Dalam banyak hal, kita sering takut, bimbang, risau dan tidak tenteram. Lebih-lebih lagi dalam membuat persediaan untuk suatu perkara yang besar dan bermakna dalam hidup.
Satu benda yang tidak boleh kita nafikan adalah bertapa berkuasanya doa pada kita dalam menghadapi saat-saat sebegini dalam hidup. Doa tu kan senjata bagi orang Islam. Jadi, berdoalah memohon kemudahan dan perlindungan dari Allah swt.
Amalan berdoa ini amat disukai Allah swt. Perkara ini jelas disebut dalam al-Quran yang mafhumnya jika kita berdoa pada Allah pasti Allah akan memakbulkan permintaan kita itu.
Begitu juga Nabi kita Muhammad saw menganjurkan kepada kita untuk berdoa, antaranya:
“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah, selain daripada doa.” (HR. Ibnu Majah dan Abu Hurairah) -
“Tidak ada seorang muslim pun yang berdoa dengan doa yang tidak mengandung dosa dan memutus hubungan silaturrahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya satu diantara tiga hal : dikabulkan doanya ; ditangguhkan hingga hari kiamat ; atau dijauhkan dari suatu keburukan/musibah yang serupa.” (HR. Ahmad dari Abi Said Al Khudri)
Oleh itu dalam apa keadaan pun, panjatkanlah doa kepada yang Esa. Sandarkan harapan pada kuasaNya. Mudah-mudahan Allah beri kita ampunan dan membantu kita dalam setiap keadaan.
Antara lain, admin ingin kongsikan doa yang boleh kita amalkan bagi dimudahkan urusan. Mudah-mudahan, dengan izinnya dimakbulkan.
Semalam, selepas waktu kerja saya sempat menemani seorang rakan 'mengeteh' di sebuah gerai. Topik perbualan awalnya biasa sahaja, tentang kerja dan keluarga. Tiba-tiba saya terlintas untuk berntanyakan soalan kepadanya.
'Macam mana ye kita nak jadi pandai? Maksudnya nak jadi orang yang berilmu, hebat macam para ulama' dulu? Kadang-kadang aku rasa bodoh sangat. Banyak benda yang tak tahu. Bila nak kaji, membaca tak tahu nak mula mana.'
Sambil meneguk air dari cawan, rakan saya itu senyum menjawab tapi dalam bentuk persoalan yang dipulangkan kepada saya, 'Berapa kali dah khatam quran?'
'Erk.. Kenapa pula? Tanya pendapat, dia tanya semula soalan kat kita' saya jawab dalam bingung.
'Itulah sebenarnya silap kita ni. Kita selalu lupa pada al-Quran. Sedangkan gedung segala ilmu itu adalah al-Quran. Baca al-Quran, hayati isi kandungannya, amalkan dan hafaz. InshaAllah selesai soalan kau tu.'
Dia tambah lagi, 'Cuba kau kaji para ulama' dulu, benda apa yang mula-mula mereka belajar?'
'Itu lah kuncinya. Kunci segala ilmu yang ada di dunia ni ada pada Al-Quran tu. Ni kita nak baca pun malas. Seminggu berapa kali je kita buka al-Quran. Nak faham makna, lagilah jauh. Sedangkan mereka menghafaz al-Quran tu, tanam, pasak dalam ingatan, dalam hati mereka. Sebab tu mereka ni power!
Haaa..ambik kau!
Jawapan tu buat saya diam, pergi kaunter bayar duit..balik..
Dalam hidup ini jika tiada cita-cita dan impian, tidak bermakna. Hidup hanya mendatar sahaja. Tiada apa yang hendak dikejar. Sekadar hidup dengan meneruskan rutin yang sama. Diulang sehingga tua. Apa nikmatnya?
Hidup perlu ada harapan. Perlu ada cita-cita yang bermakna, barulah seronok. Apatah lagi jika apa yang kita harap dan impikan itu tercapai. Lagilah bertambah gembira dan bahagianya. Itu yang pertama. Perkara kedua yang penting juga adalah semangat.
Semangat untuk merealisasi cita-cita yang diimpi. Jika impiannya ada tapi tiada usaha yang bersungguh untuk mencapainya tiada gunanya juga. Jadi dua perkara ini saling bergandingan. Sama-sama mendorong kita menjadikan hidup ini sebuah perjalanan bermakna.
Dua, tiga tahun lalu saya juga membina impian. Mahu menjadikan hidup ini bukan sekadar untuk 'hidup'. Saya mahu nikmati masa singkat di dunia ini.
Lalu saya pun mula mewujudkan laman ini-dengan izin Allah jua. Bagi saya ini adalah papan yang tercatat perjalanan menggapai impian saya. Ini bukti untuk saya. Untuk zuriat keturunan saya. Biar mereka tahu beginilah cara menikmati kehidupan yang sebenar - dengan membina impian dan harapan.
Saya mahu menjadi penulis!
Itu kalimah yang tertanam di hati sejak perkataan pertama saya tulis di atas laman ini. Itupun setelah entah bagaimana si Hilal Asyraf mendorong secara tidak sedar. Kebetulan Allah temukan kami di bumi Anbia Jordan (mungkin dia tidak ingat pun, tapi ini hakikat-saya bukan bermaksud menumpang glamour ya).
Terinspirasi daripada lamannya yang awal ketika itu. Saya dengan tiada kemahiran menulis cuma bergantung kepada minat dan impian untuk meneruskan hasrat. Akhirnya baru saya tahu yang menulis itu seronok. Yang sebetulnya penuh nikmat!
Saya belajar untuk meletakkan idea menjadi penulis itu dalam catatan impian yang harus saya kejar sehabisnya.
Akhirnya, di tahun akhir pengajian saya dipelawa untuk menulis sebuah buku. Rezeki yang sehebat itu mana mungkin saya menolaknya. Saya berusaha sedaya upaya untuk memastikan buku itu terbit. Ini juga bagi memenuhi impian kedua ketika hadir ke Pesta Buku Kuala Lumpur tahun 2009. Saya tertanya-tanya bilalah agaknya buku saya akan dipamerkan di rak di sana.
Akhirnya tahun 2010 ia terlaksana. Dan di tahun 2011 saya hadir ke Pesta Buku KL dengan senyum lebar hingga ke telinga. Wah! Buku aku!
Walau tidak selaku mana, yang penting ia ada di atas rak pameran Karangkraf - terima kasih kepada pihak Buku Prima Sdn Bhd.
Tiada siapa tahu kecuali anda yang membaca ini, bahawa saya dari pagi hingga ke petang berada berhampiran rak tersebut. Sangat teruja dengan hasil pertama itu. Berpura membelek buku namun hakikatnya memerhati siapalah yang membeli buku tulisan saya itu.
Walau pembelinya boleh dikira dengan jari, saya puas!
Itu yang pertama, kegagalan adalah biasa. Kalau dibanding dengan orang lain, sekurang-kurangnya saya ada juga menerbitkan buku -walau tidak laku mana.
Hasil daripada cubaan pertama itu, saya meletakkan sasaran, saya akan tulis dan terbitkan dua buku setahun!
Wah! Ini sudah lebih. Tidak mengapa, kerana memang untuk jadi hebat dan berjaya kita perlu cabar diri sendiri. Itu sasaran tahun 2011. Namun malang sekali ia tersasar sedikit jauh. Apa pun saya sudah usaha. Saya hadir ke kursus penulisan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Ditawarkan untuk menulis dan buku diterbitkan mereka. Namun idea seolah tersekat kuat di dalam jaluran otak. Berkisar di dalam kepala sahaja. Tidak dapat diterjemahkan. Peluang terlepas begitu sahaja.
Tahun 2012 masuk menjengah. Saya perbaiki sasaran. Kali ini 3 buah buku!
Wow! Kamu kuat berangan Firdaus!- jerkah kata hati. Saya peduli apa, kerana untuk memaknakan hidup, perlu ada impian dan cita.
Hujung tahun ini, saya hadir pula ke kursus penulisan Must Read Sdn Bhd. Masih mahu mencuba nasib. Tidak sangka laman ini juga menjadi perantaranya. Mereka suka dengan beberapa artikel yang saya tulis. Saya hadir.
Natijahnya, dua proposal buku diluluskan untuk diterbitkan. Cuma perlu menghantar manuskrip yang saya SASARKAN salah satunya berjaya saya siapkan penghujung bulan 12 ini. Ketika orang sibuk dengan tarikh kiamat andaian Kaum Maya itu, saya sibuk merangka sasaran baru tahun 2013.
Biarlah orang di barat sibuk menggali lubang untuk menyorok. Itu cara mereka menghadapi kiamat. Kita yang Islam ini teruskan kebaikan yang ingin dibuat. Nabi SAW pun pesan yang maksudnya, jika ada biji benih di tangan dan kiamat datang sekali pun tanam benih itu. Begitulah apa yang saya mahukan. Sebab kiamat itu pasti.
Di tahun baru 2013, sasaran makin hampir. Walau tidak 3 atau 4 buah buku saya terbit, sekurang-kurangnya 2 buah berjaya saya langsaikan.
Dan petang tadi saya menerima email daripada Must Read Sdn Bhd. Kata salah seorang orang kuatnya, ada tajuk buku yang hendak dibincang dengan saya. Mungkinkah tahun depan 3 buah buku saya berada di pasaran??
Jangan takut mencabar diri!
Wahai Tuhan, bantulah aku memanah tepat ke sasaran!
" Ketahuilah bahawa di dalam jasad itu ada seketul daging, Jika baik daging itu maka baiklah jasad itu seluruhnya. Dan jika rosak daging itu, maka rosaklah jasad itu seluruhnya. Ketahuilah itu adalah hati."
Hati memainkan peranan yang amat besar pada diri seorang anak Adam itu. Ia seumpama raja di dalam diri kita. Jika sesebuah kerajaan itu ada raja atau pemerintah, maka dalam kerajaan diri manusia itu hatilah raja dan pemerintahnya
Jika baik raja atau pemerintah tersebut dalam pemerintahannya, maka baiklah seluruh kerajaan yang dikuasainya. Aman sentosa serta bahagialah rakyat jelata.
Tidak jauh beza dengan hati. Jika kerajaan dalam diri manusia itu dikuasai atau diperintah oleh hati yang baik, yang bersih, natijahnya akan membekas pada tingkah-laku dan peribadi seorang anak Adam itu. Sebaliknya pula jika yang memerintah itu hati yang jahat, kotor, busuk maka natijahnya akan tergambarlah pada diri anak Adam itu keburukan, kehinaan, kebusukan tingkah-laku dan berbagai lagi perkara yang merosakkan.
Jenis-jenis hati
Ulama membahagikan hati kepada 4 keadaan. Keadaan pertama adalah seperti ini :
Seumpama cawan yang penuh dengan kotoran. Agak-agaknya jika kita tuangkan air mineral ke dalam cawan ini apa akan jadi? Sudah tentu air yang kita tuang itu akan tercemar disebabkan oleh kotoran yang melekat pada cawan tersebut.
Begitu juga hati. Jika ia kotor, apa akan jadi dengan rahmat dan ilmu yang Allah turunkan kepada kita? Sudah pasti ilmu dan rahmat itu akan tercemar dan rosak disebabkan oleh kotornya bekas (hati) yang menadahnya.
Teringat saya satu kisah di mana Imam As-Syafie bertanya kepada gurunya Imam Waqi' tentang kesukarannya untuk menghafaz. Kata gurunya, jauhi maksiat. Sungguh ilmu itu adalah cahaya dan cahaya tidak akan turun ke dalam hati yang terpalik dengan kekotoran maksiat.
Kisah ini menggambarkan kepada kita bahawa hati yang kotor dipenuhi kekotoran itu merupakan hijab penghalang masuknya ilmu dan rahmat Allah SWT.
Keadaan hati yang kedua adalah seumpama ini :
Bentuk hati yang kedua adalah hati yang retak, pecah. Hati jenis ini tidak mendatangkan sedikit pun manfaat pada pemiliknya. Sama seperti cawan pecah juga. Tidak ada manfaat buat tuannya. Isilah air sebanyak-banyaknya. Tuanglah seribu baldi air yang berbagai jenis pun, ia tidak akan dapat menampung air tersebut. Tidak dapat menyimpan lalu kehausanlah tuannya untuk mengambil manfaat dari cawan miliknya.
Hati yang retak pecah begitulah. Selautan pun rahmat dan ilmu Allah diturunkan ke dalamnya ia tidak akan sekali-kali menampung curahan tersebut. Ia tetap akan kembali kosong seperti tidak pernah terisi. Lalu apalah manfaat yang diperoleh tuannya. Kehausanlah ia daripada rahmat, kasih sayang dan ilmu Allah SWT. Jasadnya hidup namun hatinya kosong.
Puaslah ia berdoa, mengharap. Namun setitis pun rahmat Allah itu tidak melekat andai diturunkan. Lalu menjadi sia-sialah kehidupannya. Akhirnya hanyutlah ia dalam hidup dunia yang tidak pernah putus kenikmatannya ini.
Hati jenis yang ketiga seperti ini :
Umpama gelas yang bertutup rapat. Agak-agaknya jika dituangkan air ke atasnya apa akan jadi?
Pasti air itu tidak akan dapat masuk walau sedikit pun ke dalamnya. Air akan mencurah-curah tumpah. Hanya menyentuh penutupnya sahaja. Lalu apakah dapat tuannya menghapus dahaga dengannya jika tidak membuka penutup tersebut.
Begitulah hati dari jenis ini. Hatinya tertutup rapat lagi kemas dari menerima ilmu dan rahmat Allah SWT. Tidak ada manfaat yang diperoleh tuannya. Jika jenis-jenis sebelum ini walau tidak melekat kuat, tetapi masih berjaya masuk dan jika lama-kelamaan dituangkan air, ia akan mampu juka menakung walau seketika.
Adapun jenis hati yang tertutup ini lebih teruk dan mudarat lagi kepada pemiliknya.
"Dari Abu Hurairah, dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda, “Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka dititikkan dalam hatinya sebuah titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan “ar raan” yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (yang ertinya), ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka’.”
( HR. At Tirmidzi no. 3334, Ibnu Majah no. 4244, Ibnu Hibban (7/27) dan Ahmad (2/297). At Tirmidzi mengatakan bahwa hadits ini hasan shahih.)
Sungguh ianya bermula daripada hati yang terpalit dengan kekotoran. Kotor itu jika tidak dicuci akhirnya menutup hati. Andaikan pula sebuah cermin yang berkilat cantik. Dibiarkan lama di kawasan yang berdebu. Lama-kelamaan cermin itu akan pudar lalu akhirnya ia terus gelap,hilang sifatnya untuk memantul cahaya. Jika didatangi pasti seinci pun wajah kita tidak kelihatan.
Yang lebih menakutkan lagi, apa yang kita perbuat sesekali tidak menghilang kotoran yang ada bahkan menutup terus hati kita selama-lamanya. Sedikit pun cahaya, rahmat dan ilmu Allah tidak akan singgah kepada diri kita, nauzubillahi min zaalik. Moga-moga kita dijauhkan daripada hati yang tertutup ini.
Ini pula gambaran kepada jenis hati yang keempat :
Hati ini umpama cawan yang bersih lagi suci. Apa pandangan anda? Jika ditunagkan air, apa yang akan berlaku?
Pasti air itu akan tertuang molek memenuhi cawan tersebut. Kejernihan air juga akan jelas kelihatan. Bukan sahaja ia nampak cantik bersih bahkan dapat menghilangkan kehausan kepada pemiliknya. Manfaatnya sudah pasti memberi seribu tahu kebahagiaan buat pemiliknya.
Inilah hati yang sepatutnya kita miliki. Harta yang seharusnya kita dapatkan. Jernihnya hati ini pasti menarik perhatian tuannya dan orang-orang yang melihatnya. Bahkan penuhi langit pun pasti akan mengaguminya.
Begitulah jenis-jenis hati manusia ini.
Kata Saidina Ali RA : " Bekas-bekas (tempat diturunkan ilmu dan rahmat) Allah di dunia ini adalah hati"
Berdasarkan kata-kata ini, bersedihlah kita jika hati kita bukan dari kategori yang terakhir ini. Malanglah bagi kita jika hati kita dari kategori yang pertama, kedua dan ketiga. Sungguh rahmat dan ilmu Allah itu tidak dapat tumpah kepada kita. Lalu berlakulah berbagai-bagai masalah dalam kehidupan.
Sebab itu, jika kita sering mengadu bahawa kita ada masalah itu, ada masalah ini rujuklah kembali kepada keadaan hati kita. Agak-agak bagaimana keadaannya. Sihatkah, sakitkah atau sudah memang tenat dan nazak?
Memang sakit ini sukar dikesan. Kerana itu ia sering sahaja dipinggirkan. Dan kalau pun seseorang itu tahu akan sakitnya itu, sukar untuk dia menerima rawatan dengan ubat yang amat pahit dan sukar untuk ditelan. Masakan tidak, ubat hati itu adalah setiap perkara yang bertentangan dengan nafsu dan seiiring dengan kehendak Rabb.
Mencuci hati tidak seperti mencuci cawan-cawan yang kotor. Beli sahaja sunlight atau seumpamanya kemudian campurkan air, disapu kemudian bersihlah.
Hati ini memang perlu digilap dan dicuci. Walau bahan-bahan pencucinya nampak mudah untuk dicari dan dibuat namun untuk mengamalkannya dan istiqamah dengannya memerlukan 'rasa juang' yang tinggi.
Sebab itu Rasul SAW pernah menukilkan ketika pulang dari medan peperangan, bahawa mereka baru sahaja pulang daripada peperangan yang kecil. Terkesima para sahabat. Apakah selama ini peperangan yang disertai mereka hanya peperangan yang kecil sedangkan sudah ramai para sahabat yang terkorban dalam menyertainya.
Lalu ketika ditanya kepada Rasul SAW barulah mereka faham. Yang dimaksudkan perang yang besar itu adalah perang melawan hawa nafsu. Memang, ada orang mungkin gagah fizikalnya, berani, berketul-ketul ototnya namun untuk menahan diri dari makan di bulan puasa pun ia tidak mampu.
Begitu juga ada orang yang nampak hebat dipandangan, kekuatannya tidak dapat ditandingi namun untuk menahan diri daripada kemarahan yang menyala-nyala sedikit pun tidak mampu.
Ada hadis membicarakan tentang hal ini :
Rasullullah SAW bersabda, " Orang yang kuat bukanlah orang yang mampu mengalahkan lawannya. Sesungguhnya orang yang kuat adalah orang yang mampu menguasai dirinya ketika marah." (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Selepas ini Insyaallah saya akan menulis tentang ubat-ubat hati pula. Bagaimana untuk kita merubah kedudukan kita daripada jenis hati yang pertama, kedua atau ketiga kepada jenis hati yang keempat.
Menulis bukan satu kerja yang mudah. Bagi ramai orang ia memang satu kerja yang payah. Kata mereka, menulis perlukan kemahiran, idea, kreativiti dan bermacam lagi. Akhirnya mereka menilai menulis sebagai sesuatu yang amat asing bagi diri mereka.
Saya juga antara orang yang berpandangan sedemikian. Dahulu memang begitulah pandangan saya. Saya cuma minat membaca. Menulis, minta maaf!
Tapi sejak akhir-akhir ini saya mula merubah pandangan. Terutama ketika tahun akhir pengajian saya. pendedahan kepada dunia di luar sana menghadirkan saya bermacam idea dan keinginan untuk menulis apa yang saya tahu dan apa yang saya alami.
Lalu saya cuba memupuk minat itu dengan menulis blog. Medium yang tidak asing lagi bagi ramai orang. Cuma saya tidaklah seaktif blogger-blogger hebat di luar sana. Penulisan saya juga tidaklah sehebat mereka. Namun itu tidak pernah memudarkan semangat saya.
Apa yang saya harus akui cuma momentum saya dalam menulis tidak menentu. Terkadang cukup tinggi, dan kadang-kadang langsung tiada. Akhirnya laman peribadi saya ini usang bersarang.
Tapi saya mula gilakan kerja menulis ini.
Kenapa perlu menulis??
Tidak payah untuk menjawabnya. Cuma ingat pesan Rasullullah SAW, " sampaikan daripadaku walaupun satu ayat".
Ia merupakan satu kewajipan.
Sebagai seorang muslim, dakwah kepada kebaikan, kepada Islam adalah kewajipan kita. Cara yang paling mudah adalah dengan menulis. Jarang ada yang mampu turun padang berdakwah ke sana ke mari. Sukar juga untuk ramai di kalangan kita berdakwah di masjid atau surau memberi tazkirah atau ceramah. Lagi payah untuk seseorang pergi dari rumah ke rumah untuk menyampaikan seruan dakwah.
Jadi, menulislah jalannya. Benar, ia tidak semudah yang dikata. namun, jika betul caranya ia jalan paling mudah dan antara paling berkesan untuk sampai kepada sasaran.
Mengambil kata sifu-sifu penulisan, " kemahiran menulis itu boleh diasah dan dibentuk".
Menulis juga merupakan amal jariah kita yang boleh menjadi bekal di akhirat sana. Tapi syaratnya yang ditulis itu perlulah bernada kebaikan. Mengajak kepada yang makruf, menjauhkan dari yang mungkar.
Rasullullah SAW pernah mengingatkan, bila terputusnya nyawa anak Adam itu, terputuslah segala amalannya kecuali beberapa perkara. Antara lainnya ilmu yang dimanfaatkan. Bagaimana memanfaatkan ilmu? Jawapannya hanya dengan menulis. Moga-moga tulisan kita kekal. Menjadi pedoman buat generasi baru dan menjadi bekal buat kita yang pergi dahulu.
Saya cukup teruja apabila memikirkan bagaimana para ilmuan Islam dahulu mampu menerbitkan berjudul-judul serta berjenis-jenis buku. Mereka cukup produktif. Apa yang mendorong mereka agaknya?
Sudah tentu matlamatlah puncanya. Matlamat yang memberi mereka upaya, selain daripada izin Allah SWT. Cita-cita mereka sudah tentu untuk menyebar-luas ilmu yang mereka ada. Mereka mahu seruan Islam tersebar ke seluruh ceruk alam melalui tulisan mereka. Jadi, kenapa tidak kita mencontohi mereka?
Kenapa kita perlu menulis?
Soallah kepada diri kalian.
Jika sudah ada jawapannya, bermulalah dengan segera. Jangan ditangguh kerja-kerja kebaikan itu. Kerana jika ditangguh, pasti menjadi 'tapai'. Manis-manis masam jadinya.
Bermulalah dengan mewujudkan blog. Tulislah apa sahaja yang kalian rasakan.
Selamat berjaya. Mari kita sama-sama berjalan di atas landasan dakwah ini.
Moga semua beroleh keberkatan, Insyaallah.
*Artikel ini khas ditujukan kepada pelajar-pelajar saya di IKIP College, Kuantan.
Tidak selalunya perkara yang kita harapkan itu kita peroleh. Kita mengharap untuk jadi begitu begini namun hasilnya tidak seperti yang dirancang juga diidam-idamkan.
Namun, perkara yang berlaku secara tidak dirancang itu sebanarnya mendatangkan lebih kebaikan kepada diri kita. Inilah yang dinamakan perancangan Allah. Kita sebagai hamba tekun merancang tetapi Allah SWT juga merancang hidup kita sebagai hamba kepadaNYa. Lalu rancangan siapakah yang lebih aula ( utama ) untuk berlaku??
Saya percaya setiap orang mempunyai cita-cita sendiri. Sejak dari kecil kita membina keinginan tersebut. Jika ditanya kepada anak-anak kecil, sudah tentu pelbagai jawapan kita akan dengari. Ada yang mahu jadi doktor, tentera, polis bahkan superman dan ultraman juga menjadi pilihan!
Seiring dengan peredaran usia, cita-cita kita juga turut berubah sama. Kalau dahulu ingin menjadi Superman, kini mahu menjadi juruterbang pula misalnya. Kalau dahulu mahu jadi doktor, kini hanya mahu menjadi jururawat sahaja.
Segalanya ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran seseorang itu.
Kali iini, setelah lam tidak menulis, tergerak hati mahu berkongsi kisah saya mengarang cita-cita.
Saya sama seperti anda semua, mempunyai cita-cita yang hebat sejak dari kecil.
Waktu itu, saya suka bermain permainan terutamanya mainan seperti jet pejuang atau kapal terbang. Jika tidak ada, saya akan melipat kertas lalu menerbangkan ia menerusi tingkap rumah.
Ketika itu rumah saya seperti rumah kampung biasa. Rumah kayu yang bertiang tinggi. Tingkapnya terbuka luas, mudah bagi jet-jet kertas saya melaluinya.
Minat itu telah menimbulkan keinginan dalam hati kecil saya mahu memandu jet pejuang. Saya mahu menjadi juruterbang yang hebat!
Selepas daripada itu, setiap kali ditanya tentang cita-cita, dengan bangganya saya akan menjawab :
" Cita-cita saya nak jadi pilot!"
Impian ini makin menebal dan bertambah kuat dengan kehadiran bapa saudara saya yang baru. Maksudnya suami kepada ibu saudara saya. Adik abah yang ke 7. Dia seorang guru, suaminya seorang anggota TUDM. Pegawai yang berpangkat juga la dalam pasukannya ketika itu.
Majlis perkawinan mereka menghadirkan 3 buah helikopter jenis Nuri di tanah rancangan, rumah almarhum atuk dan nenek saya berada.
Ketika mahu menyambut rakan-rakan sepasukannya, dia telah mengajak saya dan sepupu yang lain menghampiri helikopter tersebut. Angin tujahan kipas helikopter yang baru mendarat seolah-olah turut mengangkat saya lebih tinggi untuk menggapai cita-cita yang diimpi. Saya jadi amat bersemangat ketika itu!
Kesempatan yang ada, tidak saya lepaskan. Ketika sepupu-sepupu yang lain sibuk bermain, saya leka duduk berhampiran sahabat-sahabat bapa saudara saya itu. Mereka semua lengkap beruniform dengan logo TUDM tertera di dada. Segak.
Perbualan dengan mereka kemudiannya menyuntik semangat yang memang sedang hebat terbakar.
Selepas daripada itu, saya nekad mahu menjadi seperti mereka.
Namun....
Masa merubah segalanya.
Ketika di bangku sekolah menengah, saya menjadi kurang bersemangat untuk meneruskan cita-cita yang itu. Terasa seolah peluangnya pergi terlalu jauh dan payah untuk saya mengejarnya.
Masakan tidak, masuk Maktab Tentera Udara memerlukan fizikal tertentu yang digariskan dalam syarat-syarat kemasukannya dan juga perlu tahan tekanan yang tinggi. Saya pula tidak mempunyai segala syarat tersebut, ditambah lagi dengan penyakit buah pinggang yang dihidapi. Saya terpaksa lupakan cita-cita saya itu.
Penghujung tingkatan satu, saya merangka cita-cita baru. Saya tidak mahu terus kecewa dan tidak bersemangat.
Kini, saya mahu menjadi seorang jurutera aeroangkasa pula.
Jurutera aeroangkasa adalah merupakan seseorang jurutera yang terlibat didalam mana-mana peringkat penyelidikan dan pembangunan industri aeronautik ( penerbangan dalam lingkungan atmosfera bumi ) dan juga astronautik ( penerbangan diluar lingkungan atmosfera bumi ).
Bagi saya, tidak dapat memandu kapal terbang atau jet pejuang pun tidak mengapalah asalkan masih terlibat dengan bidang penerbangan. Dan bidang ini lagi hebat. Kita yang merangka dan membina pesawat atau roket yang dipandu.
Saya merasakan ini pilihan terbaik. Lalu saya terus dengan matlamat mencapai impian ini.
Bermula dari situ, saya mula membaca buku-buku berkaitan dengan sains angkasa dan penerbangan, menonton dokumentari dan sebagainya. Saya jadi rapat dengan mata pelajaran Sains. Saya tahu, jika mahu terlibat dalam bidang ini tidak boleh tidak saya perlu kuasai ilmu sains dan matematik.
Saya berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Saya sudah merangka pelan 5 tahun kehidupan saya. Ketika itu saya sudah mula membaca buku-buku dan tulisan-tulisan motivasi.
Antara tokoh motivasi yang saya selalu jadikan rujukan buku mereka adalah Dr. HM Tuah Iskandar dan Dato' Dr Fadzilah Kamsah.
Melalui tulisan dan ceramah mereka yang saya tonton, saya mengetahui serba ringkas kaedah yang betul untuk merealisasikan apa yang kita impikan. Dalam pelan 5 tahun yang saya rangka, saya telah menulis dan mencatat perkara-perkara yang saya perlu lakukan untuk menjadi jurutera aeroangkasa.
Antaranya adalah permohonan masuk ke Sekolah Teknik dan mengambil bidang Kejuruteraan Mekanikal. Kemudian selepas SPM saya akan memohon untuk belajar di UPM dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa. Jika berjaya, saya ingin ke Rusia untuk mendalami ilmu kejuruteraan di sana.
Selepas keputusan PMR keluar, saya menerima surat yang menyatakan permohonan saya untuk masuk ke sekolah teknik dalam bidang yang saya mohon diterima.
Namun, lahir pula masalah baru.
Saya menjadi berbelah bahagi. Sayang mahu meninggalkan sekolah yang telah banyak mengajar dan mendidik saya selama 3 tahun lalu. Sekolah yang menyimpan terlalu banyak kenangan. Inilah sekolah yang mengenalkan saya bahawa saya ini hidup sebagai hamba kepada Tuhan.
Pendapat rakan-rakan ditanya.
" Kalau kau dah suka, teruskan saja," itu kata mereka.
" Rugilah kau berhenti sekolah ni, elok kau ambil SMA ( Sijil Menengah Agama- Tingkatan 4 ) dulu."
Pendapat guru-guru pula diminta.
" Sayang kalau awak berhenti..," kata seorang guru.
" Teruskan belajar agama, lebih bagus, lebih elok," kata guru yang lagi satu.
Ketika pendapat Mak dan Abah diharap.
" Ikutlah pada minat kamu, mak tak kisah janji benda tu baik bagi kamu. Tapi rugilah berhenti dari sekolah agama," nasihat Mak.
" Abah bagi awak buat keputusan. Bagi Abah, sekolah agama lebih baik," Abah pula memberi pandangan.
Lalu saya terperangkap. Terlalu ramai yang kurang menyokong. Tapi hati dan keinginan membuak-buak! Yang mana harus saya pilih??
Antara mahu dan buntu.
Antara kehendak dan harapan.
Saya istikharah. Mohon petunjuk.
Lalu saya memilih untuk kekal disitu. Mengharap ada hikmah yang Allah mahu kurniakan. Namun sebagai hamba yang lemah dalam usia yang amat muda itu saya amat kecewa dengan keputusan sendiri.
Kekecewaan yang menutup pintu saya mengecap cita-cita lampau yang dikarang. Pasti saya tidak akan gapai lagi.
Sedih mengenangkannya.
Saya terpaksa membuang segala kertas-kertas catatan pelan 5 tahun saya. Saya jauhkan diri dengan buku-buku sains angkasa dan yang berkaitan dengannya.
Saya terpaksa hapuskan semua sisa-sisa, saki-baki cita-cita dalam bidang yang saya suka.
Yang tinggal kini hanya harapan.
Mengharap Allah kurniakan sesuatu yang baru. Mengharap Allah membuka jalan yang lain pula untuk saya karang cita dan impian.
Betapa saya kecewa, sepanjang tingkatan 4, saya tidak suka kepada subjek sains hingga menyebabkan saya tidak lulus dengan markah terendah berturut-turut. Warna merah seolah menjadi warna rasmi subjek tersebut.
Begitu juga dengan Matematik Tambahan. Saya benci semua subjek yang ada kaitan dengan cita-cita lampau saya.
Saya biarkan masa berlalu...
Sunyi dan sepi..
Namun, Allah SWT itu maha adil. Dalam kekecewaan itu, Allah ubat hati saya dengan beberapa pencapaian yang tidak pernah langsung saya bayangkan.
Sepanjang tingkatan 4, saya banyak menyertai pertandingan syarahan, bahas, tafsir dan sebagainya. Dengan kuasa Allah, saya menang semua pertandingan yang saya masuk. Kalau tidak di tempat pertama, tempat kedua dan ketiga. Dari peringkat sekolah, zon, daerah hinggalah mewakili negeri. Alhamdulillah.
Ketika itu juga saya terlibat aktif dengan persatuan dan badan kepimpinan.
Saya mula dikenali di sekolah. Terasa dihargai.
Ketika itulah saya merasakan hikmah kekalnya saya di sekolah ini iaitu SMA Al-Wosto, Temerloh.
Pertengahan tingkatan 4, tahun 2004, saya fokus kembali kepada pelajaran. Pada tahun tersebut kami di sekolah agama akan menghadapi peperiksaan besar iaitu SMA atau Sijil Menengah Agama.
Dalam sibuk menghafal dan menekuni pelajaran untuk persediaan menghadapi peperiksaan, saya mula merangka cita-cita baru. Bagi saya seorang manusia itu perlu ada matlamat, perlu ada cita-cita. Dalam erti kata lainnya, perlu ada sesuatu untuk dikejar dan digapai diakhirnya nanti.
Waktu itu, saya jadi sayang pada subjek agama. Bahasa Arab bagi saya mendatangkan rasa seronok dan tenteram, begitu juga dengan beberapa subjek. Di sudut lain pula, saya jatuh cinta dengan subjek perakaunan.
Lalu terhasillah satu cita-cita baru iaitu ingin menjadi akauntan tetapi akauntan yang Islamik dan mahir berbahasa Arab.
Maka proses yang sama yang saya lakukan ketika di tingkatan 1,2 dan 3 saya praktikkan semula. Saya menyusun pelan yang baru dengan puncaknya tertulis Akauntan Islamik.
Selesai SMA, saya fokus pula kepada SPM. Walau dalam sibuk menggalas jawatan Ketua Pelajar dan mengetuai beberapa persatuan saya cuba memberi tumpuan dalam setiap subjek yang dipelajari.
Matlamat saya jelas, mahu jadi profesional di bidang akauntan dalam masa yang sama pakar di bidang agama dan Bahasa Arab.
Saya mula cuba untuk membina karakter impian saya.
Buku dan majalah bertulisan berat kadang-kadang menjadi jamuan minda saya.
Selepas tamat menduduki SPM, saya memilih untuk meneruskan pengajian di sebuah institusi pendidikan agama di Pekan Pahang yang bernama Kulliah Al-Lughah Waddin Sultan Abu Bakar untuk mengambil peperiksaan STAM ( Sijil Tinggi Agama Malaysia ).
Matlamat saya selepas STAM - yang mana di sini saya dapat memperkukuh bidang agama - saya akan menyambung pelajaran di UUM dalam bidang perakaunan. Maka dengan izin Allah, saya dapat menjadi seperti yang diimpikan.
Namun, dalam semua perkara yang kita rancangkan, ada Allah sebagai sebaik-baik perancang.
Ketika di Kulliah, saya menyertai sebuah program anjuran Kolej IKIP, Kuantan. Program tersebut menerangkan tentang peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Yarmouk di Jordan dengan dibiayai Yayasan Pahang dalam bidang yang amat menarik minat saya ketika itu. Bidang tersebut adalah Ijazah Syariah pengkhususan dalam Ekonomi & Perbankan Islam.
Selepas daripada itu saya pun muhasabah semula semua rancangan dan pelan yang telah saya buat.
Bila disemak semula, program yang Kolej IKIP bersama Yayasan Pahang tawarkan lebih menghampiri impian dan matlamat saya. Belajar Syariah dalam masa yang sama fokus dalam bidang Ekonomi dan Perbankan. Saya amat berminat.
Selang beberapa bulan, saya menghadiri temuduga bersama pihak Yayasan Pahang dan alhamdulillah, saya terpilih untuk program tersebut.
Bermula dari hari pertama belajar hinggalah hari terakhir saya di Universiti Yarmouk, saya benar-benar merasakan akan tepatnya pilihan saya ini. Amat sesuai dengan minat dan jiwa saya.
Ketika ini, cita-cita saya berubah sekali lagi.
Dengan ilmu dalam bidang Perbankan Islam dan melihat keadaan semasa, saya merasakan perlu untuk bangun menjadi seseorang yang dapat menyumbang dalam bidang ini. Saya ingin kuasi bidang yang saya tekuni.
Lalu keluarlah pula idea untuk persiapkan diri menjadi Penasihat Syariah. Atau jika tidak pun menjadi eksekutif Syariah di syarikat perbankan mahupun kewangan.
Ketika di tahun akhir, saya cukup beremangat mencari ruang untuk menempatkan diri dalam industri kewangan Islam negara yang pesat membangun. Rancangan saya, selepas pulang sahaja ke Malaysia, saya mahu berkhidmat di bank sebagai Eksekutif Syariah. Itu pelan saya sebelum saya memenuhi dada dengan ilmu bagi menapak ke tingkat yang lebih tinggi.
Namun, hakikat segalanya bukan semudah yang disangka.
Pulang sahaja ke Malaysia, berbagai cabaran yang ditempuh. Temuduga juga sudah bermacam yang dihadiri akan tetapi pekerjaan yang diimpi tidak juga mahu menjadi realiti.
Cuma saya tidak berdiam diri begitu sahaja. Saya tetap mahu terjun ke dalam bidang ini. Lalu dengan upaya yang ada, dengan semangat yang membara saya mengambil lesen menjadi konsultan unit amanah di bawah pengurus dana Public Mutual, lesen takaful di bawah Etiqa dan lesen megurus pusaka dengan syarikat Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd.
Selepas itu saya bekerja sebagai guru di sebuah sekolah agama swasta di Temerloh. Dan sekarang, Allah pilih saya selaku pensyarah di Kolej IKIP.
Walaupun menjadi pendidik bukan pilihan utama saya sejak dari kecil, namun ketentuan Allah itu mengundang hikmah yang besar untuk saya redhai. Kini saya cukup rasa berbesar hati. Juga berbangga sebenarnya dipilih Allah SWT menjadi seorang guru. Ada nikmat dan kepuasan besar terselindung di sebaliknya.
Dalam hati saya, saya masih cintakan bidang ini. Saya kini merancang untuk pergi lebih jauh dalam bidang yang saya pelajari dan kuasai, Insyaallah.
Satu hari, saya mahu menjadi ' seseorang ' yang mampu memberi sumbangan besar dalam bidang kewangan Islam sama seperti ikon besar dalam bidang ini umpamanya Dr Daud Bakar, Ustaz Zaharuddin dan ramai lagi.
Doakan saya mencapai cita-cita saya yang ini!
Setelah 23 tahun melukis angan dan cita-cita, saya belajar sesuatu.
Bahawa tidak semua yang kita rancang, yang kita ingin akan terlaksana. Ianya selalu sahaja datang dalam keadaan yang tidak kita sangka, tidak kita duga. Namun hasilnya, MasyaAllah amat membahagiakan jiwa.
Percayalah, jika sesuatu yang kita cita-citakan itu tidak berhasil dan masa depan kita tidak seperti yang kita harapkan sebenarnya terselindung berjuta hikmah yang Allah kurniakan kepada kita disebaliknya.
Maka, kita perlu redha dan tidak berburuk sangka dengan apa yang Allah tentukan pada kita.
Sepanjang perjalanan hidup yang setahun jagung ini, saya juga cukup menghormati didikan Abah kepada saya.
Antara didikannya adalah bagaimana untuk kita membuat keputusan dalam hidup. Walaupun saya terkadang berasa tertekan dan marah dengan cara tersebut nyata ia amat berguna. Didikannya itulah yang telah membawa saya terbang jauh merantau ke bumi orang.
Terima kasih tidak terhingga Abah & Mak. Moga Allah merahmati kalian berdua!
Perkara ini amat memberi kesan kepada saya hinggalah sekarang. Dan saya amat-amat mengharap suatu hari, saya akan perturunkan cara ini kepada anak-anak saya jika sesuai dan diizinkan Allah SWT.
Berkenaan cita-cita yang berubah, itu bukan tanda kita orang yang tidak tetap pendirian. Tetapi ia menggambarkan peningkatan ilmu kita dari tahap anak-anak hinggalah menjadi insan dewasa.
Hari ini adalah hari terakhir saya di Madinah. Insyaallah, saya dan jemaah haji yang lain akan bergerak ke Mekah seusai solat Jumaat, itu perkhabaran yang diterima dari wakil kami.
Berita ini juga memaksa kami untuk segera berkemas dan bersiap-siap apa yang perlu. Barang-barang yang dibeli sebagai buah tangan buat rakan-rakan perlu dimasukkan ke dalam beg. Kurma, jubah dan sebagainya perlu disusun kemas dan rapi. Segala barang-barang perlu dikemas berhati-hati agar tidak ada yang tertinggal.
Kami semua siap membeli barang-barang kiriman dari rakan-rakan dan milik peribadi di Madinah. Bukan apa, untuk kemudahan dan untuk lebih fokus pada ibadah nanti. Tidaklah nanti haji ditunai, hati di kedai. Jika semua urusan dunia sudah selesai, moga-moga hati fokus dengan ibadah yang bakal ditunai.
Selesai solat Jumaat, saya dan rakan-rakan bergegas pulang ke hotel. Kami perlu besiap untuk perjalanan ke Mekah. Beg dan segala barang-barang yang dibawa juga perlu dibawa turun segera.
Bukan apa, takut tidak ada ruang lagi untuk beg-beg kami disimpan.Jemaah Arab ini kalau memborong barang, berlori-lori lagaknya. Melebihi kadar yang sepatutnya.
Saya dan rakan sebilik sepakat untuk berihram terus dari hotel. Rasanya lebih mudah begitu, jika di miqot nanti pasti keadaan sesak. Memandangkan hari ini, semua jemaah haji yang masih berada di Madinah akan bertolak ke Mekah, keadaan pasti menyesakkan.
Jadi kami pun masing-masing menunggu giliran untuk membersihkan diri sambil melakukan beberapa perkara sunat sebelum berihram. Nak tahu apa dia perkara sunat tersebut??
Antara perkara-perkara sunat yang perlu dilakukan sebelum berihram adalah :
1. Mengerat kuku. 2. Mengandam misai, janggut, dan rambut, menanggalkan bulu ketiak dan ari-ari. 3. Mandi sunat Ihram. 4. Memakai minyak rambut dan bau-bauan. 5. Memakai pakaian Ihram berwarna putih. 6. Sembahyang sunat Ihram. 7. Membanyakkan bancaan talbiah selepas berniat Ihram.
Selesai mandi sunat ihram, kami pun mula mengenakan kain ihram ke tubuh. Dipusing ke kiri, dibalik ke kanan. Dilibas-libas hujungnya.
Sungguh kelakar melihat gelagat sahabat-sahabat mula memakai ihram. Berbagai cara dan gaya. Sempat juga kami berseloroh.
Kain ihram perlu dipakai dengan betul dan kemas. Jika tersalah cara, boleh tersungkur pula nanti. Lebih malang lagi terlondeh pula ketika tawaf, lagi dahsyat. Jadi kami perlu memakainya dengan cara yang betul. Mujur ada sahabat yang berpengalaman dalam bab memakai kain ihram ni, dapat juga membantu kami yang kurang ilmu ni.
Caranya mudah sebenarnya. Lebih-lebih lagi, kita bangsa Melayu yang selalu berkain pelekat ini. Kalau melihatkan jemaah Arab memakai ihram, nampak sukar bagi mereka.
Selesai memakai ihram, beg kami bawa turun ke bawah. Bilik kami kosongkan. Sampah-sampah yang ada kami bersihkan. Usai mengemas, kami bergerak ke arah lif untuk turun semula. Selamat tinggal bilik yang menjadi persingghan ku di sini. Moga ia menjadi saksi kehadiran haji muda ini.
Berbaik Sangka
Saya dan rakan-rakan jemaah yang lain sudah 2 jam menanti bas bergerak. Masih tidak ada deruan enjin dihidupkan. Perut pula mengeriut kelaparan, petanda perlu di si. Kami mengambil keputusan untuk turun, mencari-cari makanan yang boleh menggalas perut. Lemas juga duduk di dalam bas yang tidak bergerak-gerak.
Sudahlah keadaan bas yang sempit itu penuh dengan bagasi kami.
Telahan kami tepat. Tepat seratus-peratus. Jemaah Arab yang satu bas dengan kami membeli barang dengan jumlah yang tidak masuk akal. Terlalu banyak dan menyusahkan orang lain. Mujur hati teringat yang ibadah ini memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Tidak boleh cepat melenting dan bising-bising. Kesabaran perlu kuat dan padu!
Kami semua lalu berbaik sangka dengan mereka. Mungkin ini peluang mereka membeli keperluan dan hadiah kepada sanak saudara. Barang-barang di Jordan mahal harganya. Mereka yang datang bersama kami ini adalah dari kalangan buruh dan pekerja biasa, kelas bawahan. Mereka juga seperti kami, tidak mahu sibuk membeli-belah di Mekah nanti. Di sana, perlu fokus pada ibadah.
Mujur juga saya dan rakan- rakan lain telah awal-awal menyusun beg di dalam ruangan yang disediakan.
Setelah beberapa jam perjalanan kami ditangguhkan, enjin bas pun kedengaran menderu kuat. Kami pun naik mengambil tempat. Perjalanan ibadah kami akan bermula. Destinasi kami sebelum bergerak ke Mekah adalah ke Birr Ali. Miqot bagi penduduk Madinah dan kawasan sekelilingnya. Di sini, kami akan berniat ihram. Rakan-rakan jemaah yang belum berihram, akan berihram di sana.
Untuk pengetahuan semua, niat ihram di Miqot adalah perkara wajib bagi ibadah haji. Jika terlupa, seseorang itu perlu kembali semula ke Miqot dan berniat. Jika dia tidak kembali dan berniat di tempat dia berada ketika itu, dia akan dikenakan dam.
Mungkin ada yang bertanya, apa yang dimaksudkan dengan Miqot itu??
Miqot adalah tempat yang ditentukan untuk berniat ihram atau had sempadan yang menyamainya. Bakal-bakal haji yang menuju ke Tanah Suci, apabila sampai di miqotnya yang tertentu perlu berniat ihram.
Ada beberapa Miqot bagi jemaah haji berdasarkan tempat asal mereka datang. Miqot-miqot tersebut adalah :
Yalamlam : Ia adalah Miqot bagi penduduk Yaman, India dan negeri-negeri sebelah timur termasuk Malaysia dan Indonesia yang datang dengan kapal laut. Yalamlam adalah nama sebuah bukit di tepi Laut Merah di dataran Semenanjung Tanah Arab. Jaraknya dengan Mekah lebih kurang 89 kilometer.
Zulhulaifah : Juga dikenali sebagai Bir Ali. Miqot ini adalah bagi penduduk Madinah dan kawasan sekitarnya. Jarak dengan Mekah lebih kurang 450 kilometer. Jaraknya dari Madinah pula adalah 10 kilometer. Inilah Miqot yang akan kami tujui.
Al-Juhfah : ( Berdekatan Rabigh ) Miqot bagi penduduk-penduduk Syam, Mesir, Maghribi, negeri Sepanyol dan negeri-negeri dari arahnya. Jarak dengan Mekah lebih kurang 187 kilometer
.
Qarnul Manazil : Miqot bagi penduduk-penduduk Kuwait, Najd dan bakal haji yang datang dengan kapal terbang melalui ruang udaranya. Jaraknya dengan Mekah lebih kurang 94 kilometer.
Zatu Irqin : Miqot bagi penduduk Iraq. Jaraknya adalah 94 kilometer dengan Mekah.
Bagi penduduk Mekah, Miqot mereka adalah di rumah mereka sendiri.
Bagi ihram umrah pula, bagi penduduk Mekah dan juga orang yang berada di sana Miqot mereka adalah di :
Ja'ranah : 22 kilometer dari Masjidil Haram. Tan'aim : 5 kilometer dari Masjidil Haram. Hudaibiyah ( Syumaisi ) : 29 kilometer dari Masjidil Haram.
Itulah serba sedikit maklumat tentang Miqot yang boleh saya kongsikan kepada anda semua.
Perjalanan kami sudah terlewat dari yang sepatutnya. Hari sudah lewat petang apabila kami mula bergerak. Senja kota madinah bagai mengiringi perjalanan kami. Daun-daun pohon tamar seolah-olah melambai-lambai dan berteriak " Selamat menjadi tetamu Allah, selamat menatap Baitullah ".
Rasa hati bercampur-baur. Tidak sabar rasanya ingin menatap Baitul Haram, namun hati belum puas berada di Madinah. Berada di sisi maqam Rasul Junjungan, Muhammad SAW.
Balam-balam cahaya matahari yang hampir tenggelam meniup kerinduan. Ia datang lalu menyatu di dalam hati. Madinah akan saya tinggalkan kini. Moga ada rezeki untuk saya kembali ke sini. Sayu dalam hati.
Peristiwa yang berlaku sepanjang berada di hudud ( sempadan ) di antara Arab Saudi dan Jordan membuat kami ahli rombongan Haji dari Jordan begitu lelah. Keadaan di dalam bas sepi. Hanya bunyi enjin dan pemandangan padang pasir menjadi muzik serta paparan mengisi kepenatan.
Saya penat. Serasa lelah, namun bila difikir-fikirkan keadaan jemaah haji pada satu masa dahulu, sebelum adanya sistem jalan raya dan pengangkutan yang baik, saya akur dengan segala ujian. Ini hanyalah sebutir debu dari padang pasir ujian yang meluas. Tolehan saya pada rakan-rakan yang malam tadinya riuh dengan celoteh masing-masing menemukan pancaran keletihan dari wajah masing-masing.
Kini kami sedang menuju ke Madinah. Tanah Haram kedua selepas Mekah. Tanah suci yang diberkati. Tanah yang tidak boleh ada di dalamnya pertumpahan darah walau setitis. Tempat yang tidak boleh diburu binatang buruannya. Kawasan yang menerbit cahaya kebahagiaan buat para tetamu yang bertandang kepadanya.
Sungguh saya cintakan bandar ini. Madinah adalah buah hati saya yang membuat hati rindu tidak sabar mahu menjejakkan kaki di atas pasir yang melatarinya. Cinta saya berputik lewat kunjungan umrah beberapa bulan yang lalu. Sungguh selepas itu tiada bandar yang menempat cinta seumpama ini di hati.
Ini bukan cinta buta saya, ia terbit setelah terbaca akan sebuah hadis dari Abdullah bin Zaid, dari Rasulullah SAW bersabda : " Sesungguhnya Ibrahim telah menjadikan kota Mekah sebagai tanah haram dan berdoa ( meminta berkat ) bagi kota Mekah. Dan aku menjadikan kota Madinah sebagai tanah haram sebagaimana Ibrahim menjadikan Mekah sebagai tanah haram. Aku mendoakan berkat bagi kota Madinah pada mudnya dan sha'nya ( ukuran yang digunakan oleh penduduk Madinah) seperti doa Ibrahim bagi Mekah." - riwayat Bukhari. Memang benar, setelah berada di Madinah keberkatan yang didoakan oleh Rasullullah SAW bagai berlari memeluk hati, lalu timbul kebahagiaan dan ketenangan. Sungguh ramai yang berasa demikian.
Kami tiba di Madinah pada jam 10 malam. Dalam kepala kami hanya memikirkan katil dan selimut yang bakal kami temui tidak lama lagi. Mana tidaknya, sudah terlalu lama duduk di atas kerusi yang kurang selesa ini dengan posisi-posisi menyakitkan pinggang. Saya mahu berlunjur, mahu merenggang-renggangkan sendi yang lenguh. Tapi malang bagi kami kerana belum tiba masanya lagi untuk kami berehat-rehat dan bersenang hati. Kami perlu ke pusat pengumpulan bagi jemaah haji yang melalui jalan darat untuk mendaftar masuk ke kota Madinah.
Mujur hati berkata perjalanan ini bukan sekadar melancong tapi sebuah advencer bermisi!
Misi mencari haji yang mabrur dan misi bertandang sebagai seorang yang betul-betul hamba dan perlu patuh pada Tuhannya.
Semua urusan selesai 2 jam selepas itu. Kami masuk semula ke dalam bas dan bergerak ke hotel yang bakal kami diami selama 2 hari di Madinah. Dari cermin di sisi saya, cahaya yang memancar dari menara-menara Masjid Nabawi seakan melambai agar segera didatangi.
Sebaik sahaja bas berhenti, saya dan rakan-rakan bergegas turun. Kami mengeluarkan beg dan terus ke kaunter pendaftaran. Jam sudah menunjukkan lewat malam. Badan terlalu penat. Hajat di hati memang mahu terus sahaja ke Masjid Nabawi tetapi memikirkan waktu itu masjid sudah ditutup kepada awam membuat rasa itu tiba-tiba mati.
Alhamdulillah hotel yang kami diami ini tidak jauh dari Masjidil Haram. Jarak yang betul-betul membuat hati puas, tidak seperti waktu umrah dahulu yang memerlukan peluh menitis baru sampai ke halaman Masjid Nabawi. Sudah tentu kehampirannya dengan Masjid Nabawi tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berkerah ke sana setiap kali masuknya waktu solat.
Saya tinggal bersama 6 orang rakan yang lain. Syukur, badan yang penat dapat direhatkan dengan begitu selesa. Hotel ini lengkap dengan penghawa dingin, bilik mandi yang agak baik dan suasana yang memuaskan. Keselesaan dicampur dengan lelah perjalanan telah membuat kami lena dengan asyiknya.
Keesokannya
Pagi di Madinah terasa begitu aman dan nyaman. Rasa itu meresap ke dalam sanubari, menerbit ketenangan yang aneh. Melihat masjid mulia yang dahulunya dibina dengan beratapkan daun dan pelepah kurma begitu merangsang hati untuk mengimbau sirah junjungan mulia, Muhammad SAW.
Teringat sebuah hadis dari Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda : " Janganlah bersafar ke tempat tertentu kerana keutamaan tempat tersebut kecuali untuk pergi ke tiga masjid. Masjidil Haram, masjidku ini ( Masjid Nabawi ) dan Masjidil Aqso "
Baginda SAW juga bersabda : " Solat di masjidku ini lebih afdol daripada seribu solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram."
Masjid Nabawi kini bukan lagi seperti di zaman para sahabat jika diteliti sudut binaannya. Tiang-tiang yang besar dengan reka bentuk yang unik lagi futuristik seolah-seolah mebuat jasad beserta roh kita tidak mahu untuk bangun keluar daripadanya.
Saya kini hanya beberapa meter dari baginda SAW, di dalam salah satu masjid yang diutamakan solat di dalamnya. Di dalam masjid yang menempatkan maqam kekasih Allah itu. Bergetar rasa hati. Rindu bercampur dengan malu untuk berhadapan dengan manusia agung yang satu ini. Manakan tidak, jika difikirkan berapa banyaklah sahaja sunnah Baginda yang saya amalkan. Jika diselami sedalam manalah sangat cinta kepada insan agung yang membawa rahmat pada alam ini. Kehampiran seumpama ini betul-betul membuat ummatnya memuhasabah kembali cinta kepada baginda, termasuk saya.
Pagi itu saya dan Syukri merancang untuk ke raudhah dahulu sebelum terus ke maqam Rasullullah SAW. Selepas solat sunat dhuha, kami pn bergerak di celah-celah jemaah haji yang lain.
Masjid sesak. Bermacam manusia boleh ditemui. Ada yang bermata sepet berhidung mancung. Ada yang bertubuh sasa, berkulit gelap. Ada juga yang tua kerepot, berpakaian lusuh. Senang juga ditemu manusia bertubuh sederhana, berkulit sawo matang yang sudah tentu sebangsa dengan saya. Kepelbagaian ini memang memberi keistimewaan kepada ibadah yang satu ini.
Saya dan Syukri sudah menghampiri raudhah. Kawasan yang menjadi perhatian para jemaah apabila berkunjung ke sini dari dahulu hinggalah sekarang. Raudhah adalah sebuah kawasan yang terletak di antara rumah Nabi SAW iaitu Hujrah Siti Aisyah dan mimbar syarif. Raudhah dinamakan demikian kerana sebagaimana tersebut dalam hadis shahih : " Apa yang berada antara rumahku dan mimberku adalah Raudhah ( taman ) dari taman-taman syurga - Hadis riwayat Bukhari.
Raudhah dan Kedudukannya
Luas raudhah sekitar 330 meter persegi dan terdapat di bahagian-bahagiannya beberapa peninggalan sejarah. Antaranya adalah Hujrah Syarifah iaitu rumah baginda Rasullullah SAW yang terletak di bahagian timur raudhah, Mihrab Nabi Muhammad SAW yang terdapat di tengah-tengah dinding mengarah ke kiblat dan mimbar as-Syarif yang terletak di bahagian barat Raudhah.
Cara paling mudah untuk mengetahui kawasan raudhah ini adalah dengan melihat kepada perbezaan warna karpet yang melatarinya. Ia berbeza dengan warna karpet yang terbentang di seluruh pelusuk masjid Nabawi.
Para jemaah sentiasa berasak-asak mahu duduk dan beribadah di raudhah ini untuk mendapatkan keberkatan kawasan ini. Kawasan ini sentiasa penuh dengan manusia.
Saya dan Syukri cuba untuk meneruskan perancangan kami untuk ke raudhah namun gagal. Kami langsung tidak berpeluang untuk terus ke sana akibat asakan dari jemaah yang ramai. Kami lalu mengambil keputusan untuk membelok lalu menghala ke laluan terus ke Maqam Baginda Rasullullah SAW.
Di sini juga keadaaannya sentiasa sama. Manusia tidak pernah putus untuk mengunjungi baginda SAW. Terlalu ramai. Sesak.
Kami terpaksa bergerak perlahan-lahan dalam asakan manusia lain yang bertubuh besar dan sasa. Kami dipijak, tubuh dilanggar, itu perkara biasa. Hati makin berdebar kencang. Langkah demi langkah diiring selawat ke atas baginda SAW. Moga pertemuan ini menjadi saksi kecintaan umatnya seorang ini. Perasaan bercampur-baur.
Kini saya sudah berdepan dengan Maqam insan agung ini. Utusan Tuhan yang kuat mencintai umatnya. Saya tidak terkejar akan rasa cinta itu. Martabatnya tinggi, cinta seorang Rasul ke atas hambanya, manakan mampu saya tandingi.
" Salam ke atas kamu wahai Kekasih Allah.. Salam ke atas kamu wahai Rasullullah..Salam ke atas kamu duhai Pesuruh Allah.."
Hati sebak dalam salam yang diungkap. Salam dari keluarga dan sahabat ke atas Baginda SAW juga saya sampaikan. Alhamdulillah, syukur kerana Allah memberi kesempatan yang mahal harganya ini. Seorang hamba Allah dan umat Muhammad SAW yang kerdil ini berhadapan dengan Baginda SAW, penghulu bagi sekalian nabi dan rasul. Air mata menitis. Tubuh bergetar.
Saya melangkah sedikit kehadapan. Ditolak dengan kuat oleh seorang yang mungkin dari Pakistan, hampir-hampir saya jatuh. Kini saya berhadapan pula dengan maqam Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA yang terletak bersebelahan maqam Baginda Rasul SAW. Sekali lagi ucapan salam dilafaz, kali ini buat Khalifah pertama umat Islam. Kemudian saya menysuri lagi laluan itu dengan melalui pula maqam Saidina Umar bin Al-Khattab RA. Sekali lagi salam diungkap.
Kedudukan ketiga-tiga maqam ini hanya bersebelahan dengan jarak yang cukup dekat sebenarnya. Namun akibat dari lautan manusia yang berasak-asak, menjadikan jarak yang pendek serasa lama untuk ditempuh.
Selesai ziarah, saya dan Syukri merancang untuk terus ke Perkuburan Baqi' yang terletak bersebelahan kawasan Masjid Nabawi. Dari pintu keluar ini, perkuburan tersebut terletak betul-betul searah dengan tempat saya berdiri. Kami pun mula bergerak. Sambil-sambil berjalan, kepala tertoleh-toleh kubah hijau yang dibawahnya menempatkan maqam Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat utama di sisi baginda.
Kami kini berada hampir di tangga untuk naik ke perkuburan Baqi' namun kelihatan pintu pagar bertutup. Mungkin belum ada rezeki untuk menziarahi perkuburan ini hari ini.
Kami menukar perancangan. Kali ini, kami mahu sarapan dahulu di medan selera dicelah hotel-hotel indah berhampiran masjid, kemudian kami akan terus i'tikaf di masjid sementara menunggu masuknya waktu solat.
Kami perlu mengambil sebanyak mungkin peluang yang ada untuk berada di masjid ini dan di sisi Rasullullah SAW. Jangka masa kami tidak lama di Madinah. Hanya 2 hari sahaja, kemudian kami akan berangkat ke Mekah Al-Mukarramah. Jadi amatlah rugi jika kami pulang ke penginapan dan bersenang-senang di sana.
Duduk di dalam Masjid Nabawi amat menyeronokkan. Terasa bagai tidak mahu bergerak ke mana-mana pun. Perut yang lapar pun bagai terisi. Kantuk yang dirasa bagai dihapus, tambah-tambah melihat ke arah kawasan yang menempatkan Maqam Rasullullah SAW.
Kita semua tidak sempat untuk hidup sezaman dengan baginda Rasul namun kehadiran di Madinah membuat fikiran terbang ke zaman itu. Ah! Sungguh indah dan tidak mampu terluah! Bayangkan di atas pasir bumi Madinah inilah baginda Rasul SAW hidup bersama para sahabat. Di sinilah baginda berjuang menegak kebenaran. Inilah kawasan yang menyimpan berbilion sejarah tentang awal bangkitnya Islam. Bagaimana Rasullullah SAW mengajar para sahabat bermuamalah, mengajar para sahabat mentadbir negara, memberi ilmu peperangan, mendidik rahsia keimanan yang menerbit kebahagiaan pada diri setiap insan Madinah.
Di sisi tiang masjid yang dahulunya Rasullullah SAW sentiasa mengimami jemaah muslimin ini, saya mengharap pancaran kebahagiaan dari iman yang pernah menerangi hati penduduk Madinah, turut menyerap ke hati saya.
Duduk dan beribadah di Masjid ini betul-betul membuat hati puas! Jika anda semua dapat merasai kepuasan yang saya alami ini, nescaya anda akan percaya bahawa Madinah memang menjanjikan kebahagiaan yang terindah.
