Alhamdulillah. Satu luahan penuh syukur terlafaz saat masalah yang menyelubungi saya dan teman-teman serumah berjaya diselesaikan. Ya, petang tadi sebelum ke kelas, masalah yang hampir-hampir membuat kami semua lemas telah dirungkai akhirnya.
Masalahnya tidaklah sebesar mana, cuma talian internet rumah kami ini telah terputus sejak lebih sebulan yang lalu. Ketiadaan internet menjadikan kami hampir-hampir menyerupai putera katak yang duduk di bawah kotak. Hanya mengetahui apa yang berlaku di sekeliling sahaja dan jika tahu mengenai dunia luar sekali pun, hanyalah dari teman-teman lain.
Kadang-kadang, kami menumpang rumah abang-abang senior yang baik hati, dapat mengorek-ngorek maklumat sedikit,terima kasih. Kadang-kadang terpaksa mengharung sejuk ke cafe cyber yang terdekat. Itu sahaja cara untuk dapat mencapai talian internet.
Memang sekarang ini, internet merupakan sesuatu yang penting dan juga boleh dianggap keperluan kepada manusia, terutamanya pelajar seperti kami. Memang penggunaannya ada positif dan negatifnya tetapi sebagai pelajar yang berakidahkan Islam nan suci, pandai-pandailah menggunakan teknologi untuk keperluan yang berkualiti.
Islam tidak melarang umatnya untuk mengaplikasikan teknologi dalam kehidupan seharian bahkan menggalakkan lagi penggunaannya asalkan tidak melebihi garis sempadan yang telah ditetapkan. Teknologi internet mampu menjadi wasilah atau alat yang cukup berkesan untuk menyampaikan kebenaran agama Allah SWT ini. Ia nyata mudah, cepat dan pantas.
Statistik yang dikeluarkan Internet World Stats mencatatkan di Asia sahaja terdapat 364.4 juta pengguna internet. Jika dibandingkan dengan negara-negara maju lain pasti lebih tinggi bukan?
Jadi, di sini kita perlu mengambil peluang yang ada bagi memberi pencerahan kepada umat manusia tentang agama Islam agar mereka tidak lagi mamandang Islam secara sebelah mata. Agar mereka tidak lagi mengganggap Islam sebagai agama penaja keganasan.
Kita juga boleh saling mengingatkan sesama saudara kita, sesama umat Islam sendiri untuk menegakkan kebaikan dan menjauhkan kemungkaran. Bersama-sama berkongsi maklumat dan ilmu demi membaik pulih imej ummah yang tercalar.
Rasul SAW ada berpesan melalui hadisnya yang bermaksud : " Sampaikan daripadaku walau satu ayat " ( riwayat Bukhari ).
Jadi, apa tunggu lagi??
Jika anda semua punyai talian internet dan tidak menghadapi masalah seperti kami secara berterusan, gunakan peluang ini untuk menyampaikan kebaikan kepada yang lain. Percayalah, ganjaran yang menanti lebih dari sekadar mendapat intan berlian, lebih hebat dari sekadar menjejak bulan.
Ingat juga, orang-orang yang beruntung itu adalah orang-orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Jom, bersama saya 'bekerja' di alam maya.
Akhirnya, terima kasih diucapkan buat saudara Hamad TT kerana usaha kerasnya berjaya menyambung oksigen maya kami. Penghargaan khas walaupun dia tidak bisa berbahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan