Sabtu, Oktober 31, 2009

Mula Berlari!



Berlari adalah satu perbuatan yang membuatkan kita mengerah tenaga untuk menggerakkan kaki kita dengan kelajuan yang tertentu. Berbeza dengan berjalan, berlari memerlukan kesungguhan, tenaga dan stamina yang tinggi.

Ada orang mampu berlari laju dalam jangka masa yang panjang. Ada juga yang hanya mampu berlari pantas di awal langkah lariannya kemudian kecundang, semput di tengah jalan. Larian setiap orang bergantung kepada banyak mana stamina dan kesungguhan yang mereka miliki.

Ia juga bergantung kepada mind set seseorang. Ada orang sebenarnya tidak mampu pun untuk berlari tetapi kerana sebab-sebab tertentu menyebabkan dia boleh berlari bahkan lebih pantas daripada orang yang sememangnya boleh berlari. Apa yang menyebabkan dia boleh berlari adalah kerana mindanya telah diset untuk dia berlari sekuat hati.

Contohnya seorang lelaki yang kakinya cedera akibat kemalangan. Dalam perjalanan ke rumah dia dikejar oleh seekor anjing liar. Akibat takut yang teramat dia telah cuba untuk lari sekuat hati. Tiada apa dalam fikirannya melainkan lari dan lari dan lari untuk selamatkan diri dari digigit anjing tersebut ( secara sedar atau tidak mindanya telah diset untuk dia lari menyelamatkan diri ). Kelajuannya amat pantas, kakinya yang sakit pun bagai sudah sembuh. Lihat bagaimana kelajuan dan larian itu sendiri dimulai dengan mind setting yang betul.

Baiklah, kali ini saya bukan mahu bercakap soal sukan ataupun larian. Saya hanya ingin berbicara soal berlari secara maknanya sahaja, bukan perbuatan berlari itu sendiri.

Di awal tulisan tadi saya telah menyentuh apa itu aspek larian yang kita fahami secara makna dan perbuatannya. Semua orang tahu untuk berlari bukan? Adakah berlari itu satu perbuatan yang sukar?? Atau cukup mudah??

Jawapannya, boleh jadi susah dan boleh jadi mudah, bergantung kepada individu. Seperti yang saya coretkan di awal tadi, berlari itu perlukan kesungguhan, perlukan semangat, perlukan stamina dan perlukan mind setting yang betul.

Saya hanya menjadikan larian itu sebagai satu analogi. Dalam menuntut ilmu, kita juga perlu berlari. Berlari untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu, berlari untuk mengutip kefahaman dan berlari untuk mengumpul kea'rifan.

Pencarian ilmu itu sukar, perlukan kesungguhan, perlukan stamina yang tinggi, perlukan semangat juga perlukan perancangan yang betul. Untuk kita jadi orang yang berilmu, kita perlu berlari dalam kerangka untuk menguasai keilmuan itu.

Ilmu itu satu nikmat dan kenikmatan ilmu itu cukup tinggi nilainya tidak setara dengan kenikmatan dunia yang lain. Rugilah kita jika tidak dapat betul-betul mengutip ilmu lebih-lebih lagi jika kita berada di atas trek ini sebagai seorang pelajar ataupun mahasiswa. Tak hairan jika Syeikh Muhammad bin Al-Hasan As- Syaibani ketika dapat menyelesaikan permasalahan ilmiah berkata :

" Dapatkah anak-anak raja merasai kenikmatan ini?"

Penulis buku Abjad Al-Ulum juga ada berkata :

" Ketahuilah bahawa kemuliaan sesuatu boleh jadi kerana memang sesuatu itu mulia atau ada perkara yang membuatkan ia menjadi mulia. Dan Ilmu mempunyai dua kemuliaan tersebut. Selain merupakan suatu kenikmatan, ilmu juga boleh memberi kenikmatan kepada orang lain"
Jadi, tidak molek kiranya dalam perjalanan kita meraih kenikmatan yang cukup besar ini, kita hanya berjalan dan bersuka-suka. Sayang jika kita tidak mampu mengutip sebanyak mungkin ilmu di sepanjang trek kehidupan ini.

Berlari dalam trek sebagai mahasiswa juga perlukan aspek-aspek penting larian serupa perbuatan berlari itu.

Belajar perlukan kesungguhan. Mahasiswa yang tidak bersungguh dalam menuntut ilmu adalah mahasiswa pembelot. Dia telah menipu agamanya, bangsa, keluarga dan juga dirinya sendiri. Tidak dapat tidak kita sebagai mahasiswa perlu bersungguh-sungguh dalam trek keilmuan ini. Bagaimana??

Bersungguh menghadiri kelas, mengulang kaji pelajaran dan membaca sebanyak mungkin. Bukan hanya subjek berkaitan dengan kulliah sahaja malahan subjek-subjek lain khususnya yang berkaitan isu semasa. Kita perlu bersungguh untuk menjadi mahasiswa bernilai tinggi sebagai produk terbaik buat kemandirian agama, bangsa dan negara.

Cuba semak dan hayati kisah-kisah ulama' agung dunia Islam. Bagaimana mereka boleh mencapai kesungguhan yang tertinggi melebihi kemampuan yang ada pada seorang manusia. Saya cukup terharu bila mengingati kisah ulama'-ulama' silam dan kesungguhan mereka dalam menimba ilmu.

Contohnya di dalam kitab Tazkirat al-Huffaz, Imam al-Dzahabi bercerita tentang riwayat hidup Ibn Abu Thahir al-Maqdisi. Ibn Thahir bercerita :

" Saat menuntut ilmu, aku pernah kencing berdarah sebanyak dua kali. Pertama di Baghdad dan kedua di Makkah. Semasa aku berjalan kaki tanpa memakai kasut, cuaca pada hari itu sangatlah panas. Tiba-tiba, aku ditimpa penyakit itu, Dalam menuntut hadis, aku belum pernah menunggang kenderaan walau hanya sekali. Jadi, buku-buku yang aku miliki, semuanya aku pikul di atas pundakku. Aku tak pernah mengeluh dan meminta-minta kepada orang lain dan aku hidup dengan seadanya."
Bagaimana hendak dibanding dengan kita? Kesungguhan beliau menuntut ilmu sungguh menakjubkan. Kita yang dikelilingi aircond, kipas dan sebagainya, ada kereta, motor mahupun basikal dengan memegang pendrive pun masih tidak boleh untuk memberi kesungguhan yang optima untuk menuntut ilmu.

Belajar juga perlukan stamina. Bagaimana kita mahu belajar dengan baik jika hanya 5 minit menatap aksara-aksara di dalam satu muka surat buku sudah terlelap. Jadi perlu kita bentuk stamina yang tinggi ke arah membuat pecutan ke arah kejayaan.

Dan kedua-dua perkara di atas itu mustahil untuk dilakukan jika kita silap merangsang minda ke arah itu. Mind set perlu dibetulkan.

Bagaimana?

Ingat bahawa penguasaan ilmu itu sesuatu yang penting dan tidak boleh di ambil ringan. Dalam al-Quran sendiri terdapat banyak ayat yang menceritakan akan keperluan dan keutamaan orang yang menuntut ilmu.

Dalam surah Al-mujadalah ayat 11, Allah SWT berfirman maksudnya :

" ..Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat.."
Di dalam surah Muhammad, ayat 14 pula, Allah berfirman bermaksud :

" Dengan demikian, adakah orang-orang ( yang beriman dan taat) yang keadaanya sentiasa berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhannya : sama seperti orang-orang ( yang ingkar - derhaka ) yang telah diperhiaskan kepadanya ( oleh syaitan ) akan kejahatan amalnya ( sehingga dipandangnya baik ), dan yang telah menurut hawa nafsunya? ( sudah tentu tidak sama )!
Rasulullah SAW juga ada bersabda dalam beberapa hadis tentang peri pentingnya jalan yang kita lalui untuk menuntut ilmu. Antaranya ;

Daripada Anas ( r.a) beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : " Barangsiapa keluar rumah untuk menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah sampai ia kembali pulang ke rumahnya."
Saya rasa, dalil-dalil ini sudah cukup untuk membina satu gagasan pemikiran yang dapat melahirkan kesungguhan dan stamina untuk 'berlari' di atas trek ke arah melahirkan mahasiswa yang betul-betul berilmu, bukan di atas kertas sahaja tapi mampu melahirkan keilmuan itu di tengah masyarakat. Akhirnya, mahasiswa dapat merasai kenikmatan ilmu itu dan masyarakat juga dapat merasai kenikmatan pancaran keilmuan daripada mahasiswa yang benar-benar telah berlari dalam rangka membina keupayaan intelektualnya.

Kesimpulannya, rancanglah untuk mula berlari dari sekarang, agar kita tidak rasa kerugian setelah sampai ke garisan akhir trek ini. Berlari untuk menjana keintelektualan sebenar seorang penuntut ilmu.

Pesanan saya buat diri saya sendiri dan rakan-rakan seperjuangan, khususnya rakan-rakan satu batch, mari kita berlari di atas trek ini!

Kita hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi sebelum bergelar seorang graduan. Cukup rugi andai kita sampai di hujung trek ini dengan hanya mendapat hadiah saguhati sahaja dan lebih malang mendapat nombor tercorot. Jadilah seorang juara yang menjulang pingat di akhirnya nanti.

Saya cabar kamu semua berlumba-lari untuk merebut pingat emas intelektual sejati!

Sila ke garisan. Sedia...

Dan wisel akan ditiupkan sebaik anda mengakhiri bacaan ini.

Tiada ulasan: