Rabu, April 15, 2009

Kebiasaan Yang Memusnahkan


























Akhir-akhir ini saya tenggelam dalam kesibukan. Sibuk menjadi seorang mahasiswa yang ada tanggungjawab pada pelajaran juga sibuk sebagai seorang hamba Tuhan dalam kembara mencari keredhaan. Moga-moga hidup saya dan anda semua dipenuhi keberkatan, Insyaallah.

Saya suka untuk menulis tentang kebiasaan kali ini. Ya, kebiasaan saya, anda dan kita semua sehari-hari yang selalu mempengaruhi tingkah-laku kita saban waktu. Namun, kita seharusnya berhati-hati pada kebiasaan-kebiasaan kita ini. Kerana kebiasaan kita boleh memberi kesan kepada hidup kita di masa hadapan.

Yang saya maksudkan dengan kebiasaan di sini adalah semua perilaku yang kita suka buat dan lakukan pada setiap waktu, samada perbuatan tersebut baik, bermanfaat ataupun tidak elok dan tidak langsung berfaedah.

Ada orang kebiasaannya adalah membaca buku. Setiap detik waktunya digunakan untuk membaca, menelaah dan menambah ilmu. Ini sudah menjadi kebiasaan yang baik bagi dirinya. Begitu juga ada seseorang yang kebiasaannya menolong orang lain. Suka membuat kebajikan kepada masyarakat. Jika ada yang memerlukan bantuan, laju sahaja dia mengiyakan. Ini satu kebiasaan bagi dirinya dan kebiasaan ini juga baik dan bermanfaat. Ada orang yang kebiasaannya solat di awal waktu. Sudah tentu kebiasaanya ini amat baik dan amat bernilai bagi dirinya.

Kebiasaan-kebiasaan yang telah saya sebutkan pasti sahaja memberi kesan dalam menjadikan hidup seseorang itu 100% berfaedah dan tentu sahaja memacunya laju ke arah kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat.

Namun, ada juga dikalangan kita yang punyai kebiasaan yang kurang bagus, bahkan tidak elok untuk kita amalkan. Kebiasaan yang boleh sahaja memusnahkan!

Bagaimana yang dikatakan kebiasaan yang memusnahkan itu??

Saya bagi contoh, Abu merupakan seorang pelajar universiti terkemuka di tanah air. Dia adalah seorang pelajar yang cemerlang ketika di bangku sekolah. Namun ketika di universiti, pelajarannya tidak secemerlang dahulu, sentiasa merosot. Dia juga keliru. Ketika di sekolah dahulu persediaannya untuk peperiksaan dilakukan pada malam peperiksaan. Dia tidak banyak mengulangkaji, cukup dengan sekali baca sahaja buku-buku pada malam peperiksaan. Keputusannya baik, bahkan cemerlang. Semua A, berderet-deret. Namun kini, dia gagal mendapat keputusan yang sedemikian. Apa silapnya??


Azman adalah seorang pekerja di sebuah syarikat swasta. Sebelum dia bekerja di syarikat tersebut, sudah tujuh kali dia dibuang kerja dan bertukar-tukar majikan. Sebabnya mudah, dia sering lewat menyiapkan tugasnya yang akhirnya selalu memberi kesan kepada prestasi syarikat. Dia sudah biasa melewatkan kerja. Bila ditanya, " entah la, aku dah biasa macam ni. Tak sukalah buat kerja awal-awal, tak syok." Itu jawapannya.


Ema pernah beberapa kali dipulaukan oleh rakan-rakannya. Mereka benci dan menyampah kerana Ema suka berbohong. Tiada yang benar dalam tutur katanya. Setiap kalimah penuh dusta dan kepura-puraan. Dia sudah biasa begitu. Dari kecil dia selalu berbohong kerana takut dimarahi bapanya yang garang. Akhirnya kebiasaan waktu kecilnya membarah hingga dia dewasa. Dia kekal dengan kebiasaannya itu.

Lihat kepada dua situasi tadi. Apa masalah yang dihadapi oleh Abu, Ema dan Azman?

Anda tentu tahu jawapannya. Masalah kebiasaan diri. Inilah kebiasaan yang sering merosakkan hidup ramai dari kita. Kebiasaan yang akhirnya membawa sesal yang tak sudah dalam dairi hidup kita. Inilah kebiasaan yang memusnahkan!

Abu sudah biasa study di malam peperiksaan. Kebiasaannya itu tidak langsung boleh diubah. Dia sudah selesa begitu. Akhirnya kebiasaannya itu tidak lagi memberi kebaikan kepadanya akibat perubahan suasana, tempat, tahap pelajaran dan waktu.

Azman pula sering melengah-lengahkan kerja. Baginya kebiasaannya itu telah sebati dalam jiwanya. Dia selesa begitu, terkejar-kejar menyiapkan kerja dikala bos sudah merah-merah muka menahan murka.

Ema pula sudah biasa berbohong. Ramai orang bencikan dirinya. Kebiasaannya itu nyata menjadi sebuah bom yang memusnahkan dirinya, memusnahkan kredibilitinya sebagai seorang manusia yang jujur. Allah juga sudah tentu tidak meredhai hidup seorang pembohong sepertinya.

Bagaimana untuk berubah??

Solusinya mudah, renung ayat Allah SWT dalam surah Ar-Ra'aad : 11 bermaksud :

" ....sesungguhnya Allah tidak akan merubah sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.. "


Ya, kita sendiri yang perlu merubahnya. Bagaimana?? Cuba runtuhkan tembok kebiasaan ini. Bina dan wujudkan kebiasaan yang baik. Lawan. Lawan dan lawan lagi sampai berjaya menghapuskannya!

Jika kita hanyut dan biasa dengan kebiasaan-kebiasaan yang tidak elok ini, akhirnya hidup kita boleh musnah, menuju kehancuran dan menerima balasan yang tidak tergambarkan di akhirat kelak. Nau'zubillah min zalik.

Mari kita sama-sama menerobos kebiasaan kita. Cuba kita gantikan kebiasaan-kebiasaan yang memusnahkan kepada kebiasaan-kebiasaan yang membangunkan diri kita, bermanfaat dan mampu memacu kearah kecemerlangan.

Ingat, untuk menjadi orang yang berjaya, kita perlu ada kebiasaan yang mengarah kepada kejayaan. Cuba selidiki kisah-kisah orang-orang yang cemerlang dan berjaya, pasti kebiasaannya cukup berbebeza dari biasa.

Saya bawakan contoh adik Nik Nur Madihah, pelajar terbaik SPM yang memperoleh 20A dan menggemparkan negara baru-baru ini. Kebiasaannya berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis merupakan antara faktor kejayaannya selain fokus dan selalu mengulangkaji pelajaran. Lihat, kebiasaan yang menganugerahkan kejayaan bukan?

Kita bila lagi mahu berubah??

Tukar kebiasaan ini sebelum kita dihancurkan..

Selamat berubah.
Juga kredit kepada diri ini yang sering lalai dan alpa.

Salam koreksi diri.

1 ulasan:

MUslimah. berkata...

thnaxx...
dapat menyedarkan diri saya n sahabat lain diluar sana~~