Saya punya satu kisah. Kisah lama, tetapi tidaklah selama hikayat Merong Mahawangsa. Hanya cebisan kenangan dan akhirnya menguntum menjadi bunga harapan. Ya, kisah tentang sesuatu yang bernilai. Rasa sayang. Nak cerita malu-malu tapi mahu. Cerita zaman budak-budak dulu yang akhirnya bersambung hingga dewasa kini.
Begini, 7 tahun dahulu ketika di zaman sekolah, saya belum lagi tinggal di asrama. Payah, tak suka dengan banyak larangan. Suka bebas, boleh jalan-jalan rumah kawan. Boleh borak-borak dengan tok wan, macam-macam. Saya pergi sekolah tunggang motosikal. Yamaha 100 warna biru laut. Itu harta pinjaman abah pada saya.
Maka pagi-pagi motor itulah membawa saya ke sekolah. Macam-macam dugaan, macam-macam cabaran. Rumah saya jauh dengan sekolah. 20 minit dengan kenderaan. Kadang-kadang basah berhujan. Kadang-kadang tension motor kerosakan.
Tapi seingat saya, ada satu yang sentiasa saya nantikan. Satu yang istimewa buat saya bersemangat, iaitu sepohon anak pokok di satu selekoh berhampiran sekolah. Entah kenapa saya suka sangat pada pokok tu. Daunnya sedikit rendang. Bunganya Cantik. Lawa. Saya selalu ingin melalui jalan itu. Hari-hari pun tak mengapa. Sebab saya nak lihat pokok tersebut.
Hari berganti bulan, bulan berganti tahun. Setiap kali melalui jalan itu, hati saya bergetaran. Entah mengapa suka amat jiwa dan perasaan saya pada pokok tersebut. Mahu saja rasanya membawa cakul dan segala peralatan untuk cabut pokok tersebut dan bawa ke laman rumah. Biar hari-hari dapat ditatap, disiram, dijaga dan dipelihara. Tapi itu bukan cara saya bertindak. Bukan. Lagipun kena mintak izin tuan punya dahulu.
Makin lama saya makin sayang pada pokok itu. Bila saya gembira, bunga-bunganya akan berkembang mekar dengan warna merah jambu yang cukup membuat hati lebih ceria. Jika saya sedih, maka bunganya akan layu dan gugur seiring rasa hati. Tika itu saya rasa pokok itu memang serasi dengan jiwa saya. Saya nak lihat pokok itu berbuah pula selepas ini, maka saya ingin jaga dengan sebaiknya.
Selepas 5 tahun hanya memerhati, saya beranikan diri bertandang ke laman rumah pokok itu berada. Saya jumpa dengan tuan punya pokok itu. Saya minta izin. Boleh kata kerap kali saya ke situ. Untuk berteleku di bawah pohon kesukaan saya. Tapi bukan bersendirian, ditemani tuan punya pokok selalunya, di laman rumah pokok itu berada.
Tuan punya pokok dapat mengagak yang saya sukakan pokok tersebut. Tapi dia hanya diam. Tak pernah pun mempelawa saya untuk mencabutnya dengan akarnya sekali, kemudian tanam di laman rumah kepunyaan bapa saya. Mungkin saya belum layak, belum bersedia, masih seorang 'budak' pada pandangan dewasa. Cuma ada menasihatkan :
" Masa kamu maih panjang, di tanah baru nanti macam-macam pokok kamu akan jumpa, pokok kurma, pokok zaitun, pokok kaktus pun ada," itu katanya. Saya akur.
2 tahun kemudian, saya jadi budak tua. Pokok itu masih jadi pujaan saya. Kini daunnya kian merendang. Makin cantik. Makin berseri lawanya.
Pernah satu ketika saya minta pada ibu untuk cabut pokok tersebut dari tempatnya dan tanam di laman rumah, namun ibu semacam tidak setuju.
" Tak boleh. Kamu tu nak pergi jauh. Nanti siapa nak jaga? Siapa nak siram? Siapa nak bubuh baja?? Tuntutlah ilmu dahulu, cukupkan persediaan. Setelah selesai, terpulang pada kamu ", itu jawapan ibu. Saya diam membisu.
Saya akur..
Tidak lama kemudian saya dapat tawaran untuk belajar jauh. Jauh dari tanah yang membenam akar pokok kesayangan saya. Hati berbaur sedih. Sedih nak meninggalkannya. Hendak di bawa ke laman rumah tidak punya kuasa. Hanya memendam dalam jiwa.
Sebelum bertolak pergi, saya bicara pada pokok itu. Ia bagai menangis. Kemudian digugurkannya sehelai daun hijau. Urat daun bagai menulis sesuatu. Saya tidak nampak tapi saya mengerti dan amat faham. Ia harapkan saya kembali untuk bawa dan tanam di laman rumah saya sendiri.
Saya nekad untuk mencuba. Tapi saya perlu berpisah sementara...
Saya bawa diri....
Kini saya sudah berada jauh dari bumi tercinta. Angin bagai menerbangkan daun-daun dari pokok tersebut membawa khabar berita. Saya tenang dengan keadaan itu.
Namun ketenangan itu tidak lama..
Saya dikejutkan oleh satu berita, ada orang lain yang mahu cabut dahulu pokok itu bersama akarnya dan bawa pergi ke laman rumahnya. Dia mahu tanam dan jaga lebih baik dari yang saya lakukan. Dia mahu pokok itu jadi lebih rendang. Mahu berbunga lebih cantik dan mahu pokok itu berbuah dengan lebat di laman rumahnya. Dia akan jumpa dengan tuan punya pokok, mungkin lebih dahulu daripada yang dapat saya lakukan.
Saya sayang pokok itu. Sudah 7 tahun saya jadikan ia pokok kesukaan saya, hanya ia sebatang. Tuannya pun sudah tahu saya akan mengambil pokok itu nanti, selepas kepulangan saya. Tapi hasrat orang itu juga tinggi. Mungkin dia ada kelebihan tersendiri. Jika dia berjaya, maka saya akan kehilangan pokok yang saya suka buat selamanya.
Saya harap pokok itu akan kuatkan akarnya pada tanah yang membenamnya. Agar orang lain tidak mampu mencabutnya dan bawa ia pergi ke laman rumah mereka. Hanya saya yang seharusnya dapat mencabutnya dan bawa ia ke laman rumah saya sendiri. Saya yang mula-mula mahu ia berbuah dengan selebat-lebatnya! Saya yang mahu bunga-bunganya mekar sentiasa di laman rumah saya!
Harap saya dapat jumpa pokok itu nanti..
Dan ada peluang lagi...
Tanam ia di laman rumah saya sendiri...
2 ulasan:
syeih,sy teringin nak lihat pokok yg anta maksudkan,cantik sungguhke bagai dikata?gambar2 tak ada ke?
syukran ala ziyarah.ahlan.
thx for visit.
Salam..kan, ana dah letakkan gambar pokok tu di awal perenggan. hehe, cantik tu bukan ke bersifat universal? terpulang pada orang yang menafsirnya. Bagi ana batu di tengah aliran sungai juga cantik, cantik kerana sifatnya..keras negatifnya tapi tahan cabaran dan asakan pisitifnya..
Catat Ulasan