Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan

Selasa, April 14, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID19 Di Malaysia

Image by fernando zhiminaicela from Pixabay 
Ini kenangan yang wajar dicatat. Biar menjadi sejarah yang kekal diingat.
Saya menemui catatan ini di Facebook yang banyak dikongsi tapi malangnya tidak tahu penulis yang asal. Mohon untuk dikongsi juga di sini:
Takkan sesekali aku lupa ...
18 MAC - 31 MAC 2020 fasa 1
01 APR - 14 APR2020 fasa 2
15 APR - 28 APR 2020 fasa 3
Perintah Kawalan Pergerakan seluruh .
harga minyak jatuh sehingga RM1.25/liter.
Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerja - kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah.
Semua sekolah dan pendidikan dilaksanakan di atas talian.
Penjarakkan sosial sentiasa diutamakan.
Pita pelekat dilekatkan di atas lantai - lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan.
Restoran dan kedai - kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus sahaja.
Hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai.
Kedai bukan keperluan asas dan perniagaan tidak berkaitan pembekalan makanan diarah tutup.
Keseluruhan acara dan musim sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta.
Konsert, perlancongan, festival, acara hiburan dibatalkan.
Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis bersama keluarga dibatalkan.
Tiada lagi jemaah di masjid, dan rumah - rumah ibadat ditutup.
Tidak dibenarkan perkumpulan 50 orang atau lebih, kemudian diubah kepada 20 org atau lebih, hanya dibenarkan 10 orang atau kurang dari itu dibenarkan.
Taman permainan kanak - kanak ditutup.
Kekurangan stok penutup muka, gaun,
dan sarung tangan untuk kegunaan pekerja barisan hadapan.
Kekurangan alat bantuan pernafasan
bagi pesakit kritikal.
Berlakunya pembelian panik sehingga kekurangan alat pembasmian, tiada sabun cuci tangan, tiada cecair pembersih tangan.
Rak - rak di kedai menjadi kosong.
Kilang - kilang pembuatan, kilang penyulingan dan perniagaan lain telah menukar perkhidmatan mereka dengan membantu menyediakan visors, penutup muka, cecair pencuci tangan dan PPE.
Kerajaan telah melaksanakan sekatan jalan di setiap kawasan dan tertutup kepada pergerakan yang tidak penting.
Tiket kapal terbang murah, namun kita tidak boleh keluar melancong.
Sidang media dari Kementerian Kesihatan di keudarakan setiap hari.
Kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari.
Jalan raya menjadi kosong tanpa kelibat manusia.
Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar.
Pekerja perkhidmatan penting menjadi takut untuk keluar rumah.
Pekerja kesihatan pula, menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga.
"Mendatarkan lengkung graf" itulah yang sering dikatakan, bersama dengan kata-kata " Kita lakukan ini bersama" dan "Kita harus menang".
Ini adalah Novel Coronavirus ( Covid-19) suatu penyakit pandemik, yang diwartakan pada 18 mac 2020.

Image by Federico Tak from Pixabay 
Kenapa saya copy paste status ini?
Kerana, satu hari nanti, status ini akan muncul di paparan ingatan FB saya, dan ia memberikan peringatan kepada saya, supaya menghargai nyawa ini dan orang - orang yang kita sayang.
Nikmat mana lagi yang telah kita dustai?
Bersyukurlah.
Dan sentiasa berterima kasih.
Lakukan kebaikan antara satu sama lain - sayangi antara satu sama lain - dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.
Kita semua adalah satu !
Simpan,itupun kalau sempat baca lagi tahun depan. Kita didunia ni hanya sementar tak lama.

Khamis, Julai 30, 2009

Selesema Babi Yang Mengganas


Seperti mana yang umum ketahui, sekarang ini dunia digegarkan oleh satu wabak yang mengancam jagat manusia. Selepas selesema burung atau dikenali sebagai H5N1 meragut ribuan nyawa kini datang pula wabak baru yang dikenali sebagai selesema babi atau H1N1.

Pada mulanya wabak ini tidaklah tersebar terlalu jauh hingga mencakupi segenap jagat alam, namun ketentuan Allah itu dengan segala rahsia kekuasaannya telah menyemarakkan penyebaran virus ini ke banyak tempat di dunia. Sudah pasti ada hikmahnya disebalik bala bencana yang melanda kita semua sekarang ini.

Di Malaysia, saya agak terkejut mendengar berita yang wabak ini semakin menular. Saya bertambah-tambah terkejut dengan berita yang terpapar di dalam Utusan Malaysia semalam yang melaporkan kematian seorang gadis akibat dijangkiti wabak selesema babi tanpa di sedari. Pihak yang punya tanggungjawap untuk membendung wabak ini juga tidak dapat mengesan mangsa dijangkiti H1N1 hinggalah selepas dia disahkan meninggal dunia.

Walau bagaimanapun segalanya adalah ketentuan dari Allah SWT. Semoga keluarga Nur Shazwana tabah menghadapi dugaan ini.

Berikutan dengan mengganasnya wabak ini, saya cuba mencari serba sedikit maklumat dan ingin saya kongsikan dengan sahabat-sahabat semua. Berikut adalah maklumat yang saya perolehi dari salah sebuah blog yang saya lawati, jom baca ;


Apakah penyakit selsema babi?

Seperti manusia, babi juga boleh mendapat selsema, tetapi virus selsema babi tidak sama virus yang dihidapi manusia. Selsema babi tidak menjangkiti manusia dan beberapa kes-kes kecil yang menjangkiti manusia pada masa lalu menunjukkan mereka mempunyai hubungan rapat atau direct contact dengan babi (seperti penternak babi).

Selsema babi (kini disebut AH1N1)yang sedang melanda Mexico, Amerika dan Kanada kali ini adalah berbeza. Ia disebabkan oleh virus baru yang merebak dari seseorang kepada orang lain - dan ia berlaku kepada mereka yang tidak mempunyai hubungan terus dengan babi.

Apakah simptom selsema babi?
Simptom selsema babi adalah serupa dengan selsema biasa termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, sakit kepala, kesejukan dan keletihan. Selain itu, terdapat beberapa kes melibatkan muntah-muntah. Simptom-simptom ini boleh disebabkan pelbagai sebab biasa dan tidak semestinya selsema babi.

Bagaimana saya tahu ia adalah virus selsema babi?
Anda dan doktor tidak akan dapat mengetahui ia adalah virus penyakit selsema babi sehingga ia diuji di makmal. Setakat ini tidak ada cara lain untuk mengesahkan virus selsema babi selain di bawa dan diuji di makmal.

Jika saya menghidapi selsema babi, apakah yang saya perlu lakukan?
Jika anda mengalami selsema dan simptom-simptom di atas, jangan keluar rumah. Jika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung anda dengan tisu. Selepas itu, buang tisu ke dalam tong sampah dan basuh tangan anda. Ia menghalang selsema anda dari merebak.

Jikalau anda selsema padahal anda sedang berada di kawasan atau negara yang berisiko tinggi seperti Mexico, anda dinasihatkan berjumpa doktor. Tetapi jika anda berada di negara yang tiada risiko selsema babi, anda masih boleh berjumpa doktor - itu pilihan anda. Sila maklum bahawa doktor tidak dapat memastikan sama ada anda menghidapi selsema babi, tetapi dia akan mengambil sampel dari anda dan menghantar kepada pihak berkuasa untuk diuji di makmal. Anda akan dimaklumkan jika disahkan mengidap selsema babi.

Bagaimana selsema babi merebak?
Virus baru ini boleh merebak mengikut kaedah biasa seperti selsema biasa. Anda boleh dijangkiti melalui sentuhan terhadap seseorang yang membawa virus ini, menyentuh objek yang telah disentuh oleh pembawa virus, kemudian melepasi tubuh anda apabila anda menyetuh mata anda, mulut atau hidung. Anda dinasihatkan sentiasa membasuh tangan walaupun anda tidak dijangkiti. Pembawa virus mula merebakkan virus sehari selepas simptom bermula.

Ia juga boleh merebak melalui udara jika pembawa virus batuk atau bersin tanpa menutup mulut dan melepaskannya bebas di udara.

Bagaimana selsema babi diubati?
Virus baru selsema babi sangat sensitif kepada dadah anti-viral iaitu Tamiflu dan Relenza. Tetapi tidak semua orang memerlukannya. Di Amerika, kebanyakan pesakit selsema babi yang terawal pulih secara semulajadi tanpa rawatan atau ubat-ubatan.

Adakah vaksin untuk mengelak virus baru ini?
Tiada. Tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang mengambil langkah permulaan untuk menghasilkan vaksin ini.

Saya telah disuntik vaksin selsema beberapa bulan yang lalu. Adakah saya dilindungi dari selsema babi?
Tidak. Vaksin selsema biasa tidak dicipta untuk virus baru ini.

Sejauh mana teruknya selsema babi?
Kesan virus selsema babi berbagai-bagai. Di Mexico, ada yang melibatkan kematian tetapi kes-kes awal di Amerika hanya melibatkan demam yang ringan. Tetapi ia boleh berubah sama ada menjadi lebih merbahaya atau tidak. Saintis masih lagi dalam kajian ke atas virus baru ini dan mereka tidak dapat memberi jaminan sejauh mana ia dapat dijangkakan.

Bagaimana saya boleh mengelak dari dijangkiti selsema babi?
Anda dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:
  • sentiasa membasuh tangan anda dengan air dan sabun, khasnya selepas batuk atau bersin.
  • elakkan sentuhan secara terus dengan pesakit
  • elakkan menyentuh mata, mulut dan mengorek hidung dengan tangan anda kerana virus akan merebak melalui rongga-rongga ini
  • batalkan lawatan anda ke negara-negara yang sedang mengalami epidemik selsema babi seperti Mexico, Amerika, Taiwan dan Kanada.
  • jika anda tinggal di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan ladang ternakan babi, jauhkan diri anda dari penternak dan pekerja ternakan babi tersebut. Jika mereka kawan anda, cukuplah berhubung melalui telefon.
  • elakkan menyentuh objek-objek di tempat awam seperti butang lif, tangga escalator, bangku awam, telefon awam dan sebagainya. Jika tidak boleh, basuh tangan anda dengan sabun selepas menyentuh objek-objek tersebut.
  • ambil langkah berjaga-jaga yang dinyatakan di atas dengan lebih teliti semasa berada di terminal lapangan terbang, stesen bas, kaunter awam, di dalam panggung wayang dan hospital.

Apa lagi yang perlu dilakukan?
Sentiasa mendapatkan maklumat terbaru di dalam komuniti anda. Negara anda dan Kementerian Kesihatan mungkin mempunyai maklumat penting jika selsema babi merebak di negara anda atau di negara-negara yang bakal anda lawati. Jangan panik, tetapi langkah berjaga-jaga adalah lebih baik.

Semoga kita semua selamat dan dilindungi oleh Allah SWT dari jangkitan wabak ini.

Mudah-mudahan bencana atau bala ini menjadi peringatan kepada kita semua bahawa hayat di dunia ini tidaklah panjang mana. Persiapkanlah diri menghadapi hari kemudian yang kekal abadi.

Moga wabak ini segera hilang dan tidak menular lagi, mudah-mudahan Allah perkenankan, Insyaallah.



Sumber : http://thesecretmedicines.blogspot.com

Khamis, Mei 07, 2009

Rugi Pada Rakyat















Saya sebagai rakyat, amat malu dengan apa yang berlaku di negara kecintaan saya Malaysia siang tadi. Sedih pun ada, bermain-main dengan rasa kecewa di hati saya dan ramai lagi rakan-rakan yang berada di bumi Jordan ini. Kami sebagai barisan pemuda yang bakal menerajui hala-tuju negara pada masa akan datang berasa amat terkilan dengan apa yang berlaku.

Rasanya umum sudah mengetahui apa yang berlaku di Perak sewaktu berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri Perak siang tadi. Saya tidak pernah meluahkan rasa hati saya berkenaan dengan situasi politik di Malaysia ketika ini di dalam blog saya, namun kali ini hati saya amat terkesan dengan apa yang berlaku.

Tindakan kerajaan Haram BN di Perak bagi saya amat memalukan! Saya melihat gelagat 'orang-orang' itu bagai badut yang menghiburkan budak-budak kecil namun dalam masa yang sama telah membuat budak-budak menangis. Mana tidaknya, sebodoh-bodoh saya ini berkenaan undang-undang dan perlembagaan negara pun tahu betapa salah dan cukup kotornya tindakan mereka.

Tindakan mereka jelas mencabul perlembagaan dan undang-undang negara. Apa mereka tidak belajar ke tentang ini semua sewaktu mahu bertanding pilihan raya??

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang perkara ini. Anda yang membaca mungkin sudah melihat di kaca televisyen, paling tidak pun di youtube agaknya. Nilailah sendiri.

Bagi saya yang tidak terlibat dengan politik ini, saya berpendapat rakyat akan makin menjauh dengan ' Persatuan Dacing Nasional' melihat kepada keadaan yang berlaku. Moga Allah permudahkan kemenangan Islam agar negara sentiasa nyaman di bawah sinaran 'Purnama'. Moga 'Bulan' dapat bersinar terang di Malaysia. Insyaallah.

Ahad, Januari 11, 2009

Israel Yang Berjiwa Kecil, Bernafsu Besar



























Hari ini genap 15 hari bumi Gaza bermandi darah. Sudah 875 saudara-saudara kita syahid dan 3696 lagi cedera parah. Bagaimana dengan kita semua?? Masih terus leka dengan kebiasaan kita? Seronok dengan keselesaan kita, sedang saudara-mara kita hilang segalanya? Terbunuh dibom, ditembak dan diletupkan..

Apa jangkaan kita beberapa hari yang akan datang agaknya?

Adakah mungkin para pejuang Islam ini akan tewas??

Tidak saudaraku sekalian. Bahkan pihak musuh sebenarnya yang berdepan kekalahan. Cuma berita dan kebenaran ini sengaja disorok bagi tidak menampakkan kelemahan pihak mereka.
Khaled Meshaal yang merupakan ketua pejabat politik Hamas menyatakan dalam sebuah wawancara di stesen television bahawa serangan Israel telah gagal dan pejuang Hamas masih lagi melancarkan roket ke kawasan Israel.

" Saya dengan yakin menyatakan bahawa mengikut tahap ketenteraan, Israel telah nyata gagal. Mereka tidak mencapai sebarang kejayaan sedikit pun. Adakah serangan ini telah menghentikan serangan roket ( dari sayap kanan Hamas- Briged Al-Qassam )??"

Saya juga yakin bahawa pihak Israel sebenarnya menghadapi tentangan yang hebat dari para Mujahidin. Mereka juga takut sebenarnya. Mereka tidak punya semangat seperti mana semangat yang dimiliki para Mujahidin.






















Kebaculan tentera-tentera Israel ini terbukti dalam sebuah artikel akbar yang mendakwa pergerakan tentera Israel melalui darat amat perlahan, terutama unit kereta kebal mereka. Mereka akan melepaskan anjing-anjing terlatih dahulu sebelum turun dari kereta kebal membuat serangan. Anjing-anjing ini dilengkapi oleh kamera di kaki kanan dan pembesar suara di kaki kiri. Lihatlah betapa lemahnya semangat mereka. Bagaimana mungkin mereka akan berhadapan dengan para mujahidin yang sanggup mati ini? Yang mencari jihad di setiap muntahan peluru dan letupan bom??












Ketakutan mereka bertambah jelas apabila Majlis Keselamatan Israel melalui para pemimpinnya berharap perang ke atas Gaza tidak membawa ke fasa seterusnya iaitu fasa 3.

" Kami amat berharap misi peperangan ini tamat pada fasa yang kedua kerana kami tidak mahu melanjutkan ke fasa yang seterusnya. Fasa 3 akan menggerakkan tentera lebih dalam memasuki kawasan Bandar Gaza dan keadaan ini amat berbahaya sebenarnya kepada para tentera. Hamas lebih arif tentang kawasan tersebut," begitu ucap para pembesar Yahudi yang terkutuk itu!

Hakikatnya kekuatan Hamas dan semua kumpulan mujahidin lain semakin bertambah. Mereka punya jiwa dan semangat yang ampuh.

Kita harapkan kekalahan di pihak Israel seperti mana yang pernah berlaku semasa konflik Israel-Lubnan yang memalukan Israel setelah dikalahkan oleh Hizbullah. Israel yang ketika itu dianggap negara yang memiliki peralatan perang tercanggih dirantau itu terpaksa mengundurkan para tenteranya akibat tentangan hebat dari pejuang Hizbullah yang hanya bersenjatakan senjata-senjata berteknologi lama.

Teruslah mendoakan kejayaan saudara-saudara kita.

Bagaimana kita mahu berjuang??

Terus memboikot produk-produk Israel dan Amerika! Tapi boikotlah secara terancang, mungkin ini akan mendatangkan kesan yang lebih kepada ekonomi mereka. Contohnya McDonald, KFC, Colgate dan Starbucks. Umat Islam tidak akan menderita kelaparan dan kehausan jika tidak menikmati produk makanan segera dari Israel dan Amerika ini. Umat Islam tidak akan mati jika tidak membeli barangan mereka.

Insyaallah mereka akan terkesan dengan boikot yang kita lakukan.

Jari-jari saya makin bersemangat menari tarian perang di sini.

Kita nantikan berita seterusnya. Teruskan berdoa sahabat! Allah bersama kita semua, Insyaallah!












Jumaat, Januari 09, 2009

Catatan Diari Dari Gaza.

















Menjadi kebiasaan saya pada setiap malam mencari-cari bahan berita atau atau apa-apa artikel untuk direnung dan dibaca. Terutama isu-isu semasa yang berlaku saban hari. Jika sekarang ,isu kekejaman dan kezaliman Israel tentunya yang menjadi tatapan saya. Selesai sudah satu laman saya geledah, saya melunsur pula ke laman lain. Begitulah seringnya sehingga kadang-kadang terlalu lama masa saya digunakan untuk setia dihadapan skrin laptop ini, tidak jemu. Nasib baik ingatan kepada buku-buku di sisi sedikit mengingatkan.

Namun malam ini agak berlainan situasinya. Biasanya saya akan berasa seronok dan puas dengan kebiasaan tersebut tapi malam ini saya berasa amat sedih. Sedih yang menitiskan air mata. Sedih yang buat fikiran agak rungsing. Sedih yang buat jiwa merana.

Ketika saya membaca satu-persatu berita di laman Al-Jazeera.Net, mata saya cepat-cepat terfokus pada satu tajuk yang berbunyi ' Gaza Diary: Are We Not Human??' Maka saya dengan segera menatap perenggan demi perenggan artikel tersebut. Membaca sambil hati menghayati. Juga cuba-cuba membayangkan keadaannya..sungguh, tiada kata mampu terluah ketika itu.

Mari kita sama-sama membaca catatan ini yang saya cuba terjemahkan.....


Udara, laut dan tanah di Gaza ini telah dikuasai oleh tentera-tentera Israel. Mereka menguasai minda, saraf dan pendengaran kami.

Saya telah meletakkan gumpalan kapas ke dalam telinga anak saya dalam percubaan untuk mengelakkan anak-anak saya dari merengit, menjerit, meronta ketakutan dan terjaga ketika mendengar bunyi letupan pada setiap masa tidur dan jaga mereka. Namun usaha ini tidak berkesan.

Saya tertanya-tanya kerosakan apa yang menimpa hati kecil anak-anak saya ini. Mereka masih kecil untuk menghadapi tekanan yang ditimpakan ke atas mereka.

Kami semakin kehabisan minyak untuk menjana generator ( penduduk Gaza menggunakan generator bagi menjana elektrik), ini bermakna kami yang berjumlah 11 orang perlu mengurung diri di dalam sebuah bilik yang kecil bersama sedikit sumber cahaya selama tiga hari.

Kami juga kehabisan air. Telaga yang kami gunakan hanya boleh mengepam air jika dijana tenaga elektrik. Sejak mimpi ngeri ini berlaku, bekalan elektrik telah diputuskan.

Tidak seperti keluarga lain, kami agak bernasib baik semalam kerana memperoleh 20 liter minyak tanah untuk menghidupkan generator kami. Bekalan minyak tidak dapat masuk ke sini semenjak perang ini dirancang ( sempadan telah ditutup ) maka kami terpaksa membayar dengan harga 7 kali ganda dari biasa.
















Kami hanya mempunyai simpanan makanan yang bertahan untuk satu hari sahaja lagi. Lampin yang saya beli 2 minggu lepas hampir kehabisan. Ia bukan dari kualiti yang baik memandangkan sedikit sahaja barangan yang dapat masuk ke Gaza selepas kami dikenakan sekatan semenjak 18 bulan yang lalu. Lampin yang tidak berkualiti ini menyebabkan kebocoran berlaku sehinggakan beberapa hari yang lalu anak kecil saya terpaksa dimandikan di dalam air yang sangat sejuk.

Kakak saya yang duduk bersama kami sebelum ini mengambil keputusan untuk pulang ke rumahnya walaupun berdepan tentangan dari kami. Dia risau dengan simpanan makanan yang semakin berkurangan. kami mungkin hanya dapat makan sekali sahaja sehari berbanding dua kali sebelum ini. Di rumahnya, dia mempunyai sedikit lagi makanan yang tinggal tapi cukup untuk menampung keluarganya dalam beberapa ketika yang agak panjang.

Kami sekarang berjumlah 11 orang semuanya dan terpaksa berhimpit sesak di dalam bilik tidur ibu bapa kami. Saya, abang dan keluarga kami berpindah ke sini kerana menjangkakan tingkat satu ini adalah tempat yang selamat bagi kami semua.

Ada sebuah pepatah Arab yang menyatakan, " Mati di dalam kumpulan mendapat keampunan ".

Saya menjangkakan jika kami mati bersama mungkin- hanya kemungkinan- kami akan merasa sedikit sahaja kesakitannya dari menghadapinya sendirian.

Saya hanya tidur 8 jam semenjak serangan ini bermula. Hampir setiap minit kami mendengar bunyi serangan.

Saya pernah berfikir sendirian. Jika salah seorang dari kami tercedera atau memerlukan rawatan, apa yang akan terjadi?? Ambulan sangat sukar untuk sampai kepada mangsa, jalan-jalan telah disekat dengan bongkahan batu dan askar-askar Israel - kamu boleh mati akibat pendarahan yang teruk.

Jika ambulan sampai kepada kami pun, kami mungkin sahaja dibom. Andai kami sampai ke hospital sekalipun, pasti tidak ada bilik untuk menempatkan kami - hospital hanya memiliki sedikit sahaja ubat-ubatan, peralatan perubatan mahupun bekalan elektrik bagi memenuhi kelengkapan merawat. Adalah mustahil untuk kami keluar dari Gaza ini untuk mendapatkan rawatan yang kami perlukan.
















Sekarang ini hospital hanya menggunakan simpanan generator yang ada untuk beroperasi dan ini menyukarkan tugas doktor untuk cuba sedaya upaya berhadapan aliran masuk mangsa-mangsa yang cedera. Jika minyak untuk menjana generator habis, maka peralatan-peralatan perubatan akan tidak berfungsi.

Hari ini saya mendengar seorang wanita menelefon stesen radio - perkhidmatan ambulan tidak dapat sampai kepadanya dan saya mengagak dia mengharapkan stesen radio boleh melakukan sesuatu. Dia menangis dan meratap di dalam telefon sambil sambil berkata, " Rumah kami sedang terbakar, anak-anak saya akan mati, tolonglah saya..". Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada wanita itu dan anak-anaknya- Saya tidak mahu membayangkannya!

Saya menghabiskan banyak masa memikirkan bahawa ini mungkin masa-masa terakhir kewujudan saya.

Saat saya mahu melelapkan mata, saya terdengar di radio bilangan orang yang mati bertambah setiap jam. Saya tertanya-tanya pada diri sendiri apakah mungkin esok pagi, saya adalah sebahagian dari mayat-mayat yang dihitung kira itu, sebahagian dari bahan berita seterusnya.

Saya tidak takut akan kematian- saya tahu suatu hari nanti pasti kita semua akan mati. Tapi bukan mati seperti ini, bukan dengan leka duduk di rumah dengan anak-anak saya di pelukan menunggu nyawa kami di bawa pergi. Saya jijik dengan ketidakadilan ini!!

Apa yang masyarakat antarabangsa tunggu lagi!! - untuk melihat lebih ramai manusia dan keluarga dihancurkan sebelum mereka bertindak?!! Masa sudah suntuk dan bilangan yang mati dan cedera terus meningkat. Apa yang mereka nantikan lagi??!!

Apa yang sedang berlaku kepada manusia sejagat?? Adakah kami ini bukan manusia??!!!

Artikel asal boleh dibaca disini

* Kalau sesiapa dah baca artikel asal dan jumpa kesalahan tolong tegur ya. Maklumlah, Bahasa Inggeris tidak begitu sempurna dikuasai.



Begitulah keadaan saudara-saudara kita di sana. Penuh cerita duka. Cerita menyayat hati. Cerita -cerita kematian. Masih mampukah kita bergelak ketawa lagi sekarang ini?? Mereka mengharapkan kita semua, saudara seagama mereka.

Kita perlu bertindak! Sekurang-kurangnya dengan doa dan harta benda. Demi perjuangan suci mereka! Demi kelangsungan perjuangan mereka mempertahankan agama Islam di dunia ini! Demi mempertahankan bumi suci kita semua.

Adilkah jika mereka sahaja yang berusaha? Sedang kita terus leka dengan gelak ketawa, leka bergelumang dosa??

Fikir-fikirkanlah....

Jari-jemari saya Insyaallah akan terus menari tarian perang di atas keyboard ini selagi termampu. Ini sahaja yang dapat saya berikan selain doa sebagai tanda sokongan dan kebersamaan saya dengan perjuangan saudara-saudara saya di Gaza dan seluruh ceruk dunia di atas muka bumi ini.

Sampaikanlah kepada yang tidak tahu..

Jelaskan keadaan sebenar kepada seluruh umat Islam.

Ya Allah, bantulah tentera-tenteraMu di Gaza! Ya Allah, berilah kemenangan kepada Islam..









Khamis, Januari 08, 2009

Peperiksaan, Ujian Dan Kehidupan
















Salam buat semua. Alhamdulillah, dapat saya menulis kembali. Hati sudah berbunga rindu pada blog ni. Nasib baik tak bersarang sesudah lama ditinggal sendiri tidak ber'edit', huhu. Peperiksaan akhir semesta yang masih berbaki dua madah lagi menenggelamkan saya dalam lautan kesibukan, jadi tidak sempatlah menulis walaupun banyak perkara yang membakar kesabaran saya berlaku seminggu ini ( sudah tentu berkaitan isu Israel durjana!) membuatkan tangan ingin saja menari tarian perang di atas keyboard ini.

Walau bagaimanapun, peperiksaan akhir ini amat mengharap kepada tumpuan seratus-peratus saya dalam menelaah kitab-kitab pelajaran. Bukan lari dari isu semasa kerana saya juga sedang berjihad! Jihad menuntut ilmu agar nanti umat Islam tidak lagi ditindas, tidak lagi dipermainkan kerana Yahudi itu memporak-perandakan umat Islam menggunakan ilmu. Kita pula nyata tandus ilmu dan mudah terpedaya akan dakyah mereka.


Peperiksaan.

Sebagai pelajar, ini adalah kalimah berbisa yang bakal menekan-nekan urat nadi dan jiwa (bagi yang kurang persediaanlah..). Mahu tidak mahu peperiksaan ini perlu dihadapi bagi mengukur sejauh mana tahap seseorang pelajar dalam pelajarannya. Peperiksaan ibarat medan juang bagi seorang mujahid berpangkat pelajar. Ilmu yang telah dipelajari adalah senjata-senjata perang yang perlu dihunus di medan juang di dalam dewan peperiksaan.

Jika cemerlang maka dia seorang pemenang, jika tewas tidak bermakna dia akan terus gagal! Ini sebenarnya hakikat seorang pelajar. Peperiksaan adalah sebuah ujian menilai tahap keilmuan.

Namun sayangnya kini niat manusia bergelar pelajar itu mudah diputar belitkan. Belajar untuk peperiksaan, bukan kerana mahu meresapi bahagia seorang ilmuan. Sekadar lulus atau cemerlang di dalam peperiksaan sudah cukup. Ilmu hanya diguna-pakai di dalam dewan peperiksaan.

Inilah sikap pelajar sekarang. Perkara ini tidak sahaja berlaku di sekolah rendah mahupun menengah hatta turut terjadi di institusi-institusi pengajian tinggi yang sepatutnya ilmu menjadi satu-satunya perkara penting untuk dikejar dan dikuasai. Peperiksaan itu seharusnya hanya sebagai wadah mengaplikasi dan meluah pengetahuan yang dimiliki. Jika belajar kerana ikhlas mahukan ilmu di hati, ikhlas mengharap redha Illahi, maka keputusan peperiksaan pasti cemerlang seperti yang diimpi dan diharapkan, Insyaallah.

Oleh kerana sikap para pelajar sebegitulah yang menyebabkan umat Islam khususnya semakin ketandusan ilmu, semakin ketinggalan, semakin jauh dari Tuhan. Musuh-musuh Islam telah jauh kehadapan, mereka tahu hanya dengan ilmu Islam dapat ditewaskan. Umat Islam hanya boleh bangkit dengan ilmu! Umat Islam akan kembali gemilang hanya dengan ilmu!

Saya pernah siarkan sebuah artikel berbahasa Inggeris yang bertajuk Why Are Muslim So Powerless bulan disember lalu. Kalian semua boleh rujuk kembali. Nanti kamu akan temui punca susutnya kuasa umat Islam di dunia ini.



Ujian

Peperiksaan bagi seorang pelajar itu adalah umpama ujian bagi manusia di dunia ini. Jika para pelajar terpaksa menghadapi peperiksaan bagi menilai tahap ilmu yang telah dipelajari, ujian dalam hidup manusia pula menilai sejauh mana tahap keimanan dan kesabaran yang terpahat di hati.

Ujian ini juga perlu kepada persediaan. Sudut mental, fizikal harus padu dengan aura kesabaran. Ujian bukan selalu beerti kesusahan, kepayahan akan tetapi kesenangan, keselesaan dan kekayaan juga adalah ujian buat seluruh hamba Tuhan.

Jika cemerlang menghadapinya maka dia antara yang berjaya di sisi Allah Taala, jika dia gagal dia mungkin jauh menyongsang dari rahmat Tuhan, maka berhati-hatilah!

Namun, Allah itu Maha Pengasih. Allah itu Maha pengampun. Jika sedar jauh menyongsang maka kembali ke sisi-Nya dengan taubat yang hakiki ( taubat nasuha ). Insyaallah di akhirat nanti beroleh jua kejayaan abadi.































Kehidupan

Hidup ini memang selalu-selalunya dipenuhi ujian dan cabaran. Jika melihat keadaan sekarang, isu Palestin itu juga merupakan sebuah ujian buat seluruh umat Islam sebenarnya. Ujian bagaimana kita berperanan dalam membentuk kesatuan Ummah demi menjaga Tanah Suci Islam tersebut. Ujian sejauh mana kita mampu bertindak demi menjaga dan memelihara agama Allah SWT ini. Ujian menilai kesanggupan kita bekorban dalam memerangi musuh-musuh Allah Taala ini..

Kehidupan kita sekarang ini tidak ada nilai jika terus selesa dengan kebiasaan-kebiasaan yang menyeronokkan dan selesa sedang saudara kita semua yang berada di Gaza dibom, dibedil dan dihancurkan Yahudi Zionis Laknatullah. Bahkan kita lagi hina-dina jika tidak berbuat apa-apa.

Lakukan sesuatu saudara-saudaraku semua. Beri perhatian pada isu ini. Beritahu kepada yang tidak tahu. Nyatakan bantahan anda. Doa kepada Allah agar diberi kemenangan dan dibantu saudara kita sekalian yang sedang dalam cengkaman Zionis. Doa setiap masa dan ketika. Boikot produk-produk Israel dan Amerika. Luahkan bantahan anda!

Kita perlu sedar bahawa kita sekarang diancam musuh-musuh Allah. Jangan biarkan kita terus dilalaikan dengan dakyah-dakyah mereka, dilalai dengan hiburan, harta benda dan segalanya tentang indahnya kehidupan dunia.

Sedar dan bangkitlah semua!

Kita perlu bertindak segera!

Hanya berbicara tidak mampu merubah suasana!

Sedarlah!!!!







* Tahniah buat Angah yang sudah selesai menghadapi peperiksaan SPM, moga natijahnya cemerlang, memuaskan hatimu, merubah kebiasaanmu. Juga tahniah buat Adik yang berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam PMR, moga cita-citamu terlaksana.

* Buat para mujahidin semua, terus berjuang dengan penuh semangat! Kami bersama kamu! Moga Islam beroleh kemenangan, Insyaallah..