Khamis, Jun 18, 2009

Umrahku Yang Pertama

Lama tidak menyentuh papan kekunci laptop saya ini, bahkan ditinggalkan sepi tanpa ada yang menyentuhnya. Bukan tidak mahu mengusik tetapi hampir dua minggu saya tidak berada di bumi Jordan ini.

Ya, saya pergi, tinggalkan kebiasaan saya buat seketika. Pergi menyahut seruan dari Illahi. Alhamdulillah saya dan beberapa orang sahabat berjumlah 14 orang dipilih oleh Allah untuk sama-sama menjadi tetamuNya di Tanah Suci Makkah dan Madinah, dibawa melihat Kaabah dan menziarahi pusara Nabi junjungan SAW.

Perjalanan yang bagi saya amat berbeza dengan kembara-kembara saya yang sebelumnya. Indah diulit berbagai rasa dari jiwa. Kadang rasa seronok yang tidak tergambarkan, kadang juga sayu bahkan malu menjadi tetamu Rabb yang Mulia sedang diri dibaluti kesalahan dan dosa.

Namun perjalanan selama 10 hari itu benar-benar mengetuk diri menyedari hakikat kehidupan sebagai hamba, bahkan menjentik kesedaran bahawa hidup yang sementara ini ada tanggungjawab, tujuan dan matlamat yang perlu dilunasi.

Saya bagai tercampak sendiri memuhasabah hati. Laluan sepanjang perjalanan ke Haramain ( Makkah dan Madinah ) benar-benar menyentuh hati saya. Kadang-kadang dalam lena yang panjang akibat kepenatan sepanjang perjalanan 24 jam dari bumi Syam ini saya sering terbanyangkan keadaan di zaman kebangkitan Islam. Keadaan muka bumi yang berbatu-batu, panas terik tanpa teduhan memaknakan sebuah keinsafan bahawa perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat itu bukan senang dan menuntut sebuah kecintaan yang mendalam.

Namun bagaimana ukuran kecintaan saya pada agama dan pada perjuangan?? Sanggupkah saya menghadapi keadaan dan suasana seperti itu. Hati hanya mampu meraung dari lubuk yang paling dalam.

Di sisi maqam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi, saya pilu. Pertama kali saya menziarahi Insan agung Kekasih Allah itu diri bagai dibawa berkelana mengimbas suasana Madinah dahulunya.

" Salam ke atas kamu Ya Rasullullah, salam ke atas kamu Wahai Kekasih Allah "

Saya ulang-ulang salam kepada Insan yang begitu mencintai ummatnya itu. Tidak tercapai rasanya kecintaan saya sebegitu tinggi, tidak sedar mata bergenangan. Dalam penuh sesak diasak lautan manusia, dihimpit kiri dan kanan saya gagahkan juga ziarah yang pertama itu.

Hati rasa puas.

Perjalanan ke Makkah sedikit mendatangkan dugaan pada diri. Saya demam. perjalanan yang panjang hampir lapan jam menempuh padang pasir dan cuaca yang memerikkan betul-betul memukul hati untuk memberi kesan keinsafan yang dalam pada naluri.

" Ya Allah banyaknya dosa yang aku lakukan, jika panas yang hanya beberapa peratus di dunia ini tidak tertahan bagaimana nanti di mahsyar?? Bagaimana pula panas nerakaMu. Ya Allah, ampunkan dosa aku, kedua ibubapaku dan semua yang mengenaliku" - ratapan dari diri. Sesal dalam keinsafan.

Tika mula-mula menatap Baytullah yang Mulia. Diri terpesona, fikiran terpaku, hati jadi bisu. Gerakan bagai terkunci.

Binaan Kaabah itu benar-benar membawa lari perasaan bahkan diri.

Syukur yang amat kerana diberi rezeki oleh Allah SWT menjadi tetamunya di usia semuda ini. Anugerah ini amat beharga pada saya. Mungkin ada hikmah dan rahsia di sebalik ketentuanNya ini.

Saya hanya mampu bermohon pada Allah agar diberi petunjuk yang lurus dan hidayah serta taufiq dariNya.

Saya amat suka diam sendirian memandang kaabah, ia mendatangkan kebahagian yang tidak pernah saya kecapi. Terima kasih Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemurah kerana memberi peluang yang sebesar ini pada hamba yang sering mengabaikan cinta pada Penciptanya.

I'tikaf di Masjidilharam selalu sahaja mendatangkan ketenangan dan kebahagian kepada diri. Malam-malam di sisi Baytullah tersemat erat dalam kenangan.

Saya mahu dijemput lagi.

Saya rindu menatapnya berkali-kali.

Hingga kini, sentiasa saya dibayangi suasana itu.

Indah dalam sendirian yang membahagiakan...

Doakan kita semua diberi kesempatan menjadi tetamuNya selepas ini, dan lagi, dan lagi.

Ahad, Mei 31, 2009

Malam Yang Pelik



Semalam saya tertidur awal dari biasa. Tidur yang enak, lazat dan macam-macam lagi rasa yang mendamaikan hadir dalam lena yang singkat itu.

Apa tidaknya, malam sebelum itu saya bersengkang mata menekuni madah الفكر المصرف ( Philosophy of Banking ) bagi persediaan imtihan paginya. Penat belum dapat dikambus, petang pula saya bersama rakan-rakan menekuni pula madah التطبيقات الحديثة في الإقتصاد الإسلام ( Latest Application in Islamic Economics ) buat bekal untuk imtihan besok- doakan ya.

Tika melayang diuliti rasa enak dalam tidur yang nyenyak tiba-tiba saya dengar bunyi sorak-sorai syabab ( pemuda-pemuda ) Arab disekeliling rumah saya.

Potong stim betullah, terkejut saya dibuatnya. Rasa pelik pun cepat bertandang. Tak pernah-pernah pula saya dengar mereka berpekik terlolong macam orang separuh akal itu. Apa yang berlaku??

Dengan mata yang berpinar-pinar, saya bangun untuk membuka tingkap. Pelik juga kenapa gelap semacam. Kaki kerusi di sisi katil saya sepak sampai hampir tersungkur. Saya lihat ramai pemuda Arab di tingkap-tingkap rumah mereka.

Mereka bersorak, main picit-picit lampu suluh. Benyanyi entah apa dan bermacam lagi.

Aneh bagi saya mereka berkelakuan begitu. Seingat saya belum pernah sepanjang keberadaan di Jordan ini melihat ragam yang sebegitu.

Lama memerhati, baru saya sedar bahawa elektrik di kawasan sekeliling rumah saya ini terputus. Itu pun setelah bertanya kepada anak tuan kedai di tingkat bawah rumah saya ini, Hammudah gelarannya.

Haha, geli hati pun ada. Pelik pun ada. Lama saya ditingkap. Lucu melihat tingkah laku mereka. Mungkin mereka tidak biasa bergelap sebegini. Entahlah, tiada siapa yang tahu sebabnya.

Bagi saya yang lahir dan membesar di kampung ini, gelap seumpama itu biasa. Kalau pun elektrik terputus bekalannya, tak ada pula anak-anak muda yang bersorak-sorai bagai pontianak mengilai.

Benar kata seorang sahabat yang menuntut di Mesir kepada saya sebelum berangkat ke Ardul Kinanah ini bahawa duduk di negara Arab ini menjanjikan berjuta kisah lucu dan menarik jika kita jenis yang memerhati.

Kisah malam yang pelik ini akan tersimpan di dalam catatan kembara saya di sini.

* Berehat sebentar dengan menconteng kisah. Penat menghafal sedari tadi. Doakan saya ya sahabat-sahabat.


Jumaat, Mei 29, 2009

Sujud Berlagu Sendu




















Dalam sujud,
aku melagu sendu.
Teresak-esak membahasa sesal,
pada sebuah lautan
penuh berisi dosa dan kealpaan.

Sujudku bernada pilu,
sarat dengan beban
penuh berisi keinsafan,
mengharap belas kasihan
berteman malu dan segan pada Tuhan

Sujudku diiring salju.
Dari alis,
menitis deras ke lantai kehambaan

Sungguh aku hamba
lupa mendongak ke langit,
mencari bukti KeEsaan
lalu terus tunduk dalam kegelapan,
leka diulit kemaksiatan.

Sujud yang kesekian ini
menumpah keinsafan
tulus mulus dari hati.
Sebetulnya dari dasar nurani
bahawa hakikat hamba
perlu kembali sujud pada Rabbnya.