Sabtu, Jun 30, 2012

Satu Catatan Hari

Hari-hari yang kita lalui sentiasa berbeza. Ada rima yang serupa, ada juga warna yang sama namun samada kecil atau besar tetap juga ia berlainan muziknya. Terpulang pada kita menilai setiap perbezaan itu. Jika hanya dipandang dengan tenungan bersahaja, tidak ada makna. Namun, jika dihitung dengan pemerhatian yang lebih dalam dan lebih tajam, ia membuah seribu cerita pembina jiwa.

Hari ini, banyak perkara yang berlari, berebut minta disegerakan catatannya. Ia mengasak-ngasak minda, merayu agar segera diturunkan kisahnya.

Kisah 1

12.15 tengah hari, saya berteleku di tangga masjid. Selepas sahaja habis program ceramah di dewan kolej, saya ambil keputusan untuk tiba awal di masjid. Hajat mahu terus pulang ke Temerloh, berjumpa isteri tercinta. Setelah ditimbang-tara hajat tersebut, lebih baik rasanya dahulukan yang utama, solat Jumaat.

Namun, ada satu yang memeranjatkan saya. Ketika leka menikmati hembus angin di halaman masjid, saya terlihat sekumpulan 'wanita' sedang berehat-rehat di ruang belakang masjid. Pakaian dan fashionnya jelas menerangkan jantinanya.

Lebih menarik, sahabat saya Ustaz Azizurrahman menunjukkan muka pelik selepas keluar dari tandas.

" Ana peliklah masuk tandas tadi..." katanya dalam penuh kekeliruan.

Dan saya memang cukup arif dan faham apa yang dimaksudkan oleh sahabat saya itu.

Selepas solat Jumaat, saya berjalan ke arah tiang paling belakang di dalam masjid. Duduk mengumpul tenaga. Dalam penuh keliru saya memandang lagi sekumpulan orang yang saya katakan 'wanita' tadi bersalaman dengan beberapa orang yang saya percaya merupakan ustaz-ustaz yang membimbing mereka.

Lalu kekeliruan dan tanda-tanya saya terjawab. Melihatkan kelakuan, mendengar butir halus perbualan mereka baru saya tahu siapa mereka.

Mereka adalah manusia-manusia hebat dan sedang melalui jalan keinsafan. Ada program yang dianjurkan (seperti kem) buat membantu mereka semua. Memang melihatkan kepada penampilan dan fizikal mereka saya jadi terkejut pada awalnya. Namun sekarang saya amat menghormati mereka dan cukup respect dengan keberanian mereka hadir ke masjid dan solat Jumaat bersama-sama kami.

Mungkin itu salah satu dari tentatif program, tapi untuk beridiri bersama dalam solat Jumaat dan kehadiran mereka dipandang sinis oleh ramai jemaah, saya jadi hormat kepada mereka.

Memang untuk berubah ke arah yang lebih baik bukanlah semudah kita melalui sebuah lebuhraya. Lurus dan lancar jalannya. Ia sama seperti kita masuk ke dalam denai hutan yang penuh lekuk, lopak dan halangan yang perit untuk sampai ke hujungnya.

Percayalah, jika semua halangan itu dapat diatasi nescaya bermaknalah sebuah perjalanan bila sahaja sampai ke destinasi. Apatah lagi yang dituju itu merupakan destinasi abadi kurniaan Illahi. Penuh warna-warni kenikmatan.

Kepada sesiapa pun yang ingin untuk memilih jalan sukar ini, saya doakan moga anda semua selamat sampai dengan penuh kenikmatan. Tabah dan jangan takut. Biarkan pandangan orang terhadap kita. Yang penting kita fikir pandangan Allah kepada kita.

Moga Allah kurniakan mereka dan kita semua rahmat dan petunjuk dan ketabahan menuju jalan keimanan.

TAHNIAH!


Kisah 2

Kebiasaan saya apabila pulang ke kampung di Temerloh, saya akan mengambil laluan lebuhraya LPT yang saya kira lebih pantas dan mudah. Pilihan ini bertambah tepat jika dilihat pada kedudukan kawasan rumah sewa saya yang terletak bersebelahan exit Kuantan.

Namun hari ini saya tidak memilih laluan lebuhraya. Sengaja mahu berubah angin. Lalu saya memilih jalan biasa yang melalui bandar Gambang, Sri Jaya dan Maran. Lagipun jika daripada pejabat, lebih mudah memilih laluan ini.

Pilihan ini tepat!

Sepanjang laluan saya berasa segar dan begitu teruja. Dengan hamparan pohon-pohon hijau yang membarisi di sepanjang laluan dan gelagat penduduk tempatan saya jadi tertarik. Kantuk yang sering menghantui saya jika pulang sudah hilang! Ini sudah bagus. Lebih menarik, saya tidak perlu membayar tol dan telah melakukan penjimatan sebanyak RM 12.30!

Memang jika dinilai berdasarkan keadaan jalan dan faktor keselesaan, tidak ada yang mengasyikkan. Namun benarlah jalan yang berliku-liku, berlubang dan berdebu ini lebih mendatangkan kebahagian kepada hati.

Begitu juga dalam hidup ini.

Tidak semestinya jalan yang lurus, mudah itu mampu memberikan kita kebahagian kepada diri kita. Bahkan mungkin kita perlu 'membayar' untuk kemudahan dan keselesaan tersebut.

Namun, jalan yang berliku, berdebu berlopak ini, walau juga ada harga yang perlu dibayar ia tidak sampai merugikan. Bayarannya bahkan membuat kita untung. Dan ganjarannya menanti di hujung!

Bagaimana kita memilih jalan hidup, begitulah juga natijah yang bakal kita hirup. Sama ada selesa dalam gundah atau payah dalam indah.


Kisah 3

Petang itu, saya tidak terus pulang ke rumah. Sampai sahaja di Temerloh saya terus ke bandar. Menyusup di antara lorong-lorong dan kereta-kereta yang ada mencari kedai gunting rambut. Ada yang biasa saya kunjungi, berhampiran masjid. Tapi katannya ada hal dan perlu segera ke hospital.

Saya teruskan usaha mencari. Kali ini ke lorong yang terkenal dengan kedai gunting rambut dan kedai kunci. Saya ambil selekoh kiri dari masjid, kemudian memberi isyarat ke kanan. Masuk sahaja ada kereta menghalang.

Saya perlahankan kereta. Hampir berhenti.

Kedai gunting rambut di sebelah kiri sesak. Ramai orang sedang menanti giliran. Kereta di hadapan masih belum berganjak.

Ketika saya toleh ke kiri, saya lihat satu tempat yang menyimpan banyak nostalgia silam. Saya memandang dengan mata penuh bersinar teruja. Pandangan saya pula tepat mengenai tuan punya kedai. Seorang lelaki separuh abad. Cina. Dia senyum dalam raut penuh menyimpan cerita susah senang seorang peniaga.

Saya balas senyumnya sambil mata menyoroti seluruh ruang kedainya. Ia sebuah kedai menjual permainan. Tidak besar, hanya ruang kecil di sebuah lorong. Nampak kosong dan berhabuk.

Kalau dahulu bermacam mainan yang ada. Dari sekecil ular getah tiruan, hinggalah kepada set robot yang diletak di tingkat paling atas rak. Ada juga berkotak-kotak mainan kereta dashingkuro atau Tamiya (saya pun lupa ejaannya) yang dijual.

Kalau dahulu, di kaki lima inilah saya selalu menangis, menarik-narik baju kurung Ibu saya.

"Along nak beli tu..!"

" Tak boleh. Dah banyak permainan di rumah. Membazir"

"Nak juga..nak juga..waaaaa.!"

Rengekan dan raungan yang akhirnya jika tidak dilayan samada menguntungkan atau juga boleh merugikan diri saya sendiri.

Untung jika Ibu terharu dan membelikan mainan yang diinginkan.

Rugi jika Ibu biarkan dan Abah datang menarik saya masuk ke dalam van kelabu dan kemudian dirotan kerana degil.

Begitulah cerita anak kecil.

Dan kedai ini menjadi saksinya. Bukan sahaja saya bahkan mungkin siapa-siapa yang tinggal di bandar Temerloh mengalaminya dan pasti juga ingat akan kedai ini. Dahulu inilah satu-satunya kedai mainan yang hebat!

Uncle itu sekarang sudah dimamah usia. Saya sebagai pelanggan tetapnya yang membeli robot, kereta kawalan dan ular mainan buat menyakat kawan perempuan pun sedikit-sedikit dimamah usia.

Semuanya berubah

Sekarang kedai-kedai menjual permainan juga telah banyak wujud. Bandar Temerloh membangun pesat. Tapi yang saya kagumi, Uncle itu masih lagi di situ menghabiskan usianya. Dalam matanya saya membaca bahasa kesayuan yang amat. Mungkin sudah kurang orang yang datang dan melakonkan semula watak saya ketika kecil ; merenget dan menarik-narik baju serta menghentak kaki minta belas dibelikan mainan.

Masa berganjak.

Mungkin beberapa tahun, saya pula yang hadir membawa anak kecil saya yang berperangai seperti bapanya. Itupun jika kedai ini masih ada dan Uncle itu pun masih menunggu sabar pelanggannya.

Yang pasti, maut pasti menjemput setiap daripada kita.

Dalam enak mengupas memori lalu, tersentak saya akan beberapa soalan.

Sejauh ini perjalanan hidup, apa yang saya telah lakukan? Pada Ibu yang melayan kerenah ditarik baju di khalayak dan pada Abah yang terpaksa memenuhkan hajat saya pada permainan, adakah telah saya balas jasa mereka.

Pada usia yang sentiasa bergerak, adakah kebaikan yang memenuhinya?

Dan pada bekal yang saya bakal bawa, sudah terisikah ia sepenuhnya?

Saya memandu pulang dalam persoalan yang tidak ada jawapan. Tidak berani mengatakan YA! Yang pasti hari ini sebagai penghulu hari, Allah telah menambah kemuliaannya dengan menyedarkan saya.

Benar, Jumaat merupakan hari yang istimewa.





Firdaus Shahidin
Temerloh / 30 Jun 2012/ 6.00 pm.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

congratulation!
along, this is your sis. I want to tell you that I am proud to have you as my bro. and I want you to know something : every posts here really touch my heart. thanks and well done, bro. :)