Selasa, April 20, 2010

Cara Menggunakan Hasil Riba ( Interest/Faedah Bank )

Artikel-artikel sebelum ini telah banyak saya sentuh isu berkenaan dengan riba. Saya telah nyatakan serba sedikit takrif, dalil pengharaman dan perbezaannya dengan jual beli. Saya juga ada menyebut tentang aplikasi riba di bank dalam entry saya bertajuk " Riba : Masih Ramai Tidak Beri Perhatian."

Kali ini saya hanya mahu mencatat ringkas berkenaan dengan cara menggunakan hasil riba yang kita terima contohnya interest/ faedah dari bank-bank konvensional yang kita langgani.

Kita telah tahu amaran-amaran keras dari Al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi SAW berkenaan pengharamannya dan dosa yang akan menimpa pemakan riba. Tapi kita belum tahu apa yang perlu kita lakukan terhadap harta-harta atau hasil riba yang kita perolehi.

Adakah kita perlu biarkan sahaja di dalam bank??

Atau kita keluarkan dan buang duit hasil riba itu ke dalam sungai??

Atau kita bakar sahaja??

Hendak diguna sudah tentu haram dan berdosa. Jadi bagaimana??




Insyaallah di dalam post ini saya akan terangkan dan buka jalan penyelesaian kepada anda sekalian.

Untuk mereka yang baru sedar akan keterlibatan mereka dengan dosa riba dan takut lagi gerun akan amaran-amaran keras Allah SWT, bertindaklah segera! Mungkin sudah tiba masanya anda bertukar kepada produk kewangan atau perbankan yang diyakini menjalankan sistem Islam.

Bagi yang sengaja menggunakan produk kewangan konvensional untuk mendapat pulangan dalam bentuk interest dan faedah pula, segeralah bertaubat. Tinggalkan rezeki yang tidak halal lagi besar dosanya itu.

Sumber Haram.

Dalam Islam, harta haram boleh diklasifikasikan kepada dua keadaan iaitu :

Haram kerana zatnya : Contoh bagi keadaan ini adalah anjing, babi, bangkai dan arak serta yang bersangkutan dengannya seperti air yang memabukkan lainnya. Barang-barang ini dijatuhkan hukum haram dalam apa-apa pun keadaan. Hatta memperolehinya dengan cara yang halal.

Haram kerana cara memperolehinya : Harta ini diharamkan bukan kerana zatnya tetapi kerana sifatnya. Contohnya seperti harta curi, hasil penipuan, riba dan sebagainya. Walaupun asal keadaan harta itu adalah halal tetapi cara kita memperolehinya menjatuhkan ia kepada hukum haram. Ahli Fiqh meletakkan satu kaedah yang mudah iaitu :

تَغَيُّرُ أَسْبَابِ الِمْلِك يُنَزَّلُ مَنْزِلَةَ تَغَيُّرِ الأَعْيَان

" Berubahnya cara memperoleh sesuatu barang itu dihukumkan kepada perubahan kepada barnag tersebut. "


Maksudnya, jika salah cara walaupun asalnya adalah halal maka barang itu akan bertukar haram.

Maka tidak syak lagi bahawa hasil riba adalah dari harta haram kategori kedua iaitu haram disebabkan cara memperolehinya. Asal wang itu adalah halal, maka perlulah kita menyalurkan kepada masyarakat umum dengan cara yang halal iaitu dengan sedekah dan sebagainya.

Ulama menyarankan kita menggunakan hasil riba untuk diinfaqkan kepada masyarakat awam bagi kepentingan umum. Contohnya adalah seperti pembinaan jalan raya, tandas awam, jambatan dan sebagainya.

Perkara-perkara yang mulia tidak boleh kita lakukan dengan menggunakan hasil riba. Contohnya seperti pembinaan masjid, membeli al-Quran dan membayar zakat.

Allah SWT menyebut di dalam surah al-Baqarah ayat 267 maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, infaqkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu keluarkan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan enggan terhadapnya. Dan ketahuilah Allah Maha Kaya , Maha Terpuji."

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :

((أن الله طيب لا يقبل ألا طيبا ))

" Allah itu sukakan kebaikan dan Dia tidak menerima melainkan kebaikan "

Jadi, daripada dua dalil ini, maka ulama tidak membenarkan kita menginfaqkan atau menyedekahkan hasil riba kepada pembinaan rumah Allah dan perkara-perkara yang menjurus langsung kepada pengibadatan yang khusus. Ini bagi menghormati dan membesarkan Tuhan Rabbul Jalil.

Berikut adalah beberapa kaedah membelanjakan hasil riba ;

1. Membuat jambatan.
2. Membuat jalan raya.
3. Tandas awam.
4. Selipar untuk digunakan di masjid atau kawasan-kawasan lain.
5. Sabun, penyapu dan segala peralatan yang sepertinya untuk kegunaan awam
6. Disalurkan kepada badan kebajikan dan NGO-NGO yang melakukan kerja-kerja kebajikan.


Segera buat keputusan untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Sama-sama menjauhi dosa riba!


~ The Idealist : Leading the development of Ummah! ~




Ahad, April 18, 2010

Travelog Haji Muda Siri 3 : Mula Berihram.



Hari ini adalah hari terakhir saya di Madinah. Insyaallah, saya dan jemaah haji yang lain akan bergerak ke Mekah seusai solat Jumaat, itu perkhabaran yang diterima dari wakil kami.

Berita ini juga memaksa kami untuk segera berkemas dan bersiap-siap apa yang perlu. Barang-barang yang dibeli sebagai buah tangan buat rakan-rakan perlu dimasukkan ke dalam beg. Kurma, jubah dan sebagainya perlu disusun kemas dan rapi. Segala barang-barang perlu dikemas berhati-hati agar tidak ada yang tertinggal.

Kami semua siap membeli barang-barang kiriman dari rakan-rakan dan milik peribadi di Madinah. Bukan apa, untuk kemudahan dan untuk lebih fokus pada ibadah nanti. Tidaklah nanti haji ditunai, hati di kedai. Jika semua urusan dunia sudah selesai, moga-moga hati fokus dengan ibadah yang bakal ditunai.

Selesai solat Jumaat, saya dan rakan-rakan bergegas pulang ke hotel. Kami perlu besiap untuk perjalanan ke Mekah. Beg dan segala barang-barang yang dibawa juga perlu dibawa turun segera.

Bukan apa, takut tidak ada ruang lagi untuk beg-beg kami disimpan.Jemaah Arab ini kalau memborong barang, berlori-lori lagaknya. Melebihi kadar yang sepatutnya.

Saya dan rakan sebilik sepakat untuk berihram terus dari hotel. Rasanya lebih mudah begitu, jika di miqot nanti pasti keadaan sesak. Memandangkan hari ini, semua jemaah haji yang masih berada di Madinah akan bertolak ke Mekah, keadaan pasti menyesakkan.

Jadi kami pun masing-masing menunggu giliran untuk membersihkan diri sambil melakukan beberapa perkara sunat sebelum berihram. Nak tahu apa dia perkara sunat tersebut??

Antara perkara-perkara sunat yang perlu dilakukan sebelum berihram adalah :

1. Mengerat kuku.
2. Mengandam misai, janggut, dan rambut, menanggalkan bulu ketiak dan ari-ari.
3. Mandi sunat Ihram.
4. Memakai minyak rambut dan bau-bauan.
5. Memakai pakaian Ihram berwarna putih.
6. Sembahyang sunat Ihram.
7. Membanyakkan bancaan talbiah selepas berniat Ihram.

Selesai mandi sunat ihram, kami pun mula mengenakan kain ihram ke tubuh. Dipusing ke kiri, dibalik ke kanan. Dilibas-libas hujungnya.

Sungguh kelakar melihat gelagat sahabat-sahabat mula memakai ihram. Berbagai cara dan gaya. Sempat juga kami berseloroh.

Kain ihram perlu dipakai dengan betul dan kemas. Jika tersalah cara, boleh tersungkur pula nanti. Lebih malang lagi terlondeh pula ketika tawaf, lagi dahsyat. Jadi kami perlu memakainya dengan cara yang betul. Mujur ada sahabat yang berpengalaman dalam bab memakai kain ihram ni, dapat juga membantu kami yang kurang ilmu ni.

Caranya mudah sebenarnya. Lebih-lebih lagi, kita bangsa Melayu yang selalu berkain pelekat ini. Kalau melihatkan jemaah Arab memakai ihram, nampak sukar bagi mereka.

Selesai memakai ihram, beg kami bawa turun ke bawah. Bilik kami kosongkan. Sampah-sampah yang ada kami bersihkan. Usai mengemas, kami bergerak ke arah lif untuk turun semula. Selamat tinggal bilik yang menjadi persingghan ku di sini. Moga ia menjadi saksi kehadiran haji muda ini.


Berbaik Sangka

Saya dan rakan-rakan jemaah yang lain sudah 2 jam menanti bas bergerak. Masih tidak ada deruan enjin dihidupkan. Perut pula mengeriut kelaparan, petanda perlu di si. Kami mengambil keputusan untuk turun, mencari-cari makanan yang boleh menggalas perut. Lemas juga duduk di dalam bas yang tidak bergerak-gerak.

Sudahlah keadaan bas yang sempit itu penuh dengan bagasi kami.

Telahan kami tepat. Tepat seratus-peratus. Jemaah Arab yang satu bas dengan kami membeli barang dengan jumlah yang tidak masuk akal. Terlalu banyak dan menyusahkan orang lain. Mujur hati teringat yang ibadah ini memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Tidak boleh cepat melenting dan bising-bising. Kesabaran perlu kuat dan padu!

Kami semua lalu berbaik sangka dengan mereka. Mungkin ini peluang mereka membeli keperluan dan hadiah kepada sanak saudara. Barang-barang di Jordan mahal harganya. Mereka yang datang bersama kami ini adalah dari kalangan buruh dan pekerja biasa, kelas bawahan. Mereka juga seperti kami, tidak mahu sibuk membeli-belah di Mekah nanti. Di sana, perlu fokus pada ibadah.

Mujur juga saya dan rakan- rakan lain telah awal-awal menyusun beg di dalam ruangan yang disediakan.

Setelah beberapa jam perjalanan kami ditangguhkan, enjin bas pun kedengaran menderu kuat. Kami pun naik mengambil tempat. Perjalanan ibadah kami akan bermula. Destinasi kami sebelum bergerak ke Mekah adalah ke Birr Ali. Miqot bagi penduduk Madinah dan kawasan sekelilingnya. Di sini, kami akan berniat ihram. Rakan-rakan jemaah yang belum berihram, akan berihram di sana.



Untuk pengetahuan semua, niat ihram di Miqot adalah perkara wajib bagi ibadah haji. Jika terlupa, seseorang itu perlu kembali semula ke Miqot dan berniat. Jika dia tidak kembali dan berniat di tempat dia berada ketika itu, dia akan dikenakan dam.

Mungkin ada yang bertanya, apa yang dimaksudkan dengan Miqot itu??

Miqot adalah tempat yang ditentukan untuk berniat ihram atau had sempadan yang menyamainya. Bakal-bakal haji yang menuju ke Tanah Suci, apabila sampai di miqotnya yang tertentu perlu berniat ihram.

Ada beberapa Miqot bagi jemaah haji berdasarkan tempat asal mereka datang. Miqot-miqot tersebut adalah :

Yalamlam : Ia adalah Miqot bagi penduduk Yaman, India dan negeri-negeri sebelah timur termasuk Malaysia dan Indonesia yang datang dengan kapal laut. Yalamlam adalah nama sebuah bukit di tepi Laut Merah di dataran Semenanjung Tanah Arab. Jaraknya dengan Mekah lebih kurang 89 kilometer.


Zulhulaifah : Juga dikenali sebagai Bir Ali. Miqot ini adalah bagi penduduk Madinah dan kawasan sekitarnya. Jarak dengan Mekah lebih kurang 450 kilometer. Jaraknya dari Madinah pula adalah 10 kilometer. Inilah Miqot yang akan kami tujui.

Al-Juhfah : ( Berdekatan Rabigh ) Miqot bagi penduduk-penduduk Syam, Mesir, Maghribi, negeri Sepanyol dan negeri-negeri dari arahnya. Jarak dengan Mekah lebih kurang 187 kilometer
.

Qarnul Manazil : Miqot bagi penduduk-penduduk Kuwait, Najd dan bakal haji yang datang dengan kapal terbang melalui ruang udaranya. Jaraknya dengan Mekah lebih kurang 94 kilometer.


Zatu Irqin : Miqot bagi penduduk Iraq. Jaraknya adalah 94 kilometer dengan Mekah.


Bagi penduduk Mekah, Miqot mereka adalah di rumah mereka sendiri.

Bagi ihram umrah pula, bagi penduduk Mekah dan juga orang yang berada di sana Miqot mereka adalah di :

Ja'ranah : 22 kilometer dari Masjidil Haram.
Tan'aim : 5 kilometer dari Masjidil Haram.
Hudaibiyah ( Syumaisi ) : 29 kilometer dari Masjidil Haram.

Itulah serba sedikit maklumat tentang Miqot yang boleh saya kongsikan kepada anda semua.

Perjalanan kami sudah terlewat dari yang sepatutnya. Hari sudah lewat petang apabila kami mula bergerak. Senja kota madinah bagai mengiringi perjalanan kami. Daun-daun pohon tamar seolah-olah melambai-lambai dan berteriak " Selamat menjadi tetamu Allah, selamat menatap Baitullah ".

Rasa hati bercampur-baur. Tidak sabar rasanya ingin menatap Baitul Haram, namun hati belum puas berada di Madinah. Berada di sisi maqam Rasul Junjungan, Muhammad SAW.

Balam-balam cahaya matahari yang hampir tenggelam meniup kerinduan. Ia datang lalu menyatu di dalam hati. Madinah akan saya tinggalkan kini. Moga ada rezeki untuk saya kembali ke sini. Sayu dalam hati.

Saya pasti akan merindui Madinah. Pasti!

Bersambung....

Jumaat, April 16, 2010

Wacana Ilmiah Siri-3





Hari Rabu lalu, saya telah diberi tanggungjawab untuk menjayakan program Wacana Ilmiah anjuran Majlis Mahasiswa Yarmouk ( MMY ). Kali ini, saya bukan dipertanggungjawabkan sebagai AJK program tetapi sebagai penyampai atau penceramah mewakili Jabatan Ekonomi & Perbankan Islam Universiti Yarmouk.

Berdasarkan objektif yang digariskan iaitu untuk membentuk mahasiswa kelas pertama dan untuk memberi persediaan kepada graduan-graduan di Jordan ini berdepan dengan masyarakat, saya rasakan program ini amat tinggi nilainya kepada semua sasarannya iaitu mahasiswa Universiti Yarmouk yang sudah tentu bakal terjun memimpin Ummah.

Selain itu, program seumpama ini cukup bagus kerana adanya perkongsian ilmu di antara qisim-qisim ( jabatan ) yang ada di Universiti Yarmouk seperti Usuluddin, Usul Fiqh, Ekonomi Islam dan juga Lughah ( bahasa ).

Pada malam tersebut, jabatan Ekonomi & Perbankan Islam dan jabatan Fiqh Usul dipertanggungjawapkan untuk membentangkan satu tajuk pilihan dari jabatan masing-masing.

Saya, telah membentangkan tajuk Riba : Teori dan Aplikasi Semasa, manakala wakil jabatan Fiqh Usul adalah rakan saya, Ustaz NurAizat membentangkan tajuk Pengenalan Ringkas Fiqh Muqoron.

Alhamdulillah, hasil usaha saya dan beberapa rakan, pembentangan saya pada malam itu berjalan lancar. Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Mahadi yang banyak membantu, Syah Nazrin, Shazwan, dan rakan-rakan serumah yang memberi sokongan : Rahim, Poji, Syuk, Din.




Tajuk yang saya sempat huraikan pada malam tersebut adalah takrif riba dari segi bahasa dan istilahnya, dalil pengharaman, jenis-jenisnya serta beza antara jual beli dan riba.

Kemudian untuk aplikasi semasa kerana kesuntukan masa, saya hanya sempat menghuraikan secara ringkas aplikasi riba di bank yang melibatkan pinjaman dan pelaburan, urusan tukaran matawang asing ( pelajar Malaysia di luar negara sentiasa terlibat dalam urusniaga ini ), penggunaan kad kredit dan akhir sekali pelaburan di bursa saham.

Sebenarnya saya memang menantikan peluang sedemikian. Ada dua sebab utama.

Pertamanya untuk mengutip sebanyak mungkin pengalaman pengucapan awam dan juga kemahiran menyampaikan pandangan dan ilmu. Ilmu jika disampai serta dikongsikan akan lebih dalam pemahamannya bukan. Saya bukanlah pakar dan juga berilmu, masih menuntut dan masih seorang pelayar yang berperahu kecil di lautan ilmu yang cukup luas ini.

Harapan saya, dengan pengalaman yang ditempuh dan juga teguran serta tunjuk ajar rakan-rakan dapat membantu saya mengutip mutiara ilmu yg tersedia.

Moga pengalaman ini berguna tika di Malaysia nanti.

Kemudian, yang keduanya saya betul-betul ingin menyampaikan maklumat tentang bahaya dan dosa Riba kepada rakan-rakan di sini dengan harapan mereka akan menjadi agen penyampai kepada masyarakat apabila pulang ke Malaysia nanti. Telah lama saya menyimpan keinginan ini tambahan lagi ramai yang selalu bertanya tentang riba dan perkara yang berkaitan dengannya.

Mudah-mudahan semua yang hadir dapat mengambil manfaat sebaiknya.

Saya mengharapkan kepimpinan yang akan datang dapat meneruskan program hebat dan berkualiti seumpama ini.

Tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program ini.

Semoga rakan-rakan di sini menjadi insan yang berkualiti buat Ummah! Insyaallah.

Khamis, April 15, 2010

Perbezaan Antara Jual-Beli Dan Riba


Di waktu-waktu kegawatan ekonomi ini, tentu ramai yang mencari-cari jalan untuk menambah pendapatan masing-masing. Keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu menyebabkan banyak masalah berlaku. Harga barangan meningkat naik, ada juga yang dibuang kerja oleh majikan masing-masing, perbelanjaan keluarga terus meningkat, hutang- piutang makin membusut dan bermacam lagi masalah yang dihadapi oleh kebanyakan daripada kita.

Di celah-celah kegawatan ini, ramai keluar mencari penyelesaian dengan memilih jalan perniagaan bagi menambah sumber pendapatan. Ada yang berniaga nasi lemak, menjual kuih-muih dan yang lebih terkehadapan pula memulakan perniagaan maya mereka di internet.

Bertepatanlah dengan apa yang disabdakan oleh nabi junjungan besar Muhammad SAW bahawa 9 daripada 10 sumber rezeki adalah dari perniagaan. Tentu sahaja pulangannya sedikit sebanyak membantu menstabilkan kewangan peribadi dan keluarga.



Dilema Sebahagian Kita

Sesetengah daripada kita kadang-kadang berada dalam dilema apabila hendak memulakan perniagaan ataupun mungkin setelah mula berniaga. Dilema berkenaan keuntungan yang diperoleh hasil dari perniagaan yang dijalankan.

Boleh ke tidak mengambil untung??

Apa hukumnya??

Bukankah untung itu pertambahan, riba juga pertambahan, jadi keduanya adalah sama??

Ini antara persoalan-persoalan yang selalu bermain di minda sebahagian daripada kita. Masalah yang timbul akibat ketidakfahaman yang hakiki berkaitan dengan hukum riba dan keharusan berjual beli di sisi Islam. Bahkan ada yang menanggap berjual-beli itu sama sahaja seperti riba
( riba pada masa sekarang mungkin lebih kita kenali dengan istilah faedah) .

Allah SWT ada menyebut hal ini di dalam Firman-Nya yang bermaksud :

" ....yang demikian ialah disebabkan mereka menyatakan bahawa sesungguhnya ( untung ) berjual-beli itu sama sahaja seperti riba."-surah Al-Baqarah, ayat 275.

Sebenarnya untung daripada perniagaan itu tidak sama dengan riba. Untung dari perniagaan adalah halal di sisi Allah SWT manakala riba pula amat jelas keharamannya di sisi Allah SWT. Sepatutnya perkara ini tidak menjadi kekeliruan dikalangan kita sebagai umat Islam. Bahkan Allah SWT telah menjelaskan tentang perbezaan untung dan riba. Firman Allah Taala yang bermaksud :

" Padahal Allah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba." - surah Al-Baqarah, ayat 275.

Jelas di sini bahawa untung yang kita peroleh daripada perniagaan itu adalah halal di sisi Allah Taala.

Perbezaan Untung Dengan Riba


1) Apa yang membezakan untung dengan riba adalah keuntungan yang kita perolehi itu adalah hasil pertambahan pada modal daripada jualalan barang-barang kita ( halal ) manakala riba pula adalah pertambahan hasil daripada kelewatan membayar hutang kepada seseorang ( haram ).

Amalan mengambil lebihan jumlah pada hutang adalah amalan riba yang diterangkan Allah SWT di dalam Al-Quran yang mana diamalkan pada zaman Jahilliyah. Jadi sudah jelas pengharamannya.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah seperti yang tertera di atas telah menjelaskan bahawa jual beli itu amat digalakkan dan halal hukumnya. Allah SWT berfirman lagi di dalam surah An-Nisa ayat 29 yang bermaksud :

" Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil ( tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar suka sama suka di antara kamu."

Bertambah jelaslah kepada kita bahawa untung dari jual beli itu adalah amat-amat dibenarkan dalam Islam manakala riba pula diperolehi secara batil iaitu tidak benar dan tidak adil kepada kedua pihak ( penjual dan pembeli).

2) Hasil keuntungan perniagaan adalah pertambahan harta yang benar dan nyata dari pertukaran di antara dua benda yang berbeza dan ianya bermanfaat untuk peniaga dan penjual.

Sebagai contoh, Abu membeli roti dengan wang berjumlah RM 1.20 dari Ahmad. Abu dapat faedah dari beliannya iaitu roti untuk dimakan manakala Ahmad pula dapat faedah dari penjualan roti tersebut dalam bentuk untung. Jadi keduanya mendapat manfaat secara adil dan saksama.

Masih ingat firman Allah dalam surah An-Nisa' sebelum ini? Untung dari perniagaan itu adalah dibolehkan.

Berbeza pula dengan riba di mana hakikatnya ia bukanlah hasil pertukaran dua benda berbeza. Orang berhutang meminjam wang dan perlu digantikan semula dengan wang. Hutang perlu dibayar dalam bentuk yang sama dan jumlah yang sama seperti mula-mula ianya dipinjam.

Tidak boleh ada pertambahan, pengurangan dan tidak boleh ada perbezaan jumlah dari asalnya. Hasil dari lebihan hutang yang dikenali sebagai riba atau faedah ( interest ) ini jelas hanya menguntungkan sebelah pihak dan menindas satu pihak yang lain.

Ini bermakna orang yang memakan riba telah mengambil harta orang lain secara batil dan ini adalah dilarang di dalam Islam.

Saya berikan contoh di sini, Ali meminjam wang sebanyak RM 10 000 dari bank bagi memulakan perbelanjaannya. Setelah cukup tempoh, Ali tidak mampu membayar kembali jumlah yang sama. Dia terlewat untuk membayar pinjamannya dan pada tarikh dia membayar kembali pinjamannya dia terpaksa membayar dengan jumlah RM 16 580. Perniagaannya belum benar-benar kukuh pada waktu itu.

Lihat perbezaannya, keuntungan perniagaan mendatangkan keadilan kepada kedua belah pihak manakala riba pula menindas satu pihak dan menguntungkan hanya satu pihak yang lain.

3) Orang yang berniaga berdepan dengan berbagai risiko dalam perniagaannya. Risiko harga pasaran yang tidak menentu, ada jatuh dan naik dan juga risiko kemungkinan kerosakan pada barangannya kerana tamat tempoh dan sebagainya. Risiko-risiko ini memerlukan kepada para peniaga untuk menjana keuntungan dari jualannya bagi menghadapi keadaan-keadaan ini dan bagi menampung urusan pentadbirannya.

Orang yang menerima riba pula tidak berdepan dengan risiko-risiko seperti yang dihadapi golongan peniaga. Mereka memberi hutang, memberi pinjam dalam jumlah yang tertentu dan jumlah ini tidak ada expired date, kekurangan dan sebagainya. Jika diberi pinjam RM 100 maka jumlah tersebut adalah 200% mustahil untuk berubah. Maka sudah tentu tidak layak untuk mereka meminta jumlah lebih daripada yang diberi kerana mereka langsung tidak berdepan risiko seperti para peniaga.

4) Keuntungan dari perniagaan adalah tidak menentu. Mungkin peniaga dapat untung sepanjang tahun, atau setiap kali berniaga. Mungkin juga hanya dapat untung sekali sahaja sepanjang perniagaannya untuk tahun tersebut dan jumlahnya pula adalah tidak menentu. Kadang-kadang banyak, kadang-kadang pula sedikit bergantung kepada rezeki yang diperolehi.

Berbeza dengan riba, hasilnya adalah tetap. Selagi peminjam tidak boleh membayar selagi itulah faedah akan dikenakan. Jika dalam masa sepuluh tahun dia tidak mampu membayar, maka selama sepuluh tahun itulah faedah dikenakan dan jumlahnya tetap sepanjang tempoh tersebut. Amat jelas ianya menindas peminjam yang berkemungkinan dibebani berbagai masalah.

Sebagai kesimpulannya, untung yang diperoleh daripada perniagaan adalah dibenarkan di sisi Islam dan halal hukumnya. Manakala hasil riba pula termaktub jelas di dalam Al-Quran akan keharamannya. Jelas ianya memudaratkan ummah.

Sungguh cantik hukum yang disyariatkan Allah kepada hamba-Nya bukan?? Allah tidak mengharamkan sesuatu itu sehinggalah ianya jelas mendatangkan kemudaratan, kesusahan dan beban buat hambanya. Begitu juga segala apa yang dihalalkan buat kita semua adalah sesuatu yang cukup baik, bermanfaat dan bersifat adil kepada kita.

Jadi, kepada yang berteka-teki sebelum ini dan bersoal jawab di dalam hati adakah untung itu sama dengan riba maka anda telah temui jawapannya di sini, Insyaallah. Untung adalah berbeza daripada riba. Jadi jangan takut untuk menjana pendapatan dari perniagaan anda. Keuntungan anda adalah keuntungan buat Ummah!

Jihad Ekonomi, ke arah memperkasa Ummah!


Rujukan :

1) Fikr Masrafi Fil Islami - Dr. Mahmood Syuwaiat, Pensyarah Jabatan Ekonomi & Perbankan Islam Universiti Yarmouk, Jordan.

2) www.zaharuddin.net

3) http://islamictazkirah.blogspot.com/2009/03/beza-antara-untung-dan-riba.html