Isnin, November 17, 2008

Bersyukur....





" Aduh, penatlah hari ni. Cuaca pun sejuk. Malaslah pergi program Introspeksi Iman malam ni."

" Mana boleh macam tu. Kita kena kuat, ini baru sikit dugaan. Setakat penat ke kelas, cuaca sejuk pun dah nak mengalah. Rugilah kalau tak pergi. Sekurang-kurangnya dapat juga menjernihkan hati yang berdebu ni."

" Macamlah esok tak boleh pergi. Laptop pun tak
'off' tadi, risaulah."

" Hari ni lain, esok lain. Sebelum-sebelum ni pun, tak
' off ' laptop juga kalau pergi masjid, tak pernah nak risau pun..."

" Hmmmm..."

Itulah antara monolog dalaman saya sewaktu menapak pulang dari masjid seusai solat Isyak. Sisi gelap cuba pengaruhi sisi cerah dalam diri. Memang diri manusia ni perlahan untuk bertindak ke arah kebaikan bukan?? Ada sahaja bisikan-bisikan halus menerpa dalam jiwa.

Akhirnya saya biarkan sahaja dua kaki ini melangkah. Arah mana yang akan dituju saya akan ikut.

Hasilnya alhamdulillah, ke arah kebaikan juga yang ditelusuri. Maka berjalan pergilah saya menuju ke program tersebut bagi mendengar tazkirah ringkas yang akan disampaikan rakan-rakan.

Syukur alhamdulillah saya dipilih oleh Allah SWT untuk berada di dalam majlis ilmu. Majlis yang dinaungi malaikat-malaikatNya, majlis yang dipenuhi ayat-ayat dan zikir-zikir memujiNya. Alhamdulillah..

Syukur....

Rahsia

Namun disebalik kepayahan diri menuju acara mendidik hati ini, tersimpan satu rahsia yang tidak terjangkakan.

" Ya Allah,
'dah' lama aku mengidam 'benda' dalam plastik tu..."

" Berapa satu?"

Terkejut seorang sahabat disapa soalan..

" JD 1.50 je..nak ke??" Balas sahabat saya nan seorang tu, pelajar jurusan perubatan di salah sebuah universiti di Irbid ini.

Alhamdulillah...Syukur kehadrat Allah SWT. Nasi lemak yang saya idam-idamkan sebulan yang lalu akhirnya ditemui juga. Punyalah susah nak merasa walau sesudu di rantauan ni.. Teringat saya satu ketika, seorang sahabat menulis di status
' YM' nya yang dia sedang menikmati nasi lemak bersama rakan-rakan lain. Namun sayang, kediamannya agak jauh dari teratak saya ini. Walau apa pun, akhirnya tercapai juga hasrat hati.

Syukur....


Bersalah

Sedang asyik menikmati hidangan nasi lemak yang dirindui, tiba-tiba hati saya diusik sebuah pertanyaan yang menggetar nubari.

" Sudah berapa banyak nikmat yang Allah kurniakan pada aku ni ye?? Berapa banyak aku bersyukur dengan nikmat yang dikurnia ni?? Dicampur tolak dosa, maksiat dan kebaikan.. Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosa dan kesalahan hambaMU yang kerdil ini. "

Kalam hati berbicara dalam sepi. Tawar rasanya nasi lemak yang sedang dikunyah.

Mari sama-sama kita renung firman Allah Taala di dalam surah Ar-Rahman ayat 29 dan 30 yang bermaksud :

" Setiap makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap mana Ia di dalam kesibukan ( mencipta, menghidupkan, mematikan, memelihara, memberi rezeki dan lain-lain). " - 29

" Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang hendak kamu dustakan? " - 30.


Kawan-kawan semua, marilah kita sama-sama menambah rasa syukur kepada Allah SWT atas segala rezeki, nikmat dan kebaikan yang dikurnia kepada kita. Janganlah kita merasa diri ini sentiasa memiliki segalanya. Sedarlah semua bahawa Allah jualah Pemilik segala-segalanya.

Bersyukur.....



Tiada ulasan: