" Kau percaya tak, dalam masa 5 tahun akan datang, aku akan jadi seorang jutawan. Aku akan pandu kereta BMW 5 series warna putih depan kau. Haha, mesti kau terkejut beruk nanti..," Kamal sengih menampakkan giginya yang rompong di tengah.
" Aku pula nak kahwin dengan puteri raja, lepas tu aku jadi putera raja, lepas tu terus aku jadi kaya..hahaha..," pintas Mail pula.
" Tak usah kamu berdua nak bermimpi di siang hari, makan ni pun aku bayar..," Rahim menyindir halus.
Salahkah Kamal mencipta sebuah mimpi? Dan Mail juga ingin bermimpi??Semua orang pernah bermimpi bukan?? Bermimpi untuk mendapatkan segala yang diinginkan. Saya juga bermimpi, kamu juga, anda semua. Tapi, bolehkah kita hanya mencipta mimpi dan kemudian dengan secara amat ajaibnya kita mampu peroleh apa yang diimpikan??
Bolehkah mimpi kita itu merealitikan segalanya?
Tentu ramai akan bersuara menidakkan kemungkinan mimpi yang kita cipta dapat merealitikan segala kehendak, keinginan dan juga impian kita. Saya bukan memaksudkan mimpi yang berlaku ketika kita semua nyenyak tidur, tetapi mimpi yang kita sendiri bina menggunakan keupayaan akal fikiran kita. Secara kompleksnya, semacam berimaginasi.
Ingin saya jelaskan di sini bahawa berimaginasi adalah sesuatu yang bagus untuk kita semua tapi bukan berangan-angan. Angan-angan dan imaginasi membawa dua konotasi berbeza.
Ya, berdasarkan perbualan di atas, Kamal sebenarnya mencipta satu mimpi dalam batas imaginasi akal fikirannya. Dia telah menetapkan satu matlamat dalam satu jangka masa yang munasabah untuk merealitikan impiannya itu. Dia sudah meletakkan sesuatu matlamat pada minda bawah sedarnya ( subconscious mind ) dan perkara itu seterusnya akan merangsang minda sedarnya ( conscious mind ) untuk mencari peluang-peluang untuk dia mencapai matlamat tersebut.
Berbeza pula keadaanya dengan Mail, dia bukan mencipta mimpi dalam batas imaginasi tetapi terbang dalam angan-angan yang kosong tanpa masa, matlamat dan tujuan yang munasabah. Hanya berdiri di atas angin sahaja. Jadi dia tidak meletakkan sebarang matlamat langsung pada minda bawah sedarnya untuk merangsang minda sedarnya mencari-cari peluang mencapai impiannya itu.
Bagaimana dengan pandangan Islam?? Bolehkah kita berimaginasi??
Ya, Islam bahkan menggalakkan kita berimaginasi. Tetapi Islam melarang umatnya berangan-angan kosong. Mengapa? Kerana berangan – angan itu tidak mempunyai satu matlamat yang jelas, bahkan membuang masa, merugikan manusia dan boleh membawa kepada kelupaan kepada Yang Maha Esa.
Jika kita membina imaginasi, kita telah mencipta sebuah matlamat yang jelas, tersusun dan munasabah untuk dicapai. Seruan ini dapat kita temui dalam seruan Azan iaitu ‘ hayya alal fallah ‘ ( marilah kita menuju kejayaan ). Selain itu, di dalam al-quran, banyak ayat-ayat Allah SWT yang menyeru untuk kita berimaginasi dalam batas-batas yang tertentu untuk kita merenung keagungan dan keesaan Allah Taala.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Semuanya ini tidak mampu kita lakukan jika kita tidak berimaginasi bagaimana keadaan kita sesudah sakit, sesudah tua, sesudah susah dan sesudah mati. Ingat, BERIMAGINASI bukan BERANGAN-ANGAN.
Bangsa Melayu sendiri sebenarnya telah mengajar anak-cucunya untuk berimaginasi bagi mencapai kejayaan. Anda tidak percaya??
Cuba ingatkan kembali kisah angan-angan Mat Jenin. Ya, memang angan-angan itu tidak boleh kerana tiada matlamat dan tidak munasabah, langsung tidak merangsang minda bawah sedar kita tetapi anda cuba baca dulu huraian saya.
Pertamanya Mat Jenin sebenarnya mencipta imaginasi. Dia telah meletakkan matlamat yang jelas sebenarnya untuk mencapai impiannya. Selepas turun dan mendapat upah daripada memetik buah kelapa, dia akan membeli ayam, kemudian ayam itu akan diternak sehigga bertelur. Telur yang banyak akan dijualnya untuk membeli lebih banyak ayam dan membuat reban bagi meluaskan dan membesarkan perniagaannya. Akhirnya dia mahu jadi taukey ayam. Matlamatnya jelas lagi tersuluh.
Andai Mat Jenin tidak terjatuh dari pokok kelapa sudah tentu segala rancangannya berjalan tapi sayang Mat Jenin telah dibunuh oleh penjajah! Penjajahlah yang menjatuhkan Mat Jenin daripada pokok supaya matlamatnya tidak dapat direalisasikan. Penjajah sebenarnya menjadikan imaginasi Mat Jenin sebagai angan-angan supaya orang Melayu tidak akan merangcang matlamat yang jelas untuk berjaya. Bahkan mereka mencipta konsep angan-angan supaya Melayu dan Islam terus mundur. Mereka tahu, angan-angan tidak mungkin dapat membawa kejayaan.
Sepanjang saya meniti usia kehidupan ini, memang benar kebanyakan imaginasi saya menjadi kenyataan, menjadi reality. Walaubagaimana pun, ianya perlu sentiasa diiringi dengan usaha yang tidak terkalahkan, doa yang tidak terputuskan dan tawakal yang sentiasa dihampirkan.
Moga matlamat kita untuk berjaya sedikit sebanyak member impak kepada Agama Islam itu sendiri..
Jadi terpulang kepada anda semua samada ingin terus bermimpi, atau menyambung imaginasi ataupun berangan-angan sendiri.
Moga kejayaan sentiasa bersama kita semua, di dunia dan di akhirat.
Insyaallah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan