Memaparkan catatan dengan label Catatan kembara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan kembara. Papar semua catatan

Ahad, April 12, 2020

INGIN KEMBALI



Kali terakhir saya menulis di laman ini adalah pada 5 tahun yang lalu. Itupun cuma datang merayau sebentar, kemudian cuma mencoret. Coretan pun meminjam dari laman lain, bukan dari rasa hati sendiri.

Mungkin teknologi yang pesat berkembang, menyeret saya untuk terus tabah di sini. Dengan Facebook, Whatsapp dan bermacam lagi lapangan yang ada, saya kesampingkan laman bersejarah hidup sendiri ini.

Lama berlalu. Tempoh 5 tahun itu bermacam sudah berubah. Saya sendiri sudah jauh meninggalkan kebiasaan yang lalu; pada kerja yang tak pernah habis, pada tempat yang selalu dikunjung pergi dan balik, pada teman-teman yang datang dan pergi di sisi. 

Ya, menjadi dewasa. 

Untuk memanjat ke tangga-tangga hidup itu, ada yang harus dilepas, ada pula beban baru yang hendak dipikul. Sedang leka memanjat naik, dari seorang kepada berdua, bertiga, berempat dan kini berlima, ada pesona indah pada mata. Berat namun pandangan dari tingkat yang lebih jauh itu sungguh berbeza rasa.

Iutlah hidup, dunia.

Perjalanan yang entah bila penamatnya. Namun kita harus juga terus berjalan. Mengutip sebanyak mungkin pengalaman dan pengajaran.

Terkadang, ada rindu bertandang pada masa lalu yang sukar dijejak memori. Datang cerah kemudian memudar sedikit demi sedikit. Mencerahkan kembali, harus pada alat yang membawa ke masa lalu itu. Gambar, nota, catatan, ingatan. 

Apabila disingkap, seluruhnya rasa sejuk. Menjalar ke memori. Tenang dan damai.

Itu rasa apabila saya menjejak kembali tulisan-tulisan di sini.

Oh, inilah AKU pada masa yang lalu!

Begitu indah, sukar dikhabarkan. Hanya sendiri yang faham.

Kemudian rasa rindu untuk terus mencoret, mencatat. Mana tahu satu masa anak dan cucu menjumpainya. Kemudian mereka pula akan berkata, oh ini walid atau atuk aku dulu rupanya.

Maka itu, saya ingin kembali. 

Mencoret, menulis memoir hidup yang singkat ini.

Rasa rugi, kerana lima tahun tiada catatan. Hilang. Gelap.

Apa yang mahu diingatkan pada tempoh itu...

Segala rasa manis, pahit, masam, sakit, perit, pedih, suka, seronok, riang, tertawa, tenang dan diam. Semuanya tidak nampak. Tiada bercatat. Kosong.

Ya,moga terus kuat untuk terus mencoret di sini. Agar tidak lagi hilang tahun-tahun yang mendatang.



Jumaat, November 27, 2015

Kuasa Doa


Dalam banyak hal, kita sering takut, bimbang, risau dan tidak tenteram. Lebih-lebih lagi dalam membuat persediaan untuk suatu perkara yang besar dan bermakna dalam hidup. 

Satu benda yang tidak boleh kita nafikan adalah bertapa berkuasanya doa pada kita dalam menghadapi saat-saat sebegini dalam hidup. Doa tu kan senjata bagi orang Islam. Jadi, berdoalah memohon kemudahan dan perlindungan dari Allah swt.

Amalan berdoa ini amat disukai Allah swt. Perkara ini jelas disebut dalam al-Quran yang mafhumnya jika kita berdoa pada Allah pasti Allah akan memakbulkan permintaan kita itu.

Begitu juga Nabi kita Muhammad saw menganjurkan kepada kita untuk berdoa, antaranya:

“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah, selain daripada doa.” (HR. Ibnu Majah dan Abu Hurairah) - 

“Tidak ada seorang muslim pun yang berdoa dengan doa yang tidak mengandung dosa dan memutus hubungan silaturrahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya satu diantara tiga hal : dikabulkan doanya ; ditangguhkan hingga hari kiamat ; atau dijauhkan dari suatu keburukan/musibah yang serupa.” (HR. Ahmad dari Abi Said Al Khudri)

Oleh itu dalam apa keadaan pun, panjatkanlah doa kepada yang Esa. Sandarkan harapan pada kuasaNya. Mudah-mudahan Allah beri kita ampunan dan membantu kita dalam setiap keadaan.

Antara lain, admin ingin kongsikan doa yang boleh kita amalkan bagi dimudahkan urusan. Mudah-mudahan, dengan izinnya dimakbulkan.

Image result for doa dipermudahkan segala urusan


Aku Dan Al-Quran 1


Semalam, selepas waktu kerja saya sempat menemani seorang rakan 'mengeteh' di sebuah gerai. Topik perbualan awalnya biasa sahaja, tentang kerja dan keluarga. Tiba-tiba saya terlintas untuk berntanyakan soalan kepadanya.

'Macam mana ye kita nak jadi pandai? Maksudnya nak jadi orang yang berilmu, hebat macam para ulama' dulu? Kadang-kadang aku rasa bodoh sangat. Banyak benda yang tak tahu. Bila nak kaji, membaca tak tahu nak mula mana.'

Sambil meneguk air dari cawan, rakan saya itu senyum menjawab tapi dalam bentuk persoalan yang dipulangkan kepada saya, 'Berapa kali dah khatam quran?'

'Erk.. Kenapa pula? Tanya pendapat, dia tanya semula soalan kat kita' saya jawab dalam bingung.

'Itulah sebenarnya silap kita ni. Kita selalu lupa pada al-Quran. Sedangkan gedung segala ilmu itu adalah al-Quran. Baca al-Quran, hayati isi kandungannya, amalkan dan hafaz. InshaAllah selesai soalan kau tu.'

Dia tambah lagi, 'Cuba kau kaji para ulama' dulu, benda apa yang mula-mula mereka belajar?'

'Al-Quran..' saya jawab sambil tersengih macam kerang busuk.

'Itu lah kuncinya. Kunci segala ilmu yang ada di dunia ni ada pada Al-Quran tu. Ni kita nak baca pun malas. Seminggu berapa kali je kita buka al-Quran. Nak faham makna, lagilah jauh. Sedangkan mereka menghafaz al-Quran tu, tanam, pasak dalam ingatan, dalam hati mereka. Sebab tu mereka ni power!

Haaa..ambik kau!

Jawapan tu buat saya diam, pergi kaunter bayar duit..balik..

Insaf kejap..

Khamis, Disember 19, 2013

Ujian, Kiamat Dan Rekod

Malam semalam kereta saya tidak boleh dihidupkan! Berkali-kali saya cuba memulas kunci, namun hanya sia-sia. Perkara ini sebenarnya sudah dijangka. Sejak sebulan dua ini memang kereta saya sukar dihidupkan. 

Masalah ini tidak lain berpunca daripada bateri yang sudah melebihi jangka hayatnya yang biasa. Namun, saya biarkan dan tangguhkan sahaja masalah itu tanpa diselesaikan segera. Inilah akibatnya. Padan muka!

Segera saya mencari jumper yang dirasakan ada dalam kereta. Cari punya cari baru teringat, jumper itu ada pada rakan saya, dia terlupa untuk pulangkan semula setelah dipinjam sebulan lalu.

Nah! Kalut dibuatnya. Sekarang timpul penyesalan yang amat sangat, kenapa saya tidak segera menukar bateri setelah mengalami beberapa ratus kali keadaan sukar menghidupkan enjin kereta. Kenapa saya tidak meminta semula jumper dari rakan saya untuk persediaan keadaan sebegini?

Tapi nak menyesal pun sudah tidak berguna. Nasi sudah jadi bubur. Redha sahajalah. Mujur bapa saudara saya tinggal berhampiran tempat kejadian dan datang membantu dengan segera.

Pagi ini, ketika ralit memerhati bateri kereta saya ditukar, saya terfikirkan sesuatu:

Benarlah mati itu tidak menunggu waktu, ketika dan tempat. Tanda-tandanya sudah ada, namun dek terpesona dengan kehidupan seharian, kita biarkan sahaja tanda-tanda itu tanpa bersedia menghadapinya. Dibiar, diabai lalu dilupakan terus....

Akhirnya bila tiba masa yang dijanjikan, kita hanya mampu menyesal. Kenapalah kita tidak bertindak awal-awal lagi untuk cukup bersedia menghadapinya. Kenapa kita lambat bertindak...kenapa...kenapa..dan kenapa???

Itulah manusia. Suka bertangguh dan berlengah sedang akhir kehidupan itu bila-bila masa sahaja boleh datang menjengah. Hayat bateri kereta saya sudah berakhir, hayat saya pula bila-bila masa Tuhan boleh akhiri.

**********

Dua tiga minggu ini sibuk masyarakat berbicara tentang kiamat. Bermula dengan banjir yang berlaku di negeri-negeri pantai timur hinggalah kepada fenomena turunnya salji di Mesir dan Vietnam. 

Orang ramai jadi bimbang dan risau. Banyaklah perkongsian artikel dan nota pendek berkaitan di laman-laman sosial. Tapi yang menjadi persoalan adakah kita mengambil iktibar atas apa yang berlaku lalu kita berubah atau mungkin bersedia menghadapi kemungkinan itu?

Mungkin ada dan mungkin juga tiada langsung.

Ketahuilah, bahawa sebenarnya tanda-tanda kiamat sudah lama bermula (tanda-tanda kecil). Tapi kita masih seperti sebelum-sebelumnya. Sama tanpa ada beza yang ketara.
 
Tanda-tanda akhir zaman cukup banyak untuk kita renung dan nilaikan sebenarnya. Tinggal kita mahu atau tidak untuk bersedia. Bahkan kita ini memang dinamakan umat akhir zaman, jadi tak perlulah kita kecoh dengan kiamat berlaku bila dan sebagainya. 

Kiamat itu pasti, tiada keraguan padanya.

Tapi bila berlakunya itu terserah pada Allah. Hatta Rasul pun tidak tahu bila ia bakal berlaku. Sebagai hamba Allah, kita bersiaplah dengan sebaik mungkin agar tidak menyesal bila waktunya tiba.

Ada lagi perlu kita ingat, percaya kepada hari kiamat itu adalah salah satu daripada rukum Iman!

*********

Baru-baru ini negeri-negeri pantai timur dilanda banjir yang cukup hebat. Antara kawasan yang paling teruk adalah Kuantan. Saya sendiri yang tinggal di Kuantan ini  bernasib baik kerana kawasan rumah jauh dari tempat berlakunya bencana banjir.

Bagaimanapun, bahang bencana itu tetap dirasai oleh kami sekeluarga.

Jalan-jalan tidak boleh dilalui. Hujan yang mencurah dengan sangat lebat selama dua-tiga hari. Langit yang terus gelap. Tiada elektrik, tiada air. Orang ramai berpusu-pusu membeli keperluan di kedai-kedai dan pasaraya hingga beberapa jenis barang keperluan seperti telur dan roti habis.

Semua orang kecoh. 

Itu baru kisah saya. Belum lagi kisah rakan-rakan yang berada di tempat bencana. Contohnya rakan saya yang tinggal di kawasan paling teruk terjejas, Sungai Isap menceritakan saat-saat getir dia dan keluarganya ketika bencana berlaku.

Katanya keadaan kucar kacir. Orang ramai seolah-olah hilang arah. 

Macam nak kiamat!

Air naik terlalu cepat. Dalam masa satu jam sahaja terus menghampiri paras pinggang. 

Dia yang memiliki tiga orang anak yang semuanya masih kecil (paling kecil berumur 2 atau 3 bulan sahaja) perlu berfikir panjang untuk bergerak ke pusat pemindahan. Air semakin naik. Untuk berjalan meranduk air bimbang anak-anaknya terjatuh ke dalam longkang dan sebagainya. Lagi-lagi ketika itu waktu tengah malam, gelap.

Mujur ada jiran yang sudi membantu. Dibawanya rakan saya itu sekeluarga ke tempat yang selamat menaiki kenderaan yang mampu mengharung air.

Cerita belum habis lagi...

Di pusat pemindahan keadaan lebih teruk. Mereka dikepung oleh air. Bantuan tidak dapat sampai dengan kadar yang segera. Makanan tiada, air bersih tiada. 

Ada orang-orang tua, ada ibu yang masih dalam pantang, ada bayi dan anak-anak yang perlu minum susu dan bermacam jenis orang lagi. Semuanya sehelai sepinggang. Duduklah mereka di situ selama tiga hari sebelum bantuan sampai. Itupun ketika makan berebut-rebut kerana tidak cukup untuk semua orang. Tidur beralas kotak - ada juga yang hanya beralas lengan sahaja.

Inilah ujian.

Cukup berat bagi siapa yang merasainya. Saya sungguh rasa terharu dan insaf atas apa yang berlaku. Moga Allah beri kekuatan kepada mereka semua untuk berhadapan dengan ujian ini.

Benarlah apa yang disebut oleh Nabi di dalam hadis baginda:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasullullah s.a.w. bersabda:

"Orang Mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah, samada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah tanpa dia membawa sedikit dosa pun."

Moga dosa-dosa mangsa bencana banjir baru-baru ini diampun Allah dengan ujian berat menimpa mereka.

Satu lagi peringatan tentang ujian ini, sebagaimana disebut Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2-3 bermaksud:

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan, 'Kami telah beriman,' sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

Mudah-mudahan setiap daripada kita yang diuji Allah bakal ditambah keimanan masing-masing. Sungguh, apa pun bentuk ujian sangatlah perit namun ada janji-janji yang baik lagi manis yang Allah janjikan pada kita. Moga bertabah!

*************

Tahun ini saya telah mencipta rekod peribadi!

Satu aksara pun tidak saya coretkan di laman ini. Entahlah, kesibukan (ujian masa, kerja, keluarga dan bagai-bagai lagi) sedikit menggugat upaya saya untuk menulis  di sini. Bukan tidak menulis langsung, saya tetap menulis tetapi di tempat lain (atas white board, atas kertas kosong, atas meja, di wall facebook, wassaps dan banyak lagi..huhu)...

Tapi apabila difikir-fikirkan, saya tidak boleh melupakan terus laman ini. Jadi pagi tadi, setelah diperam hampir beberapa bulan akhirnya meletus juga keinginan untuk mencoret itu!

Tahniah pada diri sendiri!

Sukar sungguh untuk memecah tempoh yang menghalang keinginan menulis ini rupanya.

Satu lagi rekod yang saya pun tidak sangka mampu untuk dilakukan adalah tahun ini saya berjaya mencapai target yang saya coret dalam artikel penghujung bulan 12 lalu. Saya meletak sasaran untuk menulis dan menerbitkan tiga buah buku pada tahun ini. 

Alhamdulillah, ketiga-tiga buku itu berjaya saya siapkan dan sudah pun dijual di kedai-kedai buku seluruh Malaysia. Sebuah buku saya hasilkan sendiri dan dua buah lagi saya berkerjasama dengan beberapa orang rakan.

Apapun terima kasih diucapkan kepada pihak penerbit, Must Read Sdn Bhd kerana sudi mempelawa saya menulis di bawah naungan syarikat mereka dan berterusan memberi sokongan dan galakkan. Terima kasih. Moga Allah membalas apa yang kalian usahakan ini dengan balasan yang sangat mulia.

********

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita melangkah ke tahun 2014. Bagaimana rupa, keadaan dan suasana tahun hadapan itu adalah di luar pengetahuan kita. Yang boleh kita lakukan berdoa pada Allah agar semuanya baik-baik belaka dan kita dapat mencapai segala rancangan, sasaran mahupun apa sahaja dengan jayanya, Insha Allah.



Isnin, Disember 17, 2012

Menghampiri Sasaran!




        Dalam hidup ini jika tiada cita-cita dan impian, tidak bermakna. Hidup hanya mendatar sahaja. Tiada apa yang hendak dikejar. Sekadar hidup dengan meneruskan rutin yang sama. Diulang sehingga tua. Apa nikmatnya?

        Hidup perlu ada harapan. Perlu ada cita-cita yang bermakna, barulah seronok. Apatah lagi jika apa yang kita harap dan impikan itu tercapai. Lagilah bertambah gembira dan bahagianya. Itu yang pertama. Perkara kedua yang penting juga adalah semangat.

          Semangat untuk merealisasi cita-cita yang diimpi. Jika impiannya ada tapi tiada usaha yang bersungguh untuk mencapainya tiada gunanya juga. Jadi dua perkara ini saling bergandingan. Sama-sama mendorong kita menjadikan hidup ini sebuah perjalanan bermakna.

        Dua, tiga tahun lalu saya juga membina impian. Mahu menjadikan hidup ini bukan sekadar untuk 'hidup'. Saya mahu nikmati masa singkat di dunia ini. 

       Lalu saya pun mula mewujudkan laman ini-dengan izin Allah jua. Bagi saya ini adalah papan yang tercatat perjalanan menggapai impian saya. Ini bukti untuk saya. Untuk zuriat keturunan saya. Biar mereka tahu beginilah cara menikmati kehidupan yang sebenar - dengan membina impian dan harapan.

           Saya mahu menjadi penulis! 

        Itu kalimah yang tertanam di hati sejak perkataan pertama saya tulis di atas laman ini. Itupun setelah entah bagaimana si Hilal Asyraf mendorong secara tidak sedar. Kebetulan Allah temukan kami di bumi Anbia Jordan (mungkin dia tidak ingat pun, tapi ini hakikat-saya bukan bermaksud menumpang glamour ya).

      Terinspirasi daripada lamannya yang awal ketika itu. Saya dengan tiada kemahiran menulis cuma bergantung kepada minat dan impian untuk meneruskan hasrat. Akhirnya baru saya tahu yang menulis itu seronok. Yang sebetulnya penuh nikmat!

       Saya belajar untuk meletakkan idea menjadi penulis itu dalam catatan impian yang harus saya kejar sehabisnya.

         Akhirnya, di tahun akhir pengajian saya dipelawa untuk menulis sebuah buku. Rezeki yang sehebat itu mana mungkin saya menolaknya. Saya berusaha sedaya upaya untuk memastikan buku itu terbit. Ini juga bagi memenuhi impian kedua ketika hadir ke Pesta Buku Kuala Lumpur tahun 2009. Saya tertanya-tanya bilalah agaknya buku saya akan dipamerkan di rak di sana.

         Akhirnya tahun 2010 ia terlaksana. Dan di tahun 2011 saya hadir ke Pesta Buku KL dengan senyum lebar hingga ke telinga. Wah! Buku aku!

        Walau tidak selaku mana, yang penting ia ada di atas rak pameran Karangkraf - terima kasih kepada pihak Buku Prima Sdn Bhd.

     Tiada siapa tahu kecuali anda yang membaca ini, bahawa saya dari pagi hingga ke petang berada berhampiran rak tersebut. Sangat teruja dengan hasil pertama itu. Berpura membelek buku namun hakikatnya memerhati siapalah yang membeli buku tulisan saya itu.

       Walau pembelinya boleh dikira dengan jari, saya puas! 

      Itu yang pertama, kegagalan adalah biasa. Kalau dibanding dengan orang lain, sekurang-kurangnya saya ada juga menerbitkan buku -walau tidak laku mana.

    Hasil daripada cubaan pertama itu, saya meletakkan sasaran, saya akan tulis dan terbitkan dua buku setahun!

      Wah! Ini sudah lebih. Tidak mengapa, kerana memang untuk jadi hebat dan berjaya kita perlu cabar diri sendiri. Itu sasaran tahun 2011. Namun malang sekali ia tersasar sedikit jauh. Apa pun saya sudah usaha. Saya hadir ke kursus penulisan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Ditawarkan untuk menulis dan buku diterbitkan mereka. Namun idea seolah tersekat kuat di dalam jaluran otak. Berkisar di dalam kepala sahaja. Tidak dapat diterjemahkan. Peluang terlepas begitu sahaja.

      Tahun 2012 masuk menjengah. Saya perbaiki sasaran. Kali ini 3 buah buku! 

    Wow! Kamu kuat berangan Firdaus!- jerkah kata hati. Saya peduli apa, kerana untuk memaknakan hidup, perlu ada impian dan cita.

      Hujung tahun ini, saya hadir pula ke kursus penulisan Must Read Sdn Bhd. Masih mahu mencuba nasib. Tidak sangka laman ini juga menjadi perantaranya. Mereka suka dengan beberapa artikel yang saya tulis. Saya hadir. 

     Natijahnya, dua proposal buku diluluskan untuk diterbitkan. Cuma perlu menghantar manuskrip yang saya SASARKAN salah satunya berjaya saya siapkan penghujung bulan 12 ini. Ketika orang sibuk dengan tarikh kiamat andaian Kaum Maya itu, saya sibuk merangka sasaran baru tahun 2013.

       Biarlah orang di barat sibuk menggali lubang untuk menyorok. Itu cara mereka menghadapi kiamat. Kita yang Islam ini teruskan kebaikan yang ingin dibuat. Nabi SAW pun pesan yang maksudnya, jika ada biji benih di tangan dan kiamat datang sekali pun tanam benih itu. Begitulah apa yang saya mahukan. Sebab kiamat itu pasti.

     Di tahun baru 2013, sasaran makin hampir. Walau tidak 3 atau 4 buah buku saya terbit, sekurang-kurangnya 2 buah berjaya saya langsaikan.

       Dan petang tadi saya menerima email daripada Must Read Sdn Bhd. Kata salah seorang orang kuatnya, ada tajuk buku yang hendak dibincang dengan saya. Mungkinkah tahun depan 3 buah buku saya berada di pasaran??

       Jangan takut mencabar diri!

      Wahai Tuhan, bantulah aku memanah tepat ke sasaran!





Isnin, Jun 25, 2012

Sastera Dan Kepentingannya

Lama saya berfikir dalam menung yang panjang perihal perkara ini. Itu pun setelah terbaca satu tulisan Puan Nisah Haron mengenai pelajaran sastera. Sastera bukan untuk pelajar bermata merah katanya.

Saya juga berpendirian begitu. Bagi saya sastera ini satu benda yang mulia dan tinggi. Jika di zaman sekolah dulu ramai rakan yang kata saya pelik kerana membaca novel-novel berat. Ayat berpusing kata mereka. Susah nak faham apatah lagi mahu feeling dengan novel tersebut ujar mereka lagi. Namun bagi saya itu satu kepuasan!

Hanya yang faham dan mempunyai cinta yang dalam terhadap bahasa bangsanya sahaja yang peduli.

Sehinggalah sekarang, saya masih lagi berpendirian begitu. Sebab itu saya sukar membaca novel atau apa sahaja tulisan yang tidak sempurna tulisan dan duduk letak nahu Melayunya. Tak feel kata saya pula!

Lalu akhirnya dalam leka meneroka halaman demi halaman laman Puan Nisah Haron, saya temui satu artikel yang amat bagus dan tepat menjawap persoalan saya, apakah pentingnya sastera?

Dengan izin, saya kongsikan di laman ini. Artikel (sebetulnya kertas kerja mungkin) asalnya di sini.


Kepentingan Sastera Dalam Kehidupan

Kata Sasterawan Negara, Dato’ Shahnon Ahmad, sastera ialah seismograf kehidupan. Apa itu seismograf? Menurut Kamus Dewan, seismograf ialah alat bagi mengukur kekuatan gempa bumi. Jadi, mengapa perkataan seismograf dipilih? Itu makna yang bersifat literal ataupun harafiah. Seismograf dalam erti kata lain ialah kayu ukur ataupun penyukat kepada kehidupan.

Cuba lihat kehidupan hari ini. Seni dan sastera wujud daripada persekitaran yang ada. Perhatikan bahawa satu masa dahulu, lagu dangdut kedengaran di mana-mana. Pada ketika itu, Indonesia melalui zaman hedonisme yang melampau hinggakan Presidennya pun tumbang. Kini lagu-lagu dari Indonesia sudah berubah. Seiring dengan perubahan pola dan cara hidup masyarakatnya.

Cuba lihat pula lambakan pasaran buku hari ini. Penerbit buku kini lebih ghairah menerbitkan buku-buku yang bertemakan cinta dengan nafsu murahan. Mengapa? Kerana ada pasarannya. Perhatikan bagaimanakah bangsa Melayu hari ini? Secara kasarnya sudah berani hanyut dengan hiburan-hiburan yang sia-sia. Anak-anak muda menangis meraung jika gagal menyertai program-program realiti. Penonton pun sama meraung-raung apabila ada peserta yang gagal ke peringkat yang selanjutnya. Ibu bapa juga mengucapkan “Alhamdulillah, anak saya terpilih dalam program realiti tv ini.”

Jadi, tidak cukupkah kita hanya berhibur, berhibur dan berhibur hingga tiada suatu pun yang kita tinggalkan untuk ruang berfikir ataupun ruang ta’akul – ruang penafsiran.

Sastera pula bukan sekadar buku cerita, bukan sekadar puisi. Bagi saya, sastera ialah suatu seni kata-kata bagi menyampaikan sesuatu yang bermanfaat untuk tamadun, mengajak pembacanya berfikir dan mendorong pembaca melakukan kebaikan serta menimbulkan rasa insaf.

Jadi apa pentingnya sebuah buku cerita dalam kehidupan?

Sebuah karya sastera yang mewakili bangsa dan negaranya akan memberikan beberapa perkara, antaranya :

jati diri

patriotisme

rasa syukur

Membaca puisi-puisi A. Samad Said, misalnya, menemukan saya dengan banyak perkara. Kecintaannya terhadap bahasa, kritikan sosialnya yang lembut tetapi dalam makna dan juga rakaman peristiwa yang diabadikan dalam karyanya. Begitu juga dengan karya-karya Usman Awang yang banyak berbicara tentang kedamaian dan keseimbangan masyarakat.

Cuba-cubalah membaca karya Siti Zainon Ismail, sama ada cerpennya ataupun puisi-puisinya yang penuh kewanitaan tanpa meninggalkan akarnya yang gemilang. Sebagai penyair dan ahli akademik, Siti Zainon telah merantau ke seluruh dunia, namun karya-karyanya masih segar mempertahankan jati dirinya sebagai wanita Melayu Islam yang sejati.

Di kalangan penulis yang lebih muda, bacalah karya-karya SM Zakir, Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim dan Nisah Haji Haron. Pendek kata, mereka ini bukan penulis yang hanya menggarap kisah cinta yang selapis, terlalu polos ataupun bersifat superficial. Penulis-penulis ini telah berjaya menyampaikan suatu mesej yang jauh lebih dalam berbanding usia mereka.

Dari aspek kelulusan dan kerjaya, penulis-penulis muda hari ini bukan sekadar berkelulusan sastera. Terdapat ramai penulis muda (berusia bawah 40-an) yang mempunyai latar belakang disiplin yang berbeza tetapi dapat menjadi penulis yang baik.

Mengapa mereka ini boleh menulis? Satu perkara penting yang ada dalam diri penulis-penulis ini ialah jati diri yang disebutkan tadi. Para penulis ini tahu akan identiti dirinya sebagai bangsa Melayu dan sedar diri bahawa, jika bukan merekalah yang melangsungkannya. Siapa lagi?

Lantas, apa pula peranan kita sebagai pembaca karya sastera?

Pilihlah bahan bacaan yang boleh menjentik pemikiran yang tinggi. Carilah bahan bacaan yang diiktiraf sebagai kesusasteraan Melayu tinggi yang boleh membangkitkan rasa kemanusiaan, kerana itulah peranan sastera yang utama : melahirkan rasa kemanusiaan dalam diri manusia.

Sastera sebagai satu elemen kehidupan bukannya untuk diasing-asingkan. Sastera tidak boleh bercampur dengan sains, ataupun sastera tidak boleh bercampur dengan ekonomi, perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya. Sastera itu boleh wujud dalam mana-mana cabang ilmu yang ada. Itulah kelebihannya.

Ada pihak yang menyatakan sastera ini berbelit-belit. Satu perkara yang langsung akan disampaikan dalam bentuk yang berkias-kias. Bagi saya, di situlah seninya penyampaian orang Melayu. Sebagai contoh, perhatikan tulisan Bapak Tenas Effendy dalam bukunya “Ungkapan Tradisional Melayu Riau” tentang peranan seorang anak :

Pertama anak manusia

Anak yang tahu asal jadinya

Yang tahu membalas guna

Kecil cencilak padi

Besarnya cencilak padang

Kecilnya duduk mengaji

Besarnya tegak sembahyang

Mengaji syarak dengan adat

Mengaji salah dengan silih

Mengaji aib dengan malu

Mengaji untung dengan rugi

Yang kuat mememang amanat

Yang setia memegang amanah

Duduk tahu akan dirinya

Tegak tahu akan maruahnya

Cakapnya berhingga-hingga

Baiknya berpada-pada

Sifatnya berpatut-patut

Patut bergaul sama sebaya

Patut duduk dalam majlis.


Andainya, kata-kata ini dikatakan secara langsung, kesannya tidak akan sama. Mesej yang cuba diperkatakan dalam ungkapan ini ialah, jadilah anak yang baik dan berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan tanah air. Namun, mesej ini disampaikan dalam bentuk yang indah.

Kata-kata ini tidak wujud dalam bahasa lain. Kalau ada pun, ia dalam bentuk yang berbeza. Pantun Melayu, contohnya, tidak wujud dalam mana-mana tamadun bukan Melayu. Pantun menjadi subjek kajian sarjana Barat yang hairan betapa hebatnya orang Melayu mencipta pantun. Mereka cuma ada quatrain – kata-kata dalam empat baris satu rangkap. Tetapi, orang Melayu boleh mencipta pantun dengan 2 baris pembayang dan 2 baris maksud. Kedua-duanya mempunyai perbezaan tetapi ada perkaitan.

Contoh :

Buah cempedak di luar pagar,

Ambil galah tolong jolokkan;

Saya budak baru belajar,

Kalau salah tolong tunjukkan.


Pantun ini menujukkan akal budi orang Melayu pada zaman itu. Frasa di luar pagar, menujukkan melangkau had ataupun batasan kemampuan. Galah itu pula simbol bantuan dari luar. Jika bantuan dalam dirinya, mungkin frasa yang berbeza digunakan, misalnya ambil jari. Sedangkan kalau kita pernah lihat pokok cempedak, ia berbuah pada bahagian batang dan rendah pula. Itu menunjukkan betapa ‘budak’ tadi terlalu kecil sifatnya hinggakan buah cempedak yang yang rendah itu pun tidak boleh dicapainya, kerana dia berada ‘di dalam pagar’ sedangkan buah cempedak tadi di luar pagar.

Oleh itu, dia memerlukan bantuan untuk mengambilnya. 2 baris tadi pula digabungkan dengan baris “saya budak baru belajar / kalau salah tolong tunjukkan”. Perhatikan juga pemilihan kata yang santun iaitu “tolong”. Orang Melayu mempunyai sifat santun yang terpancar dalam bahasas dan karya sastera. Inilah yang tidak boleh kita tinggalkan. Saya teringat kepada petikan puisi Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul “Melayu”.

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun.

....

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya

Gedung akal laut bicara'

....

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi bukan melonjak.

.....

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan.

....

Semua ini hanya boleh ditemui dalam buku-buku sastera. Bukan sekadar buku-buku cerita yang hanya menggarap tema cinta biasa. Carilah keluarbiasaan dalam membaca. Bukan sekadar membaca cerita yang serupa dengan formula yang sama. Ya, cinta itu indah. Namun, cinta itu juga luas maknanya dan cinta juga dalam sifatnya.

Apabila kita melihat seorang gadis yang cantik, mengapa mesti jatuh cinta pada kecantikannya sahaja. Mengapa terhenti setakat itu? Jatuh cintalah kepada Dia yang mencipta kecantikan itu. Dialah meminjamkan kecantikan tersebut kepada gadis itu. Satu hari nanti, kecantikan itu akan diambil kembali. Sanggupkah nanti, kita bercinta dengan gadis yang sudah tidak cantik itu? Tetapi, kalau kita mencintai Dia yang mencipta kecantikan itu, nanti akan timbullah perasaan yang lebih dalam. Kecantikan gadis itu bukan lagi dilihat kepada sesuatu yang zahir tetapi apa yang terpancar daripada dalam diri.

Apa lagi kepentingan sastera dalam kehidupan? Dalam sastera ada ilmu. Penulisnya bertungkus-lumus memasukkan suatu ilmu yang boleh pembaca manfaatkan. Ilmu hanya boleh digali. Ilmu itu tidak datang sendiri. Ilmu bukan sahaja diperoleh melalui buku-buku teks. Tetapi aplikasi sesetengah ilmu itu boleh juga ditemui dalam karya sastera. Novel saya Mencari Locus Standi memasukkan ilmu perundangan dalam bentuk cerita. Sesiapa yang membacanya akan mengutip banyak hal tentang dunia perundangan, kehidupan pelajar undang-undang dan aplikasi undang-undang itu sendiri.


Kata Za’ba dalam syair Kelebihan Ilmu:

Ilmu itulah gemala sakti,

Sinarnya cerah cahaya sejati,

Asal puncanya lamun didapati,

Sukar bercerai sehingga mati.

Sejarah telah pun merakamkan bahawa tokoh-tokoh sarjana di dalam dunia sains Islam seperti

· Al-Harth ibn Kaladah (Ahli perubatan Islam terawal dan juga seorang pemuzik berkebolehan)

· Al-Kindi (Bapa Falsafah Islam dan sasterawan)

· Al-Razi (tokoh perubatan dan pemuzik)

· Al-Farabi (tokoh falsafah dan pemuzik)

· Ibn Yunus (pakar astronomi dan sasterawan yang kreatif serta penyair paling prolifik)

· Ibn Maskawaih (doktor yang berpengetahuan luas dalam bidang bahasa, sastera dan ilmu-ilmu klasik)

· Ibn Sina (tokoh multi-disiplin yang memulakan pengajiannya di bidang bahasa dan sastera)

·Ibn Haitham (Sarjana sains dan falsafah yang juga menulis tentang sastera)

dan ramai lagi merupakan tokoh-tokoh multi-disiplin yang menjadi sastera sebagai sebahagian daripada pengisian jiwa dan rohani mereka.

Hal yang sama turut berulang pada zaman permulaan di Andalus. Nama-nama seperti Abu Al-Sult ibn Abdul Aziz, Ibn Al-Sayid Al-Batalyausi, Ibn Bajjah dan Ibn Khaldun tidak boleh dicicirkan daripada senarai sasterawan Islam yang turut menguasai cabang-cabang ilmu yang lain.

Islam berada di puncak ketamadunannya apabila ramai di kalangan sarjana ini mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam pelbagai bidang. Rekod-rekod yang mereka tinggalkan menunjukkan bahawa masyarakat pada zaman ini tidak mengkategorikan setiap ilmu yang ada lantas menghalang golongan tertentu daripada melintasi disiplin ilmu yang lain. Sarjana dunia Islam ini dapat dilihat sebagai mereka yang amat mencintai ilmu dan mempelajari setiap ilmu serta benar-benar mempraktikkan kata-kata ‘tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad’.

Kesimpulannya, sastera itu ialah sebahagian daripada kehidupan. Usah dinafikan kepentingannya.


sumber: http://annyss.blogspot.com

Khamis, Mac 01, 2012

Kepelbagaian Hati

Rasullullah SAW bersabda :

" Ketahuilah bahawa di dalam jasad itu ada seketul daging, Jika baik daging itu maka baiklah jasad itu seluruhnya. Dan jika rosak daging itu, maka rosaklah jasad itu seluruhnya. Ketahuilah itu adalah hati."

Hati memainkan peranan yang amat besar pada diri seorang anak Adam itu. Ia seumpama raja di dalam diri kita. Jika sesebuah kerajaan itu ada raja atau pemerintah, maka dalam kerajaan diri manusia itu hatilah raja dan pemerintahnya 

Jika baik raja atau pemerintah tersebut dalam pemerintahannya, maka baiklah seluruh kerajaan yang dikuasainya. Aman sentosa serta bahagialah rakyat jelata. 

Tidak jauh beza dengan hati. Jika kerajaan dalam diri manusia itu dikuasai atau diperintah oleh  hati yang baik, yang bersih, natijahnya akan membekas pada tingkah-laku dan peribadi seorang anak Adam itu. Sebaliknya pula jika yang memerintah itu hati yang jahat, kotor, busuk maka natijahnya akan tergambarlah pada diri anak Adam itu keburukan, kehinaan, kebusukan tingkah-laku dan berbagai lagi perkara yang merosakkan.

Jenis-jenis hati

Ulama membahagikan hati kepada 4 keadaan. Keadaan pertama adalah seperti ini :

                                                   
                                                             

Seumpama cawan yang penuh dengan kotoran. Agak-agaknya jika kita tuangkan air mineral ke dalam cawan ini apa akan jadi? Sudah tentu air yang kita tuang itu akan tercemar disebabkan oleh kotoran yang melekat pada cawan tersebut.

Begitu juga hati. Jika ia kotor, apa akan jadi dengan rahmat dan ilmu yang Allah turunkan kepada kita? Sudah pasti ilmu dan rahmat itu akan tercemar dan rosak disebabkan oleh kotornya bekas (hati) yang menadahnya.

Teringat saya satu kisah di mana Imam As-Syafie bertanya kepada gurunya Imam Waqi' tentang kesukarannya untuk menghafaz. Kata gurunya, jauhi maksiat. Sungguh ilmu itu adalah cahaya dan cahaya tidak akan turun ke dalam hati yang terpalik dengan kekotoran maksiat.

Kisah ini menggambarkan kepada kita bahawa hati yang kotor dipenuhi kekotoran itu merupakan hijab penghalang masuknya ilmu dan rahmat Allah SWT.


Keadaan hati yang kedua adalah seumpama ini :

                                                                 


Bentuk hati yang kedua adalah hati yang retak, pecah. Hati jenis ini tidak mendatangkan sedikit pun manfaat pada pemiliknya. Sama seperti cawan pecah juga. Tidak ada manfaat buat tuannya. Isilah air sebanyak-banyaknya. Tuanglah seribu baldi air yang berbagai jenis pun, ia tidak akan dapat menampung air tersebut. Tidak dapat menyimpan lalu kehausanlah tuannya untuk mengambil manfaat dari cawan miliknya.

Hati yang retak pecah begitulah. Selautan pun rahmat dan ilmu Allah diturunkan ke dalamnya ia tidak akan sekali-kali menampung curahan tersebut. Ia tetap akan kembali kosong seperti tidak pernah terisi. Lalu apalah manfaat yang diperoleh tuannya. Kehausanlah ia daripada rahmat, kasih sayang dan ilmu Allah SWT. Jasadnya hidup namun hatinya kosong.

Puaslah ia berdoa, mengharap. Namun setitis pun rahmat Allah itu tidak melekat andai diturunkan. Lalu menjadi sia-sialah kehidupannya. Akhirnya hanyutlah ia dalam hidup dunia yang tidak pernah putus kenikmatannya ini.

Hati jenis yang ketiga seperti ini :

                                                             

Umpama gelas yang bertutup rapat. Agak-agaknya jika dituangkan air ke atasnya apa akan jadi?

Pasti air itu tidak akan dapat masuk walau sedikit pun ke dalamnya. Air akan mencurah-curah tumpah. Hanya menyentuh penutupnya sahaja. Lalu apakah dapat tuannya menghapus dahaga dengannya jika tidak membuka  penutup tersebut.

Begitulah hati dari jenis ini. Hatinya tertutup rapat lagi kemas dari menerima ilmu dan rahmat Allah SWT. Tidak ada manfaat yang diperoleh tuannya. Jika jenis-jenis sebelum ini walau tidak melekat kuat, tetapi masih berjaya masuk dan jika lama-kelamaan dituangkan air, ia akan mampu juka menakung walau seketika.

Adapun jenis hati yang tertutup ini lebih teruk dan mudarat lagi kepada pemiliknya.

"Dari Abu Hurairah, dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda, “Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan “ar raan” yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (yang ertinya), ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka’.” 
( HR. At Tirmidzi no. 3334, Ibnu Majah no. 4244, Ibnu Hibban (7/27) dan Ahmad (2/297). At Tirmidzi mengatakan bahwa hadits ini hasan shahih.)
Sungguh ianya bermula daripada hati yang terpalit dengan kekotoran. Kotor itu jika tidak dicuci akhirnya menutup hati. Andaikan pula sebuah cermin yang berkilat cantik. Dibiarkan lama di kawasan yang berdebu. Lama-kelamaan cermin itu akan pudar lalu akhirnya ia terus gelap,hilang sifatnya untuk memantul cahaya. Jika didatangi pasti seinci pun wajah kita tidak kelihatan.

Yang lebih menakutkan lagi, apa yang kita perbuat sesekali tidak menghilang kotoran yang ada bahkan menutup terus hati kita selama-lamanya. Sedikit pun cahaya, rahmat dan ilmu Allah tidak akan singgah kepada diri kita, nauzubillahi min zaalik. Moga-moga kita dijauhkan daripada hati yang tertutup ini. 

Ini pula gambaran kepada jenis hati yang keempat :

                                                             

Hati ini umpama cawan yang bersih lagi suci. Apa pandangan anda? Jika ditunagkan air, apa yang akan berlaku?

Pasti air itu akan tertuang molek memenuhi cawan tersebut. Kejernihan air juga akan jelas kelihatan. Bukan sahaja ia nampak cantik bersih bahkan dapat menghilangkan kehausan kepada pemiliknya. Manfaatnya sudah pasti memberi seribu tahu kebahagiaan buat pemiliknya.

Inilah hati yang sepatutnya kita miliki. Harta yang seharusnya kita dapatkan. Jernihnya hati ini pasti menarik perhatian tuannya dan orang-orang yang melihatnya. Bahkan penuhi langit pun pasti akan mengaguminya. 

Begitulah jenis-jenis hati manusia ini. 

Kata Saidina Ali RA : " Bekas-bekas (tempat diturunkan ilmu dan rahmat) Allah di dunia ini adalah hati"

Berdasarkan kata-kata ini, bersedihlah kita jika hati kita bukan dari kategori yang terakhir ini. Malanglah bagi kita jika hati kita dari kategori yang pertama, kedua dan ketiga. Sungguh rahmat dan ilmu Allah itu tidak dapat tumpah kepada kita. Lalu berlakulah berbagai-bagai masalah dalam kehidupan.

Sebab itu, jika kita sering mengadu bahawa kita ada masalah itu, ada masalah ini rujuklah kembali kepada keadaan hati kita. Agak-agak bagaimana keadaannya. Sihatkah, sakitkah atau sudah memang tenat dan nazak? 

Memang sakit ini sukar dikesan. Kerana itu ia sering sahaja dipinggirkan. Dan kalau pun seseorang itu tahu akan sakitnya itu, sukar untuk dia menerima rawatan dengan ubat yang amat pahit dan sukar untuk ditelan. Masakan tidak, ubat hati itu adalah setiap perkara yang bertentangan dengan nafsu dan seiiring dengan kehendak Rabb.

Mencuci hati tidak seperti mencuci cawan-cawan yang kotor. Beli sahaja sunlight atau seumpamanya kemudian campurkan air, disapu kemudian bersihlah.

Hati ini memang perlu digilap dan dicuci. Walau bahan-bahan pencucinya nampak mudah untuk dicari dan dibuat namun untuk mengamalkannya dan istiqamah dengannya memerlukan 'rasa juang' yang tinggi.

Sebab itu Rasul SAW pernah menukilkan ketika pulang dari medan peperangan, bahawa mereka baru sahaja pulang daripada peperangan yang kecil. Terkesima  para sahabat. Apakah selama ini peperangan yang disertai mereka hanya peperangan yang kecil sedangkan sudah ramai para sahabat yang terkorban dalam menyertainya.

Lalu ketika ditanya kepada Rasul SAW barulah mereka faham. Yang dimaksudkan perang yang besar itu adalah perang melawan hawa nafsu. Memang, ada orang mungkin gagah fizikalnya, berani, berketul-ketul ototnya namun untuk menahan diri dari makan di bulan puasa pun ia tidak mampu.

Begitu juga ada orang yang nampak hebat dipandangan, kekuatannya tidak dapat ditandingi namun untuk menahan diri daripada kemarahan yang menyala-nyala sedikit pun tidak mampu. 

Ada hadis membicarakan tentang hal ini :

Rasullullah SAW bersabda, " Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah." (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Selepas ini Insyaallah saya akan menulis tentang ubat-ubat hati pula. Bagaimana untuk kita merubah kedudukan kita daripada jenis hati yang pertama, kedua atau ketiga kepada jenis hati yang keempat.

Moga Allah izinkan.




Jumaat, Disember 09, 2011

Arkitek Insan





Pendidik merupakan individu yang penting kepada sesebuah masyarakat. Tanpa golongan ini, sudah pasti sesebuah kelompok masyarakat itu akan lompong, 'kering' dan juga bermasalah. Masakan tidak, mereka inilah yang membentuk, membina dan mentarbiah setiap individu dalam masyarakat agar yang terdidik itu boleh memandu kelompok mereka ke jalan yang terbaik lagi mulia. Mereka adalah arkitek. Tiadanya mereka maka runtuhlah bangsa.

Dahulu saya pernah memperkecilkan kelompok ini. Bagi saya kerjaya pendidik atau guru itu tidak se-gah kerjaya lain yang lebih dihikagumi dan dihormati masyarakat. 

" Kamu nak jadi apa Firdaus? Jadi guru?"

" Saya tak mahu jadi guru, tak best. Saya nak jadi engineer."

Teringat perbualan saya dengan salah seorang guru saya sewaktu tahun 6. Waktu itu kami bersiap untuk pulang dari kelas tambahan. Sempat berbual tentang cita-cita dan masa depan. Namun, keceluparan saya membuatkan guru saya itu barangkali terasa hati. Rasa bersalah pula sebaik menoktahkan kata.

Namun kini saya sudah berada di tempatnya. Walau sekolahnya berbeza. Walau pelajarnya lebih dewasa, saya adalah seorang guru sama sepertinya.

Dan saat ini, saya terkenang kata-kata akhir saya itu. Kenangan yang membawa resah dan serba salah. 

Kini baru saya sedar akan kemuliaan jawatan itu. Lalu saya jatuh cinta. Jika diizin Tuhan, mahu sahaja saya menumpahkan sepenuhnya rasa cinta pada tugas mulia ini. Biar ia membayar rasa bersalah yang terpaut hampir 10 tahun yang lalu.

Teringat sajak karangan Usman Awang tentang guru.


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Benarlah katanya. Dan kerana guru juga, saya duduk di sini. Saya ke luar negeri. Saya menjadi manusia yang berjiwa manusiawi. Yang paling penting saya menjadi hamba Tuhan yang tahu untuk mensyukuri.

Maafkan saya cikgu!

Terima kasih kepada semua guru-guruku! 

Selasa, Oktober 18, 2011

Keranamu Wanita..



Minggu lepas saya menonton sebuah filem di Tv Al-Hijrah. Cerita Jepun. Namun latar masanya bukan di zaman moden. Ia cerita epik atau bercorak sejarah.  Tajuknya Castle Under The Fairest Skies.

Kisah bermula dengan keinginan raja mahu membina sebuah istana. Dimintanya beberapa tukang yang handal untuk membina beberapa model istana seperti yang diinginkan baginda. Dipendekkan cerita salah seorang tukang handal Jepun terpilih. Dengan model dan alas an pembinaannya yang hebat, dia diakui oleh para pembesar istana sebagai orang yang layak untuk dipertanggungjawabkan. Nyawanya dipertaruhkan. Tempoh masa hanya 3 tahun untuk menyiapkan istana tersebut.

Ia merupakan istana 7 tingkat yang pertama seumpamanya di Jepun. Nyata ia menarik perhatian maharaja yang sombong dan bongkak itu. Dan pastinya pembinaannya memerlukan kerja yang bukan sedikit daripada rakyat marhein. Filem ini mempunyai banyak hikmah yang boleh dijadikan tauladan kepada penonton. Melaluinya saya terpaksa akui kehebatan orang Jepun dalam membentuk masyarakatnya

Saya melihat filem ini dari sisi yang berbeza. Saya suka watak w yang diketengahkan di dalamnya terutama watak isteri si ketua projek pembinaan istana.

Bukan suka kecantikannya, tapi suka akan sikap, sifat dan keperibadiaannya. Memang menggambarkan ciri-ciri wanita timur yang sejati. Wanita yang lemah lembut, penuh kesopanan dan kaya nilai hikmah.

Satu yang amat mengesankan saya adalah salah satu babak yang menunjukkan si tukang istana dan isterinya berbicara dalam keadaan yang agak tegang.

Kerana masalah yang melanda projek pembinaan istana, tukang kayu merasa tertekan. Tekanan yang dihadapinya amat berat untuk dihadapi. Dia balik dengan jiwa yang berserabut. Kepulangannya disambut oleh isteri tercinta yang sentiasa setia menunggu.

Dengan wajah menguntum senyuman, teh dihidang kepada suami yang lelah kepenatan, harapannya agar suami terhibur. Namun, yang sebaliknya pula berlaku. Herdikan dan sindiran pula yang diterima.

Namun senyuman masih menyeri wajahnya yang nampak berkedut dimamah usia. Kesopanannya masih jelas terserlah. Suaminya bertambah berang. Lalu mangkuk berisi teh itu dihempas kuat hampir mengenai si isteri. Yang hebatnya, isterinya masih mampu tersenyum.

“ Sudah! Cukup dengan senyumanmu itu!” herdik suaminya.

“Kenapa kau selalu tersenyum? Setiap keadaan kau senyum. Waktu senang, waktu sukar. Sentiasa! Adakah aku ini terlalu jijik dan hina untuk kau perli dengan senyumanmu itu?"

"Sekarang aku nak kau ketawa! Ketawalah sepuasnya!” suara si suami bertambah tinggi, mengejutkan si isteri. Air mukanya mula berumah sayu. Lalu titisan panas air matanya mengalir ke pipi.

“Mengapa kau begitu payah untuk memahami perasaan orang lain? Aku pun ada perasaan. Bukan untuk dihina sebegini. Syuman ini adalah pesanan ayahku. Katanya wanita itu umpama matahari di dalam keluarga. Seorang wanita perlu sentiasa memenuhi rumahtangganya dengan senyuman. Andai seorang wanita itu tidak senyum, nescaya matahari pun tidak akan sanggup untuk keluar memberi cahaya kepada bumi..” Pedih dan dalam kata-katanya yang Berjaya membisukan suaminya serta-merta. Membuatkan suaminya tertunduk malu. Dia tersedar akan sesuatu. Sambil mengangkat muka, si isteri mula menguntumkan kembali senyumannya yang menawan.

Inilah babak yang paling menarik pada pandangan saya. Kata-kata yang mahal nilainya itu diungkapkan oleh seorang wanita yang bukan Islam. Dan ia diungkapkan pula dalam sebuah filem yang hebat juga bukan hasil tangan orang Islam.

Sebaik mendengarnya, satu kesedihan yang hebat menghempas jiwa saya. Masakan tidak, kita di Malaysia yang beragama Islam ini dilambakkan dengan cerita-cerita tahyul yang tidak mendidik jiwa dan pemikiran anak bangsa. Kita dihidangkan dengan filem-filem yang menjolok mata lagi mengghairahkan di sini. Kita melihat bagaimana kesopanan, akhlak, peribadi dan martabat wanita Islam dibogelkan dengan alasan seni dan keindahan.

Keindahan apa yang mereka mahu buktikan?? Jika nilai seorang wanita Islam itu disepak terajang lalu dibakul sampahkan ke tepi?

Mana perginya kehormatan mereka? Tidak malukah mereka kepada masyaakat, kepada keluarga, suami dan anak-anak mereka? Soalan yang paling utama, tidak malukah mereka pada Allah?

Sungguh awal-awal lagi kita dikalahkan oleh musuh kita. Saya ternanti-nanti bilalah Malaysia mahu menghasilkan filem sebegini. Tolak ketepi  kisah cinta murahan yang tidak ada sudahnya itu. Juga hantu jembalang yang tidak sudah-sudah menghantui diri kita.

Sisi wanita Islam

Benar, masyarakat Jepun penuh nilai ketimuran mengalahkan masyarakat kita yang Islam ini. Saya tidak nafikan sisi negatif yang ada pada mereka, namun janganlah yang negatif itu kita tiru dan sebut-sebutkan. Tidak salah mencontohi kebaikan sekalipun yang ingin dicontohi itu bukan dikalangan umat Islam. Selagi tidak melanggar batas-batas syariat yang ditentukan Allah SWT.

Teringat saya kata-kata Dr Yusuf Al-Qardhawi sewaktu kembaranya ke bumi eropah. Katanya “ aku pergi ke eropah dan aku melihat Islam di sana, kemudian aku kembali ke mesir lalu aku melihat Islam hanya pada nama sahaja.

Mungkin kata-kata ini sudah jelas menggambarkna ketandusan kita terhadap nilai-nilai sebenar Islam. Sayang seribu kali sayang.

Peribadi Ummul Mukminin

Jika berbicara soal wanita, tidak sah rasanya jika tidak menyebut peranan dan sumbangan yang telah ditunjukkan oleh Ummul Mukminin, Aisyah RA.

Ciri-ciri dan akhlak peribadi yang ada pada diri puteri Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang juga isteri kepada Rasullullah SAW tentu tidak dapat ditandingi oleh sesiapa. Sudah tentu tidak dapat tidak, kita perlu menjadikan beliau sebagai contoh ikutan dalam membentuk peribadi muslimah sejati.

Perrhatikan akhlak dan tingkah lakunya. Lihat bagaimana solusinya berdepan dengan sesuatu masalah. Renungkan bagaimana dirinya mengadapi kesukaran hidup.

Itulah sepatutnya dan sebaiknya diamalkan. Bukan mengikut perangai para artis yang banyak  negatifnya dari positif. Bukan mencontohi watak heroin filem yang entah bagaimana peribadi sebenarnya.

Jadilah wanita yang menyerlahkan keagungan diri seorang wanita. Wanita yang baik itu nescaya membuat seisi alam menjadi baik. Insyaallah dengan izin dari-Nya.Seperti kata watak dalam filem yang saya ceritakan, andai wanita itu tidak senyum nescaya matahari pun segan untuk menampakkan sirnanya.

Moga beroleh manfaat.




Sabtu, Oktober 08, 2011

Nilai Sebuah Jam

Baru-baru ini ada kesedihan menjalar ke dalam jiwa. Saya kehilangan sesuatu. Sesuatu yang amat bernilai dan bermakna.

Untuk memilikinya dahulu, saya terpaksa menyimpan selama beberapa ketika. Mengikat perut sedikit. Dan dia bersama saya menempuh perjalanan hidup yang getir dan kadang menyeronokkan ini selama lebih 5 tahun.

Nyata, ia amat bermakna kepada diri saya.

Kami pernah sendirian berdua di pinggir kampung. Ada ketika kami melintas padang pasir yang tandus juga berdua. Pernah kami mengharung ribut salji di pinggir selat Bosphorus yang penuh bersejarah itu. Ia juga meneman saya tawaf mengelilingi destinasi impian umat Islam - Kaabah. Ada susah, ada senang.

Itulah jam kesayangan saya.

Namun kehilanganya sekelip mata. Dijarakkan dengan hanya 4 rakaat solat zohor.

Saya redha. Mungkin ada sesuatu Allah mahu kurniakan di sebalik kehilangan itu. Hikmah-Nya selalu tersembunyi di sebalik gusar hati manusiawi. Kebetulan pula sekarang saya sedang mengusahakan buku yang berkisar tentang masa dalam hidup seorang muslim. Hilangnya nyawa kedua saya bagai mendatangkan ilham bantuan dari Rabb penganugerah nikmat waktu.

Walau kini saya berteman baru. Namun, ia tetap kekal di hati. Menjadi kenangan yang utuh di sanubari. Insyaallah.

Moga saya menjadi muslim yang menghargai nikmat waktu dari Illahi.

Isnin, Oktober 03, 2011

Hujung Minggu Yang Terisi

Alhamdulillah, minggu lepas walaupun penat tapi saya puas. Jika dihitung selama saya mula bekerja, minggu lepas adalah minggu terpenat pernah saya alami. Namun, kepuasan yang dirasa menghilang rasa penat yang bersarang dalam tubuh saya ini.

Syukur, Allah memilih saya untuk menjadi salah seorang peserta dalam Bengkel Realiti Penulisan Islami yang di anjurkan di Kompleks Masjid Al-Ghufran, TTDI. Bengkel anjuran Galeri Ilmu ini menghimpunkan ramai sifu dunia penulisan. Dihadiri pula oleh insan-insan yang bersemangat untuk memulakan dakwah dalam bidang penulisan. Nyata, ia sebuah bengkel yang hebat!

Cerita perjalanannya panjang..

Asalnya, hati saya berbelah bahagi untuk hadir ke sini. Memikirkan ada tanggungjawab lain yang perlu dibereskan, juga keadaan fizikal yang lelah kepenatan, saya hampir memadamkan niat untuk hadir.

Mujur, semangat yang ada mengatasi bisikan-bisikan yang menghalang itu. Jika tidak, saya tentu rugi besar!

Hari Jumaat, hampir jam 7 malam saya bergerak bersama isteri ke KL. Asalnya mahu tidur di rumah sahabat di Kota Damansara sambil mengerat sillaturrahim. Isteri pula mahu pulang ke rumah ibu mertua di Temerloh. Namun, rancangan berubah.

Akibat rasa mengantuk yang amat ditambah lesu tubuh dan jasad, saya terpaksa mengiring isteri ke rumah ibu mertua. Mungkin tidur dahulu di Temerloh satu keputusan yang baik. Hari pun sudah hampir lewat malam. Hujan yang mula merintik turun menghadir resah di hati keluarga dan isteri. Lagi pula saya akan memandu berseorangan.

Paginya, selepas Subuh saya terus bergerak ke KL. Badan juga telah segar sesegar embun yang mengiring perjalanan. Takut juga terlewat sampai kerana program dijangka bermula jam 9 pagi. Saya pula memang tidak arif tentang jalan-jalan di KL. Mujur juga ada GPS rakan menemani.

Sampai sahaja, singgah sebentar di Kota Damansara menziarah sahabat-sahabat lama. Teman sepengajian di Jordan dahulu. Bersalam, bertanya khabar. Kemudian terus bergerak ke Masjid Al-Ghufran.

Alhamdulillah selamat tiba di sana tepat jam 9 pagi. Program belum bermula.

Saat memasuki dewan seminar, terkejut saya melihat beberapa tokoh hebat hadir sama menjadi peserta. Terasa kerdilnya diri. Namun, saya menganggap, itu peluang yang Allah Taala berikan kepada saya. Bersama insan-insan ini sungguh mendatangkan rasa bahagia yang tidak mampu dinyata.

Antara yang turut serta di dalam bengkel ini adalah Ustaz Amal, Ustaz Mohd Syukri ( penceramah bebas dan penasihat agama kepada Istana Terengganu ) dan juga Tn Hj Nik Roskiman (Pengarah Radio IKIM).

Hari pertama berjalan cukup lancar. Tentatif program yang disusun penganjur betul-betul mengisi. Banyak ilmu-ilmu yang dapat dijadikan bekal buat menambah ilmu dan semangat untuk menulis.

Malamnya pula setelah program tamat, saya sempat bersama para peserta lain yang hebat-hebat berdiskusi. Walaupun hanya mendengar, banyak ilmu yang diperoleh.

Hari kedua pula bermula istimewa. Selepas solat Subuh kami melakukan sedikit senaman. Bak kata saudara Nasri (Pengurus Kanan Promosi GISB) dan Tn. Hj. Zakaria (Pengurus Kanan Penerbitan GISB) senaman dan regangan di pagi hari itu mendatangkan aura positif ke dalam diri. Memang benar. Hari kedua bermula dengan lebih positif!

Selesai riadah ringan, kami naik ke bilik. Tidak sangka pula kami dikunjungi oleh seorang lagi insan hebat, Ust Zul Ramli.

Hari ini setiap peserta perlu membentangkan proposal buku yang ingin mereka tulis. Sungguh hebat tajuk yang mereka bentangkan. Segan juga mahu membentangkan tajuk saya yang tidak seberapa.

Apa pun semuanya selamat. Saya juga rasa puas.

Penutup program bermula agak lewat bagi memberi ruang Tn Hj Abu Hassan Morad menyampaikan perkongsian tentang halangan-halangan yang biasa dihadapi penulis.

Program di akhiri dengan pengumuman proposal yang terpilih untuk terus diterbitkan. Walaupun proposal yang saya bentangkan tidak terpilih, saya tetap rasa gembira dan bertuah. Hadir ke sini sahaja adalah satu anugerah!

Saya diminta untuk memperkemaskan proposal yang dibentang. Dalam masa seminggu, saya harus menghantar proposal terkini kepada editor. Alhamdulillah. Ini juga peluang. Insyaallah saya akan gunakan sebaiknya.

Tamat program, ada sesi bergambar. Selesai sahaja saya mengambil peluang bersalaman dengan para penganjur dan peserta. Moga-moga Allah kurniakan rahmat dan memuliakan mereka semuanya.

Jam 6 petang saya bertolak balik dari Kuala Lumpur ke Temerloh. Hajat mahu terus memandu ke Kuantan namun keupayaan diri membataskan keinginan. Singgah tidur di Temerloh lebih baik dan selamat.

Terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam bengkel ini.

Moga Allah terus mengurniakan kalian kemuliaan dan meningkatkan darjat di sisi-Nya. Mudah-mudahan bertemu lagi di masa akan datang.

Doakan saya mampu menulis dengan pena seorang dai'e!





* Sayang saya tidak ada kamera untuk merakamkan pengalaman berharga ini.



Sabtu, April 23, 2011

Dalam Taman Impian



Setelah lama tidak menulis, tangan terasa gatal mahu menyentuh deretan papan kekunci laptop tua saya. Dalam gatal-gatal tangan itulah, terasa ada sesuatu yang mahu dinukilkan di laman yang lama bersawang ini. Andai tiada kepentingan untuk sesiapa yang membaca sekalipun, biarlah ia menjadi sesuatu yang istimewa untuk saya ingati.

Hari ini, adalah hari kedua Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berlangsung. Sebut sahaja tentang pesta ini, sudah tentu ramai yang dapat membayangkannya dalam fikiran masing-masing.

Apa yang pasti ianya bukanlah sebuah pesta yang dipenuhi dengan muzik dan persembahan yang berbagai rupa. Bukan juga dilimpahi dengan aneka makanan juga minuman. Tidak juga dipenuhi dengan manusia yang leka bergelak ketawa. Pesta ini nyata sebuah pesta yang luar biasa.

Ia adalah pesta biasa sahaja bagi orang 'biasa-biasa'. Isinya hanya timbunan kertas yang dijilid, dibuku dengan aneka warna. Penganjurnya adalah orang yang cita mereka menyebar luas ilmu pengetahuan. Pengunjungnya pula terdiri daripada orang yang niatnya tidak lain selain menambah ilmu di dada.

Namun, bagi orang yang 'gilakan' pesta ini, inilah syurga dunia yang selalu didamba dan juga sentiasa hadir dalam mimpi-mimpi indah mereka. Sebuah Taman Impian yang selalu didambakan kewujudannya.

Sebuah taman yang penuh dengan kenikmatan-bagi yang pandai dan suka menghayatinya. Itulah taman impian bagi pencintanya. Dan syukur alhamdulillah, saya adalah salah seorang yang terkena panahan cinta itu.

Semenjak dari bangku sekolah, setiap kali berlangsungnya pesta buku ini, saya akan cuba untuk hadirkan diri. Namun, keberadaan saya di Jordan selama 2 tahun lalu, telah menafikan 'hak' saya untuk masuk ke taman impian saya ini. Alhamdulillah, tahun ini Allah beri kesempatan pada saya menjadi antara ribuan @ jutaan pengunjung yang dapat mengutip buah nikmat taman impian bagi para pencinta buku ini.

Namun, apa yang menariknya, pesta buku kali ini cukup berbeza dari sebelumnya. Dan saya letakkan pesta buku tahun ini, antara nikmat yang terindah untuk saya semat dalam memori.

Sebab pertama mengapa ia istimewa adalah kali ini, saya hadir bukan sebagai pelajar atau anak muda yang teruja dengan buku! Bukan juga sebagai pengunjung biasa yang sekadar berkunjung mahu melihat dan memerhati. Tapi saya hadir atas kapasiti sebagai pensyarah dengan membawa misi dari majikan tempat saya bekerja. Saat kaki melangkah, satu rasa kelainan hadir menyelinap segenap tubuh. Ya, teruja dengan buku itu tetap ada namun ia berbeza.

Sebab kedua, saya juga hadir dengan buku hasil tulisan saya terpampang di salah sebuah rak di dalam taman impian saya ini. Biar ia bukanlah sehebat penulis lain, namun cukup memberi saya rasa puas.

Puas kerana apa yang pernah saya impikan dahulu tercapai. Bagai mimpi yang diterjemah menjadi kenyataan. Perkara yang paling penting adalah saya tidak tidur ketika itu. Syukur juga, kehadiran saya kali ini menemukan saya dengan peluang baru untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini. ( tulis buku barulah maksudnya ).

Sebab ketiga, kehadiran sahabat-sahabat seperjuangan yang amat saya rindui. Terima kasih kepada Dzhirar, Zaffirul, Abe dan Fadhil atas kesudian antum semua menghabiskan masa berjam-jam bersama saya walau sekadar bersila di atas lantai PWTC sahaja. Sesuatu yang menarik untuk dikenang. Berbagai perkara kami bincangkan. Bermula dari perkara berkait industri kewangan dan perbankan hinggalah kepada cerita-cerita lama sewaktu sama belajar di rantau orang dahulu. Cerita yang tidak pernah menjemukan!

Sungguh, saya mengimpikan saat-saat itu berlaku di sini, di dalam taman impian saya yang cukup unik ini.

Sebab keempat adalah peluang yang KOOPUM berikan kepada saya dan rakan-rakan pensyarah dari Kolej IKIP. Kami berpeluang untuk memilih mana-mana buku yang dirasakan dapat memanfaatkan para pelajar di IKIP untuk dibeli dan diletakkan di perpustakaan kolej. Amat menarik!

Jumpa sahaja, ambil. Jumpa lagi, ambil. Tidak perlu risau akan duit di dalam poket kiri dan kanan. Juga tidak perlu risau memikirkan bagaimana untuk memikul timbunan buku-buku tersebut. Walau bukan semuanya akan kami peroleh, namun peluang ini telah lama saya angankan. Jika dahulu, mahu membelek pun rasa sedih sahaja. Mana tidaknya, duit tidak cukup untuk membeli berdozen buku yang diminati dan penting!

Apa pun yang berlaku, semuanya tetap saya syukuri. Ini adalah nikmat yang jarang-jarang dapat saya kecapi.

Tahniah saya ucapkan kepada sesiapa yang banyak memainkan peranan dalam merancakkan industri buku di Malaysia ini. Saya, seperti juga yang lain amat mengharapkan rakyat Malaysia menjadi rakyat yang kasihkan buku, cintakan ilmu. Agar akhirnya menatijahkan umat Islam di sini khususnya, umat yang hebat dan dapat memberi saingan kepada bangsa lain di dunia ini.

Pesta buku adalah taman impian yang saya tidak akan jemu berada di dalamnya. Segalanya mencurahkan banyak nikmat ke dalam jiwa saya. Amat-amat mendamaikan.

Moga pada tahun akan datang ia menjadi lebih bermakna lagi ( mana tahu, ada dua atau tiga buku saya menyertainya nanti. Doakan!)