Bukan kerana indahnya bandar ini. Bukan juga kerana cantiknya binaan Masjid Nabawi ini tapi kerana setiap butiran pasirnya menyimpan banyak rahsia perjuangan, pengorbanan dan kebangkitan agama yang diredhai ini. Dan yang paling penting, di sinilah Rasul junjungan mulia Muhammad SAW dimaqamkan selepas kewafatan Baginda SAW.
Kali ini, ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama anda semua. Sesuatu yang besar dan amat tinggi nilai maknanya pada diri saya. Satu kisah kembara. Bukan sekadar kembara biasa saya seperti sebelum-sebelum ini. Bukan sekadar kembara fizikal semata-mata namun kembara rohani yang begitu mengesankan.
Kembara ini adalah kembara seorang hamba menuju Tuhan dalam menyahut seruan agung Penciptanya.
Saya sebenarnya ingin berkongsi kisah pengalaman haji yang saya tunaikan 1, 2 minggu yang lepas. Pengkisahan ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau membesar-besarkan cerita bahawa saya sudah pun melakukan ibadah haji di usia sebegini awal, jika ini niatnya saya sudah ketemu ramai yang lebih muda remaja usianya daripada saya di sana. Bukan juga untuk membesar diri bahawa saya seorang yang bertuah kerana dijemput menjadi tetamuNya, jika ini hasratnya ada berjuta-juta umat Islam dari berbagai latar benua dan negara dijemput olehNya hatta yang kelihatan miskin dan kekurangan juga ada bersama.
Perkongsian ini saya nukilkan adalah semata-mata untuk menjadi pengiktibaran dan mungkin juga panduan bagi anda yang sudah tentu juga bakal dijemput untuk menjadi tetamuNya.
Dan sudah tentu nukilan ini adalah buat tatapan keluarga saya dan sahabat-sahabat yang menanti-nanti kisah kembara saya ini.
Saya tidak tahu adakah saya mampu untuk menceritakan semuanya secara terperinci kerana pengalaman tersebut amatlah unik dan terlalu hebat untuk diterjemahkan melalui aksara-aksara di blog ini. Namun, insyaallah saya akan cuba menukilkan dengan baik agar ianya mampu dihayati bersama secara berkesan.
Saya mulakan dengan persiapan awal saya dan rakan-rakan untuk pengembaraan ini. Biarpun kami ini di dalam fatrah peperiksaan namun kami sedar yang perjalanan ini lain dari yang lain. Bukan jalan-jalan ke negeri orang untuk suka-suka dan untuk berehat-rehat. Tapi berjalan dengan hati penuh tunduk dan berharap kepadaNya.
Jadi banyak yang perlu dikorbankan untuk itu semua. Dalam mempersiapkan diri, peperiksaan kami hadapi dengan penuh semangat. Diselang-seli dengan urusan-urusan, kursus dan sebagainya. Kami usahakan agar segala pekerjaan dapat disempurnakan sebaiknya.
Perjalanan kami pun bermula.
Sebelam malam hari pertama kami tiba di sempadan Jordan. Perjalanan yang memakan masa setengah hari di dalam bas membuatkan kebanyakan kami lenguh-lenguh pinggang dibuatnya.
Untuk melepasi sempadan ini bagi memasuki wilayah Arab Saudi memerlukan beberapa urusan dilakukan antaranya mendapatkan pas keluar dari Jordan. Jadi, sudah tentu bas akan berhenti seketika bagi memberi ruang wakil kami untuk membuat segala urusan.
Kami pun turun bagi merenggang-renggangkan otot yang keletihan. Namun satu kejutan melanda diri saya dan beberapa rakan sebaik turun daripada bas.
Kami melihat ribuan manusia memenuhi kawasan tersebut. Terdapat puluhan bas yang membawa jemaah haji dari beberapa negara di utara Jordan seperti Syria, Turki, negara-negara Asia Tengah dan banyak lagi. Berbagai jenis manusia ada di situ.
Saya agak terkejut kerana pengalaman menunaikan umrah sebelum ini tidak pula ditemui keadaan sebegini rupa. Dan hati saya terdetik jika ini keadaan di sempadan Jordan, bagaimanalah agaknya keadaan di dua Tanah Suci nanti? Tentu berlipat ganda manusia yang ada.
Saya mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut. Melihat dari satu bas ke satu bas dan saya cukup tertarik apabila melihat sekelompok manusia yang berkopiah agak pelik, seakan-akan topi yang dipakai pembesar-pembesar lagenda China seperti di dalam filem. Saya kira mereka ini adalah muslim dari negara jajahan Rusia ( Turkistan, Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan dan yang berhampiran dengannya ). Wajah mereka pun mirip puak Ugyur di China atau disebut Xinjiang.
Saya dan beberapa rakan meneruskan eksplorasi kami di sekitar kawasan menunggu ini. Lama berjalan dan bertukar-tukar pandangan serta rasa hati tiba-tiba kami terlihat sebuah coster yang uzur dan di atasnya dipenuhi dengan tong-tong air dan juga tong gas.
Bas tersebut berlansir, dan bernombor flat dengan angka yang pelik. Tanpa berlengah kami terus menuju ke arah kawasan tersebut.
Rupa-rupanya sahabat baik saya yang petah berbicara dalam bahasa Arab Ammiah ( Arab Pasar ) iaitu Fauzi telah awal-awal lagi menemuramah pemandu bas tersebut. Saya difahamkan mereka berkomunikasi bagai ayam dan itik kerana pemandu tersebut tidak pandai berbahasa Arab mahupun Inggeris. Nasib baik ada seorang Arab yang menghampiri kami dan ma'ruf tentang negara tersebut.
Yang kami tahu dari pemandu tersebut ( temuramah dengan bahasa isyarat dan lukisan ), mereka berasal dari negara daerah Asia Tengah seperti yang saya sebutkan sebelum ini. Kirgiztan kalau tidak silap saya. Mereka sudah beberapa hari bermusafir dan ia nyata merupakan perjalanan yang cukup jauh.
Biar dari mana sekalipun mereka, saya terharu melihat kesungguhan mereka untuk menyahut seruan Allah SWT sebagai hambanya.
Saya kira mereka benar-benar bekorban untuk perjalanan ini.
Biar dari mana sekalipun, melihat kesungguhan mereka dengan kekurangan yang ada, hati saya tersentuh. Amat tersentuh.
Serta merta terimbas ngomelan saya tentang kerusi bas yang saya naiki letak duduknya begitu sempit dan tidak selesa untuk perjalanan sejauh itu. Bila fikir kekurangan yang orang lain miliki dibanding dengan kecilnya dugaan saya, insaf rasanya.
Kita ni memang diselaputi kemewahan dan keselesaan tapi tidak pernah mahu bersyukur. Bila melihat kesusahan saudara kita yang lain barulah kita faham. Keterbatasan harta, kebebasan, dan banyak lagi yang wujud di sisi mereka tidak pernah sedikit pun menghapus rasa ketundukan kepada Allah Maha Esa.
Lewat malam, baru kami dibenarkan bergerak melepasi sempadan. Seingat saya hampir jam 12 pagi baru kami bergerak.
Masuk ke sempadan Arab Saudi, kami sekali lagi perlu menjalankan beberapa prosedur untuk dibenarkan masuk ke negara tersebut. Di sini masih kelihatan begitu ramai manusia bakal-bakal hujjaj yang seperti kami, menunggu untuk menyelesaikan prosedur pengesahan visa dan sebagainya.
Lewat jam 3 pagi, kami dipanggil untuk mendapatkan cop pengesahan atas visa yang diperoleh. Saya ketika itu baru bangun dari terlelap, penat. Rakan-rakan yang lain juga begitu. Cuaca ketika itu begitu sejuk. Menggigil saya turun daripada bas. Sudahlah mengantuk, saya dikejutkan pula dengan barisan yang panjang untuk masuk ke dalam bangunan yang menempatkan kaunter-kaunter yang mengesahkan visa kami.
Maka beraturlah kami dalam keadaan sejuk yang mencengkam tulang rusuk. Menggigil-gigil saya yang berlemak kurang ini. Namun, melihat kepada seorang pak cik yang mencecah usia 70 tahun masih kental berdiri dalam barisan, saya kuatkan semangat.
Mana tidaknya, tercabar rasanya. Agak lama juga baru kami dapat masuk ke dalam bangunan tersebut.
Fikir kami, masuk sahaja ke dalam akan menyelesaikan segalanya, namun ianya nyata meleset. Keadaan di dalam rupanya sama teruk. Dari segi suhu memanglah ok, suam-suam tidak seperti di luar namun kebanyakan orang berasak-asak di semua kaunter.
Akhirnya, pergaduhan hampir-hampir terjadi. Mungkin sudah bosan menunggu dan berbaris. Dari apa yang saya perhatikan sistem yang kerajaan Arab Saudi gunakan amatlah kurang bagus ;kurang sistematik. Tidak mesra pelanggan ; boleh ditafsir begitu. Pegawai-pegawai bertugas pula ada yang sengaja buat hal lalu menjadikan suasana tegang.
Saya sendiri telah penat berdiri. Menunggu berjam-jam. Namun, itulah istimewanya kembara ini. Kita akan diuji. Dan begitulah kita akan dinilai sejauh mana kesabaran kita dan keikhlasan kita dalam mengharungi halangan menyahut seruan Allah Maha Agung, Maha Segala.
Waktu fajar hampir berakhir barulah semua urusan selesai. Alhamdulillah. Ujian pertama ini banyak mengajar erti kepada kami semua dan menjadi persediaan untuk menghadapi yang seterusnya. Kami semua yakin bahawa ini hanyalah satu permulaan. Setelah semua berada di dalam bas, kami bergerak ke stesen seterusnya untuk pemeriksaan barang-barang yang di bawa.
Jangkaan kami tepat. Baru selesai mengharungi ujian getir yang mengharap kesabaran yang tinggi, sekali lagi kami berhadapan dengan ujian yang lain.
Di stesen ini, kami perlu diperiksa seluruhnya. Maksudnya, segala barang-barang yang dibawa akan diperiksa satu persatu. Maka bermulalah kerja kami menurunkan barang-barang yang tersimpan di dalam tempat simpanan beg.
Satu persatu beg kami dibuka, diperiksa setelitinya. Segala plastik dibuka walau ia hanya menyimpan sepapan panadol. Buku-buku yang kami bawa diselak satu persatu. Beg-beg digeledah semahunya. Tidak mengapalah, kami faham akan prosedur kemasukan ke sesebuah negara memerlukan pemeriksaan yang teliti.
Setelah beberapa ketika, beg-beg dimasukkan semula.
Selesai lagi satu ujian. Perlu sabar. Hati terkadang panas kerana barang-barang yang disusun kemas diperbuat sesuka hati. Sabar jadi alat penyejuk diri.
Selesai semuanya, bas kami naiki, perjalan akan kami teruskan walau beribu halangan yang datang. Itu tekad, kerana untuk hadir sejauh ini dengan hati berharap kepada Ilahi memerlukan semangat yang ampuh dan tidak terkalahkan.
Saya cuba mengimbas apa yang saya tempuhi sejak saat pertama bas dinaiki. Awal-awal lagi kami diduga, diuji. Namun kami bersyukur kerana merasakan segalanya itu adalah pengajaran berharga yang sukar dimiliki.
Mungkin juga segalanya adalah persediaan untuk menghadapi saat yang lebih getir lagi.
Semua dalam kondisi yang melelahkan, penat. Masing-masing kelihatan tersandar sambil berfikir, mungkin memuhasabah pengalaman awal perjalanan ini. Bas dipandu laju mengarah Tanah Suci.
Walau apa terjadi, padang pasir yang mendatari bumi diredah dengan penuh semangat dan azam untuk sampai kepadaNya.
Bersambung......
p/s: gambar-gambar akan diupload dalam waktu terdekat.
Berlari adalah satu perbuatan yang membuatkan kita mengerah tenaga untuk menggerakkan kaki kita dengan kelajuan yang tertentu. Berbeza dengan berjalan, berlari memerlukan kesungguhan, tenaga dan stamina yang tinggi.
Ada orang mampu berlari laju dalam jangka masa yang panjang. Ada juga yang hanya mampu berlari pantas di awal langkah lariannya kemudian kecundang, semput di tengah jalan. Larian setiap orang bergantung kepada banyak mana stamina dan kesungguhan yang mereka miliki.
Ia juga bergantung kepada mind set seseorang. Ada orang sebenarnya tidak mampu pun untuk berlari tetapi kerana sebab-sebab tertentu menyebabkan dia boleh berlari bahkan lebih pantas daripada orang yang sememangnya boleh berlari. Apa yang menyebabkan dia boleh berlari adalah kerana mindanya telah diset untuk dia berlari sekuat hati.
Contohnya seorang lelaki yang kakinya cedera akibat kemalangan. Dalam perjalanan ke rumah dia dikejar oleh seekor anjing liar. Akibat takut yang teramat dia telah cuba untuk lari sekuat hati. Tiada apa dalam fikirannya melainkan lari dan lari dan lari untuk selamatkan diri dari digigit anjing tersebut ( secara sedar atau tidak mindanya telah diset untuk dia lari menyelamatkan diri ). Kelajuannya amat pantas, kakinya yang sakit pun bagai sudah sembuh. Lihat bagaimana kelajuan dan larian itu sendiri dimulai dengan mind setting yang betul.
Baiklah, kali ini saya bukan mahu bercakap soal sukan ataupun larian. Saya hanya ingin berbicara soal berlari secara maknanya sahaja, bukan perbuatan berlari itu sendiri.
Di awal tulisan tadi saya telah menyentuh apa itu aspek larian yang kita fahami secara makna dan perbuatannya. Semua orang tahu untuk berlari bukan? Adakah berlari itu satu perbuatan yang sukar?? Atau cukup mudah??
Jawapannya, boleh jadi susah dan boleh jadi mudah, bergantung kepada individu. Seperti yang saya coretkan di awal tadi, berlari itu perlukan kesungguhan, perlukan semangat, perlukan stamina dan perlukan mind setting yang betul.
Saya hanya menjadikan larian itu sebagai satu analogi. Dalam menuntut ilmu, kita juga perlu berlari. Berlari untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu, berlari untuk mengutip kefahaman dan berlari untuk mengumpul kea'rifan.
Pencarian ilmu itu sukar, perlukan kesungguhan, perlukan stamina yang tinggi, perlukan semangat juga perlukan perancangan yang betul. Untuk kita jadi orang yang berilmu, kita perlu berlari dalam kerangka untuk menguasai keilmuan itu.
Ilmu itu satu nikmat dan kenikmatan ilmu itu cukup tinggi nilainya tidak setara dengan kenikmatan dunia yang lain. Rugilah kita jika tidak dapat betul-betul mengutip ilmu lebih-lebih lagi jika kita berada di atas trek ini sebagai seorang pelajar ataupun mahasiswa. Tak hairan jika Syeikh Muhammad bin Al-Hasan As- Syaibani ketika dapat menyelesaikan permasalahan ilmiah berkata :
" Dapatkah anak-anak raja merasai kenikmatan ini?"
Penulis buku Abjad Al-Ulum juga ada berkata :
" Ketahuilah bahawa kemuliaan sesuatu boleh jadi kerana memang sesuatu itu mulia atau ada perkara yang membuatkan ia menjadi mulia. Dan Ilmu mempunyai dua kemuliaan tersebut. Selain merupakan suatu kenikmatan, ilmu juga boleh memberi kenikmatan kepada orang lain"
Jadi, tidak molek kiranya dalam perjalanan kita meraih kenikmatan yang cukup besar ini, kita hanya berjalan dan bersuka-suka. Sayang jika kita tidak mampu mengutip sebanyak mungkin ilmu di sepanjang trek kehidupan ini.
Berlari dalam trek sebagai mahasiswa juga perlukan aspek-aspek penting larian serupa perbuatan berlari itu.
Belajar perlukan kesungguhan. Mahasiswa yang tidak bersungguh dalam menuntut ilmu adalah mahasiswa pembelot. Dia telah menipu agamanya, bangsa, keluarga dan juga dirinya sendiri. Tidak dapat tidak kita sebagai mahasiswa perlu bersungguh-sungguh dalam trek keilmuan ini. Bagaimana??
Bersungguh menghadiri kelas, mengulang kaji pelajaran dan membaca sebanyak mungkin. Bukan hanya subjek berkaitan dengan kulliah sahaja malahan subjek-subjek lain khususnya yang berkaitan isu semasa. Kita perlu bersungguh untuk menjadi mahasiswa bernilai tinggi sebagai produk terbaik buat kemandirian agama, bangsa dan negara.
Cuba semak dan hayati kisah-kisah ulama' agung dunia Islam. Bagaimana mereka boleh mencapai kesungguhan yang tertinggi melebihi kemampuan yang ada pada seorang manusia. Saya cukup terharu bila mengingati kisah ulama'-ulama' silam dan kesungguhan mereka dalam menimba ilmu.
Contohnya di dalam kitab Tazkirat al-Huffaz, Imam al-Dzahabi bercerita tentang riwayat hidup Ibn Abu Thahir al-Maqdisi. Ibn Thahir bercerita :
" Saat menuntut ilmu, aku pernah kencing berdarah sebanyak dua kali. Pertama di Baghdad dan kedua di Makkah. Semasa aku berjalan kaki tanpa memakai kasut, cuaca pada hari itu sangatlah panas. Tiba-tiba, aku ditimpa penyakit itu, Dalam menuntut hadis, aku belum pernah menunggang kenderaan walau hanya sekali. Jadi, buku-buku yang aku miliki, semuanya aku pikul di atas pundakku. Aku tak pernah mengeluh dan meminta-minta kepada orang lain dan aku hidup dengan seadanya."
Bagaimana hendak dibanding dengan kita? Kesungguhan beliau menuntut ilmu sungguh menakjubkan. Kita yang dikelilingi aircond, kipas dan sebagainya, ada kereta, motor mahupun basikal dengan memegang pendrive pun masih tidak boleh untuk memberi kesungguhan yang optima untuk menuntut ilmu.
Belajar juga perlukan stamina. Bagaimana kita mahu belajar dengan baik jika hanya 5 minit menatap aksara-aksara di dalam satu muka surat buku sudah terlelap. Jadi perlu kita bentuk stamina yang tinggi ke arah membuat pecutan ke arah kejayaan.
Dan kedua-dua perkara di atas itu mustahil untuk dilakukan jika kita silap merangsang minda ke arah itu. Mind set perlu dibetulkan.
Bagaimana?
Ingat bahawa penguasaan ilmu itu sesuatu yang penting dan tidak boleh di ambil ringan. Dalam al-Quran sendiri terdapat banyak ayat yang menceritakan akan keperluan dan keutamaan orang yang menuntut ilmu.
Dalam surah Al-mujadalah ayat 11, Allah SWT berfirman maksudnya :
" ..Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat.."
Di dalam surah Muhammad, ayat 14 pula, Allah berfirman bermaksud :
" Dengan demikian, adakah orang-orang ( yang beriman dan taat) yang keadaanya sentiasa berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhannya : sama seperti orang-orang ( yang ingkar - derhaka ) yang telah diperhiaskan kepadanya ( oleh syaitan ) akan kejahatan amalnya ( sehingga dipandangnya baik ), dan yang telah menurut hawa nafsunya? ( sudah tentu tidak sama )!
Rasulullah SAW juga ada bersabda dalam beberapa hadis tentang peri pentingnya jalan yang kita lalui untuk menuntut ilmu. Antaranya ;
Daripada Anas ( r.a) beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : " Barangsiapa keluar rumah untuk menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah sampai ia kembali pulang ke rumahnya."
Saya rasa, dalil-dalil ini sudah cukup untuk membina satu gagasan pemikiran yang dapat melahirkan kesungguhan dan stamina untuk 'berlari' di atas trek ke arah melahirkan mahasiswa yang betul-betul berilmu, bukan di atas kertas sahaja tapi mampu melahirkan keilmuan itu di tengah masyarakat. Akhirnya, mahasiswa dapat merasai kenikmatan ilmu itu dan masyarakat juga dapat merasai kenikmatan pancaran keilmuan daripada mahasiswa yang benar-benar telah berlari dalam rangka membina keupayaan intelektualnya.
Kesimpulannya, rancanglah untuk mula berlari dari sekarang, agar kita tidak rasa kerugian setelah sampai ke garisan akhir trek ini. Berlari untuk menjana keintelektualan sebenar seorang penuntut ilmu.
Pesanan saya buat diri saya sendiri dan rakan-rakan seperjuangan, khususnya rakan-rakan satu batch, mari kita berlari di atas trek ini!
Kita hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi sebelum bergelar seorang graduan. Cukup rugi andai kita sampai di hujung trek ini dengan hanya mendapat hadiah saguhati sahaja dan lebih malang mendapat nombor tercorot. Jadilah seorang juara yang menjulang pingat di akhirnya nanti.
Saya cabar kamu semua berlumba-lari untuk merebut pingat emas intelektual sejati!
Sila ke garisan. Sedia...
Dan wisel akan ditiupkan sebaik anda mengakhiri bacaan ini.