Selasa, Februari 17, 2009

Pelajaran Daripada Tudung Botol














Semalam hari hujan. Di Jordan ni, kalau hujan turun cuaca boleh berubah menjadi sangat sejuk. Terketar-ketar saya membuka pintu seusai solat maghrib di masjid berhampiran. Semput juga dada selepas berlari sakan untuk mengelak dari basah kuyup.

Masuk ke dalam rumah, selepas salin pakaian maka saya pun duduk-duduk sebentar membelek beberapa buah buku di atas meja. Memang sudah hobi saya. Tengok buku pun boleh jadi kenyang. Tapi, tiba-tiba tekak pula terasa mahu minum sesuatu.

Terasa nak minum jus oren. Saya pergi ke dapur tapi tak jumpa. Hanya tinggal botol kosong. Pelik juga, kenapa la teringin sangat nak minum jus oren dalam cuaca sejuk-sejuk ni. Lebih baik minum teh panas, boleh juga panas-panaskan badan. Tapi keinginan yang semacam di tekak ini menjalar hingga ke otak dan anggota badan saya hingga menggerakkan saya turun ke kedai di tingkat bawah bangunan rumah ini untuk membeli sebotol jus oren.

Fuh, berjaya juga saya dapatkan jus oren ni. Dengan penuh rasa gembira, saya memulas tudung botol jus tersebut. Ketat.

Kali kedua saya kuatkan lagi tenaga di tangan. Yah! Tapi, hanya tangan yang berpusing. Kali ketiga saya ambil kain untuk alas tangan saya. Saya pulas sekuat hati.

Masih gagal. Tekak sudah tidak sabar-sabar menunggu. Jus oren ini, wajib saya teguk sampai habis! Hati saya bersuara sendirian. Tak sabar-sabar. Kali keempat, kelima, keenam hinggalah keberapa kali selepas itu saya masih dengan cara dan kaedah yang sama. Terus memulas tutup botol jus oren itu.

Akhirnya saya letak botol jus itu di depan mata. Saya perhatikan betul-betul. Ikut naluri negatif dari kata-kata hati mahu saja saya hempas botol itu ke lantai. Biar habis berkecai seiring kehendak yang tidak dapat dipenuhi.

Tapi saya ikut naluri positif dari dasar hati. Saya nak teguk jus tu betul-betul hingga ke titisan yang terakhir maka saya perlu terus mencuba. Tapi bagaimana??

Haa, ada pisau di sisi sinki dapur rumah saya. Saya ambil dan terus menghiris ikatan plastik di bawah tudung botol jus itu. Selesai. Bismillahirrahmanirrahim, jus pun diteguk

Betapa nikmatnya kemanisan jus oren itu saya rasakan. Memang hingga ke titisan yang terakhir. Puas. Botol saya letakkan sekali lagi di hadapan mata. Saya perhatikan. Malam ini Allah mengajar saya sesuatu. Habis jus diteguk baru saya terasa hikmah disebalik semuanya.
Saya senaraikan :

1) Usaha yang berterusan .
2) Tidak berputus asa.
3) Perlu lakukan sesuatu untuk berubah - “Bahawasanya Allah tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasibnya sendiri”. Surah AI-Ra’ad, ayat 11
4) Sentiasa berfikiran kreatif dan kritis.
5) Berbaik sangka dengan kepayahan yang datang kerana diakhirnya pasti ada kemanisan.
6) Setiap usaha yang dilakukan itu Allah janjikan dengan kejayaan.
7) Sentiasa bersabar dalam menghadapi kesukaran

Maka kawan-kawan semua, teruskan berusaha! Jangan mudah berputus asa.

Ingatlah, semakin sukar cabaran dan kepayahan yang kita hadapi semakin besar kejayaan dan kemanisan yang bakal kita nikmati, Insyaallah. Itu hipotesis sebuah kehidupan.

Moga anda semua berjaya!

Insyaallah..



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

approach dakwah yg sgt bagus!!!hnya krn tudung botol,boleh mnghasilkan byk hikmah dn pengajaran~alhamdulillah..

admin berkata...

cerita berdasarkan pengalaman sendiri lebih mudah sampai ke hati... alhmdllh, terima kasih.