Selasa, Februari 22, 2011

Mengarang Sebuah Cita- Cita





Tidak selalunya perkara yang kita harapkan itu kita peroleh. Kita mengharap untuk jadi begitu begini namun hasilnya tidak seperti yang dirancang juga diidam-idamkan.

Namun, perkara yang berlaku secara tidak dirancang itu sebanarnya mendatangkan lebih kebaikan kepada diri kita. Inilah yang dinamakan perancangan Allah. Kita sebagai hamba tekun merancang tetapi Allah SWT juga merancang hidup kita sebagai hamba kepadaNYa. Lalu rancangan siapakah yang lebih aula ( utama ) untuk berlaku??

Saya percaya setiap orang mempunyai cita-cita sendiri. Sejak dari kecil kita membina keinginan tersebut. Jika ditanya kepada anak-anak kecil, sudah tentu pelbagai jawapan kita akan dengari. Ada yang mahu jadi doktor, tentera, polis bahkan superman dan ultraman juga menjadi pilihan!

Seiring dengan peredaran usia, cita-cita kita juga turut berubah sama. Kalau dahulu ingin menjadi Superman, kini mahu menjadi juruterbang pula misalnya. Kalau dahulu mahu jadi doktor, kini hanya mahu menjadi jururawat sahaja.

Segalanya ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran seseorang itu.

Kali iini, setelah lam tidak menulis, tergerak hati mahu berkongsi kisah saya mengarang cita-cita.

Saya sama seperti anda semua, mempunyai cita-cita yang hebat sejak dari kecil.

Waktu itu, saya suka bermain permainan terutamanya mainan seperti jet pejuang atau kapal terbang. Jika tidak ada, saya akan melipat kertas lalu menerbangkan ia menerusi tingkap rumah.

Ketika itu rumah saya seperti rumah kampung biasa. Rumah kayu yang bertiang tinggi. Tingkapnya terbuka luas, mudah bagi jet-jet kertas saya melaluinya.

Minat itu telah menimbulkan keinginan dalam hati kecil saya mahu memandu jet pejuang. Saya mahu menjadi juruterbang yang hebat!

Selepas daripada itu, setiap kali ditanya tentang cita-cita, dengan bangganya saya akan menjawab :

" Cita-cita saya nak jadi pilot!"

Impian ini makin menebal dan bertambah kuat dengan kehadiran bapa saudara saya yang baru. Maksudnya suami kepada ibu saudara saya. Adik abah yang ke 7. Dia seorang guru, suaminya seorang anggota TUDM. Pegawai yang berpangkat juga la dalam pasukannya ketika itu.

Majlis perkawinan mereka menghadirkan 3 buah helikopter jenis Nuri di tanah rancangan, rumah almarhum atuk dan nenek saya berada.

Ketika mahu menyambut rakan-rakan sepasukannya, dia telah mengajak saya dan sepupu yang lain menghampiri helikopter tersebut. Angin tujahan kipas helikopter yang baru mendarat seolah-olah turut mengangkat saya lebih tinggi untuk menggapai cita-cita yang diimpi. Saya jadi amat bersemangat ketika itu!

Kesempatan yang ada, tidak saya lepaskan. Ketika sepupu-sepupu yang lain sibuk bermain, saya leka duduk berhampiran sahabat-sahabat bapa saudara saya itu. Mereka semua lengkap beruniform dengan logo TUDM tertera di dada. Segak.

Perbualan dengan mereka kemudiannya menyuntik semangat yang memang sedang hebat terbakar.

Selepas daripada itu, saya nekad mahu menjadi seperti mereka.

Namun....

Masa merubah segalanya.

Ketika di bangku sekolah menengah, saya menjadi kurang bersemangat untuk meneruskan cita-cita yang itu. Terasa seolah peluangnya pergi terlalu jauh dan payah untuk saya mengejarnya.

Masakan tidak, masuk Maktab Tentera Udara memerlukan fizikal tertentu yang digariskan dalam syarat-syarat kemasukannya dan juga perlu tahan tekanan yang tinggi. Saya pula tidak mempunyai segala syarat tersebut, ditambah lagi dengan penyakit buah pinggang yang dihidapi. Saya terpaksa lupakan cita-cita saya itu.

Penghujung tingkatan satu, saya merangka cita-cita baru. Saya tidak mahu terus kecewa dan tidak bersemangat.

Kini, saya mahu menjadi seorang jurutera aeroangkasa pula.

Jurutera aeroangkasa adalah merupakan seseorang jurutera yang terlibat didalam mana-mana peringkat penyelidikan dan pembangunan industri aeronautik ( penerbangan dalam lingkungan atmosfera bumi ) dan juga astronautik ( penerbangan diluar lingkungan atmosfera bumi ).

Bagi saya, tidak dapat memandu kapal terbang atau jet pejuang pun tidak mengapalah asalkan masih terlibat dengan bidang penerbangan. Dan bidang ini lagi hebat. Kita yang merangka dan membina pesawat atau roket yang dipandu.

Saya merasakan ini pilihan terbaik. Lalu saya terus dengan matlamat mencapai impian ini.

Bermula dari situ, saya mula membaca buku-buku berkaitan dengan sains angkasa dan penerbangan, menonton dokumentari dan sebagainya. Saya jadi rapat dengan mata pelajaran Sains. Saya tahu, jika mahu terlibat dalam bidang ini tidak boleh tidak saya perlu kuasai ilmu sains dan matematik.

Saya berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Saya sudah merangka pelan 5 tahun kehidupan saya. Ketika itu saya sudah mula membaca buku-buku dan tulisan-tulisan motivasi.

Antara tokoh motivasi yang saya selalu jadikan rujukan buku mereka adalah Dr. HM Tuah Iskandar dan Dato' Dr Fadzilah Kamsah.

Melalui tulisan dan ceramah mereka yang saya tonton, saya mengetahui serba ringkas kaedah yang betul untuk merealisasikan apa yang kita impikan. Dalam pelan 5 tahun yang saya rangka, saya telah menulis dan mencatat perkara-perkara yang saya perlu lakukan untuk menjadi jurutera aeroangkasa.

Antaranya adalah permohonan masuk ke Sekolah Teknik dan mengambil bidang Kejuruteraan Mekanikal. Kemudian selepas SPM saya akan memohon untuk belajar di UPM dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa. Jika berjaya, saya ingin ke Rusia untuk mendalami ilmu kejuruteraan di sana.

Selepas keputusan PMR keluar, saya menerima surat yang menyatakan permohonan saya untuk masuk ke sekolah teknik dalam bidang yang saya mohon diterima.

Namun, lahir pula masalah baru.

Saya menjadi berbelah bahagi. Sayang mahu meninggalkan sekolah yang telah banyak mengajar dan mendidik saya selama 3 tahun lalu. Sekolah yang menyimpan terlalu banyak kenangan. Inilah sekolah yang mengenalkan saya bahawa saya ini hidup sebagai hamba kepada Tuhan.

Pendapat rakan-rakan ditanya.

" Kalau kau dah suka, teruskan saja," itu kata mereka.

" Rugilah kau berhenti sekolah ni, elok kau ambil SMA ( Sijil Menengah Agama- Tingkatan 4 ) dulu."

Pendapat guru-guru pula diminta.

" Sayang kalau awak berhenti..," kata seorang guru.

" Teruskan belajar agama, lebih bagus, lebih elok," kata guru yang lagi satu.

Ketika pendapat Mak dan Abah diharap.

" Ikutlah pada minat kamu, mak tak kisah janji benda tu baik bagi kamu. Tapi rugilah berhenti dari sekolah agama," nasihat Mak.

" Abah bagi awak buat keputusan. Bagi Abah, sekolah agama lebih baik," Abah pula memberi pandangan.

Lalu saya terperangkap. Terlalu ramai yang kurang menyokong. Tapi hati dan keinginan membuak-buak! Yang mana harus saya pilih??

Antara mahu dan buntu.

Antara kehendak dan harapan.

Saya istikharah. Mohon petunjuk.

Lalu saya memilih untuk kekal disitu. Mengharap ada hikmah yang Allah mahu kurniakan. Namun sebagai hamba yang lemah dalam usia yang amat muda itu saya amat kecewa dengan keputusan sendiri.

Kekecewaan yang menutup pintu saya mengecap cita-cita lampau yang dikarang. Pasti saya tidak akan gapai lagi.

Sedih mengenangkannya.

Saya terpaksa membuang segala kertas-kertas catatan pelan 5 tahun saya. Saya jauhkan diri dengan buku-buku sains angkasa dan yang berkaitan dengannya.

Saya terpaksa hapuskan semua sisa-sisa, saki-baki cita-cita dalam bidang yang saya suka.

Yang tinggal kini hanya harapan.

Mengharap Allah kurniakan sesuatu yang baru. Mengharap Allah membuka jalan yang lain pula untuk saya karang cita dan impian.

Betapa saya kecewa, sepanjang tingkatan 4, saya tidak suka kepada subjek sains hingga menyebabkan saya tidak lulus dengan markah terendah berturut-turut. Warna merah seolah menjadi warna rasmi subjek tersebut.

Begitu juga dengan Matematik Tambahan. Saya benci semua subjek yang ada kaitan dengan cita-cita lampau saya.

Saya biarkan masa berlalu...

Sunyi dan sepi..

Namun, Allah SWT itu maha adil. Dalam kekecewaan itu, Allah ubat hati saya dengan beberapa pencapaian yang tidak pernah langsung saya bayangkan.

Sepanjang tingkatan 4, saya banyak menyertai pertandingan syarahan, bahas, tafsir dan sebagainya. Dengan kuasa Allah, saya menang semua pertandingan yang saya masuk. Kalau tidak di tempat pertama, tempat kedua dan ketiga. Dari peringkat sekolah, zon, daerah hinggalah mewakili negeri. Alhamdulillah.

Ketika itu juga saya terlibat aktif dengan persatuan dan badan kepimpinan.

Saya mula dikenali di sekolah. Terasa dihargai.

Ketika itulah saya merasakan hikmah kekalnya saya di sekolah ini iaitu SMA Al-Wosto, Temerloh.

Pertengahan tingkatan 4, tahun 2004, saya fokus kembali kepada pelajaran. Pada tahun tersebut kami di sekolah agama akan menghadapi peperiksaan besar iaitu SMA atau Sijil Menengah Agama.

Dalam sibuk menghafal dan menekuni pelajaran untuk persediaan menghadapi peperiksaan, saya mula merangka cita-cita baru. Bagi saya seorang manusia itu perlu ada matlamat, perlu ada cita-cita. Dalam erti kata lainnya, perlu ada sesuatu untuk dikejar dan digapai diakhirnya nanti.

Waktu itu, saya jadi sayang pada subjek agama. Bahasa Arab bagi saya mendatangkan rasa seronok dan tenteram, begitu juga dengan beberapa subjek. Di sudut lain pula, saya jatuh cinta dengan subjek perakaunan.

Lalu terhasillah satu cita-cita baru iaitu ingin menjadi akauntan tetapi akauntan yang Islamik dan mahir berbahasa Arab.

Maka proses yang sama yang saya lakukan ketika di tingkatan 1,2 dan 3 saya praktikkan semula. Saya menyusun pelan yang baru dengan puncaknya tertulis Akauntan Islamik.

Selesai SMA, saya fokus pula kepada SPM. Walau dalam sibuk menggalas jawatan Ketua Pelajar dan mengetuai beberapa persatuan saya cuba memberi tumpuan dalam setiap subjek yang dipelajari.

Matlamat saya jelas, mahu jadi profesional di bidang akauntan dalam masa yang sama pakar di bidang agama dan Bahasa Arab.

Saya mula cuba untuk membina karakter impian saya.

Buku dan majalah bertulisan berat kadang-kadang menjadi jamuan minda saya.

Selepas tamat menduduki SPM, saya memilih untuk meneruskan pengajian di sebuah institusi pendidikan agama di Pekan Pahang yang bernama Kulliah Al-Lughah Waddin Sultan Abu Bakar untuk mengambil peperiksaan STAM ( Sijil Tinggi Agama Malaysia ).

Matlamat saya selepas STAM - yang mana di sini saya dapat memperkukuh bidang agama - saya akan menyambung pelajaran di UUM dalam bidang perakaunan. Maka dengan izin Allah, saya dapat menjadi seperti yang diimpikan.

Namun, dalam semua perkara yang kita rancangkan, ada Allah sebagai sebaik-baik perancang.

Ketika di Kulliah, saya menyertai sebuah program anjuran Kolej IKIP, Kuantan. Program tersebut menerangkan tentang peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Yarmouk di Jordan dengan dibiayai Yayasan Pahang dalam bidang yang amat menarik minat saya ketika itu. Bidang tersebut adalah Ijazah Syariah pengkhususan dalam Ekonomi & Perbankan Islam.

Selepas daripada itu saya pun muhasabah semula semua rancangan dan pelan yang telah saya buat.

Bila disemak semula, program yang Kolej IKIP bersama Yayasan Pahang tawarkan lebih menghampiri impian dan matlamat saya. Belajar Syariah dalam masa yang sama fokus dalam bidang Ekonomi dan Perbankan. Saya amat berminat.

Selang beberapa bulan, saya menghadiri temuduga bersama pihak Yayasan Pahang dan alhamdulillah, saya terpilih untuk program tersebut.

Bermula dari hari pertama belajar hinggalah hari terakhir saya di Universiti Yarmouk, saya benar-benar merasakan akan tepatnya pilihan saya ini. Amat sesuai dengan minat dan jiwa saya.

Ketika ini, cita-cita saya berubah sekali lagi.

Dengan ilmu dalam bidang Perbankan Islam dan melihat keadaan semasa, saya merasakan perlu untuk bangun menjadi seseorang yang dapat menyumbang dalam bidang ini. Saya ingin kuasi bidang yang saya tekuni.

Lalu keluarlah pula idea untuk persiapkan diri menjadi Penasihat Syariah. Atau jika tidak pun menjadi eksekutif Syariah di syarikat perbankan mahupun kewangan.

Ketika di tahun akhir, saya cukup beremangat mencari ruang untuk menempatkan diri dalam industri kewangan Islam negara yang pesat membangun. Rancangan saya, selepas pulang sahaja ke Malaysia, saya mahu berkhidmat di bank sebagai Eksekutif Syariah. Itu pelan saya sebelum saya memenuhi dada dengan ilmu bagi menapak ke tingkat yang lebih tinggi.

Namun, hakikat segalanya bukan semudah yang disangka.

Pulang sahaja ke Malaysia, berbagai cabaran yang ditempuh. Temuduga juga sudah bermacam yang dihadiri akan tetapi pekerjaan yang diimpi tidak juga mahu menjadi realiti.

Cuma saya tidak berdiam diri begitu sahaja. Saya tetap mahu terjun ke dalam bidang ini. Lalu dengan upaya yang ada, dengan semangat yang membara saya mengambil lesen menjadi konsultan unit amanah di bawah pengurus dana Public Mutual, lesen takaful di bawah Etiqa dan lesen megurus pusaka dengan syarikat Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd.

Selepas itu saya bekerja sebagai guru di sebuah sekolah agama swasta di Temerloh. Dan sekarang, Allah pilih saya selaku pensyarah di Kolej IKIP.

Walaupun menjadi pendidik bukan pilihan utama saya sejak dari kecil, namun ketentuan Allah itu mengundang hikmah yang besar untuk saya redhai. Kini saya cukup rasa berbesar hati. Juga berbangga sebenarnya dipilih Allah SWT menjadi seorang guru. Ada nikmat dan kepuasan besar terselindung di sebaliknya.

Dalam hati saya, saya masih cintakan bidang ini. Saya kini merancang untuk pergi lebih jauh dalam bidang yang saya pelajari dan kuasai, Insyaallah.

Satu hari, saya mahu menjadi ' seseorang ' yang mampu memberi sumbangan besar dalam bidang kewangan Islam sama seperti ikon besar dalam bidang ini umpamanya Dr Daud Bakar, Ustaz Zaharuddin dan ramai lagi.

Doakan saya mencapai cita-cita saya yang ini!

Setelah 23 tahun melukis angan dan cita-cita, saya belajar sesuatu.

Bahawa tidak semua yang kita rancang, yang kita ingin akan terlaksana. Ianya selalu sahaja datang dalam keadaan yang tidak kita sangka, tidak kita duga. Namun hasilnya, MasyaAllah amat membahagiakan jiwa.

Percayalah, jika sesuatu yang kita cita-citakan itu tidak berhasil dan masa depan kita tidak seperti yang kita harapkan sebenarnya terselindung berjuta hikmah yang Allah kurniakan kepada kita disebaliknya.

Maka, kita perlu redha dan tidak berburuk sangka dengan apa yang Allah tentukan pada kita.

Sepanjang perjalanan hidup yang setahun jagung ini, saya juga cukup menghormati didikan Abah kepada saya.

Antara didikannya adalah bagaimana untuk kita membuat keputusan dalam hidup. Walaupun saya terkadang berasa tertekan dan marah dengan cara tersebut nyata ia amat berguna. Didikannya itulah yang telah membawa saya terbang jauh merantau ke bumi orang.

Terima kasih tidak terhingga Abah & Mak. Moga Allah merahmati kalian berdua!

Perkara ini amat memberi kesan kepada saya hinggalah sekarang. Dan saya amat-amat mengharap suatu hari, saya akan perturunkan cara ini kepada anak-anak saya jika sesuai dan diizinkan Allah SWT.

Berkenaan cita-cita yang berubah, itu bukan tanda kita orang yang tidak tetap pendirian. Tetapi ia menggambarkan peningkatan ilmu kita dari tahap anak-anak hinggalah menjadi insan dewasa.

Moga Allah permudahkan urusan kita semua.

Ameen ya Rabb.





Sabtu, November 13, 2010

Di Atas Garis Permulaan

Masuk hari ini sudah lebih empat bulan rasanya saya tidak menulis. Satu tempoh yang amat lama bagi saya. empat bulan yang lepas, final exam menjadi alasan untuk saya tidak menulis. Kemudian hadir pula alasan sibuk menguruskan persiapan untuk pulang ke Malaysia.

Sungguh, di waktu itu terlalu banyak hendak dicoretkan. Terasa satu kerugian pula kerana langsung tidak mampu mencoret walau sepatah kalimah tentang pengalaman kala itu. Benarlah alasan itu pokok yang membuahkan kerugian dan kegagalan.

Entah bagaimana hendak digambarkan perasaan tika mahu meninggalkan bumi kinanah yang secara diam amat mendidik diri dan jiwa itu. Rasa sayang dan sedih menghurung perasaan. Juga rasa terkilan dan pilu kerana tidak banyak mengambil kesempatan sebaiknya tika berada di sana.

Bagi saya, suasana, masyarakat dan segalanya di Jordan adalah sumber penggalak inspirasi dalam diri. Lalu, meninggalkan bumi Jordan bermakna menyuntik agen pemusnah yang memadam inspirasi dan idea - sesuatu yang tidak harus berlaku!

Namun mujur itu sementara, hanya sebuah lintasan kecil fikiran dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang.

Ketika jasad dibawa terbang pesawat Gulf Airlines meninggalkan bumi yang penuh limpahan berkat, ketika itu juga saya dicampak oleh minda menghadap persoalan tentang matlamat dan tujuan setibanya saya di Malaysia nanti.

Banyak persoalan timbul dan menerjah kotak fikiran. Dan dalam beberapa jam dibalut kepulan awan commulus, sedang pesawat melalui bawah naungan awan stratus, saya menemui kunci bagi persoalan-persoalan itu.

Saya juga bertemu dengan jawapan yang merupakan pelengkap bagi kunci persoalan diri tersebut. Alhamdulillah, Allah memberi saya idea dan membantu menunjukkan jalan.

Lalu, segala persoalan tadi, saya buka dan jawab menggunakan kunci yang Allah kurniakan. Akhirnya ketika sahaja dua kaki ini menjejak tanah air tercinta, saya sudah menemui lorong dan jalan yang harus saya lalui. Alhamdulillah.

Matlamat itu sudah makin jelas dan nampak lebih cerah. Betul kata orang, universiti memberi ruang bagi diri merangka satu bentuk sisi baru pada pandangan alam ( worldview ) seorang anak muda seperti saya.

Akhirnya, jawapan yang saya temui di tengah pelukan lembut commulus juga di antara bentangan cirrus yang memutih tenang, menjadi daya tenaga untuk saya mula melangkah di ata s lorong kehidupan baru ini.

Walaupun terkadang ada masa terhuyung-hayang melaluinya, namun itulah lumrah untuk membina kekuatan bagi terus menapak teguh.

Banyak lagi yang ingin dikongsi sebenarnya. Namun, mungkin cukup sekadar ini untuk permulaan yang baru di sini. Moga sahabat-sahabat terus mendoakan kejayaan kita bersama.

Salam dari lorong hidup penuh kejutan...

p/s : Hari ini adalah hari konvokesyen kedua saya dan rakan-rakan. Yang pertama di Jordan dahulu dengan adat, budaya serta tradisi Arabnya dan hari ini pula dengan adat, budaya dan tradisi Kemelayuannya-penuh adat dan protokol. Satu keunikan yang hanya kami mungkin dapat rasai. 2 Konvo dalam tempoh setahun. Sekalung penghargaan buat semua yang menyumbang atas kejayaan kami! Moga Allah merahmatinya.

Ahad, Jun 13, 2010

Menyelongkar Rahsia Yahudi Mendidik Anak

Setelah lama cuba menjejaki artikel ini, Alhamdulillah bertemu juga saya dengannya beberapa hari lalu. Artikel tentang rahsia bangsa Yahudi ini pernah saya baca tahun lepas, namun terlupa untuk disimpan.

Bagi saya, tulisan Dr. Stephen Carr Leon ini yang berdasarkan pengalamannya berada di Israel selama 3 tahun kerana menjalani housemanship di beberapa hospital di sana, cukup penting untuk kita sebagai umat Islam renung dan ambil pengiktibaran.

Tanpa berlengah lagi, mari kita sama-sama hayati dan ambil kebaikan yang tersimpan di dalam hasil tulisan ini ;

Sumber : www.iluvislam.com
Penulis : Dr. Stephen Carr Leon

Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship di beberapa hospital disana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu mengapa Yahudi bijak?

Memang tidak dapat dinafikan ramai cendekiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, engineering, muzik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, dimana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman di Hollywood dan sebagainya.

Ketika tahun kedua, akhir bulan Disember 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebabnya kaum Yahudi begitu pintar?

Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau oleh manusia sendiri?

Adakah kebijaksanaan boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran? Maka saya pun tergerak membuat tesis untuk Phd saya, disamping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni.

Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin. Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, agama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data-data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum-kaum lain.

Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku matematik dan menyelesaikan masalah matematik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku matematik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikannya, oleh kerana saya memang minat tentang matematik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau.

Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, ya, ini untuk anak saya yang masih di dalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semoga ia menjadi genius apabila dewasa kelak. Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya.

” …sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku matematik dan menyelesaikan masalah matematik bersama suami… ”


math

Berbalik kepada matematik tadi, tanpa merasa jenuh beliau membuat latihan matematik sehingga beliau melahirkan anak. Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan kurma bersama susu, dan untuk tengah hari makanan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak di dalam kandungan.

Menurut beliau ini adalah adat orang-orang Yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi satu kewajipan untuk ibu-ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.

Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yang sama perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama jika ada ikan.

Menurut mereka, campuran daging dan ikan tidak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam. Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah-buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang ke rumah Yahudi, anda akan dihidangkan buah-buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan karbohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah-buahan, ini akan menyebabkan kita rasa mengantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran di sekolah.

Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali-kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dan merokok diluar rumah mereka.

Menurut saintis di Universiti Israel, siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yang cacat otak (bodoh atau lembab). Suatu penemuan yang dahsyat ditemui oleh saintis yang mendalami bidang genes dan DNA. Para perokok harap ambil perhatian. Ironinya, pemilik & pengeluar rokok terbesar adalah…. (tekalah sendiri..!)

Pemerhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, pemakanan anak-anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah-buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever). Di dalam pengamatan saya, kanak-kanak Yahudi sungguh bijak dan rata-rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris.

Dari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka, bermain muzik dan memahami nota-notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak-kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak. Ini menurut saintis Yahudi, gegaran muzik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) dengan itu terdapat ramai sekali genius muzik terdiri dari kaum Yahudi.

Seterusnya dari darjah 1 hingga 6, anak-anak Yahudi akan diajar matematik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak-anak di California, ianya jauh berbeza dari segi IQ dan boleh saya katakan 6 tahun kebelakang!!!

Segala pelajaran dengan mudah ditangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi, sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yang diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak memfokus sesuatu perkara disamping mempermudahkan persiapan untuk perkhidmatan negara.

Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah). Disini murid-murid diberi penekanan dengan matapelajaran sains dan mereka digalakkan mencipta produk. Segala projek mereka walaupun kadangkala kelihatan lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan engineering. Idea itu akan dibawa ke institusi tinggi di politeknik dan universiti.

Satu lagi yang diberi keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan.

Diakhir tahun di universiti, para penuntut dibidang perniagaan dikehendaki melakukan projek dan mempraktikkannya. Anda hanya akan lulus jika kumpulan anda(10 pelajar setiap kumpulan) mendapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai perniagaan dunia! Siapakah yg mencipta design Levis yang terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.

Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksigen dikepala, banyak agama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala.

Perlakuan ini dapat menstimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang-orang Jepun, mereka sering menunduk-nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang-orang Jepun yang pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!

Berpusat di New York, dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yang berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yang bernas, jawatankuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatankuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan perniagaan mereka menurut landasan yg betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell computer, Coca-cola, DKNY, Oracle, perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus-ratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York.

Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar di persatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah, barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.

Kesimpulanya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yang bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa generasi mungkin?

Persiapan awal adalah ketika sang ibu mengandung, galakkanlah si ibu melakukan latihan matematik yang mudah tetapi konsisten disamping mendengar muzik klasik. Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yang elok dan berhasiat yang baik untuk otak, menghayati muzik sejak kecil adalah baik sekali untuk pertumbuhan otak kanak-kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak-anak mencerdaskan otak mereka.

Demikian juga sukan yang memerlukan tumpuan yang tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak. Merokok menjanjikan jenerasi yang moron (lembab) dan sudah tentu gen bodoh akan mengikuti generasi si perokok.

Lawatan saya ke Singapura pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali, disini perokok seperti dianak-tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7!!! Ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!!

Saya puji sekali sikap pemerintah Singapura!!! Dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel, maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupun hakikatnya negara Singapura hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan!!

Anda mungkin musykil, benarkah merokok dapat melahirkan generasi lembab, saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat sahaja di Indonesia, jika anda ke Jakarta, di mana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga ke muzium hidung anda akan segera terbau asap rokok! Dan harga rokok? Cuma US$ 0.70cts!!! Dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyakkah universiti terdapat disana? Hasil apakah yang dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai Bahasa Inggeris? Ditangga berapakah kedudukan mereka di pertandingan matematik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.

Dalam tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal agama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Firaun hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival. Yang ingin saya ketengahkan ialah, mampukah kita dapat melahirkan generasi yang bijak seperti Yahudi? Jawapannya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan. Dari segi pemakanan dan cara mendidik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 generasi sahaja.

Ini dapat saya lihat sendiri pada cucu saya, setelah saya mengajar anak saya melalui program yang telah saya nyatakan di atas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis esei sepanjang 5 mukasurat penuh. Eseinya hanyalah mengenai mengapa saya gemarkan tomato!

Selamat sejahtera dan semoga kita dapat melahirkan manusia yang bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

***************************

Demikianlah tulisan oleh seorang yang bukan Islam tentang pandangannya terhadap pelakuan Bangsa Yahudi dalam melahirkan generasi yang cemerlang. Patutlah mereka mampu menguasai segala bidang yang ada di dunia ini.

Sebagai seorang Islam, kita juga telah awal-awal diperingatkan dan diberi panduan oleh Allah SWT menerusi Rasul-Nya Muhammad SAW. Banyak hadis-hadis yang menceritakan tentang apa yang sepatutnya kita lakukan untuk melahirkan generasi yang cemerlang. Namun bangsa dan agama lain pula yang beria-ia mempraktikkan perkara tersebut. Amat rugilah kita tidak menggunakan sebaiknya kelebihan yang ada pada kita.

Semoga artikel ini ada kebaikannya kepada kita semua.