Khamis, Mei 13, 2010

Syawarma 'Arabi

Orang Melayu memang terkenal dengan kepelbagaian makanannya. Lihat sahaja kita di Malaysia, berbagai juadah boleh kita temui. Orang Melayu tidak dapat dipisahkan dengan makan. Jika anda perhatikan di dalam filem atau drama Melayu, setiap babak ( kebanyakannya ) akan disebut tentang makan.

" Awak sudah makan?"

" Sudah sarapan? "

" Jom kita keluar makan.."

" Malam ini kita mahu makan apa ya?"

Itulah antara dialog-dialog yang mungkin akan ada di setiap babak. Kadang-kadang rasa janggal pula, asyik sebut tentang makan sahaja.

Kalau di festival ataupun hari-hari kebudayaan juga, boost Orang Melayu pasti akan mempamerkan makanan. Berbagai jenis. Hinggakan setiap hari, akan ada sahaja menu baru yang ditonjolkan. Nasi himpit, nasi goreng dan sejuta jenis nasi, kuih-muih dan berbagai lagi.

Saya ambil contoh hari kebudayaan yang Universiti Yarmouk tempat saya belajar ini anjurkan. Biasanya setiap pelajar asing di sini akan diberi kesempatan untuk memperkenalkan kebudayaan dan keistimewaan negara serta bangsa masing-masing.

Dalam banyak-banyak negara, pasti Malaysia, Brunei dan Indonesia akan meletakkan makanan sebagai bahan penarik. Terutama di booth Malaysia. Setiap hari akan bertukar hidangan. Satu hari berbagai jenis pula itu. Hingga pernah satu ketika sahabat saya berbangsa Jordan bertanya,

"Orang Melayu memang suka makan ya? Tapi kenapa masih bertubuh kecil? " Sambil menoleh, mulutnya penuh dengan kuih gulung yang dihulur saya sebelumnya. Ketawa besar saya dengan soalannya itu.

" Kami makan sikit-sikit. Bukan macam kamu yang sekali makan satu talam tu. Ayam pula sebelah seorang." Sambil ketawa saya memerli tabiat orang Arab yang boleh kata agak besar nafsu makan mereka.

Berbalik kepada soal makanan. Saya juga agak cerewet tentang isu makan-makan ni. Ya lah, saya kan orang Melayu juga.

Tapi, hidup di bumi asing yang cukup berbeza serba serbi ini memang menjadikan saya kurang ambil berat sangat dengan soal makan. Bukan sengaja tapi terpaksa! Mana tidaknya, kalau makan di kedai atau restoran, mana ada menu yang pelbagai seperti di Malaysia. Asyik makanan yang serupa. Air pun ada air bekarbonat sahaja ( itu yang popular ). Lama kelamaan boleh koyak perut dibuatnya!

Bercakap tentang makanan di sini, tiba-tiba tergerak hati mahu memperkenalkan makanan di bumi Jordan ini. Inilah juga penyebab artikel ini muncul pada tatapan mata saudara dan saudari sekalian. Cerita tentang Orang Melayu dan makan tu hanya selingan sahaja, introlah kot.

Baiklah, untuk kali yang pertama ini, saya akan perkenalkan makanan yang biasa terdapat di Jordan ini. Pergi ke mana ceruk sekali pun, Insyaallah, pasti anda akan temui. Makanan ini bukan sahaja terkenal di sini bahkan di banyak negara Arab. Di Malaysia juga ada barangkali. Nama makanan ini adalah Syawarma. Boleh lihat gambar di bawah ini.






Syawarma ini adalah makanan ruji bagi saya yang malas memasak ini ( maaf ya rakan-rakan serumah yang terseksa disebabkan saya ). Mempunyai banyak jenis antaranya syawarma biasa, syawarma wajibah ( lengkap dengan kentang goreng, sayur dan jeruk sayuran ), syawarma jumbo, syawarma super, syawarma cheese dan syawarma telur.

Cara membuatnya cukup mudah. Ayam yang di panggang seperti membuat kebab di Malaysia dipotong nipis kemudian diletakkan di atas roti nipis. Roti tersebut digulung dan dihangatkan atas kuali panas. Dalam masa 2 atau 3 minit, roti syawarma boleh diangkat dan dihidangkan kepada pelanggan, atau juga dibungkus untuk dibawa pulang. Cukup enak dinikmati dengan sos!

Tanya sahaja kepada graduan Jordan, pasti syawarma adalah penggamit memori kehidupan dan kenangan mereka di sini.

Kita jumpa lagi lain kali dengan makanan yang lain pula.

Kepada yang berada di Malaysia, selamat menjamu selera dengan makanan tempatan. Rindu nak makan Ikan Patin Masak Tempoyak mak!

Isnin, Mei 10, 2010

Warkah Buat Bonda..

Kehadapan bonda yang dicintai sepenuhnya, diharapkan berada di bawah naungan rahmat dan kasihNya.

Bonda,

Kehadiran warkah ini hanyalah sebagai ganti sementara dari anakmu yang jauh di rantau orang. Warkah ini bingkisan rindu anakanda di sini, juga bersekali ucapan selamat untuk hari yang diraikan seluruh bonda sejagat alam, Hari Ibu.

Sesungguhnya tiadalah insan utama yang selayaknya mendapat cinta dan kasih seluruh buana ini melaikan bonda jua. Anakanda bukan menafikan keagungan seorang Rasul bernama Muhammad kerna dia adalah insan paling tinggi darjatnya di sisi kita, tapi mengikut martabat cinta, bonda adalah yang terutama selepas baginda Rasul SAW dan Tuhan Yang Esa.

Tiada kata mampu terluah, tiada coretan mampu tercipta bila terkenang akan pengorbananmu bonda. Sesungguhnya benarlah sabda Rasulullah SAW apabila ditanya siapa yang paling utama, maka jawapan tiga kali yang disebut oleh baginda SAW tiada lain adalah manifestasi kepada kecintaan anakanda ini.

Ibumu! Ibumu! Ibumu!

Cukup kalimah itu menggegar seluruh jasad anakanda yang lemah ini, bonda. Maka benar tiadalah yang lain selayaknya menempat cinta sedalam ini di hati anakanda ini selain bonda.

Memikir dan mengingat akan pengorbananmu menuntun sebak di hati dan jiwa anakanda. Memang jika mahu diingat, tidak ada yang sempurna dalam ingatan ini bonda kerana tidaklah anakanda mampu memikir lagi seawal usia kelahiran anakanda. Tapi, ada peristiwa yang terakam, terpasak dalam ingatan ini membuat anakanda menitis air mata. Sehingga usia anakanda sedewasa ini! Pengorbanan bonda masih terlalu tinggi untuk anakanda nilai dengan segala yang ada di dunia ini.

Siapa anakanda sekarang, apa anakanda sekarang dan di mana anakanda berada sekarang tidaklah ada semuanya melainkan dengan kasih sayang bonda. Sesungguhnya keredhaan bonda itu menghadirkan keredhaan Tuhan pada jalan yang dilalui anakanda.

Terima kasih bonda!

Mengambil kesempatan ini, anakanda menyusun sepuluh jari, mohon dimaafkan segala salah dan keterlanjuran perbuatan juga kata. Anakanda akui anakanda degil budaknya. Maafkanlah kesalahan anakanda.

Mohon ampun jua andai ada keputusan-keputusan anakanda yang tidak selari dengan keinginan bonda dan ayahanda. sesungguhnya anakanda bukan menolak pandangan dan buah fikiran bonda tapi anakanda ingin cuba membuat keputusan dan menanggung natijahnya. Janganlah bonda berkecil hati mahupun murka. Minta bonda doakan dan memimpin tangan anakanda ini. Anakanda masih mengharap bimbingan dan perhatian bonda berdua.

Doakan anakanda menjadi anak yang soleh dan dapat berbakti kepada bonda dan ayahanda. Tidak lama lagi anakanda akan pulang ke tanah air, maka anakanda pasti itulah masanya anakanda akan mulai berkhidmat pula kepada bonda dan ayahanda. Doakan segalanya berjalan lancar dan anakanda lulus dengan cemerlang dalam pelajaran. Bukan natijah di atas kertas yang diinginkan sangat anakanda mu ini tapi natijah yang memurnikan kehidupan yang anakanda idamkan.

Ampunkan dosa anakanda wahai bonda.

Dari jauh, ,anakanda mengutus salam beserta rindu. Terima kasih sekali lagi bondaku, Norma binti Ariffin atas segalanya. Semoga bonda berada dalam keadaan sihat dan sentiasa dilindungi serta dipayungi rahmat dan kasih sayangnya.

Yang mencintaimu,

M.Firdaus M.Shahidin,
(Anak nakalmu )

Selasa, April 20, 2010

Cara Menggunakan Hasil Riba ( Interest/Faedah Bank )

Artikel-artikel sebelum ini telah banyak saya sentuh isu berkenaan dengan riba. Saya telah nyatakan serba sedikit takrif, dalil pengharaman dan perbezaannya dengan jual beli. Saya juga ada menyebut tentang aplikasi riba di bank dalam entry saya bertajuk " Riba : Masih Ramai Tidak Beri Perhatian."

Kali ini saya hanya mahu mencatat ringkas berkenaan dengan cara menggunakan hasil riba yang kita terima contohnya interest/ faedah dari bank-bank konvensional yang kita langgani.

Kita telah tahu amaran-amaran keras dari Al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi SAW berkenaan pengharamannya dan dosa yang akan menimpa pemakan riba. Tapi kita belum tahu apa yang perlu kita lakukan terhadap harta-harta atau hasil riba yang kita perolehi.

Adakah kita perlu biarkan sahaja di dalam bank??

Atau kita keluarkan dan buang duit hasil riba itu ke dalam sungai??

Atau kita bakar sahaja??

Hendak diguna sudah tentu haram dan berdosa. Jadi bagaimana??




Insyaallah di dalam post ini saya akan terangkan dan buka jalan penyelesaian kepada anda sekalian.

Untuk mereka yang baru sedar akan keterlibatan mereka dengan dosa riba dan takut lagi gerun akan amaran-amaran keras Allah SWT, bertindaklah segera! Mungkin sudah tiba masanya anda bertukar kepada produk kewangan atau perbankan yang diyakini menjalankan sistem Islam.

Bagi yang sengaja menggunakan produk kewangan konvensional untuk mendapat pulangan dalam bentuk interest dan faedah pula, segeralah bertaubat. Tinggalkan rezeki yang tidak halal lagi besar dosanya itu.

Sumber Haram.

Dalam Islam, harta haram boleh diklasifikasikan kepada dua keadaan iaitu :

Haram kerana zatnya : Contoh bagi keadaan ini adalah anjing, babi, bangkai dan arak serta yang bersangkutan dengannya seperti air yang memabukkan lainnya. Barang-barang ini dijatuhkan hukum haram dalam apa-apa pun keadaan. Hatta memperolehinya dengan cara yang halal.

Haram kerana cara memperolehinya : Harta ini diharamkan bukan kerana zatnya tetapi kerana sifatnya. Contohnya seperti harta curi, hasil penipuan, riba dan sebagainya. Walaupun asal keadaan harta itu adalah halal tetapi cara kita memperolehinya menjatuhkan ia kepada hukum haram. Ahli Fiqh meletakkan satu kaedah yang mudah iaitu :

تَغَيُّرُ أَسْبَابِ الِمْلِك يُنَزَّلُ مَنْزِلَةَ تَغَيُّرِ الأَعْيَان

" Berubahnya cara memperoleh sesuatu barang itu dihukumkan kepada perubahan kepada barnag tersebut. "


Maksudnya, jika salah cara walaupun asalnya adalah halal maka barang itu akan bertukar haram.

Maka tidak syak lagi bahawa hasil riba adalah dari harta haram kategori kedua iaitu haram disebabkan cara memperolehinya. Asal wang itu adalah halal, maka perlulah kita menyalurkan kepada masyarakat umum dengan cara yang halal iaitu dengan sedekah dan sebagainya.

Ulama menyarankan kita menggunakan hasil riba untuk diinfaqkan kepada masyarakat awam bagi kepentingan umum. Contohnya adalah seperti pembinaan jalan raya, tandas awam, jambatan dan sebagainya.

Perkara-perkara yang mulia tidak boleh kita lakukan dengan menggunakan hasil riba. Contohnya seperti pembinaan masjid, membeli al-Quran dan membayar zakat.

Allah SWT menyebut di dalam surah al-Baqarah ayat 267 maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, infaqkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu keluarkan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan enggan terhadapnya. Dan ketahuilah Allah Maha Kaya , Maha Terpuji."

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :

((أن الله طيب لا يقبل ألا طيبا ))

" Allah itu sukakan kebaikan dan Dia tidak menerima melainkan kebaikan "

Jadi, daripada dua dalil ini, maka ulama tidak membenarkan kita menginfaqkan atau menyedekahkan hasil riba kepada pembinaan rumah Allah dan perkara-perkara yang menjurus langsung kepada pengibadatan yang khusus. Ini bagi menghormati dan membesarkan Tuhan Rabbul Jalil.

Berikut adalah beberapa kaedah membelanjakan hasil riba ;

1. Membuat jambatan.
2. Membuat jalan raya.
3. Tandas awam.
4. Selipar untuk digunakan di masjid atau kawasan-kawasan lain.
5. Sabun, penyapu dan segala peralatan yang sepertinya untuk kegunaan awam
6. Disalurkan kepada badan kebajikan dan NGO-NGO yang melakukan kerja-kerja kebajikan.


Segera buat keputusan untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Sama-sama menjauhi dosa riba!


~ The Idealist : Leading the development of Ummah! ~