Khamis, Januari 08, 2009

Peperiksaan, Ujian Dan Kehidupan
















Salam buat semua. Alhamdulillah, dapat saya menulis kembali. Hati sudah berbunga rindu pada blog ni. Nasib baik tak bersarang sesudah lama ditinggal sendiri tidak ber'edit', huhu. Peperiksaan akhir semesta yang masih berbaki dua madah lagi menenggelamkan saya dalam lautan kesibukan, jadi tidak sempatlah menulis walaupun banyak perkara yang membakar kesabaran saya berlaku seminggu ini ( sudah tentu berkaitan isu Israel durjana!) membuatkan tangan ingin saja menari tarian perang di atas keyboard ini.

Walau bagaimanapun, peperiksaan akhir ini amat mengharap kepada tumpuan seratus-peratus saya dalam menelaah kitab-kitab pelajaran. Bukan lari dari isu semasa kerana saya juga sedang berjihad! Jihad menuntut ilmu agar nanti umat Islam tidak lagi ditindas, tidak lagi dipermainkan kerana Yahudi itu memporak-perandakan umat Islam menggunakan ilmu. Kita pula nyata tandus ilmu dan mudah terpedaya akan dakyah mereka.


Peperiksaan.

Sebagai pelajar, ini adalah kalimah berbisa yang bakal menekan-nekan urat nadi dan jiwa (bagi yang kurang persediaanlah..). Mahu tidak mahu peperiksaan ini perlu dihadapi bagi mengukur sejauh mana tahap seseorang pelajar dalam pelajarannya. Peperiksaan ibarat medan juang bagi seorang mujahid berpangkat pelajar. Ilmu yang telah dipelajari adalah senjata-senjata perang yang perlu dihunus di medan juang di dalam dewan peperiksaan.

Jika cemerlang maka dia seorang pemenang, jika tewas tidak bermakna dia akan terus gagal! Ini sebenarnya hakikat seorang pelajar. Peperiksaan adalah sebuah ujian menilai tahap keilmuan.

Namun sayangnya kini niat manusia bergelar pelajar itu mudah diputar belitkan. Belajar untuk peperiksaan, bukan kerana mahu meresapi bahagia seorang ilmuan. Sekadar lulus atau cemerlang di dalam peperiksaan sudah cukup. Ilmu hanya diguna-pakai di dalam dewan peperiksaan.

Inilah sikap pelajar sekarang. Perkara ini tidak sahaja berlaku di sekolah rendah mahupun menengah hatta turut terjadi di institusi-institusi pengajian tinggi yang sepatutnya ilmu menjadi satu-satunya perkara penting untuk dikejar dan dikuasai. Peperiksaan itu seharusnya hanya sebagai wadah mengaplikasi dan meluah pengetahuan yang dimiliki. Jika belajar kerana ikhlas mahukan ilmu di hati, ikhlas mengharap redha Illahi, maka keputusan peperiksaan pasti cemerlang seperti yang diimpi dan diharapkan, Insyaallah.

Oleh kerana sikap para pelajar sebegitulah yang menyebabkan umat Islam khususnya semakin ketandusan ilmu, semakin ketinggalan, semakin jauh dari Tuhan. Musuh-musuh Islam telah jauh kehadapan, mereka tahu hanya dengan ilmu Islam dapat ditewaskan. Umat Islam hanya boleh bangkit dengan ilmu! Umat Islam akan kembali gemilang hanya dengan ilmu!

Saya pernah siarkan sebuah artikel berbahasa Inggeris yang bertajuk Why Are Muslim So Powerless bulan disember lalu. Kalian semua boleh rujuk kembali. Nanti kamu akan temui punca susutnya kuasa umat Islam di dunia ini.



Ujian

Peperiksaan bagi seorang pelajar itu adalah umpama ujian bagi manusia di dunia ini. Jika para pelajar terpaksa menghadapi peperiksaan bagi menilai tahap ilmu yang telah dipelajari, ujian dalam hidup manusia pula menilai sejauh mana tahap keimanan dan kesabaran yang terpahat di hati.

Ujian ini juga perlu kepada persediaan. Sudut mental, fizikal harus padu dengan aura kesabaran. Ujian bukan selalu beerti kesusahan, kepayahan akan tetapi kesenangan, keselesaan dan kekayaan juga adalah ujian buat seluruh hamba Tuhan.

Jika cemerlang menghadapinya maka dia antara yang berjaya di sisi Allah Taala, jika dia gagal dia mungkin jauh menyongsang dari rahmat Tuhan, maka berhati-hatilah!

Namun, Allah itu Maha Pengasih. Allah itu Maha pengampun. Jika sedar jauh menyongsang maka kembali ke sisi-Nya dengan taubat yang hakiki ( taubat nasuha ). Insyaallah di akhirat nanti beroleh jua kejayaan abadi.































Kehidupan

Hidup ini memang selalu-selalunya dipenuhi ujian dan cabaran. Jika melihat keadaan sekarang, isu Palestin itu juga merupakan sebuah ujian buat seluruh umat Islam sebenarnya. Ujian bagaimana kita berperanan dalam membentuk kesatuan Ummah demi menjaga Tanah Suci Islam tersebut. Ujian sejauh mana kita mampu bertindak demi menjaga dan memelihara agama Allah SWT ini. Ujian menilai kesanggupan kita bekorban dalam memerangi musuh-musuh Allah Taala ini..

Kehidupan kita sekarang ini tidak ada nilai jika terus selesa dengan kebiasaan-kebiasaan yang menyeronokkan dan selesa sedang saudara kita semua yang berada di Gaza dibom, dibedil dan dihancurkan Yahudi Zionis Laknatullah. Bahkan kita lagi hina-dina jika tidak berbuat apa-apa.

Lakukan sesuatu saudara-saudaraku semua. Beri perhatian pada isu ini. Beritahu kepada yang tidak tahu. Nyatakan bantahan anda. Doa kepada Allah agar diberi kemenangan dan dibantu saudara kita sekalian yang sedang dalam cengkaman Zionis. Doa setiap masa dan ketika. Boikot produk-produk Israel dan Amerika. Luahkan bantahan anda!

Kita perlu sedar bahawa kita sekarang diancam musuh-musuh Allah. Jangan biarkan kita terus dilalaikan dengan dakyah-dakyah mereka, dilalai dengan hiburan, harta benda dan segalanya tentang indahnya kehidupan dunia.

Sedar dan bangkitlah semua!

Kita perlu bertindak segera!

Hanya berbicara tidak mampu merubah suasana!

Sedarlah!!!!







* Tahniah buat Angah yang sudah selesai menghadapi peperiksaan SPM, moga natijahnya cemerlang, memuaskan hatimu, merubah kebiasaanmu. Juga tahniah buat Adik yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR, moga cita-citamu terlaksana.

* Buat para mujahidin semua, terus berjuang dengan penuh semangat! Kami bersama kamu! Moga Islam beroleh kemenangan, Insyaallah..


Tiada ulasan: