Selasa, Disember 09, 2008

Erti Sebuah Pengorbanan
















Alhamdulillah, Aidiladha saya pada tahun ini disambut di rantauan orang. Walau rindu hati pada keluarga, guru-guru dan kawan-kawan di tanah air membuak-buak, sambutan perayaan di sini tetap menyeronokkan dan terkandung seribu satu pengalaman yang mengasyikkan. Ketiadaan juadah tradisi seperti lemang, ketupat dan rendang tidak menggugah hati saya dan teman-teman dalam meraikan Aidiladha pada tahun ini.

Setelah pulang dari menunaikan solat sunat Aidiladha, saya dan teman-teman sibuk menghubungi keluarga dan rakan taulan di Malaysia. Tidak lupa juga guru-guru yang telah banyak menumpahkan ilmu dan mengajar erti sebuah kehidupan kepada kami yang mentah ini. Bermacam cerita, beranika kisah menjadi bualan. Segalanya adalah penyembuh demam rindu seorang anak rantau yang kembaranya jauh dari segala yang dicinta.

Juadah kami di sini walau tidak sebatang lemang, tidak juga semangkuk rendang tapi penuh erti. Erti sebuah persahabatan dan kecintaan sesama teman. Alhamdulillah, walau jauh di rantauan hidangan tom yam menjadi penyeri hidangan kami di sini.


















Hasil kepakaran chef Fauzi seorang teman yang hebat dalam tugas masak-memasak ni, habis licin dua periuk tom yam dihirup kami semua. Keenakannya hingga bermangkuk dihirup. Kalah slogan KFC, 'hingga menjilat jari' tu..



Erti yang tak terungkapkan...

Memang sebuah Aidilahdha mengajar erti pengorbanan kepada kita semua. Pengorbanan yang bermacam-macam untuk satu tujuan yang hakiki. Ya, tujuan menuju kepada kecintaan kepada Tuhan pemilik segala.

Bagi kami pelajar-pelajar yang sedang kembara ilmu di tanah asing ini sudah pasti menuntut berjuta pengorbanan yang tidak dapat tidak perlu kami lunasi. Berkorban meninggalkan keluarga, ibu bapa, adik beradik yang nyata sering dirindui. Bekorban mengadaptasi suasana, masyarakat, cuaca yang tentunya asing bagi kami. Bekorban masa remaja kami, minat dan hobi kami, serta bermacam lagi yang tujuannya, arahnya hanya satu iaitu menuntut sebanyak mungkin ilmu demi kecintaan kepada agama, kepada ummah, kepada negara dan segalanya.

Kami tahu, hanya orang yang berilmu sahaja yang mampu meningkatkan kembali imej Islam yang tercalar. Mengembalikan semula zaman keagungan yang hilang dan memajukan negara serta bangsa ke arah yang lebih gemilang lagi cemerlang!

Sebelum mengakhiri kata, saya mempelawa pembaca semua mengimbas kembali kisah agung sebuah pengorbanan. Kisah agung yang mengundang pelbagai erti yang tidak terungkapkan kepada sebuah kecintaan. Cinta dan keimanan Rasul-Nya terhadap sebuah keagungan cinta milik Allah SWT yang tak tergambarkan......

Salam Aidiladha kepada semua, terutama kepada Mak, Abah, Angah dan Adik, guru-guru saya sekaliannya serta sahabat-sahabat seperjuangan yang sentiasa di hati..



Tiada ulasan: