Sabtu, Jun 30, 2012

Satu Catatan Hari

Hari-hari yang kita lalui sentiasa berbeza. Ada rima yang serupa, ada juga warna yang sama namun samada kecil atau besar tetap juga ia berlainan muziknya. Terpulang pada kita menilai setiap perbezaan itu. Jika hanya dipandang dengan tenungan bersahaja, tidak ada makna. Namun, jika dihitung dengan pemerhatian yang lebih dalam dan lebih tajam, ia membuah seribu cerita pembina jiwa.

Hari ini, banyak perkara yang berlari, berebut minta disegerakan catatannya. Ia mengasak-ngasak minda, merayu agar segera diturunkan kisahnya.

Kisah 1

12.15 tengah hari, saya berteleku di tangga masjid. Selepas sahaja habis program ceramah di dewan kolej, saya ambil keputusan untuk tiba awal di masjid. Hajat mahu terus pulang ke Temerloh, berjumpa isteri tercinta. Setelah ditimbang-tara hajat tersebut, lebih baik rasanya dahulukan yang utama, solat Jumaat.

Namun, ada satu yang memeranjatkan saya. Ketika leka menikmati hembus angin di halaman masjid, saya terlihat sekumpulan 'wanita' sedang berehat-rehat di ruang belakang masjid. Pakaian dan fashionnya jelas menerangkan jantinanya.

Lebih menarik, sahabat saya Ustaz Azizurrahman menunjukkan muka pelik selepas keluar dari tandas.

" Ana peliklah masuk tandas tadi..." katanya dalam penuh kekeliruan.

Dan saya memang cukup arif dan faham apa yang dimaksudkan oleh sahabat saya itu.

Selepas solat Jumaat, saya berjalan ke arah tiang paling belakang di dalam masjid. Duduk mengumpul tenaga. Dalam penuh keliru saya memandang lagi sekumpulan orang yang saya katakan 'wanita' tadi bersalaman dengan beberapa orang yang saya percaya merupakan ustaz-ustaz yang membimbing mereka.

Lalu kekeliruan dan tanda-tanya saya terjawab. Melihatkan kelakuan, mendengar butir halus perbualan mereka baru saya tahu siapa mereka.

Mereka adalah manusia-manusia hebat dan sedang melalui jalan keinsafan. Ada program yang dianjurkan (seperti kem) buat membantu mereka semua. Memang melihatkan kepada penampilan dan fizikal mereka saya jadi terkejut pada awalnya. Namun sekarang saya amat menghormati mereka dan cukup respect dengan keberanian mereka hadir ke masjid dan solat Jumaat bersama-sama kami.

Mungkin itu salah satu dari tentatif program, tapi untuk beridiri bersama dalam solat Jumaat dan kehadiran mereka dipandang sinis oleh ramai jemaah, saya jadi hormat kepada mereka.

Memang untuk berubah ke arah yang lebih baik bukanlah semudah kita melalui sebuah lebuhraya. Lurus dan lancar jalannya. Ia sama seperti kita masuk ke dalam denai hutan yang penuh lekuk, lopak dan halangan yang perit untuk sampai ke hujungnya.

Percayalah, jika semua halangan itu dapat diatasi nescaya bermaknalah sebuah perjalanan bila sahaja sampai ke destinasi. Apatah lagi yang dituju itu merupakan destinasi abadi kurniaan Illahi. Penuh warna-warni kenikmatan.

Kepada sesiapa pun yang ingin untuk memilih jalan sukar ini, saya doakan moga anda semua selamat sampai dengan penuh kenikmatan. Tabah dan jangan takut. Biarkan pandangan orang terhadap kita. Yang penting kita fikir pandangan Allah kepada kita.

Moga Allah kurniakan mereka dan kita semua rahmat dan petunjuk dan ketabahan menuju jalan keimanan.

TAHNIAH!


Kisah 2

Kebiasaan saya apabila pulang ke kampung di Temerloh, saya akan mengambil laluan lebuhraya LPT yang saya kira lebih pantas dan mudah. Pilihan ini bertambah tepat jika dilihat pada kedudukan kawasan rumah sewa saya yang terletak bersebelahan exit Kuantan.

Namun hari ini saya tidak memilih laluan lebuhraya. Sengaja mahu berubah angin. Lalu saya memilih jalan biasa yang melalui bandar Gambang, Sri Jaya dan Maran. Lagipun jika daripada pejabat, lebih mudah memilih laluan ini.

Pilihan ini tepat!

Sepanjang laluan saya berasa segar dan begitu teruja. Dengan hamparan pohon-pohon hijau yang membarisi di sepanjang laluan dan gelagat penduduk tempatan saya jadi tertarik. Kantuk yang sering menghantui saya jika pulang sudah hilang! Ini sudah bagus. Lebih menarik, saya tidak perlu membayar tol dan telah melakukan penjimatan sebanyak RM 12.30!

Memang jika dinilai berdasarkan keadaan jalan dan faktor keselesaan, tidak ada yang mengasyikkan. Namun benarlah jalan yang berliku-liku, berlubang dan berdebu ini lebih mendatangkan kebahagian kepada hati.

Begitu juga dalam hidup ini.

Tidak semestinya jalan yang lurus, mudah itu mampu memberikan kita kebahagian kepada diri kita. Bahkan mungkin kita perlu 'membayar' untuk kemudahan dan keselesaan tersebut.

Namun, jalan yang berliku, berdebu berlopak ini, walau juga ada harga yang perlu dibayar ia tidak sampai merugikan. Bayarannya bahkan membuat kita untung. Dan ganjarannya menanti di hujung!

Bagaimana kita memilih jalan hidup, begitulah juga natijah yang bakal kita hirup. Sama ada selesa dalam gundah atau payah dalam indah.


Kisah 3

Petang itu, saya tidak terus pulang ke rumah. Sampai sahaja di Temerloh saya terus ke bandar. Menyusup di antara lorong-lorong dan kereta-kereta yang ada mencari kedai gunting rambut. Ada yang biasa saya kunjungi, berhampiran masjid. Tapi katannya ada hal dan perlu segera ke hospital.

Saya teruskan usaha mencari. Kali ini ke lorong yang terkenal dengan kedai gunting rambut dan kedai kunci. Saya ambil selekoh kiri dari masjid, kemudian memberi isyarat ke kanan. Masuk sahaja ada kereta menghalang.

Saya perlahankan kereta. Hampir berhenti.

Kedai gunting rambut di sebelah kiri sesak. Ramai orang sedang menanti giliran. Kereta di hadapan masih belum berganjak.

Ketika saya toleh ke kiri, saya lihat satu tempat yang menyimpan banyak nostalgia silam. Saya memandang dengan mata penuh bersinar teruja. Pandangan saya pula tepat mengenai tuan punya kedai. Seorang lelaki separuh abad. Cina. Dia senyum dalam raut penuh menyimpan cerita susah senang seorang peniaga.

Saya balas senyumnya sambil mata menyoroti seluruh ruang kedainya. Ia sebuah kedai menjual permainan. Tidak besar, hanya ruang kecil di sebuah lorong. Nampak kosong dan berhabuk.

Kalau dahulu bermacam mainan yang ada. Dari sekecil ular getah tiruan, hinggalah kepada set robot yang diletak di tingkat paling atas rak. Ada juga berkotak-kotak mainan kereta dashingkuro atau Tamiya (saya pun lupa ejaannya) yang dijual.

Kalau dahulu, di kaki lima inilah saya selalu menangis, menarik-narik baju kurung Ibu saya.

"Along nak beli tu..!"

" Tak boleh. Dah banyak permainan di rumah. Membazir"

"Nak juga..nak juga..waaaaa.!"

Rengekan dan raungan yang akhirnya jika tidak dilayan samada menguntungkan atau juga boleh merugikan diri saya sendiri.

Untung jika Ibu terharu dan membelikan mainan yang diinginkan.

Rugi jika Ibu biarkan dan Abah datang menarik saya masuk ke dalam van kelabu dan kemudian dirotan kerana degil.

Begitulah cerita anak kecil.

Dan kedai ini menjadi saksinya. Bukan sahaja saya bahkan mungkin siapa-siapa yang tinggal di bandar Temerloh mengalaminya dan pasti juga ingat akan kedai ini. Dahulu inilah satu-satunya kedai mainan yang hebat!

Uncle itu sekarang sudah dimamah usia. Saya sebagai pelanggan tetapnya yang membeli robot, kereta kawalan dan ular mainan buat menyakat kawan perempuan pun sedikit-sedikit dimamah usia.

Semuanya berubah

Sekarang kedai-kedai menjual permainan juga telah banyak wujud. Bandar Temerloh membangun pesat. Tapi yang saya kagumi, Uncle itu masih lagi di situ menghabiskan usianya. Dalam matanya saya membaca bahasa kesayuan yang amat. Mungkin sudah kurang orang yang datang dan melakonkan semula watak saya ketika kecil ; merenget dan menarik-narik baju serta menghentak kaki minta belas dibelikan mainan.

Masa berganjak.

Mungkin beberapa tahun, saya pula yang hadir membawa anak kecil saya yang berperangai seperti bapanya. Itupun jika kedai ini masih ada dan Uncle itu pun masih menunggu sabar pelanggannya.

Yang pasti, maut pasti menjemput setiap daripada kita.

Dalam enak mengupas memori lalu, tersentak saya akan beberapa soalan.

Sejauh ini perjalanan hidup, apa yang saya telah lakukan? Pada Ibu yang melayan kerenah ditarik baju di khalayak dan pada Abah yang terpaksa memenuhkan hajat saya pada permainan, adakah telah saya balas jasa mereka.

Pada usia yang sentiasa bergerak, adakah kebaikan yang memenuhinya?

Dan pada bekal yang saya bakal bawa, sudah terisikah ia sepenuhnya?

Saya memandu pulang dalam persoalan yang tidak ada jawapan. Tidak berani mengatakan YA! Yang pasti hari ini sebagai penghulu hari, Allah telah menambah kemuliaannya dengan menyedarkan saya.

Benar, Jumaat merupakan hari yang istimewa.





Firdaus Shahidin
Temerloh / 30 Jun 2012/ 6.00 pm.


Rabu, Jun 27, 2012

Terkejut Beruk


Pagi tadi, sedang enak menikmati teh limau panas di cafe kolej, saya terpandang satu situasi yang agak melucukan.

Seekor kucing yang sedang enak menyantap 'sarapannya' terkejut beruk selepas menyedari di sebelahnya terdapat seekor beruk. Cepat-cepat kucing tersebut lari meninggalkan sarapannya yang sedia terhidang.

Dan beruk tersebut cukup girang mendapat sarapan 'percuma' terhidang di depan mata. Dengan senyum yang melebar menampakkan barisan giginya yang putih kekuningan itu, dia melompat bangga sambil menjinjing plastik kuning berisi sambal bilis yang diperoleh percuma.

Mungkin dia amat berterima kasih pada Tuhan atas rezekinya hari ini sambil melompat pergi.

Namun, selepas sahaja saya mengalih pandangan ke sebelah kanan, saya juga terkejut beruk melihat penampilan seorang pelajar di sini.

Mahu datang belajar atau mahu berpesta??

"Ini juga 'rezeki' percuma. Tapi jika 'disantap', bukan kenyang dirasa, padah pula menimpa." Kata hati saya sambil menguntum senyum.

Isnin, Jun 25, 2012

Sastera Dan Kepentingannya

Lama saya berfikir dalam menung yang panjang perihal perkara ini. Itu pun setelah terbaca satu tulisan Puan Nisah Haron mengenai pelajaran sastera. Sastera bukan untuk pelajar bermata merah katanya.

Saya juga berpendirian begitu. Bagi saya sastera ini satu benda yang mulia dan tinggi. Jika di zaman sekolah dulu ramai rakan yang kata saya pelik kerana membaca novel-novel berat. Ayat berpusing kata mereka. Susah nak faham apatah lagi mahu feeling dengan novel tersebut ujar mereka lagi. Namun bagi saya itu satu kepuasan!

Hanya yang faham dan mempunyai cinta yang dalam terhadap bahasa bangsanya sahaja yang peduli.

Sehinggalah sekarang, saya masih lagi berpendirian begitu. Sebab itu saya sukar membaca novel atau apa sahaja tulisan yang tidak sempurna tulisan dan duduk letak nahu Melayunya. Tak feel kata saya pula!

Lalu akhirnya dalam leka meneroka halaman demi halaman laman Puan Nisah Haron, saya temui satu artikel yang amat bagus dan tepat menjawap persoalan saya, apakah pentingnya sastera?

Dengan izin, saya kongsikan di laman ini. Artikel (sebetulnya kertas kerja mungkin) asalnya di sini.


Kepentingan Sastera Dalam Kehidupan

Kata Sasterawan Negara, Dato’ Shahnon Ahmad, sastera ialah seismograf kehidupan. Apa itu seismograf? Menurut Kamus Dewan, seismograf ialah alat bagi mengukur kekuatan gempa bumi. Jadi, mengapa perkataan seismograf dipilih? Itu makna yang bersifat literal ataupun harafiah. Seismograf dalam erti kata lain ialah kayu ukur ataupun penyukat kepada kehidupan.

Cuba lihat kehidupan hari ini. Seni dan sastera wujud daripada persekitaran yang ada. Perhatikan bahawa satu masa dahulu, lagu dangdut kedengaran di mana-mana. Pada ketika itu, Indonesia melalui zaman hedonisme yang melampau hinggakan Presidennya pun tumbang. Kini lagu-lagu dari Indonesia sudah berubah. Seiring dengan perubahan pola dan cara hidup masyarakatnya.

Cuba lihat pula lambakan pasaran buku hari ini. Penerbit buku kini lebih ghairah menerbitkan buku-buku yang bertemakan cinta dengan nafsu murahan. Mengapa? Kerana ada pasarannya. Perhatikan bagaimanakah bangsa Melayu hari ini? Secara kasarnya sudah berani hanyut dengan hiburan-hiburan yang sia-sia. Anak-anak muda menangis meraung jika gagal menyertai program-program realiti. Penonton pun sama meraung-raung apabila ada peserta yang gagal ke peringkat yang selanjutnya. Ibu bapa juga mengucapkan “Alhamdulillah, anak saya terpilih dalam program realiti tv ini.”

Jadi, tidak cukupkah kita hanya berhibur, berhibur dan berhibur hingga tiada suatu pun yang kita tinggalkan untuk ruang berfikir ataupun ruang ta’akul – ruang penafsiran.

Sastera pula bukan sekadar buku cerita, bukan sekadar puisi. Bagi saya, sastera ialah suatu seni kata-kata bagi menyampaikan sesuatu yang bermanfaat untuk tamadun, mengajak pembacanya berfikir dan mendorong