Rabu, Ogos 24, 2011

Penghujung Yang Dinanti

(http://panduanislam.com)

Alhamdulillah, hari ini Allah masih kurniakan kita nyawa untuk kita terus menikmati bulan Ramadhan yang diberkati lagi dirahmati ini. Hari ini juga menandakan bahawa kita hanya ada baki beberapa hari sahaja lagi untuk menamatkan latihan intensif kita selama sebulan. Latihan yang entah bagaimana keputusannya. Namun, kita masih ada baki beberapa hari lagi untuk gandakan usaha dalam mendapat keputusan yang baik dan mungkin cemerlang jika menggunakan peluang terakhir ini sebaiknya.

Dalam hidup ini, biasanya manusia amat takut kepada perkataan 'penghujung'. Perkataan yang membawa erti akhir dan penamat.

Kita takut jika disebutkan bahawa hari ini adalah hari pengakhiran dalam hidup kita. Mendengar kalimah hujung nyawa itu pun pasti menggetarkan seluruh jasad dan jiwa. Kita juga tidak mahu berada dalam keadaan yang berisiko tinggi, seperti kata orang Melayu; bagai telur di hujung tanduk.

Hujung itu biasanya amat menggusarkan dan merisaukan.

Namun, pada bulan yang berkat ini, penghujung itu adalah yang paling dinanti-nanti. Benar, rasa sedih juga ada kerana tidak lama lagi Ramadhan akan melabuhkan tirainya. Namun sedih itu sedikit tersorok dek gembira menanti ganjaran yang Allah SWT janjikan.

Seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Qadr :

1.Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr.

2.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3.Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan

4.Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.

5.Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh).


Itu janji Tuhan yang mengurniakan Ramadhan pada umat Muhammad. Siapa yang tidak mahu mendapat kemuliaan lebih dari seribu bulan itu. Menanti penghujung terkandung anugerah besar itu menjadi satu penantian yang tiada hentinya.

Namun, untuk sekadar menanti tanpa berbuat apa itu bukanlah caranya.

Menanti dengan hanya menumpukan amalan di akhirnya juga bukan pilihan yang benar sifatnya.

Seharusnya penantian itu telah lama bermula sewaktu kita melangkah pada awal Ramadhan lagi. Amalan itu perlu konsisten dan berterusan. Yang dinanti dan ditunggu itu penuh kemuliaan dan mahal harganya, sudah tentu jalan meraihnya juga sukar dan mahal harganya.

Jika telah terlalai di pertengahannya, moga ada ruang untuk kita menebus kelalaian itu. Allah tidak sesekali menafikan peluang hambanya meraih Cinta Agung milik-Nya.

Sama-sama kita mengejar ganjaran yang telah dikhabarkan itu. Moga sama-sama dapat meraihnya.

Sambutlah penghujung yang dinanti ini dengan penuh rasa kehambaan!

Selasa, Ogos 23, 2011

Zakat Fitrah : Kewajipan Dan Kelebihannya.

(ppimi.org)

Kini kita telah berada di penghujung bulan yang paling mulia dan paling istimewa di antara bulan-bulan yang lain. Bulan Ramadhan yang terkandung di dalamnya berbagai keberkatan hampir sahaja melabuhkan tirainya.

Sudahkah kita muhasabah diri kita pada penghujung Ramadhan ini??

Bagaimana keadaan iman dan hati kita sekarang?

Moga-moga jawapan yang bakal kita berikan tidak mengecewakan diri kita sendiri. Diharapkan Ramadhan kali ini sedikit sebanyak dapat mendidik diri, hati dan juga iman kita, Insyaallah.

Sedar atau tidak, bulan Ramadhan benar-benar menyediakan satu medan untuk kita memperelok diri dan iman, menambah-baik apa-apa yang perlu sebagai seorang hamba Allah di dunia ini dan menginsafi akan kekurangan saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik, yang miskin dan fakir.

Selain ibadah puasa yang disyariatkan di bulan ini, terdapat satu ibadah lagi yang tidak boleh kita ambil ringan iaitu zakat fitrah.

Kewajipan menunaikan zakat fitrah sudah pasti mempunyai hikmah dan kelebihan tersendiri kepada umat Islam khususnya.

Zakat Fitrah adalah kewajipan yang dikenakan ke atas setiap orang yang dikira masih mempunyai makanan yang mencukupi bagi dirinya dan juga tanggungannya di Aidilfitri. Kewajipan zakat fitrah terhadap setiap muslim dinyatakan oleh saidina Umar RA berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

" Sesungguhnya Rasullullah SAW mewajibkan zakat fitrah daripada muslim, baik hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, iaitu sebanyak segantang kurma atau gandum " ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ).


Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Abu Said Al-Khudry bermaksud :

" Ketika Rasullullah SAW berada bersama kami, kami mengeluarkan zakat fitrah untuk setiap anak kecil, orang dewasa, merdeka atau hamba sebanyak segantang makanan samada berupa keju, kurma, gandum atau anggur kering. "


Kita dapat melihat kelebihan atau faedah zakat fitrah ke atas setiap individu muslim dari 4 sudut iaitu sudut rohani, ibadah masyarakat dan ekonomi.

Kelebihan zakat fitrah dari sudut rohani :

- Sesungguhnya zakat fitrah mampu mendidik hati dan menjauhkan orang yang menunaikannya daripada bersifat dengan sifat-sifat keji seperti kedekut dan mementingkan diri sendiri.

- Sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abas bermaksud : " Diwajibkan oleh Rasullullah SAW bahawa zakat fitrah membersihkan bagi orang yang berpuasa dan memberi makan bagi orang miskin. "


Kelebihan zakat fitrah dari sudut ibadah :

- Zakat fitrah boleh menampung ibadah puasa yang mungkin berkurangan disebabkan kelakuan kita ketika berpuasa dan juga boleh menyucikan orang-orang yang berpuasa dari sifat lagha dan bercakap kotor atau keji di bulan Ramadhan.

Kelebihan zakat fitrah dari sudut masyarakat :

- Kefarduan zakat fitrah akan memberi rasa kebersamaan orang yang berpuasa terhadap saudara-saudaranya yang fakir lagi miskin. Rasa kebersamaan ini lahir apabila golongan yang fakir lagi miskin ini mampu menikmati kemeriahan hari raya sama seperti saudara-saudara mereka yang lebih berkemampuan manakala golongan pembayar zakat dapat merasa ketenangan dengan kegembiraan yang terpancar dari raut wajah golongan yang fakir ini.

- Selain itu, kefarduan ini sudah pasti akan menyucikan masyarakat daripada sifat-sifat tercela seperti hasad dengki, iri hati, dendam-mendendami, tamak, kedekut, ujub, riak dan takabbur. Akhirnya akan lahirlah keharmonian, kesejahteraan, keamanan dan ketenangan di dalam masyarakat seluruhnya.

Kelebihan zakat fitrah dari sudut ekonomi :

- Apa lagi yang dapat dikatakan tentang keadaan ekonomi apabila permintaan dalam pasaran meningkat, sudah tentu aktiviti ekonomi akan bertambah rancak dan ini sudah tentu mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan terhadap negara khususnya.
Disamping dapat membantu golongan fakir miskin memenuhi keperluan di Aidilfitri, para peniaga juga dapat kelebihan daripada kefarduan zakat fitrah ini.

- Ekonomi negara Islam sudah pasti akan berada di tahap yang baik dan dapat meneruskan momentum kenaikannya sepanjang bulan Ramadhan.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa zakat fitrah adalah antara unit terpenting dalam ekonomi Islam yang mampu memberi banyak kelebihan kepada masyarakat dan negara khususnya dari sudut ekonomi selain merupakan terapi rohani dan jasmani kepada masyarakat sekaliannya.

Anda sudah tunaikannya??

" Barang siapa menunaikan zakat fitrah sebelum solat hari raya maka zakat itu dterima dan barangsiapa yang membayar selepas solat, zakat itu sebagai sedekah biasa. " ( Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah) .

Tunaikan sebelum esok! JOM..JOM..bayar zakat fitrah!


Rujukan :

1- Durus Iqtisodiah min Ramadhan, Dr Asyraf Muhammad Dawwabah
2- Fiqh Al-Manhaji
3- Berita Harian

Khamis, Ogos 18, 2011

Semalam Di Bumi Anbia


Sedang leka berinternet sebentar tadi, terjumpa pula komen@sinopsis pasal buku saya yang tidak seberapa itu. Walau ringkas namun saya jatuh hati padanya. Dari laman sewa buku. Apa pun terima kasih kerana membeli karya sulung saya. Sangat dihargai. Mari ikuti tulisan penulis laman tersebut :

Buku catatan pengalaman dan perjalanan Semalam Di Bumi Anbia ini mengimbau kembali kenangan pahit manis penulis ketika beliau menuntut di Jordan. Sebuah catatan pengalaman yang menjanjikan kenangan yang tidak akan dilupakan oleh pernulis. Pengembaraannya tidak hanya di Jordan, malah hampir keseluruhan tanah Arab dijelajahi, sama ada di Asia atau Afrika.

Catatan ini bermula dengan kehidupan penulis di alam persekolahan. Beliau melalui saat-saat yang sukar untuk ditempuhi bagi memilih jalan hidupnya sendiri. Beliau berada di dalam dilema sama ada mahu menuruti kata-kata orang tuanya atau kata hatinya. Segalanya terlerai apabila dia mengenangkan kembali kata-kata semangat dari ayah dan cikgunya.

Dan akhirnya penulis berjaya ke Jordan. Beliau mengaku bahawa apa yang dipilihnya adalah yang terbaik buat dirinya. Pelbagai tempat, ilmu dan budaya telah ditimba di tanah yang diberkati ini.

Bermula dari menjejak kaki ke bumi anbia Jordan, penulis berjaya meneruskan pengembaraan ke Mesir, Syria dan Istanbul, Turki. Penulis juga telah melakukan ibadah umrah dan haji dengan melalui perjalanan darat dengan menaiki bas rombongan jemaah haji. Segala pahit getir yang dirasai oleh pengembara dapat digambarkan dengan agak baik di dalam buku yang agak nipis ini. Sebagai seorang yang masih bergelar pelajar, pengembaraan yang sentiasa menitik beratkan soal budget yang rendah amat diutamakan. Masalah bahasa dan memahami arahan papan tanda juga menjadi cabaran yang agak besar pada pengembara.

Dengan membaca buku ini, selain pembaca dapat berkongsi pengalaman mengembara penulis, pembaca juga akan mendapat tip-tip yang penting sebelum memulakan sesebuah pengembaraan. Sebagaimana umum ketahui perbezaan budaya, bahasa, makanan dan adat resam sangat ketara di sesebuah negara. Untuk memudahkan dan melancarkan sesebuah pengembaraan, pengembara perlu belajar atau membuat sedikit homework mengkaji tentang budaya, bahasa dan makanan masyarakat setempat.

Saya pernah membaca kata-kata daripada seorang pengembara barat yang hidupnya hanyalah untuk mengembara dan menjelajah dunia iaitu ' Definisi kekayaan padaku adalah bila aku dapat memenuhkan dadaku dengan pengalaman mengembara dan menjelajah ke seluruh pelusuk dunia. Dengan itu aku dapat belajar dari manusia dan alam. Mereka mengajari bagaimana aku dapat menyatu dengan mereka supaya aku dapat menyelami kehidupan mereka"


MARILAH KITA MENGEMBARA KE LAUTAN KATA-KATA SESEBUAH BUKU SUPAYA KITA DAPAT MENYELAMI PERASAAN DAN FIKIRAN SI PENULIS


SUMBER :

http://jomsewabuku.blogspot.com/2010/12/semalam-di-bumi-anbia-firdaus-shahidin.html