Cuti semester saya kali ini dihiasi dengan sebuah kembara yang cukup indah. Jika dikatakan sebuah taman yang dihiasi bunga-bungaan itu indah, maka keindahan yang terpancar dek sebuah kembara ke bumi anbia yang satu ini tidak terbanding. Indah dengan memori,terus mewarnai hati.
Mesir menjadi dentinasi pilihan saya untuk menghabiskan sebahagian cuti semester ini dengan aktiviti yang amat saya minati dan cintai ; sungguh!
Dari zaman sekolah rendah lagi, saya amat meminati aktiviti 'berjalan' ini. Kata orang, jauh berjalan banyak pengalaman. Maka berjalanlah di atas bumi Allah ini mengutip seberapa banyak cebisan pengalaman buat pedoman untuk diri. Lembah Nil itu telah menggamit kehadiran saya dan beberapa rakan senior meneroka satu persatu lipatan sejarah yang terkandung di dalamnya.
Seawal kedatangan kami ke lembah nil ini, maqam-maqam para wali Allah kami jejaki dahulu. Kubu terbesar panglima agung Islam, Salehuddin Al-Ayubi juga menjadi tempat kami merenung jauh sejarah keagungan dan kekuatan Islam satu masa dahulu. Di sini juga kami sempat mengunjungi muzium perang terbesar di dunia yang menceritakan kekuatan ketenteraan kerajaan Mesir dari dahulu hingga kini.
Dari Kaherah, kami menuju ke Iskandariah. Perjalanan yang sudah pasti mendatangkan seribu satu kenangan. Melihat pemandangan di sepanjang perjalanan telah mampu mendatangkan rasa 'enak' dalam diri. Ya, syahdu dan sungguh mengasyikkan, walau di pertengahannya melalui hamparan padang pasir yang agak luas. Iskandariah atau juga dikenali sebagai Alexandria nyata mendatangkan kedamaian yang mengusik jiwa buat para tetamunya.
Fayoum juga adalah antara destinasi kembara kami. Kisah Qarun yang suka memperlihat kekayaannya kepada khalayak hingga di tenggelamkan Allah Taala harta dan dirinya menyedarkan kami akan peri pentingnya kesederhanaan, kesyukuran dan kerendahan hati pada seorang hamba. Hamparan tasik Qarun yang luas itu menyimpan seribu satu rahsia kekuasaan Allah SWT buat hambanya yang mahu berfikir. Perjalanan menyelusuri perkampungan di Fayoum ini kadanga-kadang meralitkan saya hingga membawa saya pulang seketika ke desa di Tanah Air tercinta.
Untuk 3 hari terakhir eksplorasi ini, kami berada di Sinai. Kawasan yang menyimpan sejarah lama manusiawi. Kawasan yang menyimpan sejarah perjuangan Nabi-Nya. Perkampungan Nabi Musa AS terletak di sini. Jabal Musa yang menceritakan kisah Musa berbicara dengan Tuhan Maha Segala, Maha Esa berada di sini. Ya, kami daki Jabal Musa buat merasai hebatnya peristiwa tersebut. Penat, namun cukup membuat hati ini rasa puas yang amat.
Apa yang paling indah dalam kembara ini adalah tautan ukhwah kerana Allah itu terbentuk makin jelas mewarnai serinya hati. Saya berkesempatan mengunjungi sahabat-sahabat yang lama tidak ditemui di bumi Mesir ini. Sahabat-sahabat sepengajian di Sek.Men. ( A ) Al-Wosto, di Kulliah Sultan Abu Bakar, Pekan, teman-teman Kursus Intensif Bahasa Arab ( KIBA ) di IKIP. Ukhwah juga bertambah manis dengan kehadiran sahabat-sahabat baru di sana. Kehadiran kalian benar-benar membahagiakan.
Terima kasih kepada Ust Wan, Ust Ijam, Ust Iman, Ust Jiman atas perjalanan ini. Segalanya indah dengan kehadiran kalian. Buat Ust Nasrul dan rakan-rakan di Rumah Perlis, terima kasih atas layanan semua. Sahabat-sahabat di Rumah Pahang, terima kasih atas sambutan yang diberi walau sibuk menelaah pelajaran buat menghadapi imtihan. Terima kasih yang tidak terhingga untuk kalian. Moga kita berjumpa lagi di lain pertemuan.
Saya benar-benar percaya bahawa bumi Allah yang luas ini menghidangkan berjuta keistimewaan dan keindahan. Pengalaman berada di Mesir, menjelajah ke beberapa muhafazah benar-benar menakjubkan. Terlalu banyak untuk ditulis dan diceritakan. Jika diberi kesempatan Insyaallah saya akan menulis catatan harian sepanjang berada di Mesir.
Saya sudah pasti tidak akan melupakan pengalaman ini. Memang benar kata pepatah melayu, jauh perjalanan luas pengalaman, bertambah pengetahuan ; perlu saya akui kebenarannya.
Moga diberi rezeki oleh Allah SWT untuk saya teruskan eksplorasi alam ciptaan-Nya. Syria dan Turki, nantikan kehadiran diri ini! Insyaallah.
1 ulasan:
good luck bro...teruskan menjadi blogger yg mantap..hehe
Catat Ulasan