Rabu, Ogos 24, 2011

Penghujung Yang Dinanti

(http://panduanislam.com)

Alhamdulillah, hari ini Allah masih kurniakan kita nyawa untuk kita terus menikmati bulan Ramadhan yang diberkati lagi dirahmati ini. Hari ini juga menandakan bahawa kita hanya ada baki beberapa hari sahaja lagi untuk menamatkan latihan intensif kita selama sebulan. Latihan yang entah bagaimana keputusannya. Namun, kita masih ada baki beberapa hari lagi untuk gandakan usaha dalam mendapat keputusan yang baik dan mungkin cemerlang jika menggunakan peluang terakhir ini sebaiknya.

Dalam hidup ini, biasanya manusia amat takut kepada perkataan 'penghujung'. Perkataan yang membawa erti akhir dan penamat.

Kita takut jika disebutkan bahawa hari ini adalah hari pengakhiran dalam hidup kita. Mendengar kalimah hujung nyawa itu pun pasti menggetarkan seluruh jasad dan jiwa. Kita juga tidak mahu berada dalam keadaan yang berisiko tinggi, seperti kata orang Melayu; bagai telur di hujung tanduk.

Hujung itu biasanya amat menggusarkan dan merisaukan.

Namun, pada bulan yang berkat ini, penghujung itu adalah yang paling dinanti-nanti. Benar, rasa sedih juga ada kerana tidak lama lagi Ramadhan akan melabuhkan tirainya. Namun sedih itu sedikit tersorok dek gembira menanti ganjaran yang Allah SWT janjikan.

Seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Qadr :

1.Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr.

2.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3.Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan

4.Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.

5.Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh).


Itu janji Tuhan yang mengurniakan Ramadhan pada umat Muhammad. Siapa yang tidak mahu mendapat kemuliaan lebih dari seribu bulan itu. Menanti penghujung terkandung anugerah besar itu menjadi satu penantian yang tiada hentinya.

Namun, untuk sekadar menanti tanpa berbuat apa itu bukanlah caranya.

Menanti dengan hanya menumpukan amalan di akhirnya juga bukan pilihan yang benar sifatnya.

Seharusnya penantian itu telah lama bermula sewaktu kita melangkah pada awal Ramadhan lagi. Amalan itu perlu konsisten dan berterusan. Yang dinanti dan ditunggu itu penuh kemuliaan dan mahal harganya, sudah tentu jalan meraihnya juga sukar dan mahal harganya.

Jika telah terlalai di pertengahannya, moga ada ruang untuk kita menebus kelalaian itu. Allah tidak sesekali menafikan peluang hambanya meraih Cinta Agung milik-Nya.

Sama-sama kita mengejar ganjaran yang telah dikhabarkan itu. Moga sama-sama dapat meraihnya.

Sambutlah penghujung yang dinanti ini dengan penuh rasa kehambaan!

Tiada ulasan: