Jumaat, November 07, 2008

Pemuda Pemudi dan Daqyanus Moden


Bismillahirrahmanirrahim....

"Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara".

Begitulah ungkapan yang tidak asing lagi di halwa telinga setiap dari kita. Betapa setiap anak muda samada lelaki mahupun perempuan itu amat penting pada sesebuah bangsa, negara dan yang terutama sudah tentulah pada agama. Pemuda-pemudi adalah golongan yang menjadi tonggak harapan sesebuah kelompok masyarakat.

Berbalik kepada tajuk yang saya utarakan kali ini, pasti semua tertanya-tanya apa itu Daqyanus. Adakah ia sebuah tempat? Ataupun satu istilah? Atau mungkin satu nama??


Maharaja Daqyanus dan 7 Pemuda

Daqyanus atau dikenali juga sebagai Decius adalah nama seorang Maharaja Rom yang menguasai Amman dan memerintah sekitar tahun 249-251 masihi. Maharaja Daqyanus dikenali sebagai seorang maharaja yang amat kejam dan tidak suka rakyatnya menyembah tuhan selain yang disembah olehnya. Mengikut beberapa pandangan, di zaman inilah berlakunya peristiwa Ashabul Kahfi dimana 7 orang pemuda telah bangun menentang kezaliman maharaja tersebut dan mempertahankan akidah tauhid yang dipegang mereka. Mereka diburu dan dipaksa untuk tunduk kepada arahan maharaja Daqyanus. Akhirnya bagi mempertahankan akidah suci yang dipegang, mereka lari bersembunyi di dalam sebuah gua. Lari dari kezaliman..dari kekufuran..dari penindasan kepada Cinta Agung milik Tuhan Rabbul Alamin. Kemudian mereka ditidurkan selama 309 tahun oleh Allah SWT. Firman Allah taala di dalam kitabNya yang agung:

(Ingatlah) Ketika pemuda-pemuda itu berlindung ke dalam gua kemudian mereka berdoa, " Ya Tuhan Kami. Berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMU dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami."
Surah Al-Kahfi, ayat 10.

Pemuda-pemudi dan Daqyanus Moden

Saya bukan mahu menceritakan tentang Ashabul Kahfi saat ini tetapi saya ingin mengajak semua berfikir sejenak dan merenung pemuda-pemudi pada hari ini, masa ini dan era ini.

Beranikah para pemuda/di sekarang sekaliannya bertindak seperti pemuda-pemuda dalam kisah Ashabul Kahfi?? Bangun menentang kemungkaran, kezaliman, kejahatan, kesesatan?? Lari dari segala perkara yang menyesakkan Iman kepada sebuah cinta Agung lahir dari Tauhid kepada Allah yang ditanam di dalam jiwa??

Daqyanus moden yang saya maksudkan di sini adalah satu perumpamaan kepada segala propaganda yang ditiup oleh kaum kafir bagi memusnahkan Islam. Bagaimana?? Sudah tentu dengan memusnahkan jatidiri, iman dan pemikiran anak-anak muda bangsa dan agama. Daqyanus moden ini boleh juga diumpamakan kuasa-kuasa besar dunia sekarang yang bertindak sesuka hati dan menekan negara-negara lain; Islam terutamanya untuk menuruti segala kehendak dan tingkah laku mereka.

Mereka taburkan kepada kita, pemuda-pemudi segala macam ideologi yang bertentangan dengan yang sepatutnya kita miliki, yang sepatutnya kita ketahui. Mereka hidang kita dengan keasyikan hidonisme yang mengusik halwa telinga, menjadikan kita alpa pada perintah dan suruhannya. Mereka juga hidang dengan ideologi ekonomi yang menentang fitrah manusia yang diciptakan Allah SWT bagi memelihara keadilan dan kesaksamaan dalam agihan ekonomi ( Kapitalisme, Komunisme/Sosialisme ). Mereka juga suapkan kita dengan falsafah-falsafah serta teori yang tidak tahu hujung pangkalnya dan bermacam-macam lagi dengan tujuan memusnah serta menghancurkan kekuatan para pemuda- pemudi harapan Agama Islam, Negara Islam dan Masyaratkat Islam. Maka terpedayalah pemuda pemudi dengan kenikmatan dan keseronokan yang sementara..

Mereka hanyut dengan irama muzik yang merdu, suara gemersik penyanyi yang mendayu-dayu. Mereka alpa dengan siaran media elektronik yang memaparkan susuk anggun menaik nafsu, dengan cerita-cerita tahyul dan sebagainya. Mereka terpesona dengan kekayaan yang diperoleh hasil riba, judi dan sebagainya. Mereka lupa keutamaan yang perlu mereka laksanakan....hilanglah pemuda pemudi unggul seperti para sahabat yang hidup hanya berserah diri kepada Allah SWT.

Menurut Syeikh Yusuf A-Qardawi, tanda-tanda pemuda pemudi Islam yang unggul itu adalah suatu generasi yang mempunyai sifat-sifat yang dinyatakan dengan jelas bagi sesiapa yang membaca Al-Quran dan mempelajari Sunnah Nabawiyyah. Ciri-ciri unit tersebut adalah:


1) Generasi yang percaya kepada realiti dan ilmu.
2) Generasi yang beramal dan membina jemaah.

3) Generasi Rabbani dan ikhlas.

4) Generasi yang bernasbkan Islam.
5) Generasi dakwah dan jihad.
6) Generasi dagang dan hidup bersama orang ramai
7) Generasi yang gagah dan agung.
8) Generasi yang seimbang dan sderhana.


Tersenaraikah kita dalam rantaian ciri-ciri tersebut?? Apa yang perlu kita lakukan??


Langkah-langkah bagi meningkatkan kecemerlangan pemuda pemudi Islam bagi mencapai penguasaan Islamterhadap diri, keluarga dan negara :

1. Kenal pasti tahap kemampuan yang ada.
2. Tanamkan rasa percaya kepada diri sendiri.
3. Sediakan diri untuk jadi yang terbaik.
4. Ambil pelajaran dari kesilapan yang telah dilakukan.
5. Belajar menerima teguran yang membina dan hiraukan kritikan yang remeh.
6. Perakui kejayaan anda.
7. Tetap merendah diri.
8. Terus memperluas pengetahuan dan pemikiran yang ada.
9. Bersyukur kepada Allah di atas apa yang dikurniakanNya.

Sanggupkah kita bangun menentang segala macam ideologi dan perkara-perkara yang disuap kepada kita ini?? Sanggupkah kita lari dari segala keseronokan dan kenikmatan yang kita ada ini?? Sanggupkah kita tinggalkan segala hiburan yang melalaikan hati dan perasaan?? Kita tinggalkan segala-galanya?? Hanya dengan tujuan menuju ke arah cintaNya?? Membina kembali ketamadunan Islam yang telah tumbang..

Bina kembali kegemilangan ilmuan-ilmuan Islam yang mempelopori segala kemajuan dunia yang kita kecapi sekarang ini.

Ayuh semua..para pemuda-pemudi, mahasiswa-mahasiswi..

Kita tanamkan azam di akar hati, kita tunjang dengan tekad dalam jiwa...kita bangun dengan segala kekuatan yang ada, UNTUK KITA MERUBAH KEADAAN DUNIA!!!

Presiden pertama Indonesia, Sukarno dalam ucapannya pernah mengungkapkan kata-kata keramat berbunyi:

" Berikan aku sepuluh pemuda, nescaya akan ku goncang dunia."

Kawan-kawan.. Semoga terinspirasi dengan artikel ini.. Selamat mengubah dunia!!

12:02 am, 8.11.2008 - Syari' Jamiah..


Tiada ulasan: