Ahad, Februari 22, 2009

Mimpi, Imaginasi & Angan-Angan













" Kau percaya tak, dalam masa 5 tahun akan datang, aku akan jadi seorang jutawan. Aku akan pandu kereta BMW 5 series warna putih depan kau. Haha, mesti kau terkejut beruk nanti..," Kamal sengih menampakkan giginya yang rompong di tengah.

" Aku pula nak kahwin dengan puteri raja, lepas tu aku jadi putera raja, lepas tu terus aku jadi kaya..hahaha..," pintas Mail pula.

" Tak usah kamu berdua nak bermimpi di siang hari, makan ni pun aku bayar..," Rahim menyindir halus.

Salahkah Kamal mencipta sebuah mimpi? Dan Mail juga ingin bermimpi??Semua orang pernah bermimpi bukan?? Bermimpi untuk mendapatkan segala yang diinginkan. Saya juga bermimpi, kamu juga, anda semua. Tapi, bolehkah kita hanya mencipta mimpi dan kemudian dengan secara amat ajaibnya kita mampu peroleh apa yang diimpikan??

Bolehkah mimpi kita itu merealitikan segalanya?

Tentu ramai akan bersuara menidakkan kemungkinan mimpi yang kita cipta dapat merealitikan segala kehendak, keinginan dan juga impian kita. Saya bukan memaksudkan mimpi yang berlaku ketika kita semua nyenyak tidur, tetapi mimpi yang kita sendiri bina menggunakan keupayaan akal fikiran kita. Secara kompleksnya, semacam berimaginasi.

Ingin saya jelaskan di sini bahawa berimaginasi adalah sesuatu yang bagus untuk kita semua tapi bukan berangan-angan. Angan-angan dan imaginasi membawa dua konotasi berbeza.

Ya, berdasarkan perbualan di atas, Kamal sebenarnya mencipta satu mimpi dalam batas imaginasi akal fikirannya. Dia telah menetapkan satu matlamat dalam satu jangka masa yang munasabah untuk merealitikan impiannya itu. Dia sudah meletakkan sesuatu matlamat pada minda bawah sedarnya ( subconscious mind ) dan perkara itu seterusnya akan merangsang minda sedarnya ( conscious mind ) untuk mencari peluang-peluang untuk dia mencapai matlamat tersebut.














Berbeza pula keadaanya dengan Mail, dia bukan mencipta mimpi dalam batas imaginasi tetapi terbang dalam angan-angan yang kosong tanpa masa, matlamat dan tujuan yang munasabah. Hanya berdiri di atas angin sahaja. Jadi dia tidak meletakkan sebarang matlamat langsung pada minda bawah sedarnya untuk merangsang minda sedarnya mencari-cari peluang mencapai impiannya itu.

Bagaimana dengan pandangan Islam?? Bolehkah kita berimaginasi??

Ya, Islam bahkan menggalakkan kita berimaginasi. Tetapi Islam melarang umatnya berangan-angan kosong. Mengapa? Kerana berangan – angan itu tidak mempunyai satu matlamat yang jelas, bahkan membuang masa, merugikan manusia dan boleh membawa kepada kelupaan kepada Yang Maha Esa.

Jika kita membina imaginasi, kita telah mencipta sebuah matlamat yang jelas, tersusun dan munasabah untuk dicapai. Seruan ini dapat kita temui dalam seruan Azan iaitu ‘ hayya alal fallah ‘ ( marilah kita menuju kejayaan ). Selain itu, di dalam al-quran, banyak ayat-ayat Allah SWT yang menyeru untuk kita berimaginasi dalam batas-batas yang tertentu untuk kita merenung keagungan dan keesaan Allah Taala.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Semuanya ini tidak mampu kita lakukan jika kita tidak berimaginasi bagaimana keadaan kita sesudah sakit, sesudah tua, sesudah susah dan sesudah mati. Ingat, BERIMAGINASI bukan BERANGAN-ANGAN.

Bangsa Melayu sendiri sebenarnya telah mengajar anak-cucunya untuk berimaginasi bagi mencapai kejayaan. Anda tidak percaya??

Cuba ingatkan kembali kisah angan-angan Mat Jenin. Ya, memang angan-angan itu tidak boleh kerana tiada matlamat dan tidak munasabah, langsung tidak merangsang minda bawah sedar kita tetapi anda cuba baca dulu huraian saya.

Pertamanya Mat Jenin sebenarnya mencipta imaginasi. Dia telah meletakkan matlamat yang jelas sebenarnya untuk mencapai impiannya. Selepas turun dan mendapat upah daripada memetik buah kelapa, dia akan membeli ayam, kemudian ayam itu akan diternak sehigga bertelur. Telur yang banyak akan dijualnya untuk membeli lebih banyak ayam dan membuat reban bagi meluaskan dan membesarkan perniagaannya. Akhirnya dia mahu jadi taukey ayam. Matlamatnya jelas lagi tersuluh.

Andai Mat Jenin tidak terjatuh dari pokok kelapa sudah tentu segala rancangannya berjalan tapi sayang Mat Jenin telah dibunuh oleh penjajah! Penjajahlah yang menjatuhkan Mat Jenin daripada pokok supaya matlamatnya tidak dapat direalisasikan. Penjajah sebenarnya menjadikan imaginasi Mat Jenin sebagai angan-angan supaya orang Melayu tidak akan merangcang matlamat yang jelas untuk berjaya. Bahkan mereka mencipta konsep angan-angan supaya Melayu dan Islam terus mundur. Mereka tahu, angan-angan tidak mungkin dapat membawa kejayaan.

Sepanjang saya meniti usia kehidupan ini, memang benar kebanyakan imaginasi saya menjadi kenyataan, menjadi reality. Walaubagaimana pun, ianya perlu sentiasa diiringi dengan usaha yang tidak terkalahkan, doa yang tidak terputuskan dan tawakal yang sentiasa dihampirkan.

Moga matlamat kita untuk berjaya sedikit sebanyak member impak kepada Agama Islam itu sendiri..

Jadi terpulang kepada anda semua samada ingin terus bermimpi, atau menyambung imaginasi ataupun berangan-angan sendiri.

Moga kejayaan sentiasa bersama kita semua, di dunia dan di akhirat.

Insyaallah..





Selasa, Februari 17, 2009

Pelajaran Daripada Tudung Botol














Semalam hari hujan. Di Jordan ni, kalau hujan turun cuaca boleh berubah menjadi sangat sejuk. Terketar-ketar saya membuka pintu seusai solat maghrib di masjid berhampiran. Semput juga dada selepas berlari sakan untuk mengelak dari basah kuyup.

Masuk ke dalam rumah, selepas salin pakaian maka saya pun duduk-duduk sebentar membelek beberapa buah buku di atas meja. Memang sudah hobi saya. Tengok buku pun boleh jadi kenyang. Tapi, tiba-tiba tekak pula terasa mahu minum sesuatu.

Terasa nak minum jus oren. Saya pergi ke dapur tapi tak jumpa. Hanya tinggal botol kosong. Pelik juga, kenapa la teringin sangat nak minum jus oren dalam cuaca sejuk-sejuk ni. Lebih baik minum teh panas, boleh juga panas-panaskan badan. Tapi keinginan yang semacam di tekak ini menjalar hingga ke otak dan anggota badan saya hingga menggerakkan saya turun ke kedai di tingkat bawah bangunan rumah ini untuk membeli sebotol jus oren.

Fuh, berjaya juga saya dapatkan jus oren ni. Dengan penuh rasa gembira, saya memulas tudung botol jus tersebut. Ketat.

Kali kedua saya kuatkan lagi tenaga di tangan. Yah! Tapi, hanya tangan yang berpusing. Kali ketiga saya ambil kain untuk alas tangan saya. Saya pulas sekuat hati.

Masih gagal. Tekak sudah tidak sabar-sabar menunggu. Jus oren ini, wajib saya teguk sampai habis! Hati saya bersuara sendirian. Tak sabar-sabar. Kali keempat, kelima, keenam hinggalah keberapa kali selepas itu saya masih dengan cara dan kaedah yang sama. Terus memulas tutup botol jus oren itu.

Akhirnya saya letak botol jus itu di depan mata. Saya perhatikan betul-betul. Ikut naluri negatif dari kata-kata hati mahu saja saya hempas botol itu ke lantai. Biar habis berkecai seiring kehendak yang tidak dapat dipenuhi.

Tapi saya ikut naluri positif dari dasar hati. Saya nak teguk jus tu betul-betul hingga ke titisan yang terakhir maka saya perlu terus mencuba. Tapi bagaimana??

Haa, ada pisau di sisi sinki dapur rumah saya. Saya ambil dan terus menghiris ikatan plastik di bawah tudung botol jus itu. Selesai. Bismillahirrahmanirrahim, jus pun diteguk

Betapa nikmatnya kemanisan jus oren itu saya rasakan. Memang hingga ke titisan yang terakhir. Puas. Botol saya letakkan sekali lagi di hadapan mata. Saya perhatikan. Malam ini Allah mengajar saya sesuatu. Habis jus diteguk baru saya terasa hikmah disebalik semuanya.
Saya senaraikan :

1) Usaha yang berterusan .
2) Tidak berputus asa.
3) Perlu lakukan sesuatu untuk berubah - “Bahawasanya Allah tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasibnya sendiri”. Surah AI-Ra’ad, ayat 11
4) Sentiasa berfikiran kreatif dan kritis.
5) Berbaik sangka dengan kepayahan yang datang kerana diakhirnya pasti ada kemanisan.
6) Setiap usaha yang dilakukan itu Allah janjikan dengan kejayaan.
7) Sentiasa bersabar dalam menghadapi kesukaran

Maka kawan-kawan semua, teruskan berusaha! Jangan mudah berputus asa.

Ingatlah, semakin sukar cabaran dan kepayahan yang kita hadapi semakin besar kejayaan dan kemanisan yang bakal kita nikmati, Insyaallah. Itu hipotesis sebuah kehidupan.

Moga anda semua berjaya!

Insyaallah..



Isnin, Februari 16, 2009

Ceritera Sang Pujangga






















Saya punya satu kisah. Kisah lama, tetapi tidaklah selama hikayat Merong Mahawangsa. Hanya cebisan kenangan dan akhirnya menguntum menjadi bunga harapan. Ya, kisah tentang sesuatu yang bernilai. Rasa sayang. Nak cerita malu-malu tapi mahu. Cerita zaman budak-budak dulu yang akhirnya bersambung hingga dewasa kini.

Begini, 7 tahun dahulu ketika di zaman sekolah, saya belum lagi tinggal di asrama. Payah, tak suka dengan banyak larangan. Suka bebas, boleh jalan-jalan rumah kawan. Boleh borak-borak dengan tok wan, macam-macam. Saya pergi sekolah tunggang motosikal. Yamaha 100 warna biru laut. Itu harta pinjaman abah pada saya.

Maka pagi-pagi motor itulah membawa saya ke sekolah. Macam-macam dugaan, macam-macam cabaran. Rumah saya jauh dengan sekolah. 20 minit dengan kenderaan. Kadang-kadang basah berhujan. Kadang-kadang tension motor kerosakan.

Tapi seingat saya, ada satu yang sentiasa saya nantikan. Satu yang istimewa buat saya bersemangat, iaitu sepohon anak pokok di satu selekoh berhampiran sekolah. Entah kenapa saya suka sangat pada pokok tu. Daunnya sedikit rendang. Bunganya Cantik. Lawa. Saya selalu ingin melalui jalan itu. Hari-hari pun tak mengapa. Sebab saya nak lihat pokok tersebut.

Hari berganti bulan, bulan berganti tahun. Setiap kali melalui jalan itu, hati saya bergetaran. Entah mengapa suka amat jiwa dan perasaan saya pada pokok tersebut. Mahu saja rasanya membawa cakul dan segala peralatan untuk cabut pokok tersebut dan bawa ke laman rumah. Biar hari-hari dapat ditatap, disiram, dijaga dan dipelihara. Tapi itu bukan cara saya bertindak. Bukan. Lagipun kena mintak izin tuan punya dahulu.

Makin lama saya makin sayang pada pokok itu. Bila saya gembira, bunga-bunganya akan berkembang mekar dengan warna merah jambu yang cukup membuat hati lebih ceria. Jika saya sedih, maka bunganya akan layu dan gugur seiring rasa hati. Tika itu saya rasa pokok itu memang serasi dengan jiwa saya. Saya nak lihat pokok itu berbuah pula selepas ini, maka saya ingin jaga dengan sebaiknya.

Selepas 5 tahun hanya memerhati, saya beranikan diri bertandang ke laman rumah pokok itu berada. Saya jumpa dengan tuan punya pokok itu. Saya minta izin. Boleh kata kerap kali saya ke situ. Untuk berteleku di bawah pohon kesukaan saya. Tapi bukan bersendirian, ditemani tuan punya pokok selalunya, di laman rumah pokok itu berada.

Tuan punya pokok dapat mengagak yang saya sukakan pokok tersebut. Tapi dia hanya diam. Tak pernah pun mempelawa saya untuk mencabutnya dengan akarnya sekali, kemudian tanam di laman rumah kepunyaan bapa saya. Mungkin saya belum layak, belum bersedia, masih seorang 'budak' pada pandangan dewasa. Cuma ada menasihatkan :

" Masa kamu maih panjang, di tanah baru nanti macam-macam pokok kamu akan jumpa, pokok kurma, pokok zaitun, pokok kaktus pun ada," itu katanya. Saya akur.

2 tahun kemudian, saya jadi budak tua. Pokok itu masih jadi pujaan saya. Kini daunnya kian merendang. Makin cantik. Makin berseri lawanya.

Pernah satu ketika saya minta pada ibu untuk cabut pokok tersebut dari tempatnya dan tanam di laman rumah, namun ibu semacam tidak setuju.

" Tak boleh. Kamu tu nak pergi jauh. Nanti siapa nak jaga? Siapa nak siram? Siapa nak bubuh baja?? Tuntutlah ilmu dahulu, cukupkan persediaan. Setelah selesai, terpulang pada kamu ", itu jawapan ibu. Saya diam membisu.

Saya akur..

Tidak lama kemudian saya dapat tawaran untuk belajar jauh. Jauh dari tanah yang membenam akar pokok kesayangan saya. Hati berbaur sedih. Sedih nak meninggalkannya. Hendak di bawa ke laman rumah tidak punya kuasa. Hanya memendam dalam jiwa.

Sebelum bertolak pergi, saya bicara pada pokok itu. Ia bagai menangis. Kemudian digugurkannya sehelai daun hijau. Urat daun bagai menulis sesuatu. Saya tidak nampak tapi saya mengerti dan amat faham. Ia harapkan saya kembali untuk bawa dan tanam di laman rumah saya sendiri.

Saya nekad untuk mencuba. Tapi saya perlu berpisah sementara...

Saya bawa diri....

Kini saya sudah berada jauh dari bumi tercinta. Angin bagai menerbangkan daun-daun dari pokok tersebut membawa khabar berita. Saya tenang dengan keadaan itu.

Namun ketenangan itu tidak lama..

Saya dikejutkan oleh satu berita, ada orang lain yang mahu cabut dahulu pokok itu bersama akarnya dan bawa pergi ke laman rumahnya. Dia mahu tanam dan jaga lebih baik dari yang saya lakukan. Dia mahu pokok itu jadi lebih rendang. Mahu berbunga lebih cantik dan mahu pokok itu berbuah dengan lebat di laman rumahnya. Dia akan jumpa dengan tuan punya pokok, mungkin lebih dahulu daripada yang dapat saya lakukan.

Saya sayang pokok itu. Sudah 7 tahun saya jadikan ia pokok kesukaan saya, hanya ia sebatang. Tuannya pun sudah tahu saya akan mengambil pokok itu nanti, selepas kepulangan saya. Tapi hasrat orang itu juga tinggi. Mungkin dia ada kelebihan tersendiri. Jika dia berjaya, maka saya akan kehilangan pokok yang saya suka buat selamanya.

Saya harap pokok itu akan kuatkan akarnya pada tanah yang membenamnya. Agar orang lain tidak mampu mencabutnya dan bawa ia pergi ke laman rumah mereka. Hanya saya yang seharusnya dapat mencabutnya dan bawa ia ke laman rumah saya sendiri. Saya yang mula-mula mahu ia berbuah dengan selebat-lebatnya! Saya yang mahu bunga-bunganya mekar sentiasa di laman rumah saya!

Harap saya dapat jumpa pokok itu nanti..

Dan ada peluang lagi...

Tanam ia di laman rumah saya sendiri...

Berakhir Satu Tanggungjawab, Bermula Satu Muhasabah

Alhamdulillah, Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia seJordan atau dikenali sebagai PERTAMA kali ke-3 telah pun melabuhkan tirainya. Program yang mengumpulkan mahasiswa-mahasiswi seluruh Jordan ini berjaya diakhiri dengan terhasilnya 11 resolusi yang mampu memacu arah MPPMJ membentuk mahasiswa-mahasiswi yang profesional, berfikiran kritis dan kreatif juga mampu menterjemah isu-isu global dalam satu sudut pandangan yang berbeza.

























Memang perlaksanaan PERTAMA kali ke-3 ini mengalami bermacam kekangan dan kekurangan tetapi, apa yang pasti segalanya ini mampu menjadi iktibar dan panduan dalam perlaksanaan PERTAMA yang akan datang. Mewakili Biro Program, saya memohon kemaafan daripada semua peserta dan para perwakilan yang datang dari ribuan batu jauhnya bermula dari Yaman, Arab Saudi, Mesir hinggalah ke negara jiran Syria atas kekurangan sepanjang program dilaksanakan.

Kadang-kadang kita sebagai manusia selalu merasakan bahawa perancangan kita adalah yang terbaik namun kita terlupa ada perancangan yang lebih baik dan lebih tersusun indah penuh dengan hikmahnya tersendiri, itulah perancangan Allah SWT.

Hidup memang penuh cabaran, namun cabaran itu adalah penambah perisa kehidupan. Manusia sentiasa menghadapi kesukaran dan kepayahan dalam hidupnya. Segalanya ini haruslah dihadapi dengan penuh redha, rasa kebergantungan kepada Tuhan dan semangat yang kental bagi meraih rasa penuh kebahagiaan setelah selesai cabaran dirempuh dan diselesaikan. Akhirnya segala rasa payah, susah dan mencabar ini terasa mudah untuk dihadapi.

Allah SWT berfirman :

Oleh itu ( tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya ( sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertai kemudahan- Alam Nasyrah, ayat 5-6


Diharapkan PERTAMA kali ini menjadi titik tolak ke arah kematangan fikiran mahasiswa-mahasiswi di bumi Jordan ini. Semoga persidangan yang akan datang membawa sedikit sebanyak semangat dari PERTAMA kali ke-3 ini yang mengangkat idealisme dan pandangan mahasiswa-mahasiswi di Jordan ini ke tahap yang lebih berbanding mahasiswa-mahasiswi di negara-negara lain.

Ayuh rakan-rakan sekalian.

Kini masanya untuk kita berubah!!

" Kearah Kematangan Mahasiswa Muslim "









Selasa, Februari 03, 2009

" Ke Arah Kematangan Ideologi Mahasiswa Muslim "













Entry saya kali ini tidaklah mahu merungkai isu kematangan ideologi para mahasiswa sekaliannya. Bukan juga mahu menghurai isu kemandulan pemikiran mahasiswa bumiputera terutamanya. Entri saya kali ini adalah promosi kepada satu program ilmiah yang cukup bernilai untuk dimanfaatkan oleh mahasiswa-mahasiswi seluruh Jordan khususnya di awal semester baru nanti.

Program yang dikenali sebagai Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia seJordan ( PERTAMA ) ini dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan ( MPPM ) bermatlamat untuk menyatukan semua mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di bumi Jordan ini.

Program ini telah diadakan buat pertama kalinya pada tahun 2001 dan telah berjaya mengahsilkan beberapa resolusi yang melibatkan kebajikan mahasiswa Malaysia Jordan, isu-isu semasa tanahair serta dunia ketika itu. PERTAMA kali ke-2 pula telah diadakan pada tahun lalu dengan banyak resolusi telah terhasil.

Tahun ini sekali lagi MPPM mempersembahkan program yang mahal harganyanya ini kepada mahasiswa-mahasiswi Malaysia Jordan dengan bertemakan ' Ke Arah Kematangan Ideologi Mahasiswa Muslim'. PERTAMA kali ini akan diadakan pada 12, 13, dan 14 Februari 2008 di Universiti Yarmouk di Irbid, Jordan.

Objektif yang ingin dicapai melalui PERTAMA pada tahun ini ialah :

1. Mempertingkatkan tahap keintelektualan mahasiswa Malaysia di Jordan.
2. Membentuk sikap keprihatinan sosial dalam jiwa mahasiswa.
3. Menggembleng seluruh tenaga intelektual mahasiswa dalam melihat isu dan masalah semasa.
4. Menggilap imej mahasiswa Malaysia Jordan melalui idea dan suara mereka.
5. Merapatkan ukhwwah sesama ahli di seluruh Jordan.
6. Mengukuhkan hubungan baik MPPM dengan persatuan mahasiswa Timur Tengah yang lain.



Untuk lebih memeriahkan PERTAMA kali ke-3 ini, pihak MPPM telah menjemput rakan-rakan persatuan pelajar dari negara-negara Timur Tengah yang lain. Semoga dengan kehadiran mereka ini dapat menambahkan perkongsian ilmu sesama mahasiswa sekaliannya.

Kepada semua mahasiswa Malaysia di Jordan, jangan lepaskan peluang anda. Mari kita sama-sama membina kematangan ideologi sebagai mahasiswa muslim yang bakal mewarnai dan mencorakkan dunia pada masa akan datang. Kitalah pewaris keunggulan Islam di era moden ini.

Jika kita terus berfikiran tidak matang, nescaya musuh-musuh kita akan dengan senang-lenangnya mengganyang Ummah ini. Jangan biarkan ia berlaku! Mari kita bina kematangan ideologi kita sebagai mahasiswa muslim yang terbaik! Insyaallah.

Segeralah daftarkan diri anda. Untuk maklumat lanjut boleh klik di sini.

*Khas buat mahasiswa di Jordan


Ahad, Februari 01, 2009

" Kamu Bunuh Mereka!"























" Kamu bunuh mereka!" , begitu kata-kata yang dilemparkan oleh seorang pemimpin Islam dari sebuah negara yang asalnya begitu rapat hubungan politiknya dengan kerajaan kejam Zionis Israel. Dia boleh dikatakan salah seorang pemimpin di dunia ini yang berani bersuara dan bertindak ( bukan cakap dalam selimut sahaja ) selain dari Hugo Chaves.

Ya, dialah Recep Tayyib Erdogan. Perdana Menteri sebuah negara bekas pusat empayar Islam Uthmaniah satu ketika dahulu, Turki. Negara yang dahulunya nyata memperlihatkan kekuatan dan keagungan Islam sebelum diruntuhkan oleh rancangan jahat kafir laknatullah.

Satu dunia diam tidak bersuara, satu dunia diregut rasa terkejut dan tidak percaya ketika Erdogan dengan lantang dan beraninya mengkritik Presiden Israel, Shimon Peres dalam satu debat berkaitan Gaza semasa sidang Forum Ekonomi Sedunia yang berlangsung di Davos, Switzerland.

Erdogan yang tidak berpuas hati dengan masa yang diberikan oleh David Ignatius, penulis Washinton Post yang mempengerusikan majlis kerana hanya memberinya masa 12 minit untuk berucap sedangkan Peres boleh berucap panjang selama 25 minit telah mengkritik Peres dengan lantangnya.

" "Kamu bunuh mereka. Saya masih ingat kanak-kanak yang mati di tepi pantai. Saya masih ingat dua bekas Perdana Menteri (Israel) berkata mereka gembira masuk Palestin dengan kereta kebal. Dalam soal membunuh, kamu terlalu hebat", kritik Erdogan.























Tindakan yang dilakukan oleh Erdogan ini tersiar di hampir seluruh pelusuk dunia. Ramai yang terpegun dengan kelantangan dan keberanian Erdogan mengkritik pengganas besar yang menjadi Presiden Israel ini, Shimon Peres. Kritikan yang ditujukan betul-betul tepat di atas hidung manusia durjana itu dihadapan masyarakat Eropah yang menjadi penyembah Yahudi Laknatullah, juga dihadapan umat dunia yang hanya melihat sahaja kekejaman Zionis.

Di mana pemimpin-pemimpin Islam lain???

Beranikah membuat tindakan serupa Erdogan?? Atau hanya bersuara dihadapan rakyat negara pimpinan mereka kemudian menikus di hadapan musuh durjana.

Atau mahu menjadi seperti pemimpin Fatah yang lebih menyebelahi musuh sebenar bangsa, tanah air dan agama mereka?? Mahu jadi seperti Husni Mubarak yang membunuh saudara seagama dengan membekalkan makanan kepada tentera Zionis sedang makanan saudara segama, mangsa kekejaman disekat, ditahan dari memasuki Gaza??

Tahniah Erdogan di atas kelantangan dan keberanian kamu menegakkan maruah sebagai seorang Islam!