Isnin, April 20, 2020

Bagaimana Memasak Jadi Latihan Bina Dan Capai Impian Hidup



Saya bukanlah pandai memasak, tapi saya suka memasak. Ya, tidak pandai bukan halangan. Apatah lagi dengan kewujudan teknologi canggih hujung jari. Google sajalah, pasti jumpa.
Ada pun post ini tidak mengulas tentang alat memasak canggih thermomix itu ya. Kita bicara tentang perancangan, usaha, skill perlu dan keberanian!
Seingat saya, awal mula saya di dapur dengan senduk dan kuali waktu kecil sekolah rendah. Belajar masak maggi kari.
Kemudian naik level masak nasi goreng kampung. Ini pun sebab belajar dari aktiviti pengakap di sekolah.
Kemudian pandai goreng sardin. Campak masuk itu ini, dah siap.
Waktu di universiti, duduk di rantau orang nak jimat memang kena masaklah. Kami duduk rumah sewa di tengah bandar Irbid Jordan, hampir dengan universiti. Satu rumah 4 orang. Buat jadual bergilir memasak.
Jika tiba waktu saya, tak ada lauk lain kalau tak telur dadar, ayam masak merah atau kicap- itu saja yang saya pandai. Haha. Mengelat.
Adapun sahabat lain semua handal-handal macam taraf master chef dah. Tapi di sini mulanya saya meng'google' apa nak masak. Selain tanya kawan-kawan sebab kena paksa- dah jemu makan lauk sama kalau saya masak.
Bila dah kahwin, saja nak bantu isteri masak, lama-lama jadi minat pula. Tambah lagi dengan seronok tengok rancangan yang ada di tv tu dari Afc, tlc dan semualah.
Jadi mulalah makin bersungguh cari resepi, tengok gambar dan buat sampai siap - jadi tak jadi tu belakang kira.
Bila dapat pujian sebab menjadi, seronoklah!
Rajin pula cari-tengok resepi, berani buat dan berani pula berhadapan hasilnya.
Namun, kebanyakan keadaan akhirnya saya merasa puas, lebih lagi bila hasilnya serupa dengan gambar yang dilihat, sedap pun ya. Haha.
Maka itu seolah sudah mencapai salah satu impian kecil yang di set awal sebelum memulakan usaha masak-memasak.
Kata pakar motivasi dan para insan berjaya, kejayaan menempa impian-impian kecil menambah momentum merealisasi impian besar pula.
Kita rasa puas dan berjaya!
Jadi setiap kali buat, menjadi kita berjaya realisasi gambaran kejayaan yang sudah diletak awal- pada gambar menu yang kita lihat.
Kalau dihias begitu begini, kita pun buat la begitu begini.
Kalau tak jadi?
Pos sajalah di page "Masak Apa Tak Jadi Hari Ni". Rupanya ramai yang sama dengan kita. Usaha awal tak berjaya. Oh, rupanya itu normal!
Gagal itu bukan pelik.
Kemudian cuba dan cuba lagi. Sampai jadi.
Nah! Nak buat impian hidup dan usaha mencapainya samalah juga.
Serupa kita melihat menu, kemudian menyiapkan alat kelengkapannya. Ada usaha memotong, menyagat, menghiris, mengayak lalu kemudian berani untuk melihat bagaimana hasilnya.
Apabila dapat capai, rasa puaslah yang mengalir dulu ke dalam jiwa barulah rasa masakan itu memuaskan tekak dan selera.
Bina impian serupa itu juga:
1- Tentukan sasaran.
2- Rancang strategi
3- Sediakan alatannya.
4- Tengok juga jalan orang yang dah berjaya (resepi)
5- Buat, buat dan buat.
6- Berani dengan natijahnya.
Begitulah.
Tempoh PKP ni, adalah juga skill bertambah. Kahkah.

- Dari 'Abam' yang tengah asah skill masak.

Jumaat, April 17, 2020

Apakah Amal Paling Baik?


Amal paling baik dan disukai Rasullullah (selawat) adalah sikit tapi berkekalan.
Kalau kita mampu tiap malam baca surah 3 qul..bacalah
Andai biasa selawat 10 kali, selawatlah.
Boleh tasbih 100 kali, tasbihlah..1000 kebaikan ganjarannya.
Mampu baca mathurat pagi dan petang, bacalah. Mampu pagi teruskan pagi sahaja.
Biarlah kecil, sedikit dari langsung tiada. Mudahan jadi saham berprofit tinggi.
Orang bisnes bagus mula niaga dengan modal apa yang mampu dan ada di tangan. Begitu juga modal baik, mula dengan apa yang mampu dan berkekalan.

Selasa, April 14, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID19 Di Malaysia

Image by fernando zhiminaicela from Pixabay 
Ini kenangan yang wajar dicatat. Biar menjadi sejarah yang kekal diingat.
Saya menemui catatan ini di Facebook yang banyak dikongsi tapi malangnya tidak tahu penulis yang asal. Mohon untuk dikongsi juga di sini:
Takkan sesekali aku lupa ...
18 MAC - 31 MAC 2020 fasa 1
01 APR - 14 APR2020 fasa 2
15 APR - 28 APR 2020 fasa 3
Perintah Kawalan Pergerakan seluruh .
harga minyak jatuh sehingga RM1.25/liter.
Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerja - kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah.
Semua sekolah dan pendidikan dilaksanakan di atas talian.
Penjarakkan sosial sentiasa diutamakan.
Pita pelekat dilekatkan di atas lantai - lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan.
Restoran dan kedai - kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus sahaja.
Hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai.
Kedai bukan keperluan asas dan perniagaan tidak berkaitan pembekalan makanan diarah tutup.
Keseluruhan acara dan musim sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta.
Konsert, perlancongan, festival, acara hiburan dibatalkan.
Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis bersama keluarga dibatalkan.
Tiada lagi jemaah di masjid, dan rumah - rumah ibadat ditutup.
Tidak dibenarkan perkumpulan 50 orang atau lebih, kemudian diubah kepada 20 org atau lebih, hanya dibenarkan 10 orang atau kurang dari itu dibenarkan.
Taman permainan kanak - kanak ditutup.
Kekurangan stok penutup muka, gaun,
dan sarung tangan untuk kegunaan pekerja barisan hadapan.
Kekurangan alat bantuan pernafasan
bagi pesakit kritikal.
Berlakunya pembelian panik sehingga kekurangan alat pembasmian, tiada sabun cuci tangan, tiada cecair pembersih tangan.
Rak - rak di kedai menjadi kosong.
Kilang - kilang pembuatan, kilang penyulingan dan perniagaan lain telah menukar perkhidmatan mereka dengan membantu menyediakan visors, penutup muka, cecair pencuci tangan dan PPE.
Kerajaan telah melaksanakan sekatan jalan di setiap kawasan dan tertutup kepada pergerakan yang tidak penting.
Tiket kapal terbang murah, namun kita tidak boleh keluar melancong.
Sidang media dari Kementerian Kesihatan di keudarakan setiap hari.
Kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari.
Jalan raya menjadi kosong tanpa kelibat manusia.
Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar.
Pekerja perkhidmatan penting menjadi takut untuk keluar rumah.
Pekerja kesihatan pula, menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga.
"Mendatarkan lengkung graf" itulah yang sering dikatakan, bersama dengan kata-kata " Kita lakukan ini bersama" dan "Kita harus menang".
Ini adalah Novel Coronavirus ( Covid-19) suatu penyakit pandemik, yang diwartakan pada 18 mac 2020.

Image by Federico Tak from Pixabay 
Kenapa saya copy paste status ini?
Kerana, satu hari nanti, status ini akan muncul di paparan ingatan FB saya, dan ia memberikan peringatan kepada saya, supaya menghargai nyawa ini dan orang - orang yang kita sayang.
Nikmat mana lagi yang telah kita dustai?
Bersyukurlah.
Dan sentiasa berterima kasih.
Lakukan kebaikan antara satu sama lain - sayangi antara satu sama lain - dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.
Kita semua adalah satu !
Simpan,itupun kalau sempat baca lagi tahun depan. Kita didunia ni hanya sementar tak lama.

Isnin, April 13, 2020

2020 Yang Getir

Image by Pete Linforth from Pixabay 


Lupakan sekejap tentang kereta terbang atau sebuah bandar yang sangat futuristik. Walaupun itu mungkin jangkaan awal kita tentang tahun 2020.

Ya, tidak seindah disangka bahkan 2020 datang dengan begitu getir sekali dalam hidup seluruh umat manusia di seluruh dunia. 

Semuanya bermula pada pertengahan atau akhir Disember 2019, hanya beberapa hari sebelum 2020 menjengah. 

Di sebuah negara yang begitu besar dengan bilangan penduduk yang teramai di dunia dan gah dengan segalanya; teknologi, ekonomi dan sejarah ketamadunan beribu tahun yang lampau.

Namun itu tidak mampu menghalang, sekecil-kecil makhluk ciptaan Tuhan, dari merobek sehabisnya maruah tanah besar yang gah itu.

Corona Virus. Covid-19. Itu gelar diberi.

Dalam masa hanya beberapa minggu, virus yang tidak dikenal ini telah hadir, hinggap dan merebak dengan begitu pantas pada warga di pekan Wuhan, dalam derah Huibei, China.

Peningkatan kes yang mendadak dengan kesan yang membawa maut telah menyebabkan kegusaran yang amat pada seluruh warga Tanah Besar itu. Maka tindakan segera diambil, seluruh daerah itu dikunci!

Tiada pergerakan, tiada pertemuan, sunyi. Sepi.

Seluruh warga terkurung di rumah. Berlindung dari musuh halus yang tidak nampak di pandangan. Mereka merancang itu dan ini, bertahan dan melawan kembali.

Namun rupanya ia tidak berhenti di situ. Penyebaran bahaya yang tersembunyi ini dikuatkan lagi oleh cuti perayaan besar yang bakal disambut warganya.

Tidak terhad di Tanah Besar, makhluk halus berbahaya ini telah terbang jauh sejauh beberapa lautan dan benua lain.

Maka satu persatu negara terjebak dalam kancah perang melawan musuh tidak nampak ini. Dari Korea, Jepun, Iran, Itali, Amerika bahkan negara tercinta Malaysia ini pun turut menjadi sasaran.

Jumlah jangkitan, sehingga artikel ini ditulis telah mencanak naik ke lebih 1 juta orang di seluruh dunia dengan kematian yang berpuluh ribu.

Image by Gerd Altmann from Pixabay 


Bermula Mac, tanah bertuah untaian zamrud khatulistiwa ini tidak lagi dapat melayan serangan bertali arus. Maka kawalan pergerakan dibuat.

Semuanya terbatas. 

Perniagaan tidak lagi berjalan.

Sekolah di tutup. Semua dikurung di kediaman masing-masing.

Tidak boleh lagi keluar sesuka hati. Harus jaga batas sosial, jarakkan diri. Semua orang memakai topeng muka, membawa hand sanitizer dan sarung tangan.

Ya, sepertinya dalam filem-filem Amerika yang disangka mampu bertahan melawan segagah cerita layar peraknya. 

Namun semuanya hanya ilusi semata, bahkan merekalah yang paling teruk diserang lunyai oleh makhluk kerdil ciptaan Tuhan ini.

Seluruh dunia bagainya bakal berubah jauh.

Ada kebiasaan baru yang harus dimengerti dan dilalui oleh seluruh warga dunia.

Perniagaan seluruh dunia terganggu. Ekonomi seluruhnya terancam.

Entah bagaimanalah nanti masa hadapan. Segalanya kabur. 

Serangan pun masih tidak berhenti dan berkurang. Semuanya meningkat naik.

Getir, sangat getir.

Walaupun inilah yang diimpi harap oleh ramai warga dunia. Duduk di rumah bersama keluarga umpama cuti panjang. 

Namun apa gunanya jika terbatas dan menyesakkan.

Yang ada hanya harapan dan kebergantungan pada Tuhan.

Semoga dikeluarkan dari kesulitan, kekusutan dan ujian ini.

Hanya pada Allah kita berserah!