami pun bermula.

Sebelam malam hari pertama kami tiba di sempadan Jordan. Perjalanan yang memakan masa setengah hari di dalam bas membuatkan kebanyakan kami lenguh-lenguh pinggang dibuatnya.

Untuk melepasi sempadan ini bagi memasuki wilayah Arab Saudi memerlukan beberapa urusan dilakukan antaranya mendapatkan pas keluar dari Jordan. Jadi, sudah tentu bas akan berhenti seketika bagi memberi ruang wakil kami untuk membuat segala urusan.

Kami pun turun bagi merenggang-renggangkan otot yang keletihan. Namun satu kejutan melanda diri saya dan beberapa rakan sebaik turun daripada bas.

Kami melihat ribuan manusia memenuhi kawasan tersebut. Terdapat puluhan bas yang membawa jemaah haji dari beberapa negara di utara Jordan seperti Syria, Turki, negara-negara Asia Tengah dan banyak lagi. Berbagai jenis manusia ada di situ.

Saya agak terkejut kerana pengalaman menunaikan umrah sebelum ini tidak pula ditemui keadaan sebegini rupa. Dan hati saya terdetik jika ini keadaan di sempadan Jordan, bagaimanalah agaknya keadaan di dua Tanah Suci nanti? Tentu berlipat ganda manusia yang ada.

Saya mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut. Melihat dari satu bas ke satu bas dan saya cukup tertarik apabila melihat sekelompok manusia yang berkopiah agak pelik, seakan-akan topi yang dipakai pembesar-pembesar lagenda China seperti di dalam filem.
Saya kira mereka ini adalah muslim dari negara jajahan Rusia ( Turkistan, Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan dan yang berhampiran dengannya ). Wajah mereka pun mirip puak Ugyur di China atau disebut Xinjiang.

Saya dan beberapa rakan meneruskan eksplorasi kami di sekitar kawasan menunggu ini. Lama berjalan dan bertukar-tukar pandangan serta rasa hati tiba-tiba kami terlihat sebuah coster yang uzur dan di atasnya dipenuhi dengan tong-tong air dan juga tong gas.

Bas tersebut berlansir, dan bernombor flat dengan angka yang pelik. Tanpa berlengah kami terus menuju ke arah kawasan tersebut.

Rupa-rupanya sahabat baik saya yang petah berbicara dalam bahasa Arab Ammiah ( Arab Pasar ) iaitu Fauzi telah awal-awal lagi menemuramah pemandu bas tersebut. Saya difahamkan mereka berkomunikasi bagai ayam dan itik kerana pemandu tersebut tidak pandai berbahasa Arab mahupun Inggeris. Nasib baik ada seorang Arab yang menghampiri kami dan ma'ruf tentang negara tersebut.

Yang kami tahu dari pemandu tersebut ( temuramah dengan bahasa isyarat dan lukisan ), mereka berasal dari negara daerah Asia Tengah seperti yang saya sebutkan sebelum ini. Kirgiztan kalau tidak silap saya. Mereka sudah beberapa hari bermusafir dan ia nyata merupakan perjalanan yang cukup jauh.

Biar dari mana sekalipun mereka, saya terharu melihat kesungguhan mereka untuk menyahut seruan Allah SWT sebagai hambanya.

Saya kira mereka benar-benar bekorban untuk perjalanan ini.

Biar dari mana sekalipun, melihat kesungguhan mereka dengan kekurangan yang ada, hati saya tersentuh. Amat tersentuh.

Serta merta terimbas ngomelan saya tentang kerusi bas yang saya naiki letak duduknya begitu sempit dan tidak selesa untuk perjalanan sejauh itu. Bila fikir kekurangan yang orang lain miliki dibanding dengan kecilnya dugaan saya, insaf rasanya.

Kita ni memang diselaputi kemewahan dan keselesaan tapi tidak pernah mahu bersyukur. Bila melihat kesusahan saudara kita yang lain barulah kita faham. Keterbatasan harta, kebebasan, dan banyak lagi yang wujud di sisi mereka tidak pernah sedikit pun menghapus rasa ketundukan kepada Allah Maha Esa.

Lewat malam, baru kami dibenarkan bergerak melepasi sempadan. Seingat saya hampir jam 12 pagi baru kami bergerak.

Masuk ke sempadan Arab Saudi, kami sekali lagi perlu menjalankan beberapa prosedur untuk dibenarkan masuk ke negara tersebut. Di sini masih kelihatan begitu ramai manusia bakal-bakal hujjaj yang seperti kami, menunggu untuk menyelesaikan prosedur pengesahan visa dan sebagainya.

Lewat jam 3 pagi, kami dipanggil untuk mendapatkan cop pengesahan atas visa yang diperoleh. Saya ketika itu baru bangun dari terlelap, penat. Rakan-rakan yang lain juga begitu. Cuaca ketika itu begitu sejuk. Menggigil saya turun daripada bas. Sudahlah mengantuk, saya dikejutkan pula dengan barisan yang panjang untuk masuk ke dalam bangunan yang menempatkan kaunter-kaunter yang mengesahkan visa kami.

Maka beraturlah kami dalam keadaan sejuk yang mencengkam tulang rusuk. Menggigil-gigil saya yang berlemak kurang ini. Namun, melihat kepada seorang pak cik yang mencecah usia 70 tahun masih kental berdiri dalam barisan, saya kuatkan semangat.

Mana tidaknya, tercabar rasanya. Agak lama juga baru kami dapat masuk ke dalam bangunan tersebut.

Fikir kami, masuk sahaja ke dalam akan menyelesaikan segalanya, namun ianya nyata meleset. Keadaan di dalam rupanya sama teruk. Dari segi suhu memanglah ok, suam-suam tidak seperti di luar namun kebanyakan orang berasak-asak di semua kaunter.

Akhirnya, pergaduhan hampir-hampir terjadi. Mungkin sudah bosan menunggu dan berbaris. Dari apa yang saya perhatikan sistem yang kerajaan Arab Saudi gunakan amatlah kurang bagus ;kurang sistematik. Tidak mesra pelanggan ; boleh ditafsir begitu. Pegawai-pegawai bertugas pula ada yang sengaja buat hal lalu menjadikan suasana tegang.

Saya sendiri telah penat berdiri. Menunggu berjam-jam. Namun, itulah istimewanya kembara ini. Kita akan diuji. Dan begitulah kita akan dinilai sejauh mana kesabaran kita dan keikhlasan kita dalam mengharungi halangan menyahut seruan Allah Maha Agung, Maha Segala.

Waktu fajar hampir berakhir barulah semua urusan selesai. Alhamdulillah. Ujian pertama ini banyak mengajar erti kepada kami semua dan menjadi persediaan untuk menghadapi yang seterusnya. Kami semua yakin bahawa ini hanyalah satu permulaan. Setelah semua berada di dalam bas, kami bergerak ke stesen seterusnya untuk pemeriksaan barang-barang yang di bawa.

Jangkaan kami tepat. Baru selesai mengharungi ujian getir yang mengharap kesabaran yang tinggi, sekali lagi kami berhadapan dengan ujian yang lain.

Di stesen ini, kami perlu diperiksa seluruhnya. Maksudnya, segala barang-barang yang dibawa akan diperiksa satu persatu. Maka bermulalah kerja kami menurunkan barang-barang yang tersimpan di dalam tempat simpanan beg.

Satu persatu beg kami dibuka, diperiksa setelitinya. Segala plastik dibuka walau ia hanya menyimpan sepapan panadol. Buku-buku yang kami bawa diselak satu persatu. Beg-beg digeledah semahunya. Tidak mengapalah, kami faham akan prosedur kemasukan ke sesebuah negara memerlukan pemeriksaan yang teliti.

Setelah beberapa ketika, beg-beg dimasukkan semula.

Selesai lagi satu ujian. Perlu sabar. Hati terkadang panas kerana barang-barang yang disusun kemas diperbuat sesuka hati. Sabar jadi alat penyejuk diri.

Selesai semuanya, bas kami naiki, perjalan akan kami teruskan walau beribu halangan yang datang. Itu tekad, kerana untuk hadir sejauh ini dengan hati berharap kepada Ilahi memerlukan semangat yang ampuh dan tidak terkalahkan.

Saya cuba mengimbas apa yang saya tempuhi sejak saat pertama bas dinaiki. Awal-awal lagi kami diduga, diuji. Namun kami bersyukur kerana merasakan segalanya itu adalah pengajaran berharga yang sukar dimiliki.

Mungkin juga segalanya adalah persediaan untuk menghadapi saat yang lebih getir lagi.

Semua dalam kondisi yang melelahkan, penat. Masing-masing kelihatan tersandar sambil berfikir, mungkin memuhasabah pengalaman awal perjalanan ini. Bas dipandu laju mengarah Tanah Suci.

Walau apa terjadi, padang pasir yang mendatari bumi diredah dengan penuh semangat dan azam untuk sampai kepadaNya.

Bersambung......


p/s: gambar-gambar akan diupload dalam waktu terdekat.




Sabtu, Oktober 31, 2009

Mula Berlari!



Berlari adalah satu perbuatan yang membuatkan kita mengerah tenaga untuk menggerakkan kaki kita dengan kelajuan yang tertentu. Berbeza dengan berjalan, berlari memerlukan kesungguhan, tenaga dan stamina yang tinggi.

Ada orang mampu berlari laju dalam jangka masa yang panjang. Ada juga yang hanya mampu berlari pantas di awal langkah lariannya kemudian kecundang, semput di tengah jalan. Larian setiap orang bergantung kepada banyak mana stamina dan kesungguhan yang mereka miliki.

Ia juga bergantung kepada mind set seseorang. Ada orang sebenarnya tidak mampu pun untuk berlari tetapi kerana sebab-sebab tertentu menyebabkan dia boleh berlari bahkan lebih pantas daripada orang yang sememangnya boleh berlari. Apa yang menyebabkan dia boleh berlari adalah kerana mindanya telah diset untuk dia berlari sekuat hati.

Contohnya seorang lelaki yang kakinya cedera akibat kemalangan. Dalam perjalanan ke rumah dia dikejar oleh seekor anjing liar. Akibat takut yang teramat dia telah cuba untuk lari sekuat hati. Tiada apa dalam fikirannya melainkan lari dan lari dan lari untuk selamatkan diri dari digigit anjing tersebut ( secara sedar atau tidak mindanya telah diset untuk dia lari menyelamatkan diri ). Kelajuannya amat pantas, kakinya yang sakit pun bagai sudah sembuh. Lihat bagaimana kelajuan dan larian itu sendiri dimulai dengan mind setting yang betul.

Baiklah, kali ini saya bukan mahu bercakap soal sukan ataupun larian. Saya hanya ingin berbicara soal berlari secara maknanya sahaja, bukan perbuatan berlari itu sendiri.

Di awal tulisan tadi saya telah menyentuh apa itu aspek larian yang kita fahami secara makna dan perbuatannya. Semua orang tahu untuk berlari bukan? Adakah berlari itu satu perbuatan yang sukar?? Atau cukup mudah??

Jawapannya, boleh jadi susah dan boleh jadi mudah, bergantung kepada individu. Seperti yang saya coretkan di awal tadi, berlari itu perlukan kesungguhan, perlukan semangat, perlukan stamina dan perlukan mind setting yang betul.

Saya hanya menjadikan larian itu sebagai satu analogi. Dalam menuntut ilmu, kita juga perlu berlari. Berlari untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu, berlari untuk mengutip kefahaman dan berlari untuk mengumpul kea'rifan.

Pencarian ilmu itu sukar, perlukan kesungguhan, perlukan stamina yang tinggi, perlukan semangat juga perlukan perancangan yang betul. Untuk kita jadi orang yang berilmu, kita perlu berlari dalam kerangka untuk menguasai keilmuan itu.

Ilmu itu satu nikmat dan kenikmatan ilmu itu cukup tinggi nilainya tidak setara dengan kenikmatan dunia yang lain. Rugilah kita jika tidak dapat betul-betul mengutip ilmu lebih-lebih lagi jika kita berada di atas trek ini sebagai seorang pelajar ataupun mahasiswa. Tak hairan jika Syeikh Muhammad bin Al-Hasan As- Syaibani ketika dapat menyelesaikan permasalahan ilmiah berkata :

" Dapatkah anak-anak raja merasai kenikmatan ini?"

Penulis buku Abjad Al-Ulum juga ada berkata :

" Ketahuilah bahawa kemuliaan sesuatu boleh jadi kerana memang sesuatu itu mulia atau ada perkara yang membuatkan ia menjadi mulia. Dan Ilmu mempunyai dua kemuliaan tersebut. Selain merupakan suatu kenikmatan, ilmu juga boleh memberi kenikmatan kepada orang lain"
Jadi, tidak molek kiranya dalam perjalanan kita meraih kenikmatan yang cukup besar ini, kita hanya berjalan dan bersuka-suka. Sayang jika kita tidak mampu mengutip sebanyak mungkin ilmu di sepanjang trek kehidupan ini.

Berlari dalam trek sebagai mahasiswa juga perlukan aspek-aspek penting larian serupa perbuatan berlari itu.

Belajar perlukan kesungguhan. Mahasiswa yang tidak bersungguh dalam menuntut ilmu adalah mahasiswa pembelot. Dia telah menipu agamanya, bangsa, keluarga dan juga dirinya sendiri. Tidak dapat tidak kita sebagai mahasiswa perlu bersungguh-sungguh dalam trek keilmuan ini. Bagaimana??

Bersungguh menghadiri kelas, mengulang kaji pelajaran dan membaca sebanyak mungkin. Bukan hanya subjek berkaitan dengan kulliah sahaja malahan subjek-subjek lain khususnya yang berkaitan isu semasa. Kita perlu bersungguh untuk menjadi mahasiswa bernilai tinggi sebagai produk terbaik buat kemandirian agama, bangsa dan negara.

Cuba semak dan hayati kisah-kisah ulama' agung dunia Islam. Bagaimana mereka boleh mencapai kesungguhan yang tertinggi melebihi kemampuan yang ada pada seorang manusia. Saya cukup terharu bila mengingati kisah ulama'-ulama' silam dan kesungguhan mereka dalam menimba ilmu.

Contohnya di dalam kitab Tazkirat al-Huffaz, Imam al-Dzahabi bercerita tentang riwayat hidup Ibn Abu Thahir al-Maqdisi. Ibn Thahir bercerita :

" Saat menuntut ilmu, aku pernah kencing berdarah sebanyak dua kali. Pertama di Baghdad dan kedua di Makkah. Semasa aku berjalan kaki tanpa memakai kasut, cuaca pada hari itu sangatlah panas. Tiba-tiba, aku ditimpa penyakit itu, Dalam menuntut hadis, aku belum pernah menunggang kenderaan walau hanya sekali. Jadi, buku-buku yang aku miliki, semuanya aku pikul di atas pundakku. Aku tak pernah mengeluh dan meminta-minta kepada orang lain dan aku hidup dengan seadanya."
Bagaimana hendak dibanding dengan kita? Kesungguhan beliau menuntut ilmu sungguh menakjubkan. Kita yang dikelilingi aircond, kipas dan sebagainya, ada kereta, motor mahupun basikal dengan memegang pendrive pun masih tidak boleh untuk memberi kesungguhan yang optima untuk menuntut ilmu.

Belajar juga perlukan stamina. Bagaimana kita mahu belajar dengan baik jika hanya 5 minit menatap aksara-aksara di dalam satu muka surat buku sudah terlelap. Jadi perlu kita bentuk stamina yang tinggi ke arah membuat pecutan ke arah kejayaan.

Dan kedua-dua perkara di atas itu mustahil untuk dilakukan jika kita silap merangsang minda ke arah itu. Mind set perlu dibetulkan.

Bagaimana?

Ingat bahawa penguasaan ilmu itu sesuatu yang penting dan tidak boleh di ambil ringan. Dalam al-Quran sendiri terdapat banyak ayat yang menceritakan akan keperluan dan keutamaan orang yang menuntut ilmu.

Dalam surah Al-mujadalah ayat 11, Allah SWT berfirman maksudnya :

" ..Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat.."
Di dalam surah Muhammad, ayat 14 pula, Allah berfirman bermaksud :

" Dengan demikian, adakah orang-orang ( yang beriman dan taat) yang keadaanya sentiasa berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhannya : sama seperti orang-orang ( yang ingkar - derhaka ) yang telah diperhiaskan kepadanya ( oleh syaitan ) akan kejahatan amalnya ( sehingga dipandangnya baik ), dan yang telah menurut hawa nafsunya? ( sudah tentu tidak sama )!
Rasulullah SAW juga ada bersabda dalam beberapa hadis tentang peri pentingnya jalan yang kita lalui untuk menuntut ilmu. Antaranya ;

Daripada Anas ( r.a) beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : " Barangsiapa keluar rumah untuk menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah sampai ia kembali pulang ke rumahnya."
Saya rasa, dalil-dalil ini sudah cukup untuk membina satu gagasan pemikiran yang dapat melahirkan kesungguhan dan stamina untuk 'berlari' di atas trek ke arah melahirkan mahasiswa yang betul-betul berilmu, bukan di atas kertas sahaja tapi mampu melahirkan keilmuan itu di tengah masyarakat. Akhirnya, mahasiswa dapat merasai kenikmatan ilmu itu dan masyarakat juga dapat merasai kenikmatan pancaran keilmuan daripada mahasiswa yang benar-benar telah berlari dalam rangka membina keupayaan intelektualnya.

Kesimpulannya, rancanglah untuk mula berlari dari sekarang, agar kita tidak rasa kerugian setelah sampai ke garisan akhir trek ini. Berlari untuk menjana keintelektualan sebenar seorang penuntut ilmu.

Pesanan saya buat diri saya sendiri dan rakan-rakan seperjuangan, khususnya rakan-rakan satu batch, mari kita berlari di atas trek ini!

Kita hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi sebelum bergelar seorang graduan. Cukup rugi andai kita sampai di hujung trek ini dengan hanya mendapat hadiah saguhati sahaja dan lebih malang mendapat nombor tercorot. Jadilah seorang juara yang menjulang pingat di akhirnya nanti.

Saya cabar kamu semua berlumba-lari untuk merebut pingat emas intelektual sejati!

Sila ke garisan. Sedia...

Dan wisel akan ditiupkan sebaik anda mengakhiri bacaan ini.

Jumaat, Oktober 23, 2009

Suasana Petang Dan Kehidupan




Sepanjang saya berada di ardul kinanah ini, waktu dan suasana yang paling saya sukai ialah pada waktu petang. Entah apa yang menariknya hingga ia banyak pengaruhi keadaaan saya pada saat saya mendongak ke langit pada waktu itu.

Secara bahasa mudahnya, saya cukup tertarik. Mungkin pada menghayati redup-redup cahaya kuning keemasan di hujung ufuk. Memang kita tahu langit di negara sebelah Timur Tengah ini telanjang tanpa awan. Cahaya itu menyentuh sanubari. Membuat saya merenung jauh, sejauh hingga menusuk awan lalu naik ke langit.

Saya suka memerhati, hinggalah langit berubah kelam pekat tanpa cahaya mentari lagi. Hakikatnya tabiat ini dibawa dari Malaysia lagi. Memang suasana petang mendamaikan jiwa saya.

Hari ini saya pulang dari satu mesyuarat di Amman. Sekali lagi saya ketemu langit yang menguntumkan kelopak cahaya damai ke hati itu. Memerhati sejauh mata memandang, berlatar belakangkan bukit batu, pasir dan langit yang kosong. Petang ini cahaya itu membawa saya bicara tentang ' petang' kemudian tentang 'senja'.

Ya, umpama kehidupan. Hidup ini pada waktu masih kecil halus umpama alam di waktu pagi. Rengekan kita bagai titisan embun di yang jatuh di celah rerumput hijau. Masih segar, tanpa ada lumpur yang mengotori hati, tanpa ada debu yang menutup sinar cahaya nubari.

Kita semakin berganjak. Sekarang usia saya bagai berada di waktu siang hari. Lebih tepat di tengah hari. Panas suhunya. Kadang-kadang ada mendung awan yang lalu menutupi, memberi teduh pada diri.

Kadang-kadang hujan panas yang menimpa, jatuh memercikkan lumpur pada hati. Kemudian hujan yang lebat pula turun membasuh kotor yang ada.

Satu ketika kerana terlalu panas, hati kembali tergoda pada kenikmatan teguk syahwat yang menggoda terik ujian. Letih, penat ketika ini.

Akhirnya, saya dan anda akan berada di usia petang. Usia yang meredupkan kembali diri. Panas masih ada namun tidaklah seterik sebelumnya. Andai terik sekali pun tika itu kita telah biasa berhadapan dengannya. Saat ini kita duduk bersandar di kerusi di tengah halaman kehidupan.
Cuba mengoreksi diri.

" Ah, hari sudah lewat petang, hampir senja. Apa persiapan aku untuk malam nanti? Tak mahu aku duduk di dalam gelap. Mana nak cari lampu untuk terangi aku di malam hari? Sepatutnya minyak tanah telah aku simpan dari pagi untuk bekalan malam nanti. Kalau tak ada pun sekurang-kurangnya ada bateri yang ku simpan buat menghidup lampu suluh di sisi."

Mungkin itulah bicara hati kita. Kemungkinan kita meratap, " Ah, ruginya aku membuang masa pada pagi dan siang hari, tidak mencari bekalan untuk menerangi malam ku ini."

Atau mungkin kita tenang dengan berkata, " Leganya aku sudah menyimpan bekalan untuk terangi perjalanan ku di malam nanti."

Begitulah akhirnya. Usia kita bergerak menghampiri petang kemudian senja lalu malam pun menjelma. Malam itu umpama kematian. Gelap, suram, sendiri. Kita sepatutnya membawa bekalan untuk menemani malam kita.

Malam umpama alam yang lain, yang satu lagi. Waktu siang adalah waktu di dunia. Malam pula umpama kehidupan di akhirat. Jika kita tidak ada bekalan, maka kita tergolong dalam golongan orang yang menyesal dan meratap sedih kelalaian diri.

Siapkanlah bekalan kita untuk terangi malam kita nanti. Jangan sampai menyesal di kemudian hari.

Jom koreksi diri, sejauh mana bekalan yang ada untuk di bawa mati.

Ingat, orang yang paling bijak adalah orang yang mengingati mati. Usia kita sementara, bagai masa yang pantas berlalu. Cepat-cepatlah bersiap-sedia sebelum 'malam' menjelma.


Khamis, Oktober 22, 2009

Bicara Dinihari




Entah kenapa malam ini saya resah. Puas memejam mata namun hati sentiasa ajak bicara. Ya, dengan siapa lagi mahu saya luahkan bicara hati ini, saya masih sendiri, belum lagi beristeri ( hihi, sekadar gurauan ).

Tentang meluah bicara hati, saya serius. Sekadar mahu berkongsi pandangan dan buah fikiran, saya rasa tidak salah.

Saya rasakan blog ini tempat yang sesuai untuk meluah kata hati. Daripada saya bercakap itu ini dengan diri sendiri, lebih baik saya terjemahkan di papan kekunci di laptop saya, boleh juga ditatap rakan-rakan. Mudah-mudahan tulisan saya ada manfaatnya buat yang membaca. Saya cukup berharap yang tulisan ini bukanlah bicara seorang diri antara saya dan diri sendiri sahaja.

Sebenarnya jika anda mengalami keadaan seperti saya sekarang, anda tidak perlu risau. Kita punya tempat untuk berbicara sebenarnya. Ya, selain blog ini umpamanya, ada tempat yang lebih layak dan paling sesuai menjadi tempat menterjemah kata hati, mengadu gejolak diri, meminta dipenuhi keinginan yang diimpi.

Anda mahu tahu tempatnya di mana dan pada siapa selayaknya diluahkan? Jawapannya adalah pada Tuhan yang menciptakan kita, Allah Azzawajalla.

Ya, jika begini keadaannya hanya pada Allah tempat untuk kita mengadu dan berdoa. Tempat untuk meluah perasaan dan menilai kembali sejauh mana perjalanan hidup yang telah kita tempuhi. Menghitung tahap keimanan dan ketaatan yang telah kita capai sepanjang usia hingga ke saat ini.

Saya pasti sepanjang kita menapak dan berlari di lorong kehidupan ini, tentu sering kita tersadung kaki, atau terjerumus ke dalam lubang yang boleh mencederakan hati dan iman. Benar, manusia ini sifatnya memang begitu. Kita tidak dapat lari dari sebarang bentuk kesalahan. Namun yang terbaik bagi kita adalah memperbaiki kesalahan yang telah dilakukan.

Iman di dada manusia itu memang diciptakan sedemikian. Ada turun naiknya, ada susut tingkatnya. Bergantung kepada pemilik hati dan iman itu, bagaimana dia membawa dirinya. Mahu turun ke lembah yang dalam atau mahu daki kembali bukit yang tinggi dan kemudian tenang berdiri di puncaknya, walau seketika namun itulah kenikmatan.

Kenikmatan inilah yang boleh diterjemah sebagai kemanisan iman. Kenikmatan dalam melakukan ketaatan kepada Tuhan.

Biasanya saat dinihari, kita sendiri berteman malam yang sepi dan rasa sayu ditemani kerlipan bintang di dada langit. Hati bila sendiri mudah tersentuh. Maka ini adalah saat yang paling sesuai untuk kita muhasabah diri. Mengingat kesalahan dan bertaubat atas dosa dan kesilapan. Berdoalah untuk perbaiki diri. Perbaiki hati, perbkemaskan iman. Mudah-mudahan suara hati kita yang tulus ikhlas itu di dengari.

Rasulullah SAW di dalam hadisnya ada menyebutkan,

" Allah SWT turun setiap malam ke langit dunia ketika masih berbaki 1/3 malam yang akhir. Allah SWT berfirman : Sesiapa berdoa kepadaku pasti Aku makbulkannya, sesiapa meminta kepada-Ku pasti Aku memberinya, sesiapa memohon ampun kepada-Ku pasti Aku ampuninya "

Sahih Bukhari, kitab At-Tahajjud no 1145

Ambillah peluang ini jika berkesempatan. Andai hati penuh gejolak rasa atau kurang tenang menghadapi hari-hari yang mendatang. Jika jiwa dan akal serabut memikirkan dunia dan dugaan serta godaanya, maka tika dan saat inilah perlunya kita kembali kepada fitrah manusia, kembali kepada Tuhan yang mencipta.

Temanilah lena kita denga zikrullah. Lafaz yang terbaik untuk menemani malam kita di pembaringan. Hati yang sentiasa bergerak mengingati Allah adalah hati yang hidup. Hidup dengan penuh keindahan.

Rasulullah juga ada berpesan untuk kita sentiasa perbaharui iman kita. Tapi bagaimana?? Dengan melafazkan kalimah terbaik ini, La ilaha illallah.

Berhiduplah dengan kemuliaan dan kenikmatan iman. Rasailah lemak lazatnya keadaan dipenuhi manisnya iman. Saya geram untuk menikmatinya. Anda bagaimana?

Sudah tiba masanya kita memikirkan bekalan untuk dibawa ke sana. Tujuan kita di sini hanyalah mengumpul bekalan itu. Apa yang nak kita bawa bergantung sejauh mana kita serius memikirkannya.

Jom kita cari manisan itu!

Saya mahu kita bersama menikmatinya!

Isnin, Oktober 12, 2009

Wanita


Wanita...lembut dalam pandangan mata...tapi bisa menggugat isi dunia"

"Wanita...kerananya lelaki menerobos tembok besi, gagah menjulang risalah Nabi.... Wanita...kerananya lelaki terjerumus ke lembah kibir firauni, melapah manusiawi..."

Sumber : TamanUlama - Wanita di pandangan Said Nursi

Kalau Sesat, Apa Nak Buat?


Saya rasa, tentu ramai yang pernah berhadapan dengan situasi ini bukan. Sesat. Kita mahu ke suatu destinasi di kawasan yang belum pernah kita lalui, ataupun kawasan yang jarang kita pergi untuk kita betul-betul arif tentang keadaannya, jalannya, selok-beloknya dan sebagainya.

Kalau di dalam situasi ini, apa kita nak buat??

Kali ini saya mahu berkongsi pengalaman saya, sesat di kawasan yang memang tidak saya arif akan selok-belok jalannya. Mungkin boleh dijadikan panduan untuk anda pula nanti. Caritanya bermula begini...

Satu ketika, saya dan rakan-rakan mahasiswa Pahang di Jordan menerima kunjungan seorang pegawai Yayasan Pahang dari Mesir dan dua orang pensyarah dari Kolej IKIP dari Pahang. Mereka tiba ke bumi Irbid ini atas urusan rasmi. Kebetulan pula ketiga-tiga mereka adalah pensyarah saya ketika masih menuntut di Kolej IKIP dahulu.

Setelah selesai segala urusan mereka ini, mereka perlu berangat pula ke Amman iaitu ibu kota Jordan bagi menghadiri pertemuan bersama-sama dengan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Jordan dan juga pertemuan dengan Duta di Kedutaan Malaysia di Amman.

Mereka perlu bergerak pada awal pagi keesokannya kerana jarak dari Irbid ke Amman yang memakan masa lebih kurang 1 jam 30 minit dan urusan mereka pula berlansung pada awal pagi.

Maka saya selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Mahasiswa Pahang Jordan yang baru setahun jagung ini sibuklah mencari kenderaan dan rakan-rakan yang arif tentang jalan ke tempat-tempat berkenaan untuk menghantar tetamu kehormat kami ini pada mala harinya.

Disebabkan ramai pelajar Malaysia yang pulang berhari raya di tanah air dan rakan-rakan yang tinggal pula semuanya dalam kesibukan maka saya dan bendahari persatuan pun iaitu Rahim segera menyewa kereta. Ini bagi memudahkan pergerakan tetamu kami itu. Dalam keadaan dua-dua manusia ini tidak arif jalan di Bandaraya Amman, maka kami sibuk bertanya sana dan sini.

Segalanya dirancang dan direncana dengan baik. Semuanya nampak perfect.

Dikhabarkan oleh rakan-rakan bahawa destinasi kami yang pertama iaitu Pejabat Jabatan Penuntut Malaysia Jordan ( MSD ) amat mudah jalannya. Senang. Maka, ungkapan mereka saya jadikan penguat semangat.

Paginya, tepat jam 7 pagi saya mula bergerak ke hotel yang menempatkan tetamu kami itu.
Dengan keberanian dan azam yang mengatakan saya boleh, maka saya pun mulalah memandu ke Amman.

Perjalanan pagi itu cukup indah dengan mentari pagi yang baru terbit dan dikaburi sedikit oleh kabus-kabus bukit-bukau yang melatari perjalanan kami. Segalanya nampak baik.

Walau bagaimanapun, hendak dijadikan cerita, jalan yang sepatutnya saya ambil untuk memudahkan destinasi kami telah silap saya masuki. Saya tersalah masuk simpang, salah jalan! Apa lagi, bangunan City Mall yang sepatutnya kami lalui, tidak juga kelihatan. Tiba-tiba kelihatan satu papan tanda bertulis Abdali. Allah, dah terlalu jauh kami ini dengan destinasi kami.

Cemas juga perasaan saya. Apa tidaknya, saya memandu kereta dinaiki tetamu penting yang ada janji dan urusan di Kedutaan serta MSD. Jam ditangan menunjukkan kami menghampiri waktu temu janji. Saya rasa amat gusar. Lalu, saya cepat-cepat menghubungi rakan saya yang arif tentang jalan-jalan di Amman.

" Enta ni dah jauh sangat dah. Macam mana ye nak cakap. Susah juga ni, ana bagi tahu pun takut enta tak faham nanti "

Ayat yang kedengaran di corong telefon sudah cukup membuat debaran saya makin menjadi-jadi. Namun dia cuba juga untuk menerangkan jalan yang perlu saya ambil. Saya cuba mencari. Belok kanan, belok kiri. pusing bulatan. Fuh, masih tidak kelihatan jalan yang perlu saya ambil. Kelam kabut jadinya.

Bayangkanlah tersesat di negara orang. Memandu di Kuala Lumpur pun hanya beberapa kali saja, itu pun selalu sahaja tersesat.

" Letak telefon tu, cuba berhenti dan tanya orang di tepi-tepi jalan. Itu caranya kalau sesat. "

Akhirnya, teguran dari tempat duduk belakang. Betul juga, kenapalah saya bagai hilang kewarasan berfikir. Nafas saya hirup dalam-dalam agar datang keyakinan. Saya dan co-pilot di sebelah, Rahim menukar kaedah. Semua orang yang kami lihat di tepi jalan kami tanya.

Hampir sejam saya asyik berpusing-pusing di tengah bandar Amman. Kadang-kadang tempat yang sama hampir 2,3 kali saya lalui. Lawak sungguh. Rasa mahu ketawa pun ada.

Akhirnya, kami sampai ke destinasi yang hendak kami tujui. Alhamdulillah.

Pesanan dari ustaz-ustaz saya,

" Ingat firman Allah, Fas alu ahli zikri in kuntum laa ta'lamun, bertanyalah orang yang berilmu sekiranya kamu tidak tahu. "

Pengajaran yang dapat saya ambil dari pengalaman ini adalah :

  1. Jangan buat-buat terlalu pandai tentang sesuatu perkara.
  2. Kalau ingin bertanya, bertanyalah kepada orang yang arif, iaitu orang yang memang tinggal atau menetap di situ.
  3. Kalau anda berada di mana-mana negara atau kawasan untuk jangka masa yang lama pastikan anda arif tentang negara tersebut, ini bagi memudahkan tetamu-tetamu yang berkunjung.
  4. Pastikan diri anda sentiasa berkeyakinan. Jangan tergopoh-gapah menghadapi masalah atau tekanan.
  5. Wujudkan ketenangan dalam situasi begini.
  6. Banyakkan tawakal kepada Allah, istighfar banyak-banyak.
  7. Kalau boleh, sediakan peta kawasan yang hendak kita tujui. Kalau ada GPS lagi ok.

Walaupun ini suatu pengalam yang pahit bagi saya, namun saya rasa ada kemanisannya. Banyak yang saya dapat pelajari dari pengalaman ini. Betullah, pengalaman banyak mengajar erti kehidupan. Pengalaman mampu mematangkan.

Jauh perjalanan luas pengalaman.

Terima kasih ustaz, atas nasihat dan ilmu yang dicurahkan. Saya akan ingat segalanya ini sampai bila-bila. Pengalaman yang memberi erti. Jika terbaca entri ini, harap maafkan kesesatan yang terjadi yer.huhu.

Khamis, Oktober 08, 2009

Berdepan Kekurangan Diri



Ramai manusia yang kecewa dengan kekurangan yang ada pada diri mereka. Kata-kata sekeliling, pandangan masyarakat dan berbagai lagi faktor mendatangkan rasa yang sebegitu. Rasa kecewa ini boleh mendatangkan berbagai kesan kepada manusia. Putus asa, mudah mengalah dan berbagai lagi perasaan negatif lahir dan mengurangkan produktiviti diri serta semangat untuk berdepan dengan masyarakat.Justify Full
Apa yang lebih membimbangkan, perasaan itu kemudiannya boleh mempengaruhi fikiran manusia kepada hilangnya rasa redha pada apa yang diciptakan oleh Allah SWT, na'uzubillahhi min zalik, moga kita dijauhkan dengan bersifat sedemikian.

Apabila hilang rasa redha pada apa yang dijadikan oleh Tuhan yang Maha Pencipta, Maha Agung maka jatuh tersungkurlah manusia itu ke lembah yang hina, tempat yang paling rendah pada pandangan Allah SWT.

Saya bimbang, akibat menangisi kekurangan itu kita jatuh tergelincir dari jalan yang sepatutnya kita berada iaitu landasan keimanan yang harus kita lalui.

Catatan ini hanyalah sebuah lontaran pandangan berkenaan kekurangan yang ada pada diri setiap kita. Saya cuba untuk meyakinkan pembaca blog ini bahawa setiap apa yang dijadikan, dicipta oleh Allah SWT merupakan satu kelebihan sebenarnya. Walau kita melihat kekurangan itu sebuah halangan ataupun satu perkara yang menggusarkan, namun hakikatnya ada hikmah tersembunyi yang akan wujud dari kekurangan yang kita miliki itu.

Tidak perlu kecewa, tidak perlu menangis, tidak perlu rasa terhina!

Jika kita tahu menggunakan kekurangan itu, kita mampu pergi lebih jauh, jadi lebih hebat malah menukar kekurangan tersebut kepada kelebihan yang tidak disangka-sangka. KEKURANGAN ADALAH SEBUAH BONUS PADA KEHIDUPAN

Anda percaya??

Jika kita lihat dan kaji secara berhati-hati, kita akan temui banyak kekurangan pada sejarawan, tokoh pencipta dan tokoh yang merubah dunia. Kekurangan adalah ciri-ciri yang ada pada mereka.

Namun mereka mengubah kekurangan ini menjadi batu loncatan untuk mereka sampai ke tahap yang sebegitu tinggi hingga mampu mempengaruhi dunia, walaupun asalnya mereka dihina, dicerca oleh masyarakat pada waktu mereka.

Formula kekurangan adalah adunan resepi kejayaan kebanyakan tokoh-tokoh dunia.

Dicop Sebagai Bodoh!

Seorang kanak-kanak dihantar pulang ke rumah oleh gurunya dengan diselitkan sekeping nota untuk ditunjukkan kepada keluarganya. Nota itu bertulis, " Pelajar ini terlalu bodoh untuk belajar". Ketika itu dia berumur 6 tahun. Masa hadapannya tercatat di dalam kertas itu. Bodoh adalah kekurangan yang ada pada dirinya.

Namun, dia sedar akan kekurangan dan masa depan yang bakal menghantui dirinya setelah meningkat dewasa. Dengan kesungguhannya dia memadamkan masa hadapannya yang tercatat di dalam nota itu dengan menghasilkan penemuan yang hebat. Dialah Thomas Edison, orang yang mencipta mentol bagi menerangi seluruh dunia sekarang. Kekurangan yang dicop pada dirinya bukan mendatangkan kekecewaan bahkan melahirkan kesungguhan untuk membuktikan bodoh itu bukan kekurangan tapi sebuah batu loncatan untuk dia lebih kehadapan.

Senator OKU Pertama

Anda kenal siapa Allahyarham Prof. Datuk Dr. Ismail Md. Salleh??

Ya, beliau adalah Orang Kurang Upaya pertama yang menjawat jawatan senator. Hebat bukan? Beliau seorang yang buta kedua belah matanya namun mampu menjawat jawatan senator. Bahkan beliau pernah tersenarai di antara 7 Great Malaysian Career Achievers oleh laman web Skor Career.

Bagaimana seorang yang buta penglihatannya mampu mencapai tahap sedemikian??

Beliau punya kekurangan bukan??

Bayangkan beliau hilang penglihatan sejak berumur 13 tahun. Kekurangan yang amat-amat mengecewakan bagi ramai orang. Namun, kerana merasakan kekurangan itu bukan halangan untuk mencapai kejayaan, beliau sedaya upaya belajar hingga ke peringkat tertinggi.

Bayangkan dalam keadaan mata tidak dapat melihat, beliau mampu menyelesaikan pengajian ijazah, master dan PhD kesemuanya di Amerika Syarikat. Cukup hebat bukan.

Bukan itu sahaja, malah beliau dianugerahi anugerah Doktor Kesusasteraan oleh Kesatuan Eropah kerana sumbangannya diperingkat antarabangsa. Beliau juga merupakan Naib Chancellor Kolej Universiti Teknologi Twintech.

Ini contoh orang yang punya kekurangan namun mampu bersaing diperingkat antarabangsa.

Seorang bukan Islam dan seorang lagi adalah muslim.

Mereka tidak menangisi kekurangan dan pandangan masyarakat terhadap diri mereka. Bahkan mereka bangkit untuk membuktikan pada masyarakat bahawa mereka boleh dan punya kelebihan.

Benar bukan apa yang saya utarakan sebelum ini. Kekurangan itu adalah satu bonus kepada kita.

Kekurangan Yang Kecil

Bagaimana pula dengan kita dalam menghadapi kekurangan yang kecil cuma? Orang yang punya kekurangan sebesar itu pun mampu hidup dengan lebih baik dan bahagia, apatah lagi kita sepatutnya menghargai hidup ini.

Kurang dari segi paras rupa contohnya. Berkulit gelap, berbadan gempal atau terlalu kurus, bukan satu kekurangan yang besar. Semua itu tidak penting untuk nilaian Allah SWT hatta nilaian manusia. Cuma kita yang berperasaan rendah diri dan kecewa.

Kurang dari segi taraf hidup misalnya. Biarkan, hidup dengan sederhana itu lebih menenangkan dari hidup dalam kemewahan.

Anggaplah kekurangan yang ada pada diri kita merupakan ujian dari Allah SWT. Cari dan baca kisah-kisah hidup orang yang berjaya bagi memotivasikan diri. Kebanyakan dari mereka bermula dengan kekurangan yang hadir dalam hidup mereka. Mereka berjaya merubah itu semua kepada sesuatu yang dianggap mustahil untuk dilakukan.

Bersifatlah dengan sifat bersangka baik, yakin diri, redha dan segala sifat-sifat mahmudah. Mudah-mudahan kekurangan yang ada pada diri kita mampu mengangkat kita ke satu tahap yang lebih baik lagi.

Satu pesanan saya, carilah alternatif bagi mengatasi kekurangan yang ada. Sentiasalah redha dengan apa yang kita miliki, bersyukur. Insyaallah Allah akan merahmati.






Sabtu, Oktober 03, 2009

Bergerak


Untuk memaknakan kehidupan, kita perlu bergerak. Berhijrah ke satu daerah yang lain daripada biasa. Beralih kedudukan ke tempat yang berbeza.
Justify Full
Rialiti hidup memang begitu. Manusia ini mudah bosan, mudah keliru sebenarnya. Kebiasaan yang 'biasa-biasa' itu melakarkan bukan lagi keindahan tapi kejemuan yang tidak dapat dibendung. Kejemuan itu bakal melahirkan satu kerugian pada sisi kehidupan yang berbeza.

Saya tidak mahu rasai kerugian itu. Jadi saya bergerak. Walau gerakan saya ini tidak mempengaruhi sekitar saya, jajahan takluk di dalam diri saya merasakannya. Perubahan dan penghijrahan yang kecil itu tidak mustahil ada pengaruh kepada siapa saya di masa akan datang.

Wajah blog ini adalah permulaannya.

Imam Syafie pernah menukilkan dalam syairnya :

" Aku melihat air menjadi cemar kerana tidak mengalir, andai ia mengalir pasti elok keadaannya. Dan andai ia bertakung, nescaya cemar jadinya.."


Saya kembali dengan semangat baru, dengan harapan baru dan dengan bekalan yang baru.

Moga pembaca blog ini doakan pergerakan kecil saya ini membuahkan sesuatu yang beharga, bukan untuk saya tapi untuk semua, mudah-mudahan. Insyaallah.

Khamis, Julai 30, 2009

Selesema Babi Yang Mengganas


Seperti mana yang umum ketahui, sekarang ini dunia digegarkan oleh satu wabak yang mengancam jagat manusia. Selepas selesema burung atau dikenali sebagai H5N1 meragut ribuan nyawa kini datang pula wabak baru yang dikenali sebagai selesema babi atau H1N1.

Pada mulanya wabak ini tidaklah tersebar terlalu jauh hingga mencakupi segenap jagat alam, namun ketentuan Allah itu dengan segala rahsia kekuasaannya telah menyemarakkan penyebaran virus ini ke banyak tempat di dunia. Sudah pasti ada hikmahnya disebalik bala bencana yang melanda kita semua sekarang ini.

Di Malaysia, saya agak terkejut mendengar berita yang wabak ini semakin menular. Saya bertambah-tambah terkejut dengan berita yang terpapar di dalam Utusan Malaysia semalam yang melaporkan kematian seorang gadis akibat dijangkiti wabak selesema babi tanpa di sedari. Pihak yang punya tanggungjawap untuk membendung wabak ini juga tidak dapat mengesan mangsa dijangkiti H1N1 hinggalah selepas dia disahkan meninggal dunia.

Walau bagaimanapun segalanya adalah ketentuan dari Allah SWT. Semoga keluarga Nur Shazwana tabah menghadapi dugaan ini.

Berikutan dengan mengganasnya wabak ini, saya cuba mencari serba sedikit maklumat dan ingin saya kongsikan dengan sahabat-sahabat semua. Berikut adalah maklumat yang saya perolehi dari salah sebuah blog yang saya lawati, jom baca ;


Apakah penyakit selsema babi?

Seperti manusia, babi juga boleh mendapat selsema, tetapi virus selsema babi tidak sama virus yang dihidapi manusia. Selsema babi tidak menjangkiti manusia dan beberapa kes-kes kecil yang menjangkiti manusia pada masa lalu menunjukkan mereka mempunyai hubungan rapat atau direct contact dengan babi (seperti penternak babi).

Selsema babi (kini disebut AH1N1)yang sedang melanda Mexico, Amerika dan Kanada kali ini adalah berbeza. Ia disebabkan oleh virus baru yang merebak dari seseorang kepada orang lain - dan ia berlaku kepada mereka yang tidak mempunyai hubungan terus dengan babi.

Apakah simptom selsema babi?
Simptom selsema babi adalah serupa dengan selsema biasa termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, sakit kepala, kesejukan dan keletihan. Selain itu, terdapat beberapa kes melibatkan muntah-muntah. Simptom-simptom ini boleh disebabkan pelbagai sebab biasa dan tidak semestinya selsema babi.

Bagaimana saya tahu ia adalah virus selsema babi?
Anda dan doktor tidak akan dapat mengetahui ia adalah virus penyakit selsema babi sehingga ia diuji di makmal. Setakat ini tidak ada cara lain untuk mengesahkan virus selsema babi selain di bawa dan diuji di makmal.

Jika saya menghidapi selsema babi, apakah yang saya perlu lakukan?
Jika anda mengalami selsema dan simptom-simptom di atas, jangan keluar rumah. Jika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung anda dengan tisu. Selepas itu, buang tisu ke dalam tong sampah dan basuh tangan anda. Ia menghalang selsema anda dari merebak.

Jikalau anda selsema padahal anda sedang berada di kawasan atau negara yang berisiko tinggi seperti Mexico, anda dinasihatkan berjumpa doktor. Tetapi jika anda berada di negara yang tiada risiko selsema babi, anda masih boleh berjumpa doktor - itu pilihan anda. Sila maklum bahawa doktor tidak dapat memastikan sama ada anda menghidapi selsema babi, tetapi dia akan mengambil sampel dari anda dan menghantar kepada pihak berkuasa untuk diuji di makmal. Anda akan dimaklumkan jika disahkan mengidap selsema babi.

Bagaimana selsema babi merebak?
Virus baru ini boleh merebak mengikut kaedah biasa seperti selsema biasa. Anda boleh dijangkiti melalui sentuhan terhadap seseorang yang membawa virus ini, menyentuh objek yang telah disentuh oleh pembawa virus, kemudian melepasi tubuh anda apabila anda menyetuh mata anda, mulut atau hidung. Anda dinasihatkan sentiasa membasuh tangan walaupun anda tidak dijangkiti. Pembawa virus mula merebakkan virus sehari selepas simptom bermula.

Ia juga boleh merebak melalui udara jika pembawa virus batuk atau bersin tanpa menutup mulut dan melepaskannya bebas di udara.

Bagaimana selsema babi diubati?
Virus baru selsema babi sangat sensitif kepada dadah anti-viral iaitu Tamiflu dan Relenza. Tetapi tidak semua orang memerlukannya. Di Amerika, kebanyakan pesakit selsema babi yang terawal pulih secara semulajadi tanpa rawatan atau ubat-ubatan.

Adakah vaksin untuk mengelak virus baru ini?
Tiada. Tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang mengambil langkah permulaan untuk menghasilkan vaksin ini.

Saya telah disuntik vaksin selsema beberapa bulan yang lalu. Adakah saya dilindungi dari selsema babi?
Tidak. Vaksin selsema biasa tidak dicipta untuk virus baru ini.

Sejauh mana teruknya selsema babi?
Kesan virus selsema babi berbagai-bagai. Di Mexico, ada yang melibatkan kematian tetapi kes-kes awal di Amerika hanya melibatkan demam yang ringan. Tetapi ia boleh berubah sama ada menjadi lebih merbahaya atau tidak. Saintis masih lagi dalam kajian ke atas virus baru ini dan mereka tidak dapat memberi jaminan sejauh mana ia dapat dijangkakan.

Bagaimana saya boleh mengelak dari dijangkiti selsema babi?
Anda dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:
  • sentiasa membasuh tangan anda dengan air dan sabun, khasnya selepas batuk atau bersin.
  • elakkan sentuhan secara terus dengan pesakit
  • elakkan menyentuh mata, mulut dan mengorek hidung dengan tangan anda kerana virus akan merebak melalui rongga-rongga ini
  • batalkan lawatan anda ke negara-negara yang sedang mengalami epidemik selsema babi seperti Mexico, Amerika, Taiwan dan Kanada.
  • jika anda tinggal di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan ladang ternakan babi, jauhkan diri anda dari penternak dan pekerja ternakan babi tersebut. Jika mereka kawan anda, cukuplah berhubung melalui telefon.
  • elakkan menyentuh objek-objek di tempat awam seperti butang lif, tangga escalator, bangku awam, telefon awam dan sebagainya. Jika tidak boleh, basuh tangan anda dengan sabun selepas menyentuh objek-objek tersebut.
  • ambil langkah berjaga-jaga yang dinyatakan di atas dengan lebih teliti semasa berada di terminal lapangan terbang, stesen bas, kaunter awam, di dalam panggung wayang dan hospital.

Apa lagi yang perlu dilakukan?
Sentiasa mendapatkan maklumat terbaru di dalam komuniti anda. Negara anda dan Kementerian Kesihatan mungkin mempunyai maklumat penting jika selsema babi merebak di negara anda atau di negara-negara yang bakal anda lawati. Jangan panik, tetapi langkah berjaga-jaga adalah lebih baik.

Semoga kita semua selamat dan dilindungi oleh Allah SWT dari jangkitan wabak ini.

Mudah-mudahan bencana atau bala ini menjadi peringatan kepada kita semua bahawa hayat di dunia ini tidaklah panjang mana. Persiapkanlah diri menghadapi hari kemudian yang kekal abadi.

Moga wabak ini segera hilang dan tidak menular lagi, mudah-mudahan Allah perkenankan, Insyaallah.



Sumber : http://thesecretmedicines.blogspot.com

Selasa, Julai 21, 2009

Kepentingan Organisasi Dari Perspektif Islam


Islam merupakan agama yang syumul merangkumi segenap aspek dalam kehidupan manusia. Melalui Islam, manusia itu dapat disatukan di bawah satu payung persaudaraan yang terikat dengan perhambaan kepada tuhan Maha Pencipta, Allah SWT.

Islam menyediakan panduan untuk manusia hidup terurus tanpa menyimpang dari landasan keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT. Untuk itu Islam memerlukan satu kelompok atau segolongan dari umatnya untuk memacu manusia agar terus lurus mengikut jalan kebenaran dan menyediakan satu suasana yang dapat mempertingkatkan kualiti ummah sebagai contoh umat terbaik yang boleh dijadikan panduan dan ikutan ramai ( dakwah bil hal ).

Kerana itu Islam amat-amat memerlukan satu bentuk pengorganisasian ( tanzim ) untuk melicinkan gerak kerja ke arah matlamat Islam yang mulia ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

" Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh (berbuat) yang ma'ruf dan mencegah dari melakukan kemungkaran. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." - Al-Imran, 104.


Ayat di atas dengan jelas menerangkan perlunya wujud sebuah organisasi dalam memacu umat menuju matlamat mencapai keredhaan Allah SWT.

Mengapa perlu ada organisasi??

Jawapannya cukup mudah, manusia itu tidak akan mampu bekerja sendirian bagi memikul amanah yang cukup berat ini. Di umpamakan sebatang kayu yang mudah dipatahkan walau dengan menggunakan tangan sahaja.

Organisasi pula akan membentuk sebuah ikatan yang kukuh, yang sukar dipatahkan oleh agenda musuh yang mahukan Islam itu jatuh tersungkur lalu dipijak diludah. Sebuah organisasi adalah seumpama serumpun kayu yang terikat kukuh memasak teguh dalam ikatannya yang padu menyukarkan ianya dipatah- remukkan.

Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud :

" Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. " - As-Saf, 4.


Ayat ini, selain menerangkan kebaikan berperang di jalan Allah, ia juga ada menyebut akan kepentingan sebuah organisasi yang teratur, rapi dan kemas guna untuk berjuang menegakkan kebenaran Dinul Islam di muka bumi ini. Jelas di dalam ayat ini bahawa perjuangan atau peperangan tanpa pengorganisasian yang jitu, tidak kemas dan tiada wadah yang teratur tidak disukai oleh Allah SWT.

Organisasi yang teratur dan kemas ini sudah pasti akan membentuk satu perancangan yang rapi lagi sistematik untuk menyediakan satu gerakan yang akhirnya amat berkesan untuk mencapai matlamat perjuangan yang diimpikan.

Benarlah kata Saiyyidina Ali K.W bahawa kebenaran tanpa sistem atau perancangan yang kemas akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang punyai sistem yang teratur lagi kemas.


Syarat Organisasi Dalam Islam

Organisasi yang terbina atas asas kebenaran tentulah memerlukan syarat-syarat tertentu bagi menjamin keberkesanannya lebih-lebih lagi untuk menuju matlamat ukhrawi yang kekal abadi. Islam telah menggariskan beberapa syarat bagi menjamin sesebuah organisasi itu betul-betul mampu membawa umatnya melayari lautan kehidupan dengan cemerlang dan selamat. Antara syarat-syarat tersebut adalah :

1. Mengikut ajaran Islam.
2. Segala kerja dan perancangan perlulah bersifat jama'i.
3. Memahami Islam.
4. Taat dan patuh.
5. Rapi dan teratur.
6. Ukhwah dan persaudaraan.
7. Kejernihan hati.
8. Penumpuan anggota organisasi terhadap matlamat.
9. Percaya kepada pemimpin.
10. Tetap pendirian.
11. Pengorbanan.
12. Ikhlas.
13. Tamyiz atau perbezaan dengan organisasi bukan Islam.

Senarai syarat-syarat organisasi dalam Islam yang disebutkan itu pasti dapat menggambarkan akan wibawanya organisasi perjuangan ummah dalam merancang pelan tindakan yang realistik, kreatif serta bermanfaat buat umat manusia di alam maya ini.

Semoga artikel saya pada kali ini dapat memberi manfaat buat para pembaca sekalian. Mungkin tulisan saya sebelum-sebelum ini tidak langsung berbaur ilmiah dan kurang memberi manfaat buat anda semua. Terima kasih kepada sahabat yang menegur.

Mari kita sama-sama berorganisasi secara tersuluh dan terarah.

Agar jalan yang kita ambil tidak punya lorong membelok kepada kesesatan dan kemurkaan. Sama-samalah kita tegur - menegur di dalam memastikan organisasi kita kekal relevan dan mampu membawa perubahan, tidak kiralah organisasi berbentuk persatuan, kelab, pentadbiran kampung, taman, negeri atau negara sekalipun.

Moga semua berada di bawah payung keredhaanNya, Insyaallah.

Khamis, Jun 18, 2009

Umrahku Yang Pertama

Lama tidak menyentuh papan kekunci laptop saya ini, bahkan ditinggalkan sepi tanpa ada yang menyentuhnya. Bukan tidak mahu mengusik tetapi hampir dua minggu saya tidak berada di bumi Jordan ini.

Ya, saya pergi, tinggalkan kebiasaan saya buat seketika. Pergi menyahut seruan dari Illahi. Alhamdulillah saya dan beberapa orang sahabat berjumlah 14 orang dipilih oleh Allah untuk sama-sama menjadi tetamuNya di Tanah Suci Makkah dan Madinah, dibawa melihat Kaabah dan menziarahi pusara Nabi junjungan SAW.

Perjalanan yang bagi saya amat berbeza dengan kembara-kembara saya yang sebelumnya. Indah diulit berbagai rasa dari jiwa. Kadang rasa seronok yang tidak tergambarkan, kadang juga sayu bahkan malu menjadi tetamu Rabb yang Mulia sedang diri dibaluti kesalahan dan dosa.

Namun perjalanan selama 10 hari itu benar-benar mengetuk diri menyedari hakikat kehidupan sebagai hamba, bahkan menjentik kesedaran bahawa hidup yang sementara ini ada tanggungjawab, tujuan dan matlamat yang perlu dilunasi.

Saya bagai tercampak sendiri memuhasabah hati. Laluan sepanjang perjalanan ke Haramain ( Makkah dan Madinah ) benar-benar menyentuh hati saya. Kadang-kadang dalam lena yang panjang akibat kepenatan sepanjang perjalanan 24 jam dari bumi Syam ini saya sering terbanyangkan keadaan di zaman kebangkitan Islam. Keadaan muka bumi yang berbatu-batu, panas terik tanpa teduhan memaknakan sebuah keinsafan bahawa perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat itu bukan senang dan menuntut sebuah kecintaan yang mendalam.

Namun bagaimana ukuran kecintaan saya pada agama dan pada perjuangan?? Sanggupkah saya menghadapi keadaan dan suasana seperti itu. Hati hanya mampu meraung dari lubuk yang paling dalam.

Di sisi maqam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi, saya pilu. Pertama kali saya menziarahi Insan agung Kekasih Allah itu diri bagai dibawa berkelana mengimbas suasana Madinah dahulunya.

" Salam ke atas kamu Ya Rasullullah, salam ke atas kamu Wahai Kekasih Allah "

Saya ulang-ulang salam kepada Insan yang begitu mencintai ummatnya itu. Tidak tercapai rasanya kecintaan saya sebegitu tinggi, tidak sedar mata bergenangan. Dalam penuh sesak diasak lautan manusia, dihimpit kiri dan kanan saya gagahkan juga ziarah yang pertama itu.

Hati rasa puas.

Perjalanan ke Makkah sedikit mendatangkan dugaan pada diri. Saya demam. perjalanan yang panjang hampir lapan jam menempuh padang pasir dan cuaca yang memerikkan betul-betul memukul hati untuk memberi kesan keinsafan yang dalam pada naluri.

" Ya Allah banyaknya dosa yang aku lakukan, jika panas yang hanya beberapa peratus di dunia ini tidak tertahan bagaimana nanti di mahsyar?? Bagaimana pula panas nerakaMu. Ya Allah, ampunkan dosa aku, kedua ibubapaku dan semua yang mengenaliku" - ratapan dari diri. Sesal dalam keinsafan.

Tika mula-mula menatap Baytullah yang Mulia. Diri terpesona, fikiran terpaku, hati jadi bisu. Gerakan bagai terkunci.

Binaan Kaabah itu benar-benar membawa lari perasaan bahkan diri.

Syukur yang amat kerana diberi rezeki oleh Allah SWT menjadi tetamunya di usia semuda ini. Anugerah ini amat beharga pada saya. Mungkin ada hikmah dan rahsia di sebalik ketentuanNya ini.

Saya hanya mampu bermohon pada Allah agar diberi petunjuk yang lurus dan hidayah serta taufiq dariNya.

Saya amat suka diam sendirian memandang kaabah, ia mendatangkan kebahagian yang tidak pernah saya kecapi. Terima kasih Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemurah kerana memberi peluang yang sebesar ini pada hamba yang sering mengabaikan cinta pada Penciptanya.

I'tikaf di Masjidilharam selalu sahaja mendatangkan ketenangan dan kebahagian kepada diri. Malam-malam di sisi Baytullah tersemat erat dalam kenangan.

Saya mahu dijemput lagi.

Saya rindu menatapnya berkali-kali.

Hingga kini, sentiasa saya dibayangi suasana itu.

Indah dalam sendirian yang membahagiakan...

Doakan kita semua diberi kesempatan menjadi tetamuNya selepas ini, dan lagi, dan lagi.

Ahad, Mei 31, 2009

Malam Yang Pelik



Semalam saya tertidur awal dari biasa. Tidur yang enak, lazat dan macam-macam lagi rasa yang mendamaikan hadir dalam lena yang singkat itu.

Apa tidaknya, malam sebelum itu saya bersengkang mata menekuni madah الفكر المصرف ( Philosophy of Banking ) bagi persediaan imtihan paginya. Penat belum dapat dikambus, petang pula saya bersama rakan-rakan menekuni pula madah التطبيقات الحديثة في الإقتصاد الإسلام ( Latest Application in Islamic Economics ) buat bekal untuk imtihan besok- doakan ya.

Tika melayang diuliti rasa enak dalam tidur yang nyenyak tiba-tiba saya dengar bunyi sorak-sorai syabab ( pemuda-pemuda ) Arab disekeliling rumah saya.

Potong stim betullah, terkejut saya dibuatnya. Rasa pelik pun cepat bertandang. Tak pernah-pernah pula saya dengar mereka berpekik terlolong macam orang separuh akal itu. Apa yang berlaku??

Dengan mata yang berpinar-pinar, saya bangun untuk membuka tingkap. Pelik juga kenapa gelap semacam. Kaki kerusi di sisi katil saya sepak sampai hampir tersungkur. Saya lihat ramai pemuda Arab di tingkap-tingkap rumah mereka.

Mereka bersorak, main picit-picit lampu suluh. Benyanyi entah apa dan bermacam lagi.

Aneh bagi saya mereka berkelakuan begitu. Seingat saya belum pernah sepanjang keberadaan di Jordan ini melihat ragam yang sebegitu.

Lama memerhati, baru saya sedar bahawa elektrik di kawasan sekeliling rumah saya ini terputus. Itu pun setelah bertanya kepada anak tuan kedai di tingkat bawah rumah saya ini, Hammudah gelarannya.

Haha, geli hati pun ada. Pelik pun ada. Lama saya ditingkap. Lucu melihat tingkah laku mereka. Mungkin mereka tidak biasa bergelap sebegini. Entahlah, tiada siapa yang tahu sebabnya.

Bagi saya yang lahir dan membesar di kampung ini, gelap seumpama itu biasa. Kalau pun elektrik terputus bekalannya, tak ada pula anak-anak muda yang bersorak-sorai bagai pontianak mengilai.

Benar kata seorang sahabat yang menuntut di Mesir kepada saya sebelum berangkat ke Ardul Kinanah ini bahawa duduk di negara Arab ini menjanjikan berjuta kisah lucu dan menarik jika kita jenis yang memerhati.

Kisah malam yang pelik ini akan tersimpan di dalam catatan kembara saya di sini.

* Berehat sebentar dengan menconteng kisah. Penat menghafal sedari tadi. Doakan saya ya sahabat-sahabat.


Jumaat, Mei 29, 2009

Sujud Berlagu Sendu




















Dalam sujud,
aku melagu sendu.
Teresak-esak membahasa sesal,
pada sebuah lautan
penuh berisi dosa dan kealpaan.

Sujudku bernada pilu,
sarat dengan beban
penuh berisi keinsafan,
mengharap belas kasihan
berteman malu dan segan pada Tuhan

Sujudku diiring salju.
Dari alis,
menitis deras ke lantai kehambaan

Sungguh aku hamba
lupa mendongak ke langit,
mencari bukti KeEsaan
lalu terus tunduk dalam kegelapan,
leka diulit kemaksiatan.

Sujud yang kesekian ini
menumpah keinsafan
tulus mulus dari hati.
Sebetulnya dari dasar nurani
bahawa hakikat hamba
perlu kembali sujud pada Rabbnya.

Isnin, Mei 25, 2009

Sebuah Persahabatan
















Sahabat-sahabatku,
semuanya bagai bintang.
Walau tidak selalu nampak,
ia pasti terlihatkan.

Jika bintang hiasi dada langit,
sahabatku penuhi ruang kalbu.

Jika bintang indahkan kelam malam,
sahabatku warnai suram jiwa.

Mereka dan aku
begemerlapan menyatu.
Umpama bintang berjuta,
berkelip-kelip
penuhi langit malam selalu.


* Dah lama tak mencipta puisi, khas untuk semua sahabatku khususnya pelajar IKIP-Yarmouk 06-10. Biar sinaran persahabatan terus mewarnai indahnya hidup.

Jumaat, Mei 15, 2009

Tribute Untuk Guruku Sekaliannya















Sepanjang perjalanan kita menempuh hidup ini, tentu ada insan-insan yang berada di samping kita untuk membimbing, menegur dan mengajar kita tentang kehidupan. Tidak kira siapa kita, insan-insan ini sentiasa ada, samada disedari ( secara formal ) atau tidak kita sedari ( secara tidak formal ).

Khabarkan pada saya siapa yang mengajar kita membaca, siapa mengajar kita bagaimana untuk menulis, siapa yang mengajar kita tentang kehidupan??

Sudah pasti jawapannya ada insan-insan yang dengan penuh tanggungjawab, dedikasi dan amanah yang mengajarkan kita akan semuanya itu. Dan hari ini adalah hari buat insan-insan istimewa itu. Siapa lagi mereka jika bukan guru-guru kita.

Benar, insan yang bergelar guru itulah yang banyak memberi kesan kepada manusia. Kemuliaan jasanya itu tidak mampu untuk dibalas walau denganbertimbun emas, atau ribuan permata bahkan dengan segala isi dunia sekalipun.

Saya punya kenangan hebat bersama guru-guru saya, anda juga pasti ada. Sebut sahaja zaman persekolahan tentu imbauan silam berebut menjengah hamparan memori kira. Insan yang bergelar guru inilah yang membentuk kita menjadi 'kita' seperti sekarang.

Sekolah rendah

Terdetik pula di hati untuk menceritakan kisah silam saya waktu mula-mula menjengahkan kaki di sekolah dahulu.

Darjah satu, saya selalu menangis. Hehe ( nak cover malu ni ).. Entah kenapa, rasa tak berapa seronok, tempat asing, ramai juga orang yang saya tak kenal. Memang kecil-kecil dulu saya ni agak manja. Pantang berpisah dengan mak - anak mak la katakan - hihi. Pernah satu hari ketika ayah saya hantar saya ke sekolah, saya tak mahu turun dari kereta. Ayah ada mensyuarat, jadi perlu cepat. Saya pun kena marahlah, turun dengan keadaan terpaksa.

Lihat sahaja kereta ayah berlalu, saya kejar. Bila ingat semula memang sakit perut ketawa. Namun dari awal kaki saya menjejaki sekolah, ada seorang insan yang dengan penuh sabar selalu memujuk saya, melayan kerenah saya dan selalu buatkan saya tenang. Beliau adalah guru kelas saya waktu itu, Cikgu Nurhaliza ( bukan Siti Nurhaliza tau..). Beliaulah yang banyak memberi motivasi kepada saya waktu itu.

Kemudian muncul guru-guru lain yang banyak menyumbang kepada siapa saya pada hari ini antaranya Cikgu Azaman, guru disiplin yang paling garang. Sesuai dengan fizikalnya yang gagah. Cikgu Pathma Devi, yang menggilap kemahiran Bahasa Inggeris saya, Cikgu Yati, guru Sains kesukaan saya, Cikgu Kamarul Zaman yang banyak membekalkan ilmu kepimpinan pada saya, Ustazah Jamaah, yang mengajar dan mendedahkan saya ilmu tarannum di usia sekecil itu hingga pernah merangkul hadiah di pertandingan tilawah Al-Quran peringkat daerah.

Cikgu Azizan, Cikgu Baharuddin, Cikgu Zakaria Ustaz Muhammad dan ramai lagi. ( maaf guru-guru yang tidak saya sebutkan nama di sini, diri dan jasamu sentiasa diiring dalam doaku ).
Terima kasih buat semua guru-guru di SK Telok Sentang ( 1995-2000) atas jasa kalian pada anak murid kalian ini.


Sekolah Menengah

Saya bersekolah di Sek Men (A) Al-Wosto, sebuah sekolah agama di peringkat menengah. Awal kehadiran saya di sana agak mengecawakan. Rasa tak seronok sebab kena belajar terlalu banyak subjek. Waktu tu rasa terbeban sangat. Bahasa Arab apatah lagi memang cukup teruk. Saya rasa asing. Sebulan dalam keterasingan ketika belajar saya mahu bertukar ke sekolah biasa.

Saya suarakan pada ayah tapi tidak dapat persetujuan. "Fikir dulu, jangan cepat mengalah," kata ayah saya. Namun kedegilan saya membuatkan ayah saya berjumpa dengan guru kelas ketika itu, Uztazah Siti Arma.

Satu pagi saya dipanggil ke pejabat, dia nasihatkan saya agar cekal, kuatkan semangat. Dia bilang beruntung amat sekolah di situ. Bermacam kata-kata bermotivasi diungkapkan pada saya, setiap hari.

Akhirnya saya terkesan, saya teruskan pelajaran saya di situ. Berkat doa dan sokongan dari guru-guru yang lain saya jadi seronok pula. Segalanya jadi mudah.

Alhamdulillah, sepanjang tempoh saya di sana , saya menjadi manusia, bahkan juga saya jadi hamba. Ilmu agama benar-benar buat saya jadi seorang hamba Tuhan.

Terima kasih buat Cikgu Azimi, Ustaz Zainal, Ustaz Jamaluddin, Cikgu Jamaluddin, Ustaz Suhaimi, Ustaz Idris, Ustazah Majidah, Cikgu Sarimah, Cikgu Sue, Teacher Aminah, Ustazah Seri Banun dan ramai lagi......

Terima kasih guru-guru di Al-Wosto. Jasa kalian sungguh bernilai dalam pembentukan sakhsiah, akhlak dan jati diri anak didikmu ini.

Terlalu banyak kenangan bersama kalian terpahat di memori saya. Kalianlah yang membentuk saya menjadi saya yang ini.

Terima kasih Ustaz dan Ustazah semua, terlalu ramai untuk saya sebutkan semuanya.

Tribute untuk guru-guru di Al-Wosto 2001-2005.

Selepas selesai menduduki SPM, saya berhijrah pula ke Pekan, Pahang. Di sana saya belajar di Kulliah Lughah Waddin Sultan Abu Bakar Pekan,Pahang. Walaupun kehadiran saya tidak lama namun guru-guru di sana telah banyak mendidik saya mejadi pelajar Islam yang ada matlamat dan tujuan.

Terima kasih pada guru-guruku di Kulliah -2006


Kolej IKIP

Tanpa sempat menduduki STAM, saya awal-awal undur diri. Bukan kerana mengalah tapi ada tawaran yang lebih baik lagi. Saya berhijrah pula ke Kolej IKIP di Kuantan bagi menyambung pelajaran di peringkat Ijazah.

Di sini ada insan-insan yang menggilap dan membaik-pulih diri saya yang telah dibentuk oleh guru-guru saya sebelum ini. Guru-guru di kolej ini jugalah yang betul-betul membentuk batu asas kepada cara pemikiran saya dan mengajar berbagai softskill yang amat berguna untuk saya gunakan ketika belayar di lautan kehidupan yang amat mencabar ini.

Segala kekurangan ditampung, segala kekosongan diisi dan dipenuhi, segala kesilapan dicuci dan dibasuh habis.

Maka lahirlah saya sebagai saya yang lebih tersedia menggalas lebih banyak amanah dan tanggungjawab buat Agama, Bangsa dan Negara.

Terima kasih buat Ustaz Kamil, Ustaz Fared, Ustaz Mahyuddin, Ustazah Husna, Ustaz Rashimi, Ustaz Azlan, Ustaz Ashraf dan semua pensyarah-pensyarah Kolej IKIP 2006-2008.

Juga tidak lupa kepada guru rohani saya, Tuan Guru Dr. Hj.Jahid Hj.Sidek dan Tuan Haji Rusdi. Ilmu yang dibekalkan ini cukup berkesan menyedarkan saya akan kehidupan saya sebagai pendamba CINTA Maha Pencipta.

Segala pesanan, nasihat dan ilmu menjadi bekalan buat diri dalam perjalanan mencari hakikat cinta sebenar di sisiNya.

Bersempena dengan Hari Guru ini, saya ingin mengucapan jutaan terima kasih kepada semua guru-guru yang pernah mengajar saya samada secara langsung mahupun tidak langsung di atas segala ilmu yang dicurahkan. Terlalu ramai yang menjadi guru pada saya sepanjang kehidupan ini.

Jutaan kemaafan juga dipohon atas segala kesilapan dan kedegilan anak didikmu ini.

Kepada yang membaca tulisan ini, mari kita sama-sama anugerahkan selautan penghargaan kepada semua guru kita.

Pastikan mereka sentiasa berada dalam lafaz doa kita. Tanpa susah payah mereka sebelum ini, kita tidak mampu berdiri segagah ini berdepan kocakan ganas kehidupan.

Terima kasih guru...

Rabu, Mei 13, 2009

Meraikan Kelahiran Adinda

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Bulan Mei merupakan antara yang teristimewa buat saya. Kenapa??

Hihi, istimewa sebab dalam bulan ini ada bermacam-macam hari. Ada hari untuk bonda tercinta, ada hari untuk pekerja, ada hari untuk guru, dan bermacam lagi. Yang paling penting bulan ini adalah bulan kelahiran saya dan juga adik bongsu saya, Syafiqah Hanani.

Tribute kepada bonda yang bersusah-payah melahir dan membesarkan kami sekeluarga. Juga pada abah, tidak kami lupa.

Untuk Adeq, Selamat Hari Lahir yang ke-16. Moga dengan pertambahan usiamu ini semakin mematangkan kamu dalam kehidupan. Doa along moga segala yang diimpikan dan dicita-citakan tercapai.

Moga jadi anak yang solehah ya. Jangan lupa tanggungjawab sebagai seorang hamba pada Maha Pencipta.

Belajarlah dengan segala kemampuan yang dijana dengan doa dan usaha, juga usah lupa pada tawakal yang setia mengiringi segalanya. Moga 2 tahun lagi, kamu pula berjaya menjejakkan kaki di Ardul Kinanah ini, Insyaallah jika rezeki ada memihak. Jika tidak pun mana-mana ceruk bumi Tuhan ini sedia menerima kehadiran bakal pelajar perubatan seperti yang pernah kamu impikan, dengan syarat belajar dengan bersungguh.






















Along dan semua mendoakan segalanya berjaya dicapai.

Kami menanti lahirnya seorang lagi Doktor Pakar yang tebal iman di jiwa dan sarat rasa kehambaan tika merawat para pesakit yang 'luka'. Hihi, bukan luka yang nyata sahaja bahkan juga luka-luka di jiwa.

Moga berjaya.

Dunia dan Akhirat.

Jumaat, Mei 08, 2009

Anugerah Buat Yang Bergelar Bonda




Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Tutt..tutt.. Telefon bimbit saya bergegar menandakan ada mesej yang masuk. Nasib baik awal-awal sudah saya silentkan bunyinya. Mana tidaknya, tengah kelas, malu juga rasanya kalau-kalau handphone berbunyi sedang pensyarah sibuk mengajar di depan dan semua sepi mendengar hujah bernas darinya. Bunyi itu sudah tentu menjadikan diri saya sasaran mata-mata sahabat lain, juga pensyarah.

Habis sahaja kelas, saya buka peti simpanan mesej. Ada satu mesej, dari adik saya di Malaysia. Bunyinya begini ;

" Salam, along. Apa khabar? Sihat? Nak tanya ni, kita nak beli hadiah apa ye untuk mak? Ada cadangan tak??"

Berkerut dahi saya, hadiah apa pula ni. Setahu saya, bukan hari lahir ibu saya.

Tuutt..tuutt..

Satu lagi mesej menyusul, saya buka.

" Ni kan bulan Mei, hadiah untuk Hari Ibu..fikir ye, balas cepat."

Barulah saya teringat. Ya, bulan Mei adalah bulan yang di dalamnya ada satu hari yang menjadi fenomena buat semua jagat manusia di bumi ini. Hari bagi menghargai jasa insan yang banyak bekorban bagi kelangsungan generasi manusia zaman-berzaman. Hari untuk ibu, untuk mama, untuk mak dan bermacam lagi gelaran buat ibu-ibu sekaliannya.

Namun tahukah kita semua asal-usul sambutan hari ibu ini dan bagaimana pula kita sebagai muslim menyambutnya??

Untuk mengetahui serba sedikit berkenaan dengan perayaan ini, saya membuat sedikit kajian. Saya dapat beberapa maklumat dan saya olah serba-sedikit di dalam entry saya kali ini.

Dahulunya, sambutan Hari Ibu ini disambut oleh masyarakat Greek bagi memuja dan meraikan Cybele, iaitu ibu kepada tuhan masyarakat Greek. Mereka menyambutnya 2 kali setahun ketika vernal equinox berlaku.

Begitu juga halnya masyarakat di Rome. Mereka juga meraikan hari disebut sebagai Matronalia sebagai meraikan Juno, ibu kepada beberapa tuhan mereka. Ini merupakan beberapa contoh bahawa hari ibu itu disambut dan diraikan oleh masyarakat purba namun bukan untuk ibu-ibu mereka tapi ianya merupakan sebahagian upacara keagamaan bagi memuja ibu tuhan-tuhan mereka.

Kemudian, pada tahun 1914, Anna Jarvis telah mengkomersialkan sambutan Hari Ibu di peringkat antarabangsa. Asalnya selepas dua tahun kematian ibunya, dia mengadakan satu hari khas untuk memperingati kematian ibunya. Dari situ timbullah idea untuk menjadikan satu hari yang khusus bagi meraikan insan yang bergelar ibu seperti yang ada sekarang ini. Maka lahirlah Hari Ibu, khas buat menghargai jasa dan pengorbanan setiap ibu di atas muka bumi ini.

Meraikan ibu tercinta


























Islam awal-awal lagi telah mewajibkan kita, sebagai anak-anak menghargai, menghormati dan patuh kepada kedua ibubapa. Bukan seperti bangsa-bangsa tamadun dahulu yang meraikan ibu tuhan-tuhan karut mereka, juga bukan seperti yang disambut oleh masyrakat bukan Islam sekarang ini.

Islam tidak meletakkan hari apa atau bila masanya perlu untuk menghargai sumbangan ibu kita. Bahkan setiap hari adalah hari untuk ibu, selama mana mereka masih berada di sisi kita semua. Pengorbanan seorang ibu itu terlalu tinggi dan saya yakin, jika setiap hari kita peruntukkan untuk menghargai jasa-jasa mereka pun belum tentu dapat di balas dengan cukup setimpal.

Terlalu banyak ayat-ayat di dalam Al-Quran yang menerangkan betapa pentingnya menghargai dan berbuat baik kepada kedua ibubapa. Hadis juga banyak mengambarkan betapa ibu itu khususnya perlu diutamakan, ditaati dan dihargai.

Baik, cuba kita renungkan firman Allah Taala yang bermaksud :

" Dan Kami mewajiban manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengalami kesusahan demi kesusahan ( dari awal mengandung hingga akhir penyusuan ) dan tempoh menceraikan susunya dalam masa 2 tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan ( ingatlah ), kepada Akulah jua tempat kembali ( untuk menerima balasan) - Luqman ; 14

Cuba perhatikan dan fikirkan firman Allah SWT di atas. Kita diwajibkan berbuat baik kepada kedua ibubapa. Pada ibu sudah tentu amat-amat ditekankan. Mengapa?

Sudah terang lagi disuluh-suluh bukan??

Ibu kita telah bersusah payah mengandungkan kita, melahirkan dan membesarkan kita. Perbuatan bagi menghargai jasa dan pengorbanan ibu telah Allah tekankan di dalam firmanNya ini. Meraikan ibu adalah juga satu bentuk kesyukuran kepada Allah dan ibu yang telah melahirkan kita.

Kemuliaan seorang ibu itu terbukti dalam sepotong hadis yang bermaksud :

" Daripada Mu'awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata : Wahai Rasulullah, aku nak berperang sekarang, berilah aku nasihat wahai Tuan. Nabi SAW bertanya : " Adakah kamu mempunyai ibu?..Dia menjawab: " Ya, masih. Baginda SAW bersabda : " Uruslah dia, sesungguhnya syurga itu terletak di bawah kakinya." ( Riwayat Nasai, Ahmad dan Ibnu Majah)

Seruan jihad pun boleh dikecualikan dahulu bagi memberi keutamaan menjaga ibu yang sakit dan uzur. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW mendidik umatnya berbakti dan meraikan seorang ibu. Syurga berada di bawah telapak kaki ibu. Bagaimana mungkin kita melupakan jasa seorang ibu sehingga digambarkan kunci ke syurga Allah taala itu berada di bawah telapak kaki mereka.

Rasulullah juga menerangkan bahawa ibu itu duduknya di tangga pertama dalam senarai orang yang seharusnya kita berbakti kepadanya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud :

" Dari Abu Hurairah RA ia berkata : " Datang seseorang kepada Rasulullah SAW dan berkata : Wahai Rasulullah SAW kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali? Nabi SAW menjawab : Ibumu. Orang tersebut kembali bertanya : Kemudian siapa lagi? Rasulullah SAW menjawab : Ibumu! Ia bertanya lagi : Kemudian siapa lagi? Rasulullah SAW menjawab : Ibumu! Orang itu bertanya kembali : Kemudian siapa lagi?? Rasulullah SAW menjawab : Bapamu. " ( Hadis Riwayat Bukhari (Al-Ftah 10/40) No. 5971, Muslim 2548).


Ibu adalah orang pertama yang harus kita berbakti kepadanya. Jadi sudah tentulah selayaknya mereka diraikan oleh kita sebagai seorang anak yang lahir dari rahimnya. Benar mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan namun sebagai manusia, lumrahnya suka dihargai dan diraikan.

Sudah saya huraikan peri pentingnya menghargai jasa ibu itu yang boleh kita tamsilkan atau zahirkan dalam bentuk sambutan yang membuatkan mereka berasa gembira dan senang terhadap kita.Tapi ingat, bukan sambutan yang mengikut-ikut perbuatan orang kufar yang tidak berlandaskan Quran dan Sunnah. Sambut la Hari Ibu buat ibumu, bondamu, ummi kamu, bonda mahupun apa-apa gelaran pun pada insan yang satu itu.

Tidak perlu tunggu hari ibu untuk meraikan jasa yang tidak mampu kau balas.

Jadilah anak-anak yang soleh, kerana kesolehan dan ketaatan kita sebagai anak sudah tentu menjadi hadiah buat ibu kita sepanjang harinya. Doakan kesejahteraan mereka. Kepada mereka yang ibu mereka telah awal pergi menghadap Ilahi, lapangkanlah hatimu, doamu sehari-harian itu tentu sahaja menjadi hadiah beharga buat mereka.

Doa anak yang soleh itu pasti membahagiankan roh mereka di sana, Insyaallah. Itu sahaja yang menjadi harta mereka.

Buat Mak di kampung halaman, nantikan hadiah dari anak-anak kesayanganmu. Doaku sentiasa hadir di sisimu. Bulan ini adalah bulan penghargaan kepada ibu saya kerana bulan ini adalah bulan kelahiran saya dan adik bongsu saya. Jadi patut saya ucapan SELAMAT HARI IBU bagi mensyukuri dan menghargai kelahiran kami ke dunia ini dan di atas jerih payah mak membesar dan mendidik kami adik beradik. Terima kasih mak.

Salam Hari Ibu dari anakmu dirantauan..

Ingatlah bahawa keredhaan Allah itu bergantung kepada keredhaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah itu juga bergantung kepada kemurkaan kedua ibu bapa.

Jom pakat jadi anak soleh solehah, sebagai hadiah yang berterusan tanpa putus.

Syari3 Jamiah, Irbid, Jordan ; 3.00 am.