Sabtu, November 15, 2008

' The Red Rose City '

Alhamdulillah, perjalanan kembara saya diserikan semalam dengan lawatan ke sebuah kota yang memang sudah lama saya impikan untuk menatapnya. Bukan kerana mengagumi kehebatan wujudnya tetapi ingin melihat dan mengambil pengajaran dari kisahnya.

Kota yang saya maksudkan adalah kota Petra atau juga dikenali sebagai ' The Red Rose City ' yang terletak kira-kira 250 km dari Bandar Amman. Perjalanan saya dan rakan-rakan dari Irbid mengambil masa sekitar 4 jam lebih untuk kami sampai ke Wadi Ar-Rum di mana letaknya kota silam tersebut.

Perjalanan kami dari Irbid bermula pada jam 12.30 malam dan sampai di penempatan penduduk berhampiran kota Petra kira-kira pada jam 4.30 pagi. Seusai solat subuh dan bersarapan kami bergerak ke ' Visitor's Center ' untuk mendapatkan tiket dan bergerak ke pintu masuk Kota Petra.



Sampai-sampai sahaja di dalam kota, saya berasa sungguh terkejut melihat seni bina yang ditonjolkan.

Amat mengagumkan tapi sayang kaum yang membina kota ini dilaknat Allah SWT kerana keangkuhan kepakaran yang mereka miliki, mereka menolak seruan dakwah yang disampaikan seorang Rasul kepada mereka hinggakan sanggup hendak membunuhnya.



Sejarah Ringkas Petra
Ahli sejarah dan arkeologi berpendapat bahawa kota ini dibina oleh kaum Nabatean yang kreatif dan produktif dan tinggal di selatan Jordan kira-kira 2000 tahun yang lalu. Mereka menguasai jalan perdagangan ketika itu.

Hasilnya kaum ini berjaya mendirikan sebuah kerajaan yang hebat serta menguasai sebahagian besar Tanah Arab. Kemajuan kota ini mendatangkan iri pada kerajaan Rom ketika itu yang tercabar dengan kemajuan kerajaan Nabatean. Akhirnya rom menyerang Petra pada tahun 106 masihi dan berjaya mengambil alih kota tersebut.

Selepas Rom mengalih tumpuan perdagangan ke Syria ketika itu, keunggulan Petra hilang ditelan zaman dan tidak lagi dikenali.

Selama 300 tahun kota ini tersembunyi dari pengetahuan dunia hinggalah pada tahun 1812 seorang pengembara dan orieantalis Switzerland bernama Johann Ludwig Burchardt menemui kembali kota ini






.






Kaum Tsamud

Walau bagaimanapun, banyak pendapat mengatakan kota ini sebenarnya dibina oleh Kaum Tsamud, kaum Nabi Allah Salleh as..

Kaum Nabatean telah menduduki kota ini selepas zaman yang panjang berlalu dan bukan mereka yang mengukir bukit-bukit di Petra ini.

Tambahan lagi, beberapa pengkaji Barat menyamakan Petra dengan Al-Hijr yang terletak di Madain Salleh, Arab Saudi ( dipercayai al-Hijr adalah tempat Nabi Salleh dan kaumnya menetap).

Keadaan muka bumi, bentuk batuan yang dipahat adalah sama di antara kedua-dua kawasan. Tambahan lagi jarak di antara kedua-dua kawasan adalah berdekatan.

Mendaki Puncak

Perjalanan di kota ini akan lebih lengkap jika dapat sampai ke puncak sebuah bukit yang amat tinggi letaknya. Di atas bukit ini berdirinya binaan yang paling besar dikenali sebagai Al-Deir ( semacam rumah ibadat ) . Anda dapat melihat pemandangan Wadi Rum yang cantik lagi mempesonakan dari puncak bukit ini. Namun untuk sampai ke puncak anda harus mendaki ratusan anak tangga dan ianya amat memenatkan.

Pendakian saya bukanlah untuk melihat binaan tersebut tapi ingin melihat ciptaan Allah yang maha Agung dari puncak sebuah bukit yang tinggi. Oleh sebab yang utama ini saya gagahkan juga diri.




Melihat suasana dari puncak bukit memang mendamaikan hati. Kami sempat menjamu selera di atas sambil merenung ke dasar sejarah.

Berfikir dan merenung tentang keagungan sebuah bangsa yang dilaknat dan diazab atas keingkaran mereka tidak mahu beriman kepada Allah Taala. Semoga kita semua dijauhkan dari azab Allah SWT.

Menunggang

Apa yang paling menyeronokkan saya adalah pengalaman menunggang tiga jenis haiwan tunggangan kerana sudah penat berjalan.





Saya sempat menuggang kuda, keldai dan unta. Terdetik persoalan di hati, bagaimanalah para pedagang Arab menggunakan haiwan-haiwan ini untuk berdagang. Sakit-sakit badan menunggang haiwan ni rupanya.

Waktu Pulang

Kami bergerak pulang ke Irbid pada jam 3.30 petang selepas solat jama' qasar di masjid yang terletak di Wadi Rum. Saya dan rakan-rakan kepenatan namun hati pasti jauh kepuasan. Penerokaan yang mengambil masa hampir 6 jam tentu sahaja memenatkan seluruh anggota.

Alhamdulillah, kembara kali ini menyeronokkan dan memberi berjuta erti pada saya. Ini cuma permulaan kepada perjalanan kembara saya, Inyaallah, semoga Allah permudahkan.

Sebagai seorang yang meminati sejarah ketamadunan manusia, saya amat bersyukur dapat melihat kota ini dengan lebih dekat.

Apa yang lebih utama dalam kembara saya kali ini ialah saya mendapat pengajaran bahawa manusia itu hanya akan menjadi hebat jika kehebatan itu disandarkan kepada keagungan dan keimanan kepada Allah SWT, Pemerintah Kerajaan Alam dan seluruhnya..

Mari kita sama-sama renungkan firman Allah taala dalam surah Al-Mulk, 1 :

" Mahasuci Allah yang menguasai segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu ."

Untuk cerita selanjutnya tentang kaum Tsamud Insyaallah saya akan lanjutkan pada ' post ' yang akan datang, semoga dipermudahkan.


Rujukan:

1) Al-Quran Al-Karim
2) http://www.visitjordan.com/Default.aspx?Tabid=63
3) http://www.bangsamusnah.com/thamud2.html

Tiada ulasan: