Jumaat, Februari 03, 2012

Jangan Bazirkan!



"Apa sangatlah masa satu, dua jam itu. Tengok tv, bukan merompak!"

"Berapa sangat setakat RM 50 atau RM 100, janji dapat beli apa yang aku nak!"

"Nak kisah apa, muda lagi. Taubat, masjid, kubur ni untuk orang-orang yang dah beruban bertongkat je.."

Akhirnya...

 ....  "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh". ( Al-Munaafiqun ; ayat 10)

Mari kita sesali segala perbuatan kita, mudah-mudahan kita tidak menjadi dikalangan orang-orang yang rugi. Bila tiba masa kita mengungkapkan kata-kata itu, sedikit pun Tuhan tidak akan melayan.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Rabu, Januari 25, 2012

Salam Tahun Baru Buat Diri

Semakin lama, semakin berat tangan ini untuk terus menulis. Entah penyakit apa yang menyinggahi idea dan ketangkasan tangan dari terus aktif menumpah kata dan suara. Entahlah. Membaca semula tulisan-tulisan lama tika kembara ke Ardul Kinanah dulu menyuntik rasa sedar bahawa setiap tulisan yang pernah tertampal kukuh di laman ini memberi harga yang tidak akan dapat saya nilaikan. Bermakna. Amat berharga.

Rugi jika saya gagal untuk meneruskan apa yang telah saya mulakan sejak tahun 2008 lagi. Terlalu banyak untuk dinukilkan sebenarnya sepanjang hari penghidupan ini. Saya tidak mengharap orang menatap membaca. Cuma ingin segala yang dicurahkan ini menceritakan siapa dan bagaimana saya ketika penghidupan saya yang singkat ini kepada diri saya sendiri di masa hadapan. Sama seperti saat saya membaca tulisan tahun-tahun yang lalu.

Lagi bagus jika ia menjadi santapan buat anak-anak dan cucu-cucu saya jika diperkenan Tuhan. Inilah ayah dan datuk mereka. Orang yang kerdil yang berjalan terhuyung-hayang di bumi Tuhan ketika hidupnya. Kadang tersadung, tersungkur. Sekejap-sekejap melompat menari kegirangan. Ada masa terperosok jauh di dalam gelap kesunyian dan kejahilan.

Perjalanan hidup tidak beerti andai tiada lagenda untuk memaknakannya. Siapa lagi yang akan mencipta lagenda diri kalau bukan kita sendiri?

Pada orang, mungkin langsung tiada erti. Pedulikan! Kita mahu lagenda untuk kita hayati sendiri. Terlalu jauh untuk dibanggakan. Ia bukan perhiasan atau pingat kemenangan! Lagenda ini untuk kita tahu hebat sangatkah kita ini mengharung denai usia. Supaya selesai membacanya kita sedar kita ini hanya seorang hamba kerdil di sisi Tuhan Esa. Biar kita tahu kita tidak pernah menjadi hero pun dalam lagenda itu. Kita cuma orang yang mensia-siakan peluang dan ruang dianugerah Tuhan. Kita rasa kita hebat. Tapi hebat sangatkah kita pada pandangan Tuhan?? Menarik sangatkah kita pada pandangan penghuni langit yang sentiasa menilai memerhati? 

Biar lagenda kita tidak pernah didendang, dilagukan. Asal ia menjadi simpanan berharga kita buat menilai diri sebelum dijemput menemui Tuhan.

Moga hari ini obor semangat untuk saya menulis dinyalakan semula! Bakarlah diriku ini! Biar sampai 'rentung'!

Jumaat, Disember 09, 2011

Arkitek Insan





Pendidik merupakan individu yang penting kepada sesebuah masyarakat. Tanpa golongan ini, sudah pasti sesebuah kelompok masyarakat itu akan lompong, 'kering' dan juga bermasalah. Masakan tidak, mereka inilah yang membentuk, membina dan mentarbiah setiap individu dalam masyarakat agar yang terdidik itu boleh memandu kelompok mereka ke jalan yang terbaik lagi mulia. Mereka adalah arkitek. Tiadanya mereka maka runtuhlah bangsa.

Dahulu saya pernah memperkecilkan kelompok ini. Bagi saya kerjaya pendidik atau guru itu tidak se-gah kerjaya lain yang lebih dihikagumi dan dihormati masyarakat. 

" Kamu nak jadi apa Firdaus? Jadi guru?"

" Saya tak mahu jadi guru, tak best. Saya nak jadi engineer."

Teringat perbualan saya dengan salah seorang guru saya sewaktu tahun 6. Waktu itu kami bersiap untuk pulang dari kelas tambahan. Sempat berbual tentang cita-cita dan masa depan. Namun, keceluparan saya membuatkan guru saya itu barangkali terasa hati. Rasa bersalah pula sebaik menoktahkan kata.

Namun kini saya sudah berada di tempatnya. Walau sekolahnya berbeza. Walau pelajarnya lebih dewasa, saya adalah seorang guru sama sepertinya.

Dan saat ini, saya terkenang kata-kata akhir saya itu. Kenangan yang membawa resah dan serba salah. 

Kini baru saya sedar akan kemuliaan jawatan itu. Lalu saya jatuh cinta. Jika diizin Tuhan, mahu sahaja saya menumpahkan sepenuhnya rasa cinta pada tugas mulia ini. Biar ia membayar rasa bersalah yang terpaut hampir 10 tahun yang lalu.

Teringat sajak karangan Usman Awang tentang guru.


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Benarlah katanya. Dan kerana guru juga, saya duduk di sini. Saya ke luar negeri. Saya menjadi manusia yang berjiwa manusiawi. Yang paling penting saya menjadi hamba Tuhan yang tahu untuk mensyukuri.

Maafkan saya cikgu!

Terima kasih kepada semua guru-guruku!