Jumaat, Januari 09, 2009

Catatan Diari Dari Gaza.

















Menjadi kebiasaan saya pada setiap malam mencari-cari bahan berita atau atau apa-apa artikel untuk direnung dan dibaca. Terutama isu-isu semasa yang berlaku saban hari. Jika sekarang ,isu kekejaman dan kezaliman Israel tentunya yang menjadi tatapan saya. Selesai sudah satu laman saya geledah, saya melunsur pula ke laman lain. Begitulah seringnya sehingga kadang-kadang terlalu lama masa saya digunakan untuk setia dihadapan skrin laptop ini, tidak jemu. Nasib baik ingatan kepada buku-buku di sisi sedikit mengingatkan.

Namun malam ini agak berlainan situasinya. Biasanya saya akan berasa seronok dan puas dengan kebiasaan tersebut tapi malam ini saya berasa amat sedih. Sedih yang menitiskan air mata. Sedih yang buat fikiran agak rungsing. Sedih yang buat jiwa merana.

Ketika saya membaca satu-persatu berita di laman Al-Jazeera.Net, mata saya cepat-cepat terfokus pada satu tajuk yang berbunyi ' Gaza Diary: Are We Not Human??' Maka saya dengan segera menatap perenggan demi perenggan artikel tersebut. Membaca sambil hati menghayati. Juga cuba-cuba membayangkan keadaannya..sungguh, tiada kata mampu terluah ketika itu.

Mari kita sama-sama membaca catatan ini yang saya cuba terjemahkan.....


Udara, laut dan tanah di Gaza ini telah dikuasai oleh tentera-tentera Israel. Mereka menguasai minda, saraf dan pendengaran kami.

Saya telah meletakkan gumpalan kapas ke dalam telinga anak saya dalam percubaan untuk mengelakkan anak-anak saya dari merengit, menjerit, meronta ketakutan dan terjaga ketika mendengar bunyi letupan pada setiap masa tidur dan jaga mereka. Namun usaha ini tidak berkesan.

Saya tertanya-tanya kerosakan apa yang menimpa hati kecil anak-anak saya ini. Mereka masih kecil untuk menghadapi tekanan yang ditimpakan ke atas mereka.

Kami semakin kehabisan minyak untuk menjana generator ( penduduk Gaza menggunakan generator bagi menjana elektrik), ini bermakna kami yang berjumlah 11 orang perlu mengurung diri di dalam sebuah bilik yang kecil bersama sedikit sumber cahaya selama tiga hari.

Kami juga kehabisan air. Telaga yang kami gunakan hanya boleh mengepam air jika dijana tenaga elektrik. Sejak mimpi ngeri ini berlaku, bekalan elektrik telah diputuskan.

Tidak seperti keluarga lain, kami agak bernasib baik semalam kerana memperoleh 20 liter minyak tanah untuk menghidupkan generator kami. Bekalan minyak tidak dapat masuk ke sini semenjak perang ini dirancang ( sempadan telah ditutup ) maka kami terpaksa membayar dengan harga 7 kali ganda dari biasa.
















Kami hanya mempunyai simpanan makanan yang bertahan untuk satu hari sahaja lagi. Lampin yang saya beli 2 minggu lepas hampir kehabisan. Ia bukan dari kualiti yang baik memandangkan sedikit sahaja barangan yang dapat masuk ke Gaza selepas kami dikenakan sekatan semenjak 18 bulan yang lalu. Lampin yang tidak berkualiti ini menyebabkan kebocoran berlaku sehinggakan beberapa hari yang lalu anak kecil saya terpaksa dimandikan di dalam air yang sangat sejuk.

Kakak saya yang duduk bersama kami sebelum ini mengambil keputusan untuk pulang ke rumahnya walaupun berdepan tentangan dari kami. Dia risau dengan simpanan makanan yang semakin berkurangan. kami mungkin hanya dapat makan sekali sahaja sehari berbanding dua kali sebelum ini. Di rumahnya, dia mempunyai sedikit lagi makanan yang tinggal tapi cukup untuk menampung keluarganya dalam beberapa ketika yang agak panjang.

Kami sekarang berjumlah 11 orang semuanya dan terpaksa berhimpit sesak di dalam bilik tidur ibu bapa kami. Saya, abang dan keluarga kami berpindah ke sini kerana menjangkakan tingkat satu ini adalah tempat yang selamat bagi kami semua.

Ada sebuah pepatah Arab yang menyatakan, " Mati di dalam kumpulan mendapat keampunan ".

Saya menjangkakan jika kami mati bersama mungkin- hanya kemungkinan- kami akan merasa sedikit sahaja kesakitannya dari menghadapinya sendirian.

Saya hanya tidur 8 jam semenjak serangan ini bermula. Hampir setiap minit kami mendengar bunyi serangan.

Saya pernah berfikir sendirian. Jika salah seorang dari kami tercedera atau memerlukan rawatan, apa yang akan terjadi?? Ambulan sangat sukar untuk sampai kepada mangsa, jalan-jalan telah disekat dengan bongkahan batu dan askar-askar Israel - kamu boleh mati akibat pendarahan yang teruk.

Jika ambulan sampai kepada kami pun, kami mungkin sahaja dibom. Andai kami sampai ke hospital sekalipun, pasti tidak ada bilik untuk menempatkan kami - hospital hanya memiliki sedikit sahaja ubat-ubatan, peralatan perubatan mahupun bekalan elektrik bagi memenuhi kelengkapan merawat. Adalah mustahil untuk kami keluar dari Gaza ini untuk mendapatkan rawatan yang kami perlukan.
















Sekarang ini hospital hanya menggunakan simpanan generator yang ada untuk beroperasi dan ini menyukarkan tugas doktor untuk cuba sedaya upaya berhadapan aliran masuk mangsa-mangsa yang cedera. Jika minyak untuk menjana generator habis, maka peralatan-peralatan perubatan akan tidak berfungsi.

Hari ini saya mendengar seorang wanita menelefon stesen radio - perkhidmatan ambulan tidak dapat sampai kepadanya dan saya mengagak dia mengharapkan stesen radio boleh melakukan sesuatu. Dia menangis dan meratap di dalam telefon sambil sambil berkata, " Rumah kami sedang terbakar, anak-anak saya akan mati, tolonglah saya..". Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada wanita itu dan anak-anaknya- Saya tidak mahu membayangkannya!

Saya menghabiskan banyak masa memikirkan bahawa ini mungkin masa-masa terakhir kewujudan saya.

Saat saya mahu melelapkan mata, saya terdengar di radio bilangan orang yang mati bertambah setiap jam. Saya tertanya-tanya pada diri sendiri apakah mungkin esok pagi, saya adalah sebahagian dari mayat-mayat yang dihitung kira itu, sebahagian dari bahan berita seterusnya.

Saya tidak takut akan kematian- saya tahu suatu hari nanti pasti kita semua akan mati. Tapi bukan mati seperti ini, bukan dengan leka duduk di rumah dengan anak-anak saya di pelukan menunggu nyawa kami di bawa pergi. Saya jijik dengan ketidakadilan ini!!

Apa yang masyarakat antarabangsa tunggu lagi!! - untuk melihat lebih ramai manusia dan keluarga dihancurkan sebelum mereka bertindak?!! Masa sudah suntuk dan bilangan yang mati dan cedera terus meningkat. Apa yang mereka nantikan lagi??!!

Apa yang sedang berlaku kepada manusia sejagat?? Adakah kami ini bukan manusia??!!!

Artikel asal boleh dibaca disini

* Kalau sesiapa dah baca artikel asal dan jumpa kesalahan tolong tegur ya. Maklumlah, Bahasa Inggeris tidak begitu sempurna dikuasai.



Begitulah keadaan saudara-saudara kita di sana. Penuh cerita duka. Cerita menyayat hati. Cerita -cerita kematian. Masih mampukah kita bergelak ketawa lagi sekarang ini?? Mereka mengharapkan kita semua, saudara seagama mereka.

Kita perlu bertindak! Sekurang-kurangnya dengan doa dan harta benda. Demi perjuangan suci mereka! Demi kelangsungan perjuangan mereka mempertahankan agama Islam di dunia ini! Demi mempertahankan bumi suci kita semua.

Adilkah jika mereka sahaja yang berusaha? Sedang kita terus leka dengan gelak ketawa, leka bergelumang dosa??

Fikir-fikirkanlah....

Jari-jemari saya Insyaallah akan terus menari tarian perang di atas keyboard ini selagi termampu. Ini sahaja yang dapat saya berikan selain doa sebagai tanda sokongan dan kebersamaan saya dengan perjuangan saudara-saudara saya di Gaza dan seluruh ceruk dunia di atas muka bumi ini.

Sampaikanlah kepada yang tidak tahu..

Jelaskan keadaan sebenar kepada seluruh umat Islam.

Ya Allah, bantulah tentera-tenteraMu di Gaza! Ya Allah, berilah kemenangan kepada Islam..









Tiada ulasan: