Isnin, Jun 25, 2012

Sastera Dan Kepentingannya

Lama saya berfikir dalam menung yang panjang perihal perkara ini. Itu pun setelah terbaca satu tulisan Puan Nisah Haron mengenai pelajaran sastera. Sastera bukan untuk pelajar bermata merah katanya.

Saya juga berpendirian begitu. Bagi saya sastera ini satu benda yang mulia dan tinggi. Jika di zaman sekolah dulu ramai rakan yang kata saya pelik kerana membaca novel-novel berat. Ayat berpusing kata mereka. Susah nak faham apatah lagi mahu feeling dengan novel tersebut ujar mereka lagi. Namun bagi saya itu satu kepuasan!

Hanya yang faham dan mempunyai cinta yang dalam terhadap bahasa bangsanya sahaja yang peduli.

Sehinggalah sekarang, saya masih lagi berpendirian begitu. Sebab itu saya sukar membaca novel atau apa sahaja tulisan yang tidak sempurna tulisan dan duduk letak nahu Melayunya. Tak feel kata saya pula!

Lalu akhirnya dalam leka meneroka halaman demi halaman laman Puan Nisah Haron, saya temui satu artikel yang amat bagus dan tepat menjawap persoalan saya, apakah pentingnya sastera?

Dengan izin, saya kongsikan di laman ini. Artikel (sebetulnya kertas kerja mungkin) asalnya di sini.


Kepentingan Sastera Dalam Kehidupan

Kata Sasterawan Negara, Dato’ Shahnon Ahmad, sastera ialah seismograf kehidupan. Apa itu seismograf? Menurut Kamus Dewan, seismograf ialah alat bagi mengukur kekuatan gempa bumi. Jadi, mengapa perkataan seismograf dipilih? Itu makna yang bersifat literal ataupun harafiah. Seismograf dalam erti kata lain ialah kayu ukur ataupun penyukat kepada kehidupan.

Cuba lihat kehidupan hari ini. Seni dan sastera wujud daripada persekitaran yang ada. Perhatikan bahawa satu masa dahulu, lagu dangdut kedengaran di mana-mana. Pada ketika itu, Indonesia melalui zaman hedonisme yang melampau hinggakan Presidennya pun tumbang. Kini lagu-lagu dari Indonesia sudah berubah. Seiring dengan perubahan pola dan cara hidup masyarakatnya.

Cuba lihat pula lambakan pasaran buku hari ini. Penerbit buku kini lebih ghairah menerbitkan buku-buku yang bertemakan cinta dengan nafsu murahan. Mengapa? Kerana ada pasarannya. Perhatikan bagaimanakah bangsa Melayu hari ini? Secara kasarnya sudah berani hanyut dengan hiburan-hiburan yang sia-sia. Anak-anak muda menangis meraung jika gagal menyertai program-program realiti. Penonton pun sama meraung-raung apabila ada peserta yang gagal ke peringkat yang selanjutnya. Ibu bapa juga mengucapkan “Alhamdulillah, anak saya terpilih dalam program realiti tv ini.”

Jadi, tidak cukupkah kita hanya berhibur, berhibur dan berhibur hingga tiada suatu pun yang kita tinggalkan untuk ruang berfikir ataupun ruang ta’akul – ruang penafsiran.

Sastera pula bukan sekadar buku cerita, bukan sekadar puisi. Bagi saya, sastera ialah suatu seni kata-kata bagi menyampaikan sesuatu yang bermanfaat untuk tamadun, mengajak pembacanya berfikir dan mendorong pembaca melakukan kebaikan serta menimbulkan rasa insaf.

Jadi apa pentingnya sebuah buku cerita dalam kehidupan?

Sebuah karya sastera yang mewakili bangsa dan negaranya akan memberikan beberapa perkara, antaranya :

jati diri

patriotisme

rasa syukur

Membaca puisi-puisi A. Samad Said, misalnya, menemukan saya dengan banyak perkara. Kecintaannya terhadap bahasa, kritikan sosialnya yang lembut tetapi dalam makna dan juga rakaman peristiwa yang diabadikan dalam karyanya. Begitu juga dengan karya-karya Usman Awang yang banyak berbicara tentang kedamaian dan keseimbangan masyarakat.

Cuba-cubalah membaca karya Siti Zainon Ismail, sama ada cerpennya ataupun puisi-puisinya yang penuh kewanitaan tanpa meninggalkan akarnya yang gemilang. Sebagai penyair dan ahli akademik, Siti Zainon telah merantau ke seluruh dunia, namun karya-karyanya masih segar mempertahankan jati dirinya sebagai wanita Melayu Islam yang sejati.

Di kalangan penulis yang lebih muda, bacalah karya-karya SM Zakir, Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim dan Nisah Haji Haron. Pendek kata, mereka ini bukan penulis yang hanya menggarap kisah cinta yang selapis, terlalu polos ataupun bersifat superficial. Penulis-penulis ini telah berjaya menyampaikan suatu mesej yang jauh lebih dalam berbanding usia mereka.

Dari aspek kelulusan dan kerjaya, penulis-penulis muda hari ini bukan sekadar berkelulusan sastera. Terdapat ramai penulis muda (berusia bawah 40-an) yang mempunyai latar belakang disiplin yang berbeza tetapi dapat menjadi penulis yang baik.

Mengapa mereka ini boleh menulis? Satu perkara penting yang ada dalam diri penulis-penulis ini ialah jati diri yang disebutkan tadi. Para penulis ini tahu akan identiti dirinya sebagai bangsa Melayu dan sedar diri bahawa, jika bukan merekalah yang melangsungkannya. Siapa lagi?

Lantas, apa pula peranan kita sebagai pembaca karya sastera?

Pilihlah bahan bacaan yang boleh menjentik pemikiran yang tinggi. Carilah bahan bacaan yang diiktiraf sebagai kesusasteraan Melayu tinggi yang boleh membangkitkan rasa kemanusiaan, kerana itulah peranan sastera yang utama : melahirkan rasa kemanusiaan dalam diri manusia.

Sastera sebagai satu elemen kehidupan bukannya untuk diasing-asingkan. Sastera tidak boleh bercampur dengan sains, ataupun sastera tidak boleh bercampur dengan ekonomi, perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya. Sastera itu boleh wujud dalam mana-mana cabang ilmu yang ada. Itulah kelebihannya.

Ada pihak yang menyatakan sastera ini berbelit-belit. Satu perkara yang langsung akan disampaikan dalam bentuk yang berkias-kias. Bagi saya, di situlah seninya penyampaian orang Melayu. Sebagai contoh, perhatikan tulisan Bapak Tenas Effendy dalam bukunya “Ungkapan Tradisional Melayu Riau” tentang peranan seorang anak :

Pertama anak manusia

Anak yang tahu asal jadinya

Yang tahu membalas guna

Kecil cencilak padi

Besarnya cencilak padang

Kecilnya duduk mengaji

Besarnya tegak sembahyang

Mengaji syarak dengan adat

Mengaji salah dengan silih

Mengaji aib dengan malu

Mengaji untung dengan rugi

Yang kuat mememang amanat

Yang setia memegang amanah

Duduk tahu akan dirinya

Tegak tahu akan maruahnya

Cakapnya berhingga-hingga

Baiknya berpada-pada

Sifatnya berpatut-patut

Patut bergaul sama sebaya

Patut duduk dalam majlis.


Andainya, kata-kata ini dikatakan secara langsung, kesannya tidak akan sama. Mesej yang cuba diperkatakan dalam ungkapan ini ialah, jadilah anak yang baik dan berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan tanah air. Namun, mesej ini disampaikan dalam bentuk yang indah.

Kata-kata ini tidak wujud dalam bahasa lain. Kalau ada pun, ia dalam bentuk yang berbeza. Pantun Melayu, contohnya, tidak wujud dalam mana-mana tamadun bukan Melayu. Pantun menjadi subjek kajian sarjana Barat yang hairan betapa hebatnya orang Melayu mencipta pantun. Mereka cuma ada quatrain – kata-kata dalam empat baris satu rangkap. Tetapi, orang Melayu boleh mencipta pantun dengan 2 baris pembayang dan 2 baris maksud. Kedua-duanya mempunyai perbezaan tetapi ada perkaitan.

Contoh :

Buah cempedak di luar pagar,

Ambil galah tolong jolokkan;

Saya budak baru belajar,

Kalau salah tolong tunjukkan.


Pantun ini menujukkan akal budi orang Melayu pada zaman itu. Frasa di luar pagar, menujukkan melangkau had ataupun batasan kemampuan. Galah itu pula simbol bantuan dari luar. Jika bantuan dalam dirinya, mungkin frasa yang berbeza digunakan, misalnya ambil jari. Sedangkan kalau kita pernah lihat pokok cempedak, ia berbuah pada bahagian batang dan rendah pula. Itu menunjukkan betapa ‘budak’ tadi terlalu kecil sifatnya hinggakan buah cempedak yang yang rendah itu pun tidak boleh dicapainya, kerana dia berada ‘di dalam pagar’ sedangkan buah cempedak tadi di luar pagar.

Oleh itu, dia memerlukan bantuan untuk mengambilnya. 2 baris tadi pula digabungkan dengan baris “saya budak baru belajar / kalau salah tolong tunjukkan”. Perhatikan juga pemilihan kata yang santun iaitu “tolong”. Orang Melayu mempunyai sifat santun yang terpancar dalam bahasas dan karya sastera. Inilah yang tidak boleh kita tinggalkan. Saya teringat kepada petikan puisi Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul “Melayu”.

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun.

....

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya

Gedung akal laut bicara'

....

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi bukan melonjak.

.....

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan.

....

Semua ini hanya boleh ditemui dalam buku-buku sastera. Bukan sekadar buku-buku cerita yang hanya menggarap tema cinta biasa. Carilah keluarbiasaan dalam membaca. Bukan sekadar membaca cerita yang serupa dengan formula yang sama. Ya, cinta itu indah. Namun, cinta itu juga luas maknanya dan cinta juga dalam sifatnya.

Apabila kita melihat seorang gadis yang cantik, mengapa mesti jatuh cinta pada kecantikannya sahaja. Mengapa terhenti setakat itu? Jatuh cintalah kepada Dia yang mencipta kecantikan itu. Dialah meminjamkan kecantikan tersebut kepada gadis itu. Satu hari nanti, kecantikan itu akan diambil kembali. Sanggupkah nanti, kita bercinta dengan gadis yang sudah tidak cantik itu? Tetapi, kalau kita mencintai Dia yang mencipta kecantikan itu, nanti akan timbullah perasaan yang lebih dalam. Kecantikan gadis itu bukan lagi dilihat kepada sesuatu yang zahir tetapi apa yang terpancar daripada dalam diri.

Apa lagi kepentingan sastera dalam kehidupan? Dalam sastera ada ilmu. Penulisnya bertungkus-lumus memasukkan suatu ilmu yang boleh pembaca manfaatkan. Ilmu hanya boleh digali. Ilmu itu tidak datang sendiri. Ilmu bukan sahaja diperoleh melalui buku-buku teks. Tetapi aplikasi sesetengah ilmu itu boleh juga ditemui dalam karya sastera. Novel saya Mencari Locus Standi memasukkan ilmu perundangan dalam bentuk cerita. Sesiapa yang membacanya akan mengutip banyak hal tentang dunia perundangan, kehidupan pelajar undang-undang dan aplikasi undang-undang itu sendiri.


Kata Za’ba dalam syair Kelebihan Ilmu:

Ilmu itulah gemala sakti,

Sinarnya cerah cahaya sejati,

Asal puncanya lamun didapati,

Sukar bercerai sehingga mati.

Sejarah telah pun merakamkan bahawa tokoh-tokoh sarjana di dalam dunia sains Islam seperti

· Al-Harth ibn Kaladah (Ahli perubatan Islam terawal dan juga seorang pemuzik berkebolehan)

· Al-Kindi (Bapa Falsafah Islam dan sasterawan)

· Al-Razi (tokoh perubatan dan pemuzik)

· Al-Farabi (tokoh falsafah dan pemuzik)

· Ibn Yunus (pakar astronomi dan sasterawan yang kreatif serta penyair paling prolifik)

· Ibn Maskawaih (doktor yang berpengetahuan luas dalam bidang bahasa, sastera dan ilmu-ilmu klasik)

· Ibn Sina (tokoh multi-disiplin yang memulakan pengajiannya di bidang bahasa dan sastera)

·Ibn Haitham (Sarjana sains dan falsafah yang juga menulis tentang sastera)

dan ramai lagi merupakan tokoh-tokoh multi-disiplin yang menjadi sastera sebagai sebahagian daripada pengisian jiwa dan rohani mereka.

Hal yang sama turut berulang pada zaman permulaan di Andalus. Nama-nama seperti Abu Al-Sult ibn Abdul Aziz, Ibn Al-Sayid Al-Batalyausi, Ibn Bajjah dan Ibn Khaldun tidak boleh dicicirkan daripada senarai sasterawan Islam yang turut menguasai cabang-cabang ilmu yang lain.

Islam berada di puncak ketamadunannya apabila ramai di kalangan sarjana ini mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam pelbagai bidang. Rekod-rekod yang mereka tinggalkan menunjukkan bahawa masyarakat pada zaman ini tidak mengkategorikan setiap ilmu yang ada lantas menghalang golongan tertentu daripada melintasi disiplin ilmu yang lain. Sarjana dunia Islam ini dapat dilihat sebagai mereka yang amat mencintai ilmu dan mempelajari setiap ilmu serta benar-benar mempraktikkan kata-kata ‘tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad’.

Kesimpulannya, sastera itu ialah sebahagian daripada kehidupan. Usah dinafikan kepentingannya.


sumber: http://annyss.blogspot.com

Selasa, Mei 08, 2012

Rintih-merintih




Ini taman harapan.
Ada benih keinsanan
yang sentiasa dibaja dengan taburan
keilmuan dan keimanan.

Namun sedih sekali,
entah apa salahnya.
Tidak tahu apa dosanya.
Benih-benih yang kerap dibaja
terus juga rosak dimamah serangga. 

Biar taman ini tidak pernah 
sekali pun ditakluk
secara lahiriahnya.
Rupanya ia sudah lama ditawan dari dalam
tanah yang melatarinya.
Jadilah akhirnya
benih-benih segar itu,
pohon-pohon kering yang layu
lalu mereput 
hilang...


Indera Mahkota. 8 Mei 2012. 3.50 p.m.


____________________________

Ini suara kekecewaan. Sedih melihat anak bangsa yang rosak musnah. Sekarang, walau berada di menara keilmuan, diri, rupa dan akal seolah dijajah; atau sebetulnya memang dijajah. Akhirnya wajah anak bangsa yang beragama itu hilang entah ke mana. Bosan melihat gelagat 'mereka-mereka' ini. Wahai semua (termasuk aku) ingatlah akan hari 'esok' yang entah bagaimana 'berdirinya'  kita!!

Khamis, Mac 01, 2012

Kepelbagaian Hati

Rasullullah SAW bersabda :

" Ketahuilah bahawa di dalam jasad itu ada seketul daging, Jika baik daging itu maka baiklah jasad itu seluruhnya. Dan jika rosak daging itu, maka rosaklah jasad itu seluruhnya. Ketahuilah itu adalah hati."

Hati memainkan peranan yang amat besar pada diri seorang anak Adam itu. Ia seumpama raja di dalam diri kita. Jika sesebuah kerajaan itu ada raja atau pemerintah, maka dalam kerajaan diri manusia itu hatilah raja dan pemerintahnya 

Jika baik raja atau pemerintah tersebut dalam pemerintahannya, maka baiklah seluruh kerajaan yang dikuasainya. Aman sentosa serta bahagialah rakyat jelata. 

Tidak jauh beza dengan hati. Jika kerajaan dalam diri manusia itu dikuasai atau diperintah oleh  hati yang baik, yang bersih, natijahnya akan membekas pada tingkah-laku dan peribadi seorang anak Adam itu. Sebaliknya pula jika yang memerintah itu hati yang jahat, kotor, busuk maka natijahnya akan tergambarlah pada diri anak Adam itu keburukan, kehinaan, kebusukan tingkah-laku dan berbagai lagi perkara yang merosakkan.

Jenis-jenis hati

Ulama membahagikan hati kepada 4 keadaan. Keadaan pertama adalah seperti ini :

                                                   
                                                             

Seumpama cawan yang penuh dengan kotoran. Agak-agaknya jika kita tuangkan air mineral ke dalam cawan ini apa akan jadi? Sudah tentu air yang kita tuang itu akan tercemar disebabkan oleh kotoran yang melekat pada cawan tersebut.

Begitu juga hati. Jika ia kotor, apa akan jadi dengan rahmat dan ilmu yang Allah turunkan kepada kita? Sudah pasti ilmu dan rahmat itu akan tercemar dan rosak disebabkan oleh kotornya bekas (hati) yang menadahnya.

Teringat saya satu kisah di mana Imam As-Syafie bertanya kepada gurunya Imam Waqi' tentang kesukarannya untuk menghafaz. Kata gurunya, jauhi maksiat. Sungguh ilmu itu adalah cahaya dan cahaya tidak akan turun ke dalam hati yang terpalik dengan kekotoran maksiat.

Kisah ini menggambarkan kepada kita bahawa hati yang kotor dipenuhi kekotoran itu merupakan hijab penghalang masuknya ilmu dan rahmat Allah SWT.


Keadaan hati yang kedua adalah seumpama ini :

                                                                 


Bentuk hati yang kedua adalah hati yang retak, pecah. Hati jenis ini tidak mendatangkan sedikit pun manfaat pada pemiliknya. Sama seperti cawan pecah juga. Tidak ada manfaat buat tuannya. Isilah air sebanyak-banyaknya. Tuanglah seribu baldi air yang berbagai jenis pun, ia tidak akan dapat menampung air tersebut. Tidak dapat menyimpan lalu kehausanlah tuannya untuk mengambil manfaat dari cawan miliknya.

Hati yang retak pecah begitulah. Selautan pun rahmat dan ilmu Allah diturunkan ke dalamnya ia tidak akan sekali-kali menampung curahan tersebut. Ia tetap akan kembali kosong seperti tidak pernah terisi. Lalu apalah manfaat yang diperoleh tuannya. Kehausanlah ia daripada rahmat, kasih sayang dan ilmu Allah SWT. Jasadnya hidup namun hatinya kosong.

Puaslah ia berdoa, mengharap. Namun setitis pun rahmat Allah itu tidak melekat andai diturunkan. Lalu menjadi sia-sialah kehidupannya. Akhirnya hanyutlah ia dalam hidup dunia yang tidak pernah putus kenikmatannya ini.

Hati jenis yang ketiga seperti ini :

                                                             

Umpama gelas yang bertutup rapat. Agak-agaknya jika dituangkan air ke atasnya apa akan jadi?

Pasti air itu tidak akan dapat masuk walau sedikit pun ke dalamnya. Air akan mencurah-curah tumpah. Hanya menyentuh penutupnya sahaja. Lalu apakah dapat tuannya menghapus dahaga dengannya jika tidak membuka  penutup tersebut.

Begitulah hati dari jenis ini. Hatinya tertutup rapat lagi kemas dari menerima ilmu dan rahmat Allah SWT. Tidak ada manfaat yang diperoleh tuannya. Jika jenis-jenis sebelum ini walau tidak melekat kuat, tetapi masih berjaya masuk dan jika lama-kelamaan dituangkan air, ia akan mampu juka menakung walau seketika.

Adapun jenis hati yang tertutup ini lebih teruk dan mudarat lagi kepada pemiliknya.

"Dari Abu Hurairah, dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda, “Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan “ar raan” yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (yang ertinya), ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka’.” 
( HR. At Tirmidzi no. 3334, Ibnu Majah no. 4244, Ibnu Hibban (7/27) dan Ahmad (2/297). At Tirmidzi mengatakan bahwa hadits ini hasan shahih.)
Sungguh ianya bermula daripada hati yang terpalit dengan kekotoran. Kotor itu jika tidak dicuci akhirnya menutup hati. Andaikan pula sebuah cermin yang berkilat cantik. Dibiarkan lama di kawasan yang berdebu. Lama-kelamaan cermin itu akan pudar lalu akhirnya ia terus gelap,hilang sifatnya untuk memantul cahaya. Jika didatangi pasti seinci pun wajah kita tidak kelihatan.

Yang lebih menakutkan lagi, apa yang kita perbuat sesekali tidak menghilang kotoran yang ada bahkan menutup terus hati kita selama-lamanya. Sedikit pun cahaya, rahmat dan ilmu Allah tidak akan singgah kepada diri kita, nauzubillahi min zaalik. Moga-moga kita dijauhkan daripada hati yang tertutup ini. 

Ini pula gambaran kepada jenis hati yang keempat :

                                                             

Hati ini umpama cawan yang bersih lagi suci. Apa pandangan anda? Jika ditunagkan air, apa yang akan berlaku?

Pasti air itu akan tertuang molek memenuhi cawan tersebut. Kejernihan air juga akan jelas kelihatan. Bukan sahaja ia nampak cantik bersih bahkan dapat menghilangkan kehausan kepada pemiliknya. Manfaatnya sudah pasti memberi seribu tahu kebahagiaan buat pemiliknya.

Inilah hati yang sepatutnya kita miliki. Harta yang seharusnya kita dapatkan. Jernihnya hati ini pasti menarik perhatian tuannya dan orang-orang yang melihatnya. Bahkan penuhi langit pun pasti akan mengaguminya. 

Begitulah jenis-jenis hati manusia ini. 

Kata Saidina Ali RA : " Bekas-bekas (tempat diturunkan ilmu dan rahmat) Allah di dunia ini adalah hati"

Berdasarkan kata-kata ini, bersedihlah kita jika hati kita bukan dari kategori yang terakhir ini. Malanglah bagi kita jika hati kita dari kategori yang pertama, kedua dan ketiga. Sungguh rahmat dan ilmu Allah itu tidak dapat tumpah kepada kita. Lalu berlakulah berbagai-bagai masalah dalam kehidupan.

Sebab itu, jika kita sering mengadu bahawa kita ada masalah itu, ada masalah ini rujuklah kembali kepada keadaan hati kita. Agak-agak bagaimana keadaannya. Sihatkah, sakitkah atau sudah memang tenat dan nazak? 

Memang sakit ini sukar dikesan. Kerana itu ia sering sahaja dipinggirkan. Dan kalau pun seseorang itu tahu akan sakitnya itu, sukar untuk dia menerima rawatan dengan ubat yang amat pahit dan sukar untuk ditelan. Masakan tidak, ubat hati itu adalah setiap perkara yang bertentangan dengan nafsu dan seiiring dengan kehendak Rabb.

Mencuci hati tidak seperti mencuci cawan-cawan yang kotor. Beli sahaja sunlight atau seumpamanya kemudian campurkan air, disapu kemudian bersihlah.

Hati ini memang perlu digilap dan dicuci. Walau bahan-bahan pencucinya nampak mudah untuk dicari dan dibuat namun untuk mengamalkannya dan istiqamah dengannya memerlukan 'rasa juang' yang tinggi.

Sebab itu Rasul SAW pernah menukilkan ketika pulang dari medan peperangan, bahawa mereka baru sahaja pulang daripada peperangan yang kecil. Terkesima  para sahabat. Apakah selama ini peperangan yang disertai mereka hanya peperangan yang kecil sedangkan sudah ramai para sahabat yang terkorban dalam menyertainya.

Lalu ketika ditanya kepada Rasul SAW barulah mereka faham. Yang dimaksudkan perang yang besar itu adalah perang melawan hawa nafsu. Memang, ada orang mungkin gagah fizikalnya, berani, berketul-ketul ototnya namun untuk menahan diri dari makan di bulan puasa pun ia tidak mampu.

Begitu juga ada orang yang nampak hebat dipandangan, kekuatannya tidak dapat ditandingi namun untuk menahan diri daripada kemarahan yang menyala-nyala sedikit pun tidak mampu. 

Ada hadis membicarakan tentang hal ini :

Rasullullah SAW bersabda, " Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah." (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Selepas ini Insyaallah saya akan menulis tentang ubat-ubat hati pula. Bagaimana untuk kita merubah kedudukan kita daripada jenis hati yang pertama, kedua atau ketiga kepada jenis hati yang keempat.

Moga Allah izinkan.