Memaparkan catatan dengan label Iklan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Iklan. Papar semua catatan

Ahad, Februari 28, 2010

Malaysia Masih Kurang Perancang Kewangan Syariah

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Meskipun pertumbuhan pesat dalam industri perbankan dan kewangan Islam, terdapat kekurangan dalam Perancang Kewangan Berdaftar (RFP) Syariah, kata Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC).

Presidennya, Kee Wah Soong berkata, ketika negara membangunkan industri perbankan dan kewangan Islam, terdapat keperluan untuk melahirkan RFP Syariah yang cekap dan profesional bagi memenuhi amalan terbaik global.

"Sejajar dengan pembangunan industri, prospek dan permintaan bagi RFP Syariah adalah cerah dan kukuh pada masa depan.

"Justeru itu, penting untuk membangunkan modal insan bagi industri sejajar dengan agenda nasional," kata Wah Soong selepas majlis sambutan Tahun baru Cina MFPC di sini.

MFPC merupakan badan kawal atur sendiri bebas yang menggalakkan pembangunan dan peningkatan profesion perancangan kewangan seluruh negara.

Pada 2009, MFPC memperkenalkan program RFP Syariah bagi anggotanya dan pengamal dalam bidang berkaitan dan melahirkan 59 perancang kewangan yang layak.

Wah Soong berkata, dengan permintaan dalam industri kewangan Islam meningkat dengan pesat, MFPC menyasar melahirkan kira-kira 1,000 perancang kewangan yang layak tahun ini.

MFPC juga menubuhkan Tabung Biasiswa RFP Syariah bernilai RM300,000 untuk memberi faedah kepada orang awam.

"Dengan perancang kewangan profesional, MFPC boleh membantu meningkatkan kumpulan pakar kewangan Islam menerusi latihan dan pendidikan bagi menyediakan pemahaman mengenai pengaruh Syariah dalam perniagaan perkhidmatan kewangan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perancang kewangan konvensional juga mendapat banyak permintaan tetapi lebih ramai pakar dalam bidang berkaitan diperlukan bagi memenuhi perubahan dan aliran dalam industri kewangan.

Wah Soong berkata, MFPC dijangka mendapat pengiktirafan bagi RFP Syariahnya daripada Suruhanjaya Sekuriti pada pertengahan tahun ini.

Di Malaysia, terdapat dua badan yang memperakui dan mengiktiraf perancang kewangan - MFPC dan Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia.

Bercakap mengenai pembangunan industri itu di Malaysia beliau berkata, ia mencatatkan prestasi yang baik dengan kesedaran yang semakin tinggi tetapi masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam penerimaan awam tentang kepentingan perancangan kewangan.

"Bekalan pasaran, kapasiti, kesedaran sudah ada tetapi penerimaan pasaran masih belum ada kerana orang ramai masih teragak-agak untuk membayar bagi mendapatkan khidmat nasihat. Tetapi suasana penerimaan jelas lebih baik daripada lima tahun lalu.

"Orang ramai sudah mula yakin untuk melabur dan berbelanja, jadi mereka akan terus mendapatkan nasihat daripada pakar perancangan," katanya.

Potensi bagi industri untuk berkembang adalah cerah tahun ini memandangkan jangkaan pemulihan ekonomi, katanya.


Sumber : Utusan Malaysia Online

Leading the development of Ummah

Isnin, Februari 16, 2009

Berakhir Satu Tanggungjawab, Bermula Satu Muhasabah

Alhamdulillah, Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia seJordan atau dikenali sebagai PERTAMA kali ke-3 telah pun melabuhkan tirainya. Program yang mengumpulkan mahasiswa-mahasiswi seluruh Jordan ini berjaya diakhiri dengan terhasilnya 11 resolusi yang mampu memacu arah MPPMJ membentuk mahasiswa-mahasiswi yang profesional, berfikiran kritis dan kreatif juga mampu menterjemah isu-isu global dalam satu sudut pandangan yang berbeza.

























Memang perlaksanaan PERTAMA kali ke-3 ini mengalami bermacam kekangan dan kekurangan tetapi, apa yang pasti segalanya ini mampu menjadi iktibar dan panduan dalam perlaksanaan PERTAMA yang akan datang. Mewakili Biro Program, saya memohon kemaafan daripada semua peserta dan para perwakilan yang datang dari ribuan batu jauhnya bermula dari Yaman, Arab Saudi, Mesir hinggalah ke negara jiran Syria atas kekurangan sepanjang program dilaksanakan.

Kadang-kadang kita sebagai manusia selalu merasakan bahawa perancangan kita adalah yang terbaik namun kita terlupa ada perancangan yang lebih baik dan lebih tersusun indah penuh dengan hikmahnya tersendiri, itulah perancangan Allah SWT.

Hidup memang penuh cabaran, namun cabaran itu adalah penambah perisa kehidupan. Manusia sentiasa menghadapi kesukaran dan kepayahan dalam hidupnya. Segalanya ini haruslah dihadapi dengan penuh redha, rasa kebergantungan kepada Tuhan dan semangat yang kental bagi meraih rasa penuh kebahagiaan setelah selesai cabaran dirempuh dan diselesaikan. Akhirnya segala rasa payah, susah dan mencabar ini terasa mudah untuk dihadapi.

Allah SWT berfirman :

Oleh itu ( tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya ( sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertai kemudahan- Alam Nasyrah, ayat 5-6


Diharapkan PERTAMA kali ini menjadi titik tolak ke arah kematangan fikiran mahasiswa-mahasiswi di bumi Jordan ini. Semoga persidangan yang akan datang membawa sedikit sebanyak semangat dari PERTAMA kali ke-3 ini yang mengangkat idealisme dan pandangan mahasiswa-mahasiswi di Jordan ini ke tahap yang lebih berbanding mahasiswa-mahasiswi di negara-negara lain.

Ayuh rakan-rakan sekalian.

Kini masanya untuk kita berubah!!

" Kearah Kematangan Mahasiswa Muslim "