Saya bukanlah pandai memasak, tapi saya suka memasak. Ya, tidak pandai bukan halangan. Apatah lagi dengan kewujudan teknologi canggih hujung jari. Google sajalah, pasti jumpa.
Ada pun post ini tidak mengulas tentang alat memasak canggih thermomix itu ya. Kita bicara tentang perancangan, usaha, skill perlu dan keberanian!
Seingat saya, awal mula saya di dapur dengan senduk dan kuali waktu kecil sekolah rendah. Belajar masak maggi kari.
Kemudian naik level masak nasi goreng kampung. Ini pun sebab belajar dari aktiviti pengakap di sekolah.
Kemudian pandai goreng sardin. Campak masuk itu ini, dah siap.
Waktu di universiti, duduk di rantau orang nak jimat memang kena masaklah. Kami duduk rumah sewa di tengah bandar Irbid Jordan, hampir dengan universiti. Satu rumah 4 orang. Buat jadual bergilir memasak.
Jika tiba waktu saya, tak ada lauk lain kalau tak telur dadar, ayam masak merah atau kicap- itu saja yang saya pandai. Haha. Mengelat.
Adapun sahabat lain semua handal-handal macam taraf master chef dah. Tapi di sini mulanya saya meng'google' apa nak masak. Selain tanya kawan-kawan sebab kena paksa- dah jemu makan lauk sama kalau saya masak.
Bila dah kahwin, saja nak bantu isteri masak, lama-lama jadi minat pula. Tambah lagi dengan seronok tengok rancangan yang ada di tv tu dari Afc, tlc dan semualah.
Jadi mulalah makin bersungguh cari resepi, tengok gambar dan buat sampai siap - jadi tak jadi tu belakang kira.
Bila dapat pujian sebab menjadi, seronoklah!
Rajin pula cari-tengok resepi, berani buat dan berani pula berhadapan hasilnya.
Namun, kebanyakan keadaan akhirnya saya merasa puas, lebih lagi bila hasilnya serupa dengan gambar yang dilihat, sedap pun ya. Haha.
Maka itu seolah sudah mencapai salah satu impian kecil yang di set awal sebelum memulakan usaha masak-memasak.
Kata pakar motivasi dan para insan berjaya, kejayaan menempa impian-impian kecil menambah momentum merealisasi impian besar pula.
Kita rasa puas dan berjaya!
Jadi setiap kali buat, menjadi kita berjaya realisasi gambaran kejayaan yang sudah diletak awal- pada gambar menu yang kita lihat.
Kalau dihias begitu begini, kita pun buat la begitu begini.
Kalau tak jadi?
Pos sajalah di page "Masak Apa Tak Jadi Hari Ni". Rupanya ramai yang sama dengan kita. Usaha awal tak berjaya. Oh, rupanya itu normal!
Gagal itu bukan pelik.
Kemudian cuba dan cuba lagi. Sampai jadi.
Nah! Nak buat impian hidup dan usaha mencapainya samalah juga.
Serupa kita melihat menu, kemudian menyiapkan alat kelengkapannya. Ada usaha memotong, menyagat, menghiris, mengayak lalu kemudian berani untuk melihat bagaimana hasilnya.
Apabila dapat capai, rasa puaslah yang mengalir dulu ke dalam jiwa barulah rasa masakan itu memuaskan tekak dan selera.
Bina impian serupa itu juga:
1- Tentukan sasaran.
2- Rancang strategi
3- Sediakan alatannya.
4- Tengok juga jalan orang yang dah berjaya (resepi)
5- Buat, buat dan buat.
6- Berani dengan natijahnya.
Begitulah.
Tempoh PKP ni, adalah juga skill bertambah. Kahkah.
- Dari 'Abam' yang tengah asah skill masak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan