Isnin, Disember 17, 2012

Menghampiri Sasaran!




        Dalam hidup ini jika tiada cita-cita dan impian, tidak bermakna. Hidup hanya mendatar sahaja. Tiada apa yang hendak dikejar. Sekadar hidup dengan meneruskan rutin yang sama. Diulang sehingga tua. Apa nikmatnya?

        Hidup perlu ada harapan. Perlu ada cita-cita yang bermakna, barulah seronok. Apatah lagi jika apa yang kita harap dan impikan itu tercapai. Lagilah bertambah gembira dan bahagianya. Itu yang pertama. Perkara kedua yang penting juga adalah semangat.

          Semangat untuk merealisasi cita-cita yang diimpi. Jika impiannya ada tapi tiada usaha yang bersungguh untuk mencapainya tiada gunanya juga. Jadi dua perkara ini saling bergandingan. Sama-sama mendorong kita menjadikan hidup ini sebuah perjalanan bermakna.

        Dua, tiga tahun lalu saya juga membina impian. Mahu menjadikan hidup ini bukan sekadar untuk 'hidup'. Saya mahu nikmati masa singkat di dunia ini. 

       Lalu saya pun mula mewujudkan laman ini-dengan izin Allah jua. Bagi saya ini adalah papan yang tercatat perjalanan menggapai impian saya. Ini bukti untuk saya. Untuk zuriat keturunan saya. Biar mereka tahu beginilah cara menikmati kehidupan yang sebenar - dengan membina impian dan harapan.

           Saya mahu menjadi penulis! 

        Itu kalimah yang tertanam di hati sejak perkataan pertama saya tulis di atas laman ini. Itupun setelah entah bagaimana si Hilal Asyraf mendorong secara tidak sedar. Kebetulan Allah temukan kami di bumi Anbia Jordan (mungkin dia tidak ingat pun, tapi ini hakikat-saya bukan bermaksud menumpang glamour ya).

      Terinspirasi daripada lamannya yang awal ketika itu. Saya dengan tiada kemahiran menulis cuma bergantung kepada minat dan impian untuk meneruskan hasrat. Akhirnya baru saya tahu yang menulis itu seronok. Yang sebetulnya penuh nikmat!

       Saya belajar untuk meletakkan idea menjadi penulis itu dalam catatan impian yang harus saya kejar sehabisnya.

         Akhirnya, di tahun akhir pengajian saya dipelawa untuk menulis sebuah buku. Rezeki yang sehebat itu mana mungkin saya menolaknya. Saya berusaha sedaya upaya untuk memastikan buku itu terbit. Ini juga bagi memenuhi impian kedua ketika hadir ke Pesta Buku Kuala Lumpur tahun 2009. Saya tertanya-tanya bilalah agaknya buku saya akan dipamerkan di rak di sana.

         Akhirnya tahun 2010 ia terlaksana. Dan di tahun 2011 saya hadir ke Pesta Buku KL dengan senyum lebar hingga ke telinga. Wah! Buku aku!

        Walau tidak selaku mana, yang penting ia ada di atas rak pameran Karangkraf - terima kasih kepada pihak Buku Prima Sdn Bhd.

     Tiada siapa tahu kecuali anda yang membaca ini, bahawa saya dari pagi hingga ke petang berada berhampiran rak tersebut. Sangat teruja dengan hasil pertama itu. Berpura membelek buku namun hakikatnya memerhati siapalah yang membeli buku tulisan saya itu.

       Walau pembelinya boleh dikira dengan jari, saya puas! 

      Itu yang pertama, kegagalan adalah biasa. Kalau dibanding dengan orang lain, sekurang-kurangnya saya ada juga menerbitkan buku -walau tidak laku mana.

    Hasil daripada cubaan pertama itu, saya meletakkan sasaran, saya akan tulis dan terbitkan dua buku setahun!

      Wah! Ini sudah lebih. Tidak mengapa, kerana memang untuk jadi hebat dan berjaya kita perlu cabar diri sendiri. Itu sasaran tahun 2011. Namun malang sekali ia tersasar sedikit jauh. Apa pun saya sudah usaha. Saya hadir ke kursus penulisan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Ditawarkan untuk menulis dan buku diterbitkan mereka. Namun idea seolah tersekat kuat di dalam jaluran otak. Berkisar di dalam kepala sahaja. Tidak dapat diterjemahkan. Peluang terlepas begitu sahaja.

      Tahun 2012 masuk menjengah. Saya perbaiki sasaran. Kali ini 3 buah buku! 

    Wow! Kamu kuat berangan Firdaus!- jerkah kata hati. Saya peduli apa, kerana untuk memaknakan hidup, perlu ada impian dan cita.

      Hujung tahun ini, saya hadir pula ke kursus penulisan Must Read Sdn Bhd. Masih mahu mencuba nasib. Tidak sangka laman ini juga menjadi perantaranya. Mereka suka dengan beberapa artikel yang saya tulis. Saya hadir. 

     Natijahnya, dua proposal buku diluluskan untuk diterbitkan. Cuma perlu menghantar manuskrip yang saya SASARKAN salah satunya berjaya saya siapkan penghujung bulan 12 ini. Ketika orang sibuk dengan tarikh kiamat andaian Kaum Maya itu, saya sibuk merangka sasaran baru tahun 2013.

       Biarlah orang di barat sibuk menggali lubang untuk menyorok. Itu cara mereka menghadapi kiamat. Kita yang Islam ini teruskan kebaikan yang ingin dibuat. Nabi SAW pun pesan yang maksudnya, jika ada biji benih di tangan dan kiamat datang sekali pun tanam benih itu. Begitulah apa yang saya mahukan. Sebab kiamat itu pasti.

     Di tahun baru 2013, sasaran makin hampir. Walau tidak 3 atau 4 buah buku saya terbit, sekurang-kurangnya 2 buah berjaya saya langsaikan.

       Dan petang tadi saya menerima email daripada Must Read Sdn Bhd. Kata salah seorang orang kuatnya, ada tajuk buku yang hendak dibincang dengan saya. Mungkinkah tahun depan 3 buah buku saya berada di pasaran??

       Jangan takut mencabar diri!

      Wahai Tuhan, bantulah aku memanah tepat ke sasaran!





Isnin, Disember 10, 2012

Mencari Yang Halal Itu Fardu



Situasi 1
            Aishah dan Linda masuk beriringan ke dalam sebuah pasaraya. Sebuah troli ditarik Aishah lalu ditolak perlahan bersebelahan Linda. Sekeping kertas bertulis senarai barang dipegang Linda erat. Matanya tekun menatap barangan yang perlu dibeli bagi keperluan rumah sewa mereka.

 Ada lebih kurang 10 jenis barangan dan semuanya perlu dibeli agar tidak mendatangkan kesulitan nanti.Yang paling penting sudah tentulah senarai makanan sejuk beku. Kalau lapar, boleh juga digoreng untuk mengalas perut.

Sampai di bahagian sejuk beku, Linda berhenti. Aishah yang mengekori dengan troli di belakang juga berhenti mengejut. Dilihatnya Linda mengambil sebungkus makanan sejuk beku lalu terus diletakkan di dalam troli.

“Linda, tukar yang lain.” Aishah meletakkan semula makanan sejuk beku itu ke tempat asalnya.

“Kenapa pula?” Linda menyoal kehairanan.

“Cuba kau tengok betul-betul, bungkusan tu mana ada logo halal JAKIM. Entah apa bahan asas benda ni. Aku tengok pun macam pelik saja.” Aishah menjawab pertanyaan Linda sambil menunjuk kepada bungkusan tadi.

“Perlukah kita periksa satu-persatu, cari logo halal tu?” Linda kembali menyoal.

“Mestilah. Jika tidak mungkin kita akan makan benda yang haram. Nanti benda haram tu mendarah –daging dalam badan kita. Aku tak mahu kena bakar dengan api neraka sebab makan benda haram.” Menggeletar Aishah menjawab.

“Ish! Tak naklah macam tu. Kita ambil yang inilah. Ada logo halal Jakim.” Linda membalas sambil mengangkat bungkusan makanan sejuk-beku lain dan diletakkan di dalam troli.


Situasi 2

            Farid ingin membuat pinjaman perumahan. Setelah beberapa tahun hidup di rumah sewa, dia mengambil keputusan untuk memiliki rumah sendiri. Lebih selesa dan lebih menenangkan katanya.

            Namun dia berhadapan dengan satu masalah. Tidak tahu bank mana yang perlu dipilih untuk memohon pembiayaan bagi membeli rumah idamannya.

            Setelah bertanya beberapa orang kawan, dia dinasihatkan untuk membuat permohonan tersebut di bank XYZ. Kata mereka interest yang dikenakan lebih murah. Urusan pun mudah. Tidak seperti bank ABC Islamic, nama saja Islam tapi produknya mahal.

            Tanpa berlengah, dia terus pergi ke bank XYZ untuk menyelesaikan urusannya. Di dalam fikirannya ketika itu hanya terbayangkan rumah idamannya yang bakal dicat dengan warna kegemarannya.

Situasi Berbeza

            Sebenarnya dua situasi di atas menggambarkan bagaimana sikap ramai dikalangan kita ketika membeli barangan atau perkhidmatan. Jika menyentuh soal makanan, anak-anak kecil pun tahu perlunya melihat logo halal. Apatah lagi orang dewasa.

            Kita bimbang dan sangat risau jika makanan yang kita makan tidak mendapat pengesahan halal dari badan bertanggungjawab seperti Jakim.

            Setiap bungkusan diperhati serapi mungkin. Jika ada yang meragukan terus diletak dan dipilih bungkusan yang lain pula. Takut kalau-kalau ia menjadi darah dan daging lalu memberat timbangan dosa di akhirat nanti.

            Memang perbuatan ini sangat bagus dan digalakkan. Kita sangat dituntut untuk mencari yang halal. Dalam soal makanan, bukan halal sahaja bahkan dituntut mencari yang halal lagi terbaik buat tubuh kita.

            Namun, dalam rangka mencari yang halal ini, kita agak tempang. Tidak menyeluruh. Mungkin kita sangat prihatin dalam bab makanan tapi tidak dalam urusan kehidupan yang lain contohnya dalam bab harta.

            Lihat sahaja situasi kedua. Dalam mendapatkan perkhidmatan kewangan yang terbaik, kita tidak meletakkan ciri-ciri ia mesti halal dalam senarai pilihan. Yang kita lihat adakah ia murah, berpatutan,mudah dan sebagainya. Kita lupa bahawa dalam urusan berkenaan harta juga ada dosa yang mampu mencampakkan kita ke dalam neraka Allah SWT.

            Dalam usaha mencari dan membelanjakan harta kekayaan, ada halal dan haram yang harus kita beri perhatian dan telitikan sebaiknya. Jangan lupa, wang atau hasil kekayaan kita juga boleh jadi haram dan akan mendarah-daging dalam jasad kita. Akhirnya kita menempah jalan ke neraka.

            Apatah lagi dengan wang itulah kita belanjakan untuk membeli makanan, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya. Dengan segala kekayaan itulah kita tumpahkan kepada keluarga kita. Bukankah semua mereka pun akan terlibat sama memakan harta yang diharamkan Allah kepada manusia?

            Apakah pentingnya mencari logo halal pada makanan jika wang yang digunakan untuk membelinya haram? Sia-sia sahajalah usaha kita itu. Begitulah perlunya kita sedar bahawa dalam urusan melibatkan harta juga, ada perkara yang perlu kita telitikan sedalamnya.