Situasi 1
Aishah dan Linda
masuk beriringan ke dalam sebuah pasaraya. Sebuah troli ditarik Aishah lalu
ditolak perlahan bersebelahan Linda. Sekeping kertas bertulis senarai barang
dipegang Linda erat. Matanya tekun menatap barangan yang perlu dibeli bagi
keperluan rumah sewa mereka.
Ada lebih kurang 10 jenis
barangan dan semuanya perlu dibeli agar tidak mendatangkan kesulitan nanti.Yang
paling penting sudah tentulah senarai makanan sejuk beku. Kalau lapar, boleh
juga digoreng untuk mengalas perut.
Sampai di bahagian sejuk beku, Linda berhenti. Aishah yang mengekori
dengan troli di belakang juga berhenti mengejut. Dilihatnya Linda mengambil
sebungkus makanan sejuk beku lalu terus diletakkan di dalam troli.
“Linda, tukar yang lain.” Aishah meletakkan semula makanan sejuk beku
itu ke tempat asalnya.
“Kenapa pula?” Linda menyoal kehairanan.
“Cuba kau tengok betul-betul, bungkusan tu mana ada logo halal JAKIM.
Entah apa bahan asas benda ni. Aku tengok pun macam pelik saja.” Aishah
menjawab pertanyaan Linda sambil menunjuk kepada bungkusan tadi.
“Perlukah kita periksa satu-persatu, cari logo halal tu?” Linda kembali
menyoal.
“Mestilah. Jika tidak mungkin kita akan makan benda yang haram. Nanti
benda haram tu mendarah –daging dalam badan kita. Aku tak mahu kena bakar
dengan api neraka sebab makan benda haram.” Menggeletar Aishah menjawab.
“Ish! Tak naklah macam tu. Kita ambil yang inilah. Ada logo halal
Jakim.” Linda membalas sambil mengangkat bungkusan makanan sejuk-beku lain dan
diletakkan di dalam troli.
Situasi 2
Farid ingin
membuat pinjaman perumahan. Setelah beberapa tahun hidup di rumah sewa, dia
mengambil keputusan untuk memiliki rumah sendiri. Lebih selesa dan lebih
menenangkan katanya.
Namun dia berhadapan dengan satu
masalah. Tidak tahu bank mana yang perlu dipilih untuk memohon pembiayaan bagi
membeli rumah idamannya.
Setelah bertanya beberapa orang
kawan, dia dinasihatkan untuk membuat permohonan tersebut di bank XYZ. Kata
mereka interest yang dikenakan lebih murah. Urusan pun mudah. Tidak
seperti bank ABC Islamic, nama saja Islam tapi produknya mahal.
Tanpa berlengah, dia terus pergi ke
bank XYZ untuk menyelesaikan urusannya. Di dalam fikirannya ketika itu hanya
terbayangkan rumah idamannya yang bakal dicat dengan warna kegemarannya.
Situasi Berbeza
Sebenarnya dua
situasi di atas menggambarkan bagaimana sikap ramai dikalangan kita ketika
membeli barangan atau perkhidmatan. Jika menyentuh soal makanan, anak-anak
kecil pun tahu perlunya melihat logo halal. Apatah lagi orang dewasa.
Kita bimbang dan sangat risau jika
makanan yang kita makan tidak mendapat pengesahan halal dari badan
bertanggungjawab seperti Jakim.
Setiap bungkusan diperhati serapi
mungkin. Jika ada yang meragukan terus diletak dan dipilih bungkusan yang lain
pula. Takut kalau-kalau ia menjadi darah dan daging lalu memberat timbangan
dosa di akhirat nanti.
Memang perbuatan ini sangat bagus
dan digalakkan. Kita sangat dituntut untuk mencari yang halal. Dalam soal
makanan, bukan halal sahaja bahkan dituntut mencari yang halal lagi terbaik
buat tubuh kita.
Namun, dalam rangka mencari yang
halal ini, kita agak tempang. Tidak menyeluruh. Mungkin kita sangat prihatin
dalam bab makanan tapi tidak dalam urusan kehidupan yang lain contohnya dalam
bab harta.
Lihat sahaja situasi kedua. Dalam
mendapatkan perkhidmatan kewangan yang terbaik, kita tidak meletakkan ciri-ciri
ia mesti halal dalam senarai pilihan. Yang kita lihat adakah ia murah,
berpatutan,mudah dan sebagainya. Kita lupa bahawa dalam urusan berkenaan harta
juga ada dosa yang mampu mencampakkan kita ke dalam neraka Allah SWT.
Dalam usaha mencari dan
membelanjakan harta kekayaan, ada halal dan haram yang harus kita beri
perhatian dan telitikan sebaiknya. Jangan lupa, wang atau hasil kekayaan kita
juga boleh jadi haram dan akan mendarah-daging dalam jasad kita. Akhirnya kita
menempah jalan ke neraka.
Apatah lagi dengan wang itulah kita
belanjakan untuk membeli makanan, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya.
Dengan segala kekayaan itulah kita tumpahkan kepada keluarga kita. Bukankah
semua mereka pun akan terlibat sama memakan harta yang diharamkan Allah kepada
manusia?
Apakah pentingnya mencari logo halal
pada makanan jika wang yang digunakan untuk membelinya haram? Sia-sia sahajalah
usaha kita itu. Begitulah perlunya kita sedar bahawa dalam urusan melibatkan
harta juga, ada perkara yang perlu kita telitikan sedalamnya.
1 ulasan:
Betul tu ustaz! Kwn2 saye slalu beli je kalau bnde tu menarik hti mreka.
Catat Ulasan