Abdullah Nasih Ulwan menggariskan beberapa
sifat yang sepatutnya ada pada seseorang pendidik agar kesan didikannya pada
anak-anak didiknya. akan lebih mendalam dan lebih berkesan. Sifat-sifat
tersebut adalah :
11)
Ikhlas
Para Ulama menyebutkan :
“ Seorang pendidik wajib membersihkan niatnya, dan bersifat ikhlas terhadap Allah dalam segala amal pendidikan yang dilakukannya, samada amalan itu merupakan perintah, larangan, nasihat, perhatian atau hukuman.
Perintah tentang ikhlas telah
dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah :
“ Dan tiadalah mereka itu diperintahkan melainkan supaya mereka menyembah Allah dalam keadaan mengikhlaskan agama kepada-Nya”. ( Al-Bayyinah : 5)
Sabda Rasullullah SAW :
“ Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima suatu amalan melainkan apa yang ikhlas kepada-Nya, dan yang ditujukan hanya untuk-Nya. (Riwayat Abu Daud dan Annasai)”
Selepas memberi pengajaran, setiap
pendidik hendaklah membersihkan niatnya dan menunjukkan setiap kerja yang
dilakukan itu hanya semata-mata kerana Allah agar dia mendapat redha
daripada-Nya dan dia kemudiannya dikasihi dan dihormati oleh
pelajar-pelajarnya.
22)
Bertakwa :
Sifat yang kedua perlu dimiliki oleh
setiap pendidik ialah takwa. Sifat ini ialah sebagaimana yang dijelaskan oleh
para ulama seperti berikut :
“ Agar anda tiada dilihat Allah
ditempat larangan-Nya, dan tidak sampai tidak didapatinya ditempat
suruhan-Nya.”
Setengah yang lain pula berkata :
“ Membimbangkan seksa Allah dengan
mengerjakan amalan yang baik, dan takut kepada-Nya secara rahsia dan
terang-terangan.”
Setiap pendidik tergolong dalam
kumpulan orang-orang yang wajib mematuhi semua perintah dan petunjuk Allah
disebabkan mereka menjadi ikutan dan orang yang bertanggungjawab tentang pendidikan
anak-anak atas asas-asas keimanan dan pengajaran Islam.
33)
Berilmu pengetahuan :
Pendidik seharusnya berilmu, mengenali
dasar-dasar pendidikan yang ditunjukkan oleh syariat Islam dan dia juga
mengetahui urusan-urusan halal dan haram. Dia juga hendaklah cukup faham
tentang prinsip-prinsip akhlak dan segala peraturan Islam serta kaedah-kaedah
syariatnya secara umum. Ini adalah kerana ilmu yang meliputi semua perkara ini
akan menjadikan si pendidik seorang yang berilmu, bijaksana, tahu meletakkan
setiap perkara pada tempatnya dan akan mendidik pelajar-pelajarnya menurut
usul-usul pendidikan dan cara-cara yang benar.
Dia juga akan melalui jalan kebaikan
dan pendidikan terhadap asas-asas yang kukuh daripada pengajaran al-Quran,
petunjuk Nabi Muhammad SAW dan tauladan yang mulia daripada perjalanan generasi
pertama yang terdiri daripada para sahabat serta para tabiin yang datang
sesudah mereka dengan baik.
44)
Pemaaf :
Antara sifat-sifat asasi yang
membantu kejayaan pendidik dalam tugas pendidikan dan tanggungjawabnya dalam
pembentukan dan perbaikan pelajar ialah sifat sederhana dan pemaaf. Sifat itu
akan menarik para pelajar kepada gurunya dan mereka akan menyambut kata-kata
dan perintahnya.
Menerusi sifat ini juga akan
membentuk si anak dengan adab yang terpuji dan meninggalkan sifat yang terkeji.
Oleh yang demikian, Islam telah menggalakkan manusia bersifat pemaaf terhadap
orang lain. Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasullullah SAW yang
menyeru supaya manusia khususnya para pendidik dan para dai menyedari bahawa
sifat pemaaf itu adalah antara sifat-sifat utama dari segi moral dan rohani
yang akan meletakkan manusia di kemuncak adab dan kesempurnaan budi pekerti.
55)
Bertanggungjawab :
Para pendidik seharusnya menyedari
akan tanggungjawab mereka yang besar dalam mendidik anak-anak dalam soal
keimanan dan kelakuan, membentuk mereka dalam soal jasmani dan rohani, serta
melengkapkan mental dan sosial mereka. Perasaan ini hendaklah sentiasa ada
dalam diri pendidik ketika dia memimpin anak-anak didiknya.
Dia hendaklah selalu merasa bimbang
bahawa jika dia lalai atau cuai walaupun sebentar semasa menjalankan tugas maka
si anak akan tersungkur ke dalam kerosakan selangkah demi selangkah. Sebaliknya
jika dia lalai terus-menerus, maka tidak mustahil si anak itu akan tergolong dalam kumpulan anak-anak yang jahat dan
golongan pemuda-pemuda yang menyeleweng. Pada ketika itu sukarlah bagi
mana-mana pendidik untuk memperbaiki dan membetulkannya.