Ahad, Mac 22, 2009

Kerjaya Dan Pengkhususan

























Semalam saya membelek-belek beberapa laman web untuk memberi santapan pada minda dan akal yang sentiasa kelaparan dek sedikitnya ilmu yang disuap. Ketika leka menyuap santapan ilmiah dari beberapa laman, saya terbaca sebuah artikel yang cukup menarik dan penting kepada bakal-bakal graduan khususnya dan para pelajar yang masih mencari-cari arah tujuan dan matlamat hidup yang benar-benar kukuh pada masa hadapan.

Jadi saya terasa tertarik untuk kongsikan dengan pengunjung blog saya ini yang tidak la seramai mana. Mungkin perkongsian ini ada manfaatnya pada kita semua. Teruskan membaca dan menyuap isi artikel ini.

MENYUSUN MINAT DAN PELUANG

Anda perlu menyusun atur minat agar ia boleh diterjemahkan kepada kepakaran dengan kemas dan beransur-ansur.

Sememangnya boleh untuk menjadi pakar dalam semua bidang yang diminati namun senarai panjang minat itu perlu disusun sebaiknya, saya menasihatkan anda agar memilih satu dahulu sebagai induk career. Fokus dan sasaran untuk diri anda menjadi terkehadapan di dalam satu bidang terlebih dahulu.

Dalam masa sama bidang-bidang lain yang diminati perlu juga sentiasa dikemaskini atau ‘update' dengan maklumat baru di bidang tersebut. Jika tidak mendalam sekalipun, namun perhatian kepadanya perlu ada khususnya bidang yang menduduki tempat kedua dalam senarai panjang anda. Malah beberapa pencapaian dalam bidang minat kedua ketiga dan keempat masih boleh diusahakan serentak ketika anda sedang komited dalam satu bidang yang paling utama.

Saya sememangnya memberikan komitmen kepada bidang muamalat tetapi ia tidaklah sampai menghalang saya menghasilkan karya tulisan, analisa dan ceramah dalam bidang solat, keluarga, isu semasa dan lain-lain isu fiqh. Namun tumpuan utama dan kebanyakan masa dihabiskan untuk mendalami kajian terkini bidang Fiqh Muamalat. Demikianlah..

Ada seorang pelajar yang memberitahu saya, ia minat menjadi penulis novel, tetapi kini dia sedang mengambil jurusan kejuruteraan, dalam masa yang sama ia juga minat perbahasan ilmiah berkenaan Islam.

Tatkala itulah dia perlu mengatur minatnya dan apa yang sedang di hadapannya sekarang. Jika ia benar-benar merasakan minatnya terhadap novel terlalu tinggi. Bagi saya first degree (ijazah pertamanya) mahu tidak mahu perlu diselesaikan terlebih dahulu. Ia penting sebagai back up bagi segala kemungkinan.

KEPERLUAN MENJADI SPECIALIST

Selepas kita meletakan satu priority bidang yang ingin dijadikan asas kerjaya, langkah seterusnya adalah mengkaji dan mengetahui cara dan kaedah bagi mencapai target itu. Setiap bidang punyai jalan masing-masing.

Sebagai contoh tadi, seorang pelajar kejuruteraan yang ingin menjadi novelis. Maka jalan untuk menjadi pakar dalam penulisan novel, tentulah seperti berikut :-

a- menggunakan waktu-waktu terluang dan kosong dengan mengasah bakat penulisan novel, dimulakan dengan penulisan-penulisan mudah di blog sendiri,

b- Mengenalpasti majalah untuk menghantar karya bagi mengenalpasti kualiti penulisan sudah mencapai standard majalah atau tidak,

c- Menghantar karya ke ruangan cerpen akhbar.

d- Menyertai pertandingan cerpen pendek,

e- Mula menjalin hubungan dengan persatuan penulis dan berhubung dengan penulis-penulis berpengalaman.

f- Memperbanyakkan bacaan berkenaan teknik tulisan sastera dan kaedah menjadikannya sastera berisi ilmu. Bukan sastera biasa.

g- Mencari tema cerpen yang masih kurang di dalam pasaran.Elakkan cerpen cinta remaja muda mudi yang dibuai kelalaian.

h- Setelah memperolehi keyakinan diri melalui beberapa hasil penulisan yang diterbitkan, bolehlah menjinakkan diri dengan penerbit buku bagi memulakan langkah seterusnya, iaitu membuku sebuah novel..dan begitulah seterusnya

Panjang lagi langkahnya cuma saya ingin memberikan idea, setiap bidang yang ingin anda jadi pakar di dalamnya memerlukan pengetahuan awal berkenaan : -

* Ilmu asas dan advance yang diperlukan ; kita tidak akan menjadi pakar jika ingin terus melompat dan mempelajari ilmu advance dalam sesuatu bidang sedangkan masih tidak masak berkenaan ilmu asas dan basicnya. Sebagai contoh seorang pakar atau specialist kewangan Islam, patut tahu setiap jenis aqad, elemen haram dalam kewangan, dalilnya, asas sistem perbankan moden, wang, istilah-istilah biasa dalam fiqh muamalat dan kewangan moden. Juga ilmu Usul Fiqh dan Kaedah Fiqhiyyah selain nas-nas utama Al-Quran dan Hadis dalam bidang kewangan. Juga bahasa perantaraan apa yang perlu, bahasa arab, english dan sebagainya.

* Sumber ilmu dan maklumat ; seorang pakar dan specialist digelar sedemikian kerana mendalam dan jauhnya coverage ilmunya, pengamatan dan pengalamannya dalam bidang tersebut. Justeru, perlu dikenalpasti dari awal apakah sumber ilmu dalam bidang ini, adakah di perpustakaan atau di pasaran?. Di bilik kuliah universiti atau pejabat korporat dan lainnya.

* Institusi autoriti ; pakar mestilah mengenalpasti institusi berkaitan dalam bidangnya, jangan pula seorang yang mendakwa pakar daam bidang kewangan Islam tetapi tidak mengetahui apakah itu AAOIFI dan IFSB Ia hanya akan membuka aibnya.

* Buku rujukan utama ; pakar pastinya mampu merujuk dengan berkesan apabila timbul permasalah dalam bidangnya, tatkala itu sebarang buku dan rujukan wajib yang paling berautoriti dalam bidangnya hasil tulisan pakar silam dan semasa perlu diketahui. Dalam Bidang kewagan dan perbankan Islam contohnya, amat penting diketahui buku al-Ma'ayir As-Syar'iyyah oleh AAOIFI dan begitulah dalam bidang yang lain juga pasti adanya buku rujukan utama.

* Role Model; elok jika anda punyai model dalam mencapai sasaran anda sebagai pakar, dengan demikian lebih mudah untuk diukur tangga kejayaan anda sudah semakin dekat atau sebaliknya.

* Langkah-langkah praktikal ; Buatkan perancangan masa dan langkah praktikal satu demi satu, jangan terlalu ideal dalam merancang, kerana walau sehebat manapun target anda, jangan dilupa cabaran kehidupan di sekeliling masih perlu diberikan masa; isteri atau suami anda, anak, urusan teknikal di rumah dan keluarga, masyarakat setempat dan sebagainya masih punyai hak ke atas diri anda. Jangan abaikan mereka.

Tanpa memastikan checklist di atas telah selesai, seseorang akan sesat di tengah-tengah jalan menyebabkan sasarannya tidak kesampaian, terhenti di tengah jalan, akhirnya tidak pakar dalam semua bidang walaupun banyak bidang yang diminati dan boleh dikuasai.

Justeru itu, jika anda mensasarkan diri menjadi Perdana Menteri sebagai contoh, anda perlulah dari sekarang untuk memahami sistem politik dan terjun dalam bidang politik kepartian. Mengasah bakat dan menunjukkan bakat dalam bidang tersebut. Kerana bidang politik tidak memerlukan apa-apa sijil rasmi untuk menjadi pakar maka ramai orang mampu menjadi pakar dalam bidang ini, termasuk kaki menipu.

Demikian juga dalam bidang-bidang yang lain.

DI MANA KEKUATAN SEORANG SPECIALIST?

Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, SESEORANG tidak akan digelar specialist atau pakar tanpa bacaan kitab dan sumber rujukan yang berulang sehingga puluhan atau ratusan kali di dalam bidangnya.

Terasa malu diri saya bila mengingati kembali, semasa saya menamatkan dua buah buku berkaitan kad kredit dalam Islam ketika di Jordan, saya merasakan sudah boleh berfatwa dalam bidang itu dan telah meliputi majoriti ilmu berkaitannya. Amat tertipulah saya ketika itu.

Saya menyedari keadaan itu hanya setelah pulang ke Malaysia dan berkecimpung dalam bidang kewangan secara aktif dan praktikal. Barulah disedari bahawa terdapat 80 % lagi ilmu dan perbincangan terperinci berhubung hal itu yang tidak saya ketahui ketika di Jordan.

Oleh sebab itu, saya menasihati diri dan rakan-rakan agar memberikan pertimbangan lebih kepada panduan seorang specialist yang pakar, kerana kemungkinan panduan dan kalimah yang diberikan kepada anda adalah ringkas dan adakalanya mungkin kelihatan tidak mendalam, namun tanpa anda sedar, panduan itu dikeluarkan hasil cernaan ratusan buah kitab, puluhan kertas kerja, ratusan jam pengamatan, penelitian hujah pihak penyokong dan penolak selama berpuluh jam dan sebagainya. Kerana itulah mereka mampu menjadi pakar dan specialist.

Jika mereka seorang pensyarah universiti, hasil perulangan beratus jam itu, mampu sahaja mereka mengajar di dalam kelas atau menjawab soalan secara spontan dan mudah. Kebolehan itu tidak datang dengan mudah, ia datang dengan ratusan jam pembacaan, pemahaman dan kesimpulan dari puluhan kitab, buku, artikel dan kertas kerja.

Hasil sebab itulah anda perlu sasarkan untuk menjadi pakar dalam satu bidang sahaja terlebih dahulu, kerana anda perlukan ribuan jam untuk mencernakan hampir semua maklumat dalam bidang anda. Hanya selepas sampai satu peringkat barulah tepat untuk seseorang itu mengembangkan kepakaran kepada bidang lain pula.

Walaupun secara kebetulan pandangan pakar itu sama dengan orang biasa, namun asas dan foundation kepada lahirnya pandangan itu adalah tidak sama.

Dan jangan anda merasakan, apabila seorang pakar menulis dan disertakan sesuatu hujah, maka itulah sahaja hujjah yang dipunyai olehnya dan dijadikan asas dalam kesimpulannya. Pada kebiasaanya apabila seorang pakar menulis kepada orang awam atau bukan kalangan mereka yang takhassus dalam bidang tersebut, ia hanya mengeluar 40 % - 50 % dari buah ilmunya. Bakinya hanya akan dikeluarkan apabila perlu dan di dalam perbincangan sesama pakar. Malah jika dikeluarkan sekalipun, ia mungkin sahaja tidak dapat difahami oleh pembaca awam.

Saya bukan menulis ini untuk anda menghormati pakar secara membuta tuli, kerana bukan semua professor di Universiti itu pakar, bukan juga semua mufti itu reti dan specialist, bukan juga semua tuan guru atau tuan Syeikh itu pakar dalam semua bidang Islam, semua berhak menyaring dan menyemak pendapat individu sebegini. Kerana di zaman ini, ramai professor kangkung, Phd Beli, tuan syeikh sesat, mufti bermazhab wang, ustaz kaki kelentong dan lain-lain. Justeru, bijaklah dalam menapis.

PENGKHUSUSAN SAYA

Saya ada terbaca tulisan sahabat saya, Al-Fadhil Ust Hasrizal Abd Jamil berkenaan ilmu beliau dalam bidang muamalat, dan minatnya yang menjurus ke arah bidang kekeluargaan. Terima kasih atas sangka baiknya untuk mengkategorikan saya sebagai seorang yang specialize di dalam bidang muamalat. Sememangnya itu sasaran utama saya, iaitu specialist bidang Muamalat dan saya masih dalam perjalanan mencapainya, namun bukan itu sahaja, banyak lagi, cuma saya sedang menyusunnya satu demi satu dan bidang kewangan dan muamalat ini berada di bahagian yang teratas sekali buat masa ini.

Berkenaan mengapa saya menjadikannya bidang tumpuan utama dan karier, mungkin terlalu kompleks dan panjang untuk disenaraikan. Namun perlu diingat saya sendiri sebenarnya tidaklah begitu meminati bidang ini pada awalnya, cuma keperluan mendesak serta kekurangan ilmuan Syariah yang pakar dan specialist dalam bidang ini menjadikan saya memaksa diri yang tidak minat untuk menjadi minat.

Jika itu anggapan awal orang ramai dan rakan terhadap anda, ini bermakna anda sedang berada atas jalan yang betul untuk benar-benar menjadi pakar dalam bidang tersebut, malah bidang yang sedang anda sasarkan sudah terlihat jelas oleh rakan-rakan dan masyarakat. Ia suatu tanda yang positif.

Bagi saya, bidang muamalat ini sedang berkembang pesat dan masih di peringkat awal, justeru menceburi bidang ini sekaligus memberikan saya peluang untuk berada di dalam kumpulan hadapan atau lebih bertuah jika mampu menjadi pioneer yang bakal menunjukkan jalan kepada kebaikan dan perkembangan kewangan halal. Nabi s.a.w bersabda :-

من سن في الإسلام سنة حسنة فله أجرها ، وأجر من عمل بها من بعده من غير أن ينقص من أجورهم شيء

Erti : "Barangsiapa yang menunjukkan jalan dan mempelopori sesuatu kebaikan, lalu orang mengikutinya, baginya pahala sebagaimana mereka yang melakukannya" (Riwayat Muslim)

DI SAMPING KEBAIKAN AKHIRAT

Pastinya minat seseorang bercabang kepada pelbagai jenis dan bidang. Apa yang lebih penting adalah kebijaksanaan kita untuk memandu minat kita ke arah sesuatu yang mampu dan berpotensi memberikan ruang pahala selain manfaat dunia. Atau sekurang-kurangnya, kita punyai idea untuk mengubah suai kerjaya yang pada asalnya bukan dalam acuan keagamaan kepada paradigma baru yang membantu promosi kebaikan Islam.

Sebagai contoh melalui filem mungkin anda minat menjadi pakar filem, kartun, jurutera, akauntan, doktor, arkitek, petani moden, usahawan, mekanik dan banyak lagi. Benar, banyak kerjaya yang secara sekilas pandang bukan bentuknya seperti pendakwah, namun semua kerjaya masih boleh diniatkan sebagai ibadah, malah lebih dari itu, ia mampu diubah suai sehingga mampu menyumbang sesuatu untuk Islam secara langsung.

Tambahan lagi, seseorang pakar dalam bidang-bidang ini sebenarnya boleh dan tentunya mampu menguasai bidang Islam secara berasingan, menggunakan pengaruh dan pandangan tinggi masyarakat kepada status pakar dalam bidangnya untuk promosi Islam, masih boleh memanfaatkan kecerdasan aqal yang dianugerahi Allah swt yang adakalanya lebih tajam dari sensitiviti seorang ustaz dan lebih teliti dalam pembacaan hukum dan dalil dari seorang yang berlatar belakangkan pengajian agama.

Rancanglah ia sebaiknya, jadikan diri sebagai pakar dalam satu bidang terlebih dahulu dan pastikan ia boleh memberikan manfaat dunia dan akhirat.

Bidang pilihan saya iaitu kewangan Islam. Menurut penilaian saya, ia sesungguhnya membuka peluang pahala dan keredhaan Allah swt kerana usaha memperkembangan kewangan halal, menjauhkan manusia dari riba, gharar dan perjudian, selain itu ia turut menawarkan ganjaran keduniaan yang agak baik. Sebagai contoh, walaupun saya telah menjadi pensyarah (ahli akademik) dan tidak lagi bertugas sebagai full time Islamic banker, namun saya dapat melihat betapa banyaknya peluang kerja dalam bidang ini yang masih terbuka di hadapan mata, walaupun di ketika zaman kegawatan ekonomi ini.

Malah, sepanjang keberadaan saya di United Kingdom atas tujuan menyiapkan PhD, baru 8 bulan saya di sini, tawaran dan peluang kerjaya sepenuh masa atau part time dalam bidang kewangan dan perbankan Islam sentiasa wujud dan datang. Saya ada menerima pelbagai tawaran bertugas di Bahrain, Kuwait, Singapura, Malaysia, Qatar dan Dubai. Tawaran dengan jumlah pendapatan yang amat menarik, sehingga sebuah institusi menawarkan pendapatan sebanyak USD 210,000 setahun sebagai basic salary. Banyak ?. Nah, jika anda inginkan tawaran yang sama, dewasa ini ia tidak semestinya hanya di fakulti kejuruteraan, kedoktoran dan lain-lain profesion yang sering dianggap berteraskan sains dan teknologi. Justeru, jangan lagi ada yang sentiasa serong pandangan dengan lulusan keagamaan.

Namun, perjalanan mencapai sasaran dan target perlukan displin tegas, justeru saya terpaksa menolak semua tawaran-tawaran kerja sepenuh masa (full time) kerana komitmen kepada sasaran yang telah digariskan. Saya kira, anda turut perlu komit dengan perancangan anda untuk menjadi pakar. Jika asyik terpesong ke sana dan ke sini kerana mengejar tawaran lumayan, matlamat akan asyik tertangguh dan akhirnya terpadam di separuh jalan.

IJAZAH PERTAMA BUKAN PENENTU

Satu lagi fakta yang ingin saya kongsikan, ijazah pertama anda tidak semestinya menentukan anda terhad untuk menjadi pakar dalam bidang tersebut sahaja. Saya sendiri ijazah pertama dari aliran Usuluddin, pengkhususan tafsir dan pentadbiran awam, namun sekarang saya sedang di dalan perjalanan dalam bidang Syariah dan Kewangan Islam.

Bagi saya, ijazah pertama hanyalah pembuka jalan, selanjutnya anda perlu merancang. Mereka yang telah beroleh ijazah pertama sebenarnya telah berjaya membuktikan capability diri untuk mempelajari pelbagai ilmu lain. Namun masih perlukan panduan dan guidance untuk menjadi pakar. Justeru, waktu untuk menentukan bidang apa yang ingin diceburi tidak tertutup oleh ijazah pertama anda. Terutamanya bagi mereka yang ingin menjadi pakar dalam bidang yang lebih terbuka seperti politik, penulisan novel dan cerpen.

Malah seorang lepasan ijazah sains, jurutera dan lainnya mampu menjadi pakar Fiqh Islam, tafsir dan lainnya jika kena cara dan jalannya. Boleh sahaja ia mengambil ilmu dari sijil-sijil rasmi di Universiti atau tidak rasmi di pondok-pondok dan pengajian khusus Islam yang lain. Yang penting bergerak ke hadapan dengan perancangan yang teliti dan dengan ilmu bukan secara sembrono.

Akhir kata, pasakkanlah ayat ini dalam diri di ketika membuat perancangan diri di atas dunia yang sementara ini. Firman Allah swt:-

يأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ( Al-Hasyr : 18 )


Sumber : www.zaharuddin.net

Ahad, Mac 08, 2009

Cinta Yang Disisihkan
















Membicarakan seputar kisah cinta boleh sahaja membuat mata remaja yang mengantuk kembali terang-benderang, badan yang kepenatan kembali menyegar. Ya, cinta itu satu sinergi. Tiada yang dapat menafikan kuasa cinta. Katakan apa sahaja, manusia sanggup melakukannya demi sebuah cinta.

Bolehkah kita ingin menghayati cinta? Bukankah cinta itu satu sinergi kepada manusia??

Boleh. Manusia yang menolak cinta adalah manusia yang menafikan fitrah kejadiaan sebagai seorang manusia. Tetapi manusia sering sahaja tersalah dalam mendifinisikan erti dan makna sebuah cinta. Selalu-selalu cinta kepada manusia itu, ditakrifkan sebagai cinta yang indah, seronok dan besinergi hebat. Cinta kepada dunia itu cinta yang penuh warna-warni syurga, bagai kenikmatan itu tidak mampu dinilai.

Saya juga sering sahaja melakukan kesilapan itu, tidak saya nafikan. Maka penulisan saya ini sebenarnya satu teguran paling ampuh untuk mengetuk hati keras saya agar kembali melentur lembut. Agar kembali ke jalan yang benar, biar diajar erti kedudukan cinta yang selayaknya pada hati saya. Anda semua, boleh ambil pengiktibaran darinya, Insyaallah.

Kembali kepada definisi cinta. Sebenarnya, cinta yang dikatakan cinta itu adalah hanya layak untuk Allah SWT. Yang indah dan besinergi hebat itu, yang cantik dengan penuh warna-warni itu hanya dalam jajaran cinta-Nya. Kita semua diciptakan atas dasar cinta oleh Tuhan Maha Esa. Tapi kita lupa untuk kembalikan rasa cinta itu kepada pemilik yang selayaknya. Sungguh kita selalu-selalu menyisihkan rasa pada cinta itu. Itu cinta paling atas, paling tinggi tingkatnya.

Jika saya bicara, " saya sudah cintakan Tuhan!", lalu saya suka-suka cinta pada makhluknya. Bagaimana dengan kedudukan kecintaan saya??

Masih salah sebenarnya. Selepas kecintaan yang tertinggi itu, perlu mengiring di sisinya cinta pada Kekasih-Nya yang tercinta iaitu insan mulia, Nabi Muhammad SAW. Jika diteliti, baginda Rasul SAW sebenarnya awal-awal telah mengajar erti cinta pada kita semua. Bagaimana cintanya Baginda SAW kepada umatnya begitulah selayaknya kita kembalikan rasa cinta kepada Baginda SAW.

Namun cintanya sering sahaja disisihkan.

Cuba kita fikirkan sejenak. Benar atau tidak kita sisihkan cinta itu??

Kita tahu bila kelahirannya? Bila tarikh kewafatan Baginda?? Hafal hadis-hadisnya?? Siapa nama ayah dan ibu Baginda? Bagaimana perjalanan hidup Baginda? Siapa nama anak-anak Baginda? Isteri-isteri Baginda? TBila Baginda diutuskan buat umatnya yang ada sebahagian menyisihkan cintanya? Kita hafal sirah perjuangannya?? Tahu apa yang disukai Baginda?? Tahukah kita bagaimana saat-saat pengakhiran usianya??

Sesungguhnya benar-benar kita menyisihkan cinta itu. Kita tidak tahu bahkan sedikit sahaja perihal hidup Baginda SAW.

Jika kita kata kita cinta, " Ya, Aku cinta yang amat pada baginda Rasul SAW! Benar! ", tapi kita tandus sejarah hidup Baginda SAW, bagaimana berani kita menyatakan sepenuh kecintaan kepada Baginda SAW??

Ketika sakit menghadapi sakaratul maut diakhir hayat Baginda, sempat Baginda SAW mendoakan agar diringankan kesukaran maut yang dihadapi Baginda SAW dan diringankan untuk sekalian umatnya.

Itu bukti cintanya pada umatnya! Bagaimana hati kita boleh tidak terdetik rasa rindu pada Baginda SAW? Bagiamana kita lupa perintah untuk mencintainya?? Bagaimana hati kita tidak bergetar saat diperingatkan tentang Baginda SAW??

Sungguh-sungguh kita sisihkan cinta itu.

Ingatlah bagaimana Baginda Rasul SAW mengorbankan segalanya demi kecintaan untuk kita semua. Baginda berpenat letih, dilempar batu hingga berdarah kepalanya demi kita, bengkak kakinya demi pengabdiannya pada Allah SWT dan demi dakwah untuk kita semua, menghadapi berbagai kesukaran hanya demi kecintaan kepada kita semua.

Apa yang kita lakukan sebagai balasan sebuah cinta agung sebegitu mulia??

Kita risau akan kekasih kita yang luka, kita susah hati bila kekasih hati dikasari, kita tidak sanggup orang yang kita cinta menghadapi kesukaran, kepayahan, kepenatan dan keletihan namun baru berapa ketika cinta itu berbunga. Pernahkah kita fikirkan tentang Rasul SAW yang telah lama mencintai kita?? Terbandingkah segalanya??

Sungguh kita lupa dan menyisihkan cinta itu.

Sengaja saya timbulkan banyak persoalan agar kita semua renung dan fikirkan jawapannya. Jika benar-benar cinta itu telah tersisih maka hampirkan ia kembali ke dalam lingkungan hati. Cinta pada Rasullullah SAW itu juga merupakan cinta yang terus kepada Allah Maha Esa. Cinta dari Kekasih kepada Kekasih kepada umat manusia.

Bersempena dengan Maulidur Rasul ini, mari kita sama-sama menyemak kembali helaian-helaian sirah junjungan mulia, Rasul SAW. Kita perkukuhkan kembali cinta yang kita selalu-selalu sisihkan. Kenal dengan sebenar-benar kenal, hayati sunnahnya, Insyallah cinta itu akan segar berputik dan akhirnya akan berbuah di laman hati yang subur dengan siraman keimanan, Insyaallah.

Saya di sini mengingatkan diri saya sendiri yang alpa dan leka, tempias anda membaca teguran diri ini, saya doakan akan anda semua beroleh dan dapat menghayati kecintaan yang mulia ini. Cinta yang benar-benar sejati, bukan lagi mainan ilusi.

Salam Maulidur Rasul,

Selawat dan salam buat junjungan mulia, Rasul Tercinta SAW.

Salam rindu dari umatmu tercinta.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Selasa, Mac 03, 2009

Kembali Bernafas









Alhamdulillah. Satu luahan penuh syukur terlafaz saat masalah yang menyelubungi saya dan teman-teman serumah berjaya diselesaikan. Ya, petang tadi sebelum ke kelas, masalah yang hampir-hampir membuat kami semua lemas telah dirungkai akhirnya.

Masalahnya tidaklah sebesar mana, cuma talian internet rumah kami ini telah terputus sejak lebih sebulan yang lalu. Ketiadaan internet menjadikan kami hampir-hampir menyerupai putera katak yang duduk di bawah kotak. Hanya mengetahui apa yang berlaku di sekeliling sahaja dan jika tahu mengenai dunia luar sekali pun, hanyalah dari teman-teman lain.

Kadang-kadang, kami menumpang rumah abang-abang senior yang baik hati, dapat mengorek-ngorek maklumat sedikit,terima kasih. Kadang-kadang terpaksa mengharung sejuk ke cafe cyber yang terdekat. Itu sahaja cara untuk dapat mencapai talian internet.









Memang sekarang ini, internet merupakan sesuatu yang penting dan juga boleh dianggap keperluan kepada manusia, terutamanya pelajar seperti kami. Memang penggunaannya ada positif dan negatifnya tetapi sebagai pelajar yang berakidahkan Islam nan suci, pandai-pandailah menggunakan teknologi untuk keperluan yang berkualiti.

Islam tidak melarang umatnya untuk mengaplikasikan teknologi dalam kehidupan seharian bahkan menggalakkan lagi penggunaannya asalkan tidak melebihi garis sempadan yang telah ditetapkan. Teknologi internet mampu menjadi wasilah atau alat yang cukup berkesan untuk menyampaikan kebenaran agama Allah SWT ini. Ia nyata mudah, cepat dan pantas.

Statistik yang dikeluarkan Internet World Stats mencatatkan di Asia sahaja terdapat 364.4 juta pengguna internet. Jika dibandingkan dengan negara-negara maju lain pasti lebih tinggi bukan?

Jadi, di sini kita perlu mengambil peluang yang ada bagi memberi pencerahan kepada umat manusia tentang agama Islam agar mereka tidak lagi mamandang Islam secara sebelah mata. Agar mereka tidak lagi mengganggap Islam sebagai agama penaja keganasan.

Kita juga boleh saling mengingatkan sesama saudara kita, sesama umat Islam sendiri untuk menegakkan kebaikan dan menjauhkan kemungkaran. Bersama-sama berkongsi maklumat dan ilmu demi membaik pulih imej ummah yang tercalar.

Rasul SAW ada berpesan melalui hadisnya yang bermaksud : " Sampaikan daripadaku walau satu ayat " ( riwayat Bukhari ).

Jadi, apa tunggu lagi??

Jika anda semua punyai talian internet dan tidak menghadapi masalah seperti kami secara berterusan, gunakan peluang ini untuk menyampaikan kebaikan kepada yang lain. Percayalah, ganjaran yang menanti lebih dari sekadar mendapat intan berlian, lebih hebat dari sekadar menjejak bulan.

Ingat juga, orang-orang yang beruntung itu adalah orang-orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Jom, bersama saya 'bekerja' di alam maya.













Akhirnya, terima kasih diucapkan buat saudara Hamad TT kerana usaha kerasnya berjaya menyambung oksigen maya kami. Penghargaan khas walaupun dia tidak bisa berbahasa Melayu.