Memaparkan catatan dengan label Travelog Haji Muda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Travelog Haji Muda. Papar semua catatan

Khamis, November 03, 2011

Travelog Haji Muda Siri 4 : Kenangan

Siri Travelog Haji Muda ini sudah lama tertangguh. Hajatnya dulu saya mahu menulis seluruh kisah perjalanan haji saya bersama sahabat-sahabat sehingga selesai ibadah tersebut. Namun dek kerana kekangan-kekangan yang ada saya tinggalkan ia tergantung begitu sahaja.
Semalam saya dihubungi oleh wartawan Berita Harian yang membaca blog saya ini, En. Sani. Katanya dia tertarik dengan cerita haji muda ini. Mahu jadikan bahan artikelnya untuk terbitan Raya Haji nanti. Bagi saya tiada masalah. Asalkan mendatangkan manfaat kepada umat Islam di Malaysia seluruhnya. Yang paling penting mendatangkan semangat kepada orang muda untuk pergi menunaikan haji.

Itulah juga antara cita-cita saya menulis travelog haji ini. Saya mengharap supaya golongan muda tidak takut untuk menjadi tetamu Allah di tanah yang paling diberkati itu.

Moga-moga ada kebaikan pada segalanya ini. Tiadalah harapan lain melainkan redha dan perhatian Allah jua yang diharapkan.

Moga semua yang menyumbang memperoleh rahmat-Nya, Insyaallah.

Bersama ini saya ada beberapa keping gambar untuk dikongsikan. Sesungguhnya gambar-gambar ini menceritakan seribu satu kisah perjalanan seorang tetamu Tuhan. Selamat menghayatinya.





Ahad, April 18, 2010

Travelog Haji Muda Siri 3 : Mula Berihram.



Hari ini adalah hari terakhir saya di Madinah. Insyaallah, saya dan jemaah haji yang lain akan bergerak ke Mekah seusai solat Jumaat, itu perkhabaran yang diterima dari wakil kami.

Berita ini juga memaksa kami untuk segera berkemas dan bersiap-siap apa yang perlu. Barang-barang yang dibeli sebagai buah tangan buat rakan-rakan perlu dimasukkan ke dalam beg. Kurma, jubah dan sebagainya perlu disusun kemas dan rapi. Segala barang-barang perlu dikemas berhati-hati agar tidak ada yang tertinggal.

Kami semua siap membeli barang-barang kiriman dari rakan-rakan dan milik peribadi di Madinah. Bukan apa, untuk kemudahan dan untuk lebih fokus pada ibadah nanti. Tidaklah nanti haji ditunai, hati di kedai. Jika semua urusan dunia sudah selesai, moga-moga hati fokus dengan ibadah yang bakal ditunai.

Selesai solat Jumaat, saya dan rakan-rakan bergegas pulang ke hotel. Kami perlu besiap untuk perjalanan ke Mekah. Beg dan segala barang-barang yang dibawa juga perlu dibawa turun segera.

Bukan apa, takut tidak ada ruang lagi untuk beg-beg kami disimpan.Jemaah Arab ini kalau memborong barang, berlori-lori lagaknya. Melebihi kadar yang sepatutnya.

Saya dan rakan sebilik sepakat untuk berihram terus dari hotel. Rasanya lebih mudah begitu, jika di miqot nanti pasti keadaan sesak. Memandangkan hari ini, semua jemaah haji yang masih berada di Madinah akan bertolak ke Mekah, keadaan pasti menyesakkan.

Jadi kami pun masing-masing menunggu giliran untuk membersihkan diri sambil melakukan beberapa perkara sunat sebelum berihram. Nak tahu apa dia perkara sunat tersebut??

Antara perkara-perkara sunat yang perlu dilakukan sebelum berihram adalah :

1. Mengerat kuku.
2. Mengandam misai, janggut, dan rambut, menanggalkan bulu ketiak dan ari-ari.
3. Mandi sunat Ihram.
4. Memakai minyak rambut dan bau-bauan.
5. Memakai pakaian Ihram berwarna putih.
6. Sembahyang sunat Ihram.
7. Membanyakkan bancaan talbiah selepas berniat Ihram.

Selesai mandi sunat ihram, kami pun mula mengenakan kain ihram ke tubuh. Dipusing ke kiri, dibalik ke kanan. Dilibas-libas hujungnya.

Sungguh kelakar melihat gelagat sahabat-sahabat mula memakai ihram. Berbagai cara dan gaya. Sempat juga kami berseloroh.

Kain ihram perlu dipakai dengan betul dan kemas. Jika tersalah cara, boleh tersungkur pula nanti. Lebih malang lagi terlondeh pula ketika tawaf, lagi dahsyat. Jadi kami perlu memakainya dengan cara yang betul. Mujur ada sahabat yang berpengalaman dalam bab memakai kain ihram ni, dapat juga membantu kami yang kurang ilmu ni.

Caranya mudah sebenarnya. Lebih-lebih lagi, kita bangsa Melayu yang selalu berkain pelekat ini. Kalau melihatkan jemaah Arab memakai ihram, nampak sukar bagi mereka.

Selesai memakai ihram, beg kami bawa turun ke bawah. Bilik kami kosongkan. Sampah-sampah yang ada kami bersihkan. Usai mengemas, kami bergerak ke arah lif untuk turun semula. Selamat tinggal bilik yang menjadi persingghan ku di sini. Moga ia menjadi saksi kehadiran haji muda ini.


Berbaik Sangka

Saya dan rakan-rakan jemaah yang lain sudah 2 jam menanti bas bergerak. Masih tidak ada deruan enjin dihidupkan. Perut pula mengeriut kelaparan, petanda perlu di si. Kami mengambil keputusan untuk turun, mencari-cari makanan yang boleh menggalas perut. Lemas juga duduk di dalam bas yang tidak bergerak-gerak.

Sudahlah keadaan bas yang sempit itu penuh dengan bagasi kami.

Telahan kami tepat. Tepat seratus-peratus. Jemaah Arab yang satu bas dengan kami membeli barang dengan jumlah yang tidak masuk akal. Terlalu banyak dan menyusahkan orang lain. Mujur hati teringat yang ibadah ini memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Tidak boleh cepat melenting dan bising-bising. Kesabaran perlu kuat dan padu!

Kami semua lalu berbaik sangka dengan mereka. Mungkin ini peluang mereka membeli keperluan dan hadiah kepada sanak saudara. Barang-barang di Jordan mahal harganya. Mereka yang datang bersama kami ini adalah dari kalangan buruh dan pekerja biasa, kelas bawahan. Mereka juga seperti kami, tidak mahu sibuk membeli-belah di Mekah nanti. Di sana, perlu fokus pada ibadah.

Mujur juga saya dan rakan- rakan lain telah awal-awal menyusun beg di dalam ruangan yang disediakan.

Setelah beberapa jam perjalanan kami ditangguhkan, enjin bas pun kedengaran menderu kuat. Kami pun naik mengambil tempat. Perjalanan ibadah kami akan bermula. Destinasi kami sebelum bergerak ke Mekah adalah ke Birr Ali. Miqot bagi penduduk Madinah dan kawasan sekelilingnya. Di sini, kami akan berniat ihram. Rakan-rakan jemaah yang belum berihram, akan berihram di sana.



Untuk pengetahuan semua, niat ihram di Miqot adalah perkara wajib bagi ibadah haji. Jika terlupa, seseorang itu perlu kembali semula ke Miqot dan berniat. Jika dia tidak kembali dan berniat di tempat dia berada ketika itu, dia akan dikenakan dam.

Mungkin ada yang bertanya, apa yang dimaksudkan dengan Miqot itu??

Miqot adalah tempat yang ditentukan untuk berniat ihram atau had sempadan yang menyamainya. Bakal-bakal haji yang menuju ke Tanah Suci, apabila sampai di miqotnya yang tertentu perlu berniat ihram.

Ada beberapa Miqot bagi jemaah haji berdasarkan tempat asal mereka datang. Miqot-miqot tersebut adalah :

Yalamlam : Ia adalah Miqot bagi penduduk Yaman, India dan negeri-negeri sebelah timur termasuk Malaysia dan Indonesia yang datang dengan kapal laut. Yalamlam adalah nama sebuah bukit di tepi Laut Merah di dataran Semenanjung Tanah Arab. Jaraknya dengan Mekah lebih kurang 89 kilometer.


Zulhulaifah : Juga dikenali sebagai Bir Ali. Miqot ini adalah bagi penduduk Madinah dan kawasan sekitarnya. Jarak dengan Mekah lebih kurang 450 kilometer. Jaraknya dari Madinah pula adalah 10 kilometer. Inilah Miqot yang akan kami tujui.

Al-Juhfah : ( Berdekatan Rabigh ) Miqot bagi penduduk-penduduk Syam, Mesir, Maghribi, negeri Sepanyol dan negeri-negeri dari arahnya. Jarak dengan Mekah lebih kurang 187 kilometer
.

Qarnul Manazil : Miqot bagi penduduk-penduduk Kuwait, Najd dan bakal haji yang datang dengan kapal terbang melalui ruang udaranya. Jaraknya dengan Mekah lebih kurang 94 kilometer.


Zatu Irqin : Miqot bagi penduduk Iraq. Jaraknya adalah 94 kilometer dengan Mekah.


Bagi penduduk Mekah, Miqot mereka adalah di rumah mereka sendiri.

Bagi ihram umrah pula, bagi penduduk Mekah dan juga orang yang berada di sana Miqot mereka adalah di :

Ja'ranah : 22 kilometer dari Masjidil Haram.
Tan'aim : 5 kilometer dari Masjidil Haram.
Hudaibiyah ( Syumaisi ) : 29 kilometer dari Masjidil Haram.

Itulah serba sedikit maklumat tentang Miqot yang boleh saya kongsikan kepada anda semua.

Perjalanan kami sudah terlewat dari yang sepatutnya. Hari sudah lewat petang apabila kami mula bergerak. Senja kota madinah bagai mengiringi perjalanan kami. Daun-daun pohon tamar seolah-olah melambai-lambai dan berteriak " Selamat menjadi tetamu Allah, selamat menatap Baitullah ".

Rasa hati bercampur-baur. Tidak sabar rasanya ingin menatap Baitul Haram, namun hati belum puas berada di Madinah. Berada di sisi maqam Rasul Junjungan, Muhammad SAW.

Balam-balam cahaya matahari yang hampir tenggelam meniup kerinduan. Ia datang lalu menyatu di dalam hati. Madinah akan saya tinggalkan kini. Moga ada rezeki untuk saya kembali ke sini. Sayu dalam hati.

Saya pasti akan merindui Madinah. Pasti!

Bersambung....

Sabtu, Disember 19, 2009

Travelog Haji Muda siri 2 - Madinah dan Kebahagiaan Hati






Peristiwa yang berlaku sepanjang berada di hudud ( sempadan ) di antara Arab Saudi dan Jordan membuat kami ahli rombongan Haji dari Jordan begitu lelah. Keadaan di dalam bas sepi. Hanya bunyi enjin dan pemandangan padang pasir menjadi muzik serta paparan mengisi kepenatan.

Saya penat. Serasa lelah, namun bila difikir-fikirkan keadaan jemaah haji pada satu masa dahulu, sebelum adanya sistem jalan raya dan pengangkutan yang baik, saya akur dengan segala ujian. Ini hanyalah sebutir debu dari padang pasir ujian yang meluas. Tolehan saya pada rakan-rakan yang malam tadinya riuh dengan celoteh masing-masing menemukan pancaran keletihan dari wajah masing-masing.

Kini kami sedang menuju ke Madinah. Tanah Haram kedua selepas Mekah. Tanah suci yang diberkati. Tanah yang tidak boleh ada di dalamnya pertumpahan darah walau setitis. Tempat yang tidak boleh diburu binatang buruannya. Kawasan yang menerbit cahaya kebahagiaan buat para tetamu yang bertandang kepadanya.

Sungguh saya cintakan bandar ini. Madinah adalah buah hati saya yang membuat hati rindu tidak sabar mahu menjejakkan kaki di atas pasir yang melatarinya. Cinta saya berputik lewat kunjungan umrah beberapa bulan yang lalu. Sungguh selepas itu tiada bandar yang menempat cinta seumpama ini di hati.

Ini bukan cinta buta saya, ia terbit setelah terbaca akan sebuah hadis dari Abdullah bin Zaid, dari Rasulullah SAW bersabda : " Sesungguhnya Ibrahim telah menjadikan kota Mekah sebagai tanah haram dan berdoa ( meminta berkat ) bagi kota Mekah. Dan aku menjadikan kota Madinah sebagai tanah haram sebagaimana Ibrahim menjadikan Mekah sebagai tanah haram. Aku mendoakan berkat bagi kota Madinah pada mudnya dan sha'nya ( ukuran yang digunakan oleh penduduk Madinah) seperti doa Ibrahim bagi Mekah." - riwayat Bukhari.
Memang benar, setelah berada di Madinah keberkatan yang didoakan oleh Rasullullah SAW bagai berlari memeluk hati, lalu timbul kebahagiaan dan ketenangan. Sungguh ramai yang berasa demikian.

Kami tiba di Madinah pada jam 10 malam. Dalam kepala kami hanya memikirkan katil dan selimut yang bakal kami temui tidak lama lagi. Mana tidaknya, sudah terlalu lama duduk di atas kerusi yang kurang selesa ini dengan posisi-posisi menyakitkan pinggang. Saya mahu berlunjur, mahu merenggang-renggangkan sendi yang lenguh. Tapi malang bagi kami kerana belum tiba masanya lagi untuk kami berehat-rehat dan bersenang hati. Kami perlu ke pusat pengumpulan bagi jemaah haji yang melalui jalan darat untuk mendaftar masuk ke kota Madinah.

Mujur hati berkata perjalanan ini bukan sekadar melancong tapi sebuah advencer bermisi!

Misi mencari haji yang mabrur dan misi bertandang sebagai seorang yang betul-betul hamba dan perlu patuh pada Tuhannya.

Semua urusan selesai 2 jam selepas itu. Kami masuk semula ke dalam bas dan bergerak ke hotel yang bakal kami diami selama 2 hari di Madinah. Dari cermin di sisi saya, cahaya yang memancar dari menara-menara Masjid Nabawi seakan melambai agar segera didatangi.

Sebaik sahaja bas berhenti, saya dan rakan-rakan bergegas turun. Kami mengeluarkan beg dan terus ke kaunter pendaftaran. Jam sudah menunjukkan lewat malam. Badan terlalu penat. Hajat di hati memang mahu terus sahaja ke Masjid Nabawi tetapi memikirkan waktu itu masjid sudah ditutup kepada awam membuat rasa itu tiba-tiba mati.

Alhamdulillah hotel yang kami diami ini tidak jauh dari Masjidil Haram. Jarak yang betul-betul membuat hati puas, tidak seperti waktu umrah dahulu yang memerlukan peluh menitis baru sampai ke halaman Masjid Nabawi. Sudah tentu kehampirannya dengan Masjid Nabawi tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berkerah ke sana setiap kali masuknya waktu solat.

Saya tinggal bersama 6 orang rakan yang lain. Syukur, badan yang penat dapat direhatkan dengan begitu selesa. Hotel ini lengkap dengan penghawa dingin, bilik mandi yang agak baik dan suasana yang memuaskan. Keselesaan dicampur dengan lelah perjalanan telah membuat kami lena dengan asyiknya.

Keesokannya

Pagi di Madinah terasa begitu aman dan nyaman. Rasa itu meresap ke dalam sanubari, menerbit ketenangan yang aneh. Melihat masjid mulia yang dahulunya dibina dengan beratapkan daun dan pelepah kurma begitu merangsang hati untuk mengimbau sirah junjungan mulia, Muhammad SAW.

Teringat sebuah hadis dari Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda : " Janganlah bersafar ke tempat tertentu kerana keutamaan tempat tersebut kecuali untuk pergi ke tiga masjid. Masjidil Haram, masjidku ini ( Masjid Nabawi ) dan Masjidil Aqso "

Baginda SAW juga bersabda : " Solat di masjidku ini lebih afdol daripada seribu solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram."

Masjid Nabawi kini bukan lagi seperti di zaman para sahabat jika diteliti sudut binaannya. Tiang-tiang yang besar dengan reka bentuk yang unik lagi futuristik seolah-seolah mebuat jasad beserta roh kita tidak mahu untuk bangun keluar daripadanya.



Saya kini hanya beberapa meter dari baginda SAW, di dalam salah satu masjid yang diutamakan solat di dalamnya. Di dalam masjid yang menempatkan maqam kekasih Allah itu. Bergetar rasa hati. Rindu bercampur dengan malu untuk berhadapan dengan manusia agung yang satu ini. Manakan tidak, jika difikirkan berapa banyaklah sahaja sunnah Baginda yang saya amalkan. Jika diselami sedalam manalah sangat cinta kepada insan agung yang membawa rahmat pada alam ini. Kehampiran seumpama ini betul-betul membuat ummatnya memuhasabah kembali cinta kepada baginda, termasuk saya.

Pagi itu saya dan Syukri merancang untuk ke raudhah dahulu sebelum terus ke maqam Rasullullah SAW. Selepas solat sunat dhuha, kami pn bergerak di celah-celah jemaah haji yang lain.

Masjid sesak. Bermacam manusia boleh ditemui. Ada yang bermata sepet berhidung mancung. Ada yang bertubuh sasa, berkulit gelap. Ada juga yang tua kerepot, berpakaian lusuh. Senang juga ditemu manusia bertubuh sederhana, berkulit sawo matang yang sudah tentu sebangsa dengan saya. Kepelbagaian ini memang memberi keistimewaan kepada ibadah yang satu ini.

Saya dan Syukri sudah menghampiri raudhah. Kawasan yang menjadi perhatian para jemaah apabila berkunjung ke sini dari dahulu hinggalah sekarang. Raudhah adalah sebuah kawasan yang terletak di antara rumah Nabi SAW iaitu Hujrah Siti Aisyah dan mimbar syarif. Raudhah dinamakan demikian kerana sebagaimana tersebut dalam hadis shahih : " Apa yang berada antara rumahku dan mimberku adalah Raudhah ( taman ) dari taman-taman syurga - Hadis riwayat Bukhari.

Raudhah dan Kedudukannya

Luas raudhah sekitar 330 meter persegi dan terdapat di bahagian-bahagiannya beberapa peninggalan sejarah. Antaranya adalah Hujrah Syarifah iaitu rumah baginda Rasullullah SAW yang terletak di bahagian timur raudhah, Mihrab Nabi Muhammad SAW yang terdapat di tengah-tengah dinding mengarah ke kiblat dan mimbar as-Syarif yang terletak di bahagian barat Raudhah.

Cara paling mudah untuk mengetahui kawasan raudhah ini adalah dengan melihat kepada perbezaan warna karpet yang melatarinya. Ia berbeza dengan warna karpet yang terbentang di seluruh pelusuk masjid Nabawi.

Para jemaah sentiasa berasak-asak mahu duduk dan beribadah di raudhah ini untuk mendapatkan keberkatan kawasan ini. Kawasan ini sentiasa penuh dengan manusia.

Saya dan Syukri cuba untuk meneruskan perancangan kami untuk ke raudhah namun gagal. Kami langsung tidak berpeluang untuk terus ke sana akibat asakan dari jemaah yang ramai. Kami lalu mengambil keputusan untuk membelok lalu menghala ke laluan terus ke Maqam Baginda Rasullullah SAW.

Di sini juga keadaaannya sentiasa sama. Manusia tidak pernah putus untuk mengunjungi baginda SAW. Terlalu ramai. Sesak.

Kami terpaksa bergerak perlahan-lahan dalam asakan manusia lain yang bertubuh besar dan sasa. Kami dipijak, tubuh dilanggar, itu perkara biasa. Hati makin berdebar kencang. Langkah demi langkah diiring selawat ke atas baginda SAW. Moga pertemuan ini menjadi saksi kecintaan umatnya seorang ini. Perasaan bercampur-baur.

Kini saya sudah berdepan dengan Maqam insan agung ini. Utusan Tuhan yang kuat mencintai umatnya. Saya tidak terkejar akan rasa cinta itu. Martabatnya tinggi, cinta seorang Rasul ke atas hambanya, manakan mampu saya tandingi.

" Salam ke atas kamu wahai Kekasih Allah.. Salam ke atas kamu wahai Rasullullah..Salam ke atas kamu duhai Pesuruh Allah.."

Hati sebak dalam salam yang diungkap. Salam dari keluarga dan sahabat ke atas Baginda SAW juga saya sampaikan. Alhamdulillah, syukur kerana Allah memberi kesempatan yang mahal harganya ini. Seorang hamba Allah dan umat Muhammad SAW yang kerdil ini berhadapan dengan Baginda SAW, penghulu bagi sekalian nabi dan rasul. Air mata menitis. Tubuh bergetar.

Saya melangkah sedikit kehadapan. Ditolak dengan kuat oleh seorang yang mungkin dari Pakistan, hampir-hampir saya jatuh. Kini saya berhadapan pula dengan maqam Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA yang terletak bersebelahan maqam Baginda Rasul SAW. Sekali lagi ucapan salam dilafaz, kali ini buat Khalifah pertama umat Islam. Kemudian saya menysuri lagi laluan itu dengan melalui pula maqam Saidina Umar bin Al-Khattab RA. Sekali lagi salam diungkap.

Kedudukan ketiga-tiga maqam ini hanya bersebelahan dengan jarak yang cukup dekat sebenarnya. Namun akibat dari lautan manusia yang berasak-asak, menjadikan jarak yang pendek serasa lama untuk ditempuh.

Selesai ziarah, saya dan Syukri merancang untuk terus ke Perkuburan Baqi' yang terletak bersebelahan kawasan Masjid Nabawi. Dari pintu keluar ini, perkuburan tersebut terletak betul-betul searah dengan tempat saya berdiri. Kami pun mula bergerak. Sambil-sambil berjalan, kepala tertoleh-toleh kubah hijau yang dibawahnya menempatkan maqam Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat utama di sisi baginda.



Kami kini berada hampir di tangga untuk naik ke perkuburan Baqi' namun kelihatan pintu pagar bertutup. Mungkin belum ada rezeki untuk menziarahi perkuburan ini hari ini.

Kami menukar perancangan. Kali ini, kami mahu sarapan dahulu di medan selera dicelah hotel-hotel indah berhampiran masjid, kemudian kami akan terus i'tikaf di masjid sementara menunggu masuknya waktu solat.

Kami perlu mengambil sebanyak mungkin peluang yang ada untuk berada di masjid ini dan di sisi Rasullullah SAW. Jangka masa kami tidak lama di Madinah. Hanya 2 hari sahaja, kemudian kami akan berangkat ke Mekah Al-Mukarramah. Jadi amatlah rugi jika kami pulang ke penginapan dan bersenang-senang di sana.

Duduk di dalam Masjid Nabawi amat menyeronokkan. Terasa bagai tidak mahu bergerak ke mana-mana pun. Perut yang lapar pun bagai terisi. Kantuk yang dirasa bagai dihapus, tambah-tambah melihat ke arah kawasan yang menempatkan Maqam Rasullullah SAW.

Kita semua tidak sempat untuk hidup sezaman dengan baginda Rasul namun kehadiran di Madinah membuat fikiran terbang ke zaman itu. Ah! Sungguh indah dan tidak mampu terluah!
Bayangkan di atas pasir bumi Madinah inilah baginda Rasul SAW hidup bersama para sahabat. Di sinilah baginda berjuang menegak kebenaran. Inilah kawasan yang menyimpan berbilion sejarah tentang awal bangkitnya Islam. Bagaimana Rasullullah SAW mengajar para sahabat bermuamalah, mengajar para sahabat mentadbir negara, memberi ilmu peperangan, mendidik rahsia keimanan yang menerbit kebahagiaan pada diri setiap insan Madinah.

Di sisi tiang masjid yang dahulunya Rasullullah SAW sentiasa mengimami jemaah muslimin ini, saya mengharap pancaran kebahagiaan dari iman yang pernah menerangi hati penduduk Madinah, turut menyerap ke hati saya.

Duduk dan beribadah di Masjid ini betul-betul membuat hati puas! Jika anda semua dapat merasai kepuasan yang saya alami ini, nescaya anda akan percaya bahawa Madinah memang menjanjikan kebahagiaan yang terindah.



Bukan kerana indahnya bandar ini. Bukan juga kerana cantiknya binaan Masjid Nabawi ini tapi kerana setiap butiran pasirnya menyimpan banyak rahsia perjuangan, pengorbanan dan kebangkitan agama yang diredhai ini. Dan yang paling penting, di sinilah Rasul junjungan mulia Muhammad SAW dimaqamkan selepas kewafatan Baginda SAW.

Madinah adalah kota yang membahagiakan hati.




Sabtu, Disember 05, 2009

Travelog Haji Muda Siri 1- Bermula Kembara

Kali ini, ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama anda semua. Sesuatu yang besar dan amat tinggi nilai maknanya pada diri saya. Satu kisah kembara. Bukan sekadar kembara biasa saya seperti sebelum-sebelum ini. Bukan sekadar kembara fizikal semata-mata namun kembara rohani yang begitu mengesankan.

Kembara ini adalah kembara seorang hamba menuju Tuhan dalam menyahut seruan agung Penciptanya.

Saya sebenarnya ingin berkongsi kisah pengalaman haji yang saya tunaikan 1, 2 minggu yang lepas. Pengkisahan ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau membesar-besarkan cerita bahawa saya sudah pun melakukan ibadah haji di usia sebegini awal, jika ini niatnya saya sudah ketemu ramai yang lebih muda remaja usianya daripada saya di sana. Bukan juga untuk membesar diri bahawa saya seorang yang bertuah kerana dijemput menjadi tetamuNya, jika ini hasratnya ada berjuta-juta umat Islam dari berbagai latar benua dan negara dijemput olehNya hatta yang kelihatan miskin dan kekurangan juga ada bersama.

Perkongsian ini saya nukilkan adalah semata-mata untuk menjadi pengiktibaran dan mungkin juga panduan bagi anda yang sudah tentu juga bakal dijemput untuk menjadi tetamuNya.

Dan sudah tentu nukilan ini adalah buat tatapan keluarga saya dan sahabat-sahabat yang menanti-nanti kisah kembara saya ini.

Saya tidak tahu adakah saya mampu untuk menceritakan semuanya secara terperinci kerana pengalaman tersebut amatlah unik dan terlalu hebat untuk diterjemahkan melalui aksara-aksara di blog ini. Namun, insyaallah saya akan cuba menukilkan dengan baik agar ianya mampu dihayati bersama secara berkesan.

Saya mulakan dengan persiapan awal saya dan rakan-rakan untuk pengembaraan ini. Biarpun kami ini di dalam fatrah peperiksaan namun kami sedar yang perjalanan ini lain dari yang lain. Bukan jalan-jalan ke negeri orang untuk suka-suka dan untuk berehat-rehat. Tapi berjalan dengan hati penuh tunduk dan berharap kepadaNya.

Jadi banyak yang perlu dikorbankan untuk itu semua. Dalam mempersiapkan diri, peperiksaan kami hadapi dengan penuh semangat. Diselang-seli dengan urusan-urusan, kursus dan sebagainya. Kami usahakan agar segala pekerjaan dapat disempurnakan sebaiknya.

Perjalanan kami pun bermula.

Sebelam malam hari pertama kami tiba di sempadan Jordan. Perjalanan yang memakan masa setengah hari di dalam bas membuatkan kebanyakan kami lenguh-lenguh pinggang dibuatnya.

Untuk melepasi sempadan ini bagi memasuki wilayah Arab Saudi memerlukan beberapa urusan dilakukan antaranya mendapatkan pas keluar dari Jordan. Jadi, sudah tentu bas akan berhenti seketika bagi memberi ruang wakil kami untuk membuat segala urusan.

Kami pun turun bagi merenggang-renggangkan otot yang keletihan. Namun satu kejutan melanda diri saya dan beberapa rakan sebaik turun daripada bas.

Kami melihat ribuan manusia memenuhi kawasan tersebut. Terdapat puluhan bas yang membawa jemaah haji dari beberapa negara di utara Jordan seperti Syria, Turki, negara-negara Asia Tengah dan banyak lagi. Berbagai jenis manusia ada di situ.

Saya agak terkejut kerana pengalaman menunaikan umrah sebelum ini tidak pula ditemui keadaan sebegini rupa. Dan hati saya terdetik jika ini keadaan di sempadan Jordan, bagaimanalah agaknya keadaan di dua Tanah Suci nanti? Tentu berlipat ganda manusia yang ada.

Saya mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut. Melihat dari satu bas ke satu bas dan saya cukup tertarik apabila melihat sekelompok manusia yang berkopiah agak pelik, seakan-akan topi yang dipakai pembesar-pembesar lagenda China seperti di dalam filem.
Saya kira mereka ini adalah muslim dari negara jajahan Rusia ( Turkistan, Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan dan yang berhampiran dengannya ). Wajah mereka pun mirip puak Ugyur di China atau disebut Xinjiang.

Saya dan beberapa rakan meneruskan eksplorasi kami di sekitar kawasan menunggu ini. Lama berjalan dan bertukar-tukar pandangan serta rasa hati tiba-tiba kami terlihat sebuah coster yang uzur dan di atasnya dipenuhi dengan tong-tong air dan juga tong gas.

Bas tersebut berlansir, dan bernombor flat dengan angka yang pelik. Tanpa berlengah kami terus menuju ke arah kawasan tersebut.

Rupa-rupanya sahabat baik saya yang petah berbicara dalam bahasa Arab Ammiah ( Arab Pasar ) iaitu Fauzi telah awal-awal lagi menemuramah pemandu bas tersebut. Saya difahamkan mereka berkomunikasi bagai ayam dan itik kerana pemandu tersebut tidak pandai berbahasa Arab mahupun Inggeris. Nasib baik ada seorang Arab yang menghampiri kami dan ma'ruf tentang negara tersebut.

Yang kami tahu dari pemandu tersebut ( temuramah dengan bahasa isyarat dan lukisan ), mereka berasal dari negara daerah Asia Tengah seperti yang saya sebutkan sebelum ini. Kirgiztan kalau tidak silap saya. Mereka sudah beberapa hari bermusafir dan ia nyata merupakan perjalanan yang cukup jauh.

Biar dari mana sekalipun mereka, saya terharu melihat kesungguhan mereka untuk menyahut seruan Allah SWT sebagai hambanya.

Saya kira mereka benar-benar bekorban untuk perjalanan ini.

Biar dari mana sekalipun, melihat kesungguhan mereka dengan kekurangan yang ada, hati saya tersentuh. Amat tersentuh.

Serta merta terimbas ngomelan saya tentang kerusi bas yang saya naiki letak duduknya begitu sempit dan tidak selesa untuk perjalanan sejauh itu. Bila fikir kekurangan yang orang lain miliki dibanding dengan kecilnya dugaan saya, insaf rasanya.

Kita ni memang diselaputi kemewahan dan keselesaan tapi tidak pernah mahu bersyukur. Bila melihat kesusahan saudara kita yang lain barulah kita faham. Keterbatasan harta, kebebasan, dan banyak lagi yang wujud di sisi mereka tidak pernah sedikit pun menghapus rasa ketundukan kepada Allah Maha Esa.

Lewat malam, baru kami dibenarkan bergerak melepasi sempadan. Seingat saya hampir jam 12 pagi baru kami bergerak.

Masuk ke sempadan Arab Saudi, kami sekali lagi perlu menjalankan beberapa prosedur untuk dibenarkan masuk ke negara tersebut. Di sini masih kelihatan begitu ramai manusia bakal-bakal hujjaj yang seperti kami, menunggu untuk menyelesaikan prosedur pengesahan visa dan sebagainya.

Lewat jam 3 pagi, kami dipanggil untuk mendapatkan cop pengesahan atas visa yang diperoleh. Saya ketika itu baru bangun dari terlelap, penat. Rakan-rakan yang lain juga begitu. Cuaca ketika itu begitu sejuk. Menggigil saya turun daripada bas. Sudahlah mengantuk, saya dikejutkan pula dengan barisan yang panjang untuk masuk ke dalam bangunan yang menempatkan kaunter-kaunter yang mengesahkan visa kami.

Maka beraturlah kami dalam keadaan sejuk yang mencengkam tulang rusuk. Menggigil-gigil saya yang berlemak kurang ini. Namun, melihat kepada seorang pak cik yang mencecah usia 70 tahun masih kental berdiri dalam barisan, saya kuatkan semangat.

Mana tidaknya, tercabar rasanya. Agak lama juga baru kami dapat masuk ke dalam bangunan tersebut.

Fikir kami, masuk sahaja ke dalam akan menyelesaikan segalanya, namun ianya nyata meleset. Keadaan di dalam rupanya sama teruk. Dari segi suhu memanglah ok, suam-suam tidak seperti di luar namun kebanyakan orang berasak-asak di semua kaunter.

Akhirnya, pergaduhan hampir-hampir terjadi. Mungkin sudah bosan menunggu dan berbaris. Dari apa yang saya perhatikan sistem yang kerajaan Arab Saudi gunakan amatlah kurang bagus ;kurang sistematik. Tidak mesra pelanggan ; boleh ditafsir begitu. Pegawai-pegawai bertugas pula ada yang sengaja buat hal lalu menjadikan suasana tegang.

Saya sendiri telah penat berdiri. Menunggu berjam-jam. Namun, itulah istimewanya kembara ini. Kita akan diuji. Dan begitulah kita akan dinilai sejauh mana kesabaran kita dan keikhlasan kita dalam mengharungi halangan menyahut seruan Allah Maha Agung, Maha Segala.

Waktu fajar hampir berakhir barulah semua urusan selesai. Alhamdulillah. Ujian pertama ini banyak mengajar erti kepada kami semua dan menjadi persediaan untuk menghadapi yang seterusnya. Kami semua yakin bahawa ini hanyalah satu permulaan. Setelah semua berada di dalam bas, kami bergerak ke stesen seterusnya untuk pemeriksaan barang-barang yang di bawa.

Jangkaan kami tepat. Baru selesai mengharungi ujian getir yang mengharap kesabaran yang tinggi, sekali lagi kami berhadapan dengan ujian yang lain.

Di stesen ini, kami perlu diperiksa seluruhnya. Maksudnya, segala barang-barang yang dibawa akan diperiksa satu persatu. Maka bermulalah kerja kami menurunkan barang-barang yang tersimpan di dalam tempat simpanan beg.

Satu persatu beg kami dibuka, diperiksa setelitinya. Segala plastik dibuka walau ia hanya menyimpan sepapan panadol. Buku-buku yang kami bawa diselak satu persatu. Beg-beg digeledah semahunya. Tidak mengapalah, kami faham akan prosedur kemasukan ke sesebuah negara memerlukan pemeriksaan yang teliti.

Setelah beberapa ketika, beg-beg dimasukkan semula.

Selesai lagi satu ujian. Perlu sabar. Hati terkadang panas kerana barang-barang yang disusun kemas diperbuat sesuka hati. Sabar jadi alat penyejuk diri.

Selesai semuanya, bas kami naiki, perjalan akan kami teruskan walau beribu halangan yang datang. Itu tekad, kerana untuk hadir sejauh ini dengan hati berharap kepada Ilahi memerlukan semangat yang ampuh dan tidak terkalahkan.

Saya cuba mengimbas apa yang saya tempuhi sejak saat pertama bas dinaiki. Awal-awal lagi kami diduga, diuji. Namun kami bersyukur kerana merasakan segalanya itu adalah pengajaran berharga yang sukar dimiliki.

Mungkin juga segalanya adalah persediaan untuk menghadapi saat yang lebih getir lagi.

Semua dalam kondisi yang melelahkan, penat. Masing-masing kelihatan tersandar sambil berfikir, mungkin memuhasabah pengalaman awal perjalanan ini. Bas dipandu laju mengarah Tanah Suci.

Walau apa terjadi, padang pasir yang mendatari bumi diredah dengan penuh semangat dan azam untuk sampai kepadaNya.

Bersambung......


p/s: gambar-gambar akan diupload dalam waktu terdekat.