Membicarakan seputar kisah cinta boleh sahaja membuat mata remaja yang mengantuk kembali terang-benderang, badan yang kepenatan kembali menyegar. Ya, cinta itu satu sinergi. Tiada yang dapat menafikan kuasa cinta. Katakan apa sahaja, manusia sanggup melakukannya demi sebuah cinta.
Bolehkah kita ingin menghayati cinta? Bukankah cinta itu satu sinergi kepada manusia??
Boleh. Manusia yang menolak cinta adalah manusia yang menafikan fitrah kejadiaan sebagai seorang manusia. Tetapi manusia sering sahaja tersalah dalam mendifinisikan erti dan makna sebuah cinta. Selalu-selalu cinta kepada manusia itu, ditakrifkan sebagai cinta yang indah, seronok dan besinergi hebat. Cinta kepada dunia itu cinta yang penuh warna-warni syurga, bagai kenikmatan itu tidak mampu dinilai.
Saya juga sering sahaja melakukan kesilapan itu, tidak saya nafikan. Maka penulisan saya ini sebenarnya satu teguran paling ampuh untuk mengetuk hati keras saya agar kembali melentur lembut. Agar kembali ke jalan yang benar, biar diajar erti kedudukan cinta yang selayaknya pada hati saya. Anda semua, boleh ambil pengiktibaran darinya, Insyaallah.
Kembali kepada definisi cinta. Sebenarnya, cinta yang dikatakan cinta itu adalah hanya layak untuk Allah SWT. Yang indah dan besinergi hebat itu, yang cantik dengan penuh warna-warni itu hanya dalam jajaran cinta-Nya. Kita semua diciptakan atas dasar cinta oleh Tuhan Maha Esa. Tapi kita lupa untuk kembalikan rasa cinta itu kepada pemilik yang selayaknya. Sungguh kita selalu-selalu menyisihkan rasa pada cinta itu. Itu cinta paling atas, paling tinggi tingkatnya.
Jika saya bicara, " saya sudah cintakan Tuhan!", lalu saya suka-suka cinta pada makhluknya. Bagaimana dengan kedudukan kecintaan saya??
Masih salah sebenarnya. Selepas kecintaan yang tertinggi itu, perlu mengiring di sisinya cinta pada Kekasih-Nya yang tercinta iaitu insan mulia, Nabi Muhammad SAW. Jika diteliti, baginda Rasul SAW sebenarnya awal-awal telah mengajar erti cinta pada kita semua. Bagaimana cintanya Baginda SAW kepada umatnya begitulah selayaknya kita kembalikan rasa cinta kepada Baginda SAW.
Namun cintanya sering sahaja disisihkan.
Cuba kita fikirkan sejenak. Benar atau tidak kita sisihkan cinta itu??
Kita tahu bila kelahirannya? Bila tarikh kewafatan Baginda?? Hafal hadis-hadisnya?? Siapa nama ayah dan ibu Baginda? Bagaimana perjalanan hidup Baginda? Siapa nama anak-anak Baginda? Isteri-isteri Baginda? TBila Baginda diutuskan buat umatnya yang ada sebahagian menyisihkan cintanya? Kita hafal sirah perjuangannya?? Tahu apa yang disukai Baginda?? Tahukah kita bagaimana saat-saat pengakhiran usianya??
Sesungguhnya benar-benar kita menyisihkan cinta itu. Kita tidak tahu bahkan sedikit sahaja perihal hidup Baginda SAW.
Jika kita kata kita cinta, " Ya, Aku cinta yang amat pada baginda Rasul SAW! Benar! ", tapi kita tandus sejarah hidup Baginda SAW, bagaimana berani kita menyatakan sepenuh kecintaan kepada Baginda SAW??
Ketika sakit menghadapi sakaratul maut diakhir hayat Baginda, sempat Baginda SAW mendoakan agar diringankan kesukaran maut yang dihadapi Baginda SAW dan diringankan untuk sekalian umatnya.
Itu bukti cintanya pada umatnya! Bagaimana hati kita boleh tidak terdetik rasa rindu pada Baginda SAW? Bagiamana kita lupa perintah untuk mencintainya?? Bagaimana hati kita tidak bergetar saat diperingatkan tentang Baginda SAW??
Sungguh-sungguh kita sisihkan cinta itu.
Ingatlah bagaimana Baginda Rasul SAW mengorbankan segalanya demi kecintaan untuk kita semua. Baginda berpenat letih, dilempar batu hingga berdarah kepalanya demi kita, bengkak kakinya demi pengabdiannya pada Allah SWT dan demi dakwah untuk kita semua, menghadapi berbagai kesukaran hanya demi kecintaan kepada kita semua.
Apa yang kita lakukan sebagai balasan sebuah cinta agung sebegitu mulia??
Kita risau akan kekasih kita yang luka, kita susah hati bila kekasih hati dikasari, kita tidak sanggup orang yang kita cinta menghadapi kesukaran, kepayahan, kepenatan dan keletihan namun baru berapa ketika cinta itu berbunga. Pernahkah kita fikirkan tentang Rasul SAW yang telah lama mencintai kita?? Terbandingkah segalanya??
Sungguh kita lupa dan menyisihkan cinta itu.
Sengaja saya timbulkan banyak persoalan agar kita semua renung dan fikirkan jawapannya. Jika benar-benar cinta itu telah tersisih maka hampirkan ia kembali ke dalam lingkungan hati. Cinta pada Rasullullah SAW itu juga merupakan cinta yang terus kepada Allah Maha Esa. Cinta dari Kekasih kepada Kekasih kepada umat manusia.
Bersempena dengan Maulidur Rasul ini, mari kita sama-sama menyemak kembali helaian-helaian sirah junjungan mulia, Rasul SAW. Kita perkukuhkan kembali cinta yang kita selalu-selalu sisihkan. Kenal dengan sebenar-benar kenal, hayati sunnahnya, Insyallah cinta itu akan segar berputik dan akhirnya akan berbuah di laman hati yang subur dengan siraman keimanan, Insyaallah.
Saya di sini mengingatkan diri saya sendiri yang alpa dan leka, tempias anda membaca teguran diri ini, saya doakan akan anda semua beroleh dan dapat menghayati kecintaan yang mulia ini. Cinta yang benar-benar sejati, bukan lagi mainan ilusi.
Salam Maulidur Rasul,
Selawat dan salam buat junjungan mulia, Rasul Tercinta SAW.
Salam rindu dari umatmu tercinta.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan