Selasa, Februari 21, 2012

Sifat Seorang Pendidik.


                                                         

Abdullah Nasih Ulwan menggariskan beberapa sifat yang sepatutnya ada pada seseorang pendidik agar kesan didikannya pada anak-anak didiknya. akan lebih mendalam dan lebih berkesan. Sifat-sifat tersebut adalah :

11)      Ikhlas
Para Ulama menyebutkan  :

“ Seorang pendidik wajib membersihkan niatnya, dan bersifat ikhlas terhadap Allah dalam segala  amal pendidikan yang dilakukannya, samada amalan itu merupakan perintah, larangan, nasihat, perhatian atau hukuman.
Perintah tentang ikhlas telah dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah :

“ Dan tiadalah mereka itu diperintahkan melainkan supaya mereka menyembah Allah dalam keadaan mengikhlaskan agama kepada-Nya”. ( Al-Bayyinah : 5)
Sabda Rasullullah SAW :

“ Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima suatu amalan melainkan apa yang ikhlas kepada-Nya, dan yang ditujukan hanya untuk-Nya. (Riwayat Abu Daud dan Annasai)”
Selepas memberi pengajaran, setiap pendidik hendaklah membersihkan niatnya dan menunjukkan setiap kerja yang dilakukan itu hanya semata-mata kerana Allah agar dia mendapat redha daripada-Nya dan dia kemudiannya dikasihi dan dihormati oleh pelajar-pelajarnya.

22)      Bertakwa :
Sifat yang kedua perlu dimiliki oleh setiap pendidik ialah takwa. Sifat ini ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama seperti berikut :

“ Agar anda tiada dilihat Allah ditempat larangan-Nya, dan tidak sampai tidak didapatinya ditempat suruhan-Nya.”

Setengah yang lain pula berkata :
“ Membimbangkan seksa Allah dengan mengerjakan amalan yang baik, dan takut kepada-Nya secara rahsia dan terang-terangan.”

Setiap pendidik tergolong dalam kumpulan orang-orang yang wajib mematuhi semua perintah dan petunjuk Allah disebabkan mereka menjadi ikutan dan orang yang bertanggungjawab tentang pendidikan anak-anak atas asas-asas keimanan dan pengajaran Islam.

33)      Berilmu pengetahuan :
Pendidik seharusnya berilmu, mengenali dasar-dasar pendidikan yang ditunjukkan oleh syariat Islam dan dia juga mengetahui urusan-urusan halal dan haram. Dia juga hendaklah cukup faham tentang prinsip-prinsip akhlak dan segala peraturan Islam serta kaedah-kaedah syariatnya secara umum. Ini adalah kerana ilmu yang meliputi semua perkara ini akan menjadikan si pendidik seorang yang berilmu, bijaksana, tahu meletakkan setiap perkara pada tempatnya dan akan mendidik pelajar-pelajarnya menurut usul-usul pendidikan dan cara-cara yang benar.

Dia juga akan melalui jalan kebaikan dan pendidikan terhadap asas-asas yang kukuh daripada pengajaran al-Quran, petunjuk Nabi Muhammad SAW dan tauladan yang mulia daripada perjalanan generasi pertama yang terdiri daripada para sahabat serta para tabiin yang datang sesudah mereka dengan baik.

44)      Pemaaf  :
Antara sifat-sifat asasi yang membantu kejayaan pendidik dalam tugas pendidikan dan tanggungjawabnya dalam pembentukan dan perbaikan pelajar ialah sifat sederhana dan pemaaf. Sifat itu akan menarik para pelajar kepada gurunya dan mereka akan menyambut kata-kata dan perintahnya.

Menerusi sifat ini juga akan membentuk si anak dengan adab yang terpuji dan meninggalkan sifat yang terkeji. Oleh yang demikian, Islam telah menggalakkan manusia bersifat pemaaf terhadap orang lain. Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasullullah SAW yang menyeru supaya manusia khususnya para pendidik dan para dai menyedari bahawa sifat pemaaf itu adalah antara sifat-sifat utama dari segi moral dan rohani yang akan meletakkan manusia di kemuncak adab dan kesempurnaan budi pekerti.

55)      Bertanggungjawab :
Para pendidik seharusnya menyedari akan tanggungjawab mereka yang besar dalam mendidik anak-anak dalam soal keimanan dan kelakuan, membentuk mereka dalam soal jasmani dan rohani, serta melengkapkan mental dan sosial mereka. Perasaan ini hendaklah sentiasa ada dalam diri pendidik ketika dia memimpin anak-anak didiknya.

Dia hendaklah selalu merasa bimbang bahawa jika dia lalai atau cuai walaupun sebentar semasa menjalankan tugas maka si anak akan tersungkur ke dalam kerosakan selangkah demi selangkah. Sebaliknya jika dia lalai terus-menerus, maka tidak mustahil si anak itu akan tergolong  dalam kumpulan anak-anak yang jahat dan golongan pemuda-pemuda yang menyeleweng. Pada ketika itu sukarlah bagi mana-mana pendidik untuk memperbaiki dan membetulkannya.

Tiada ulasan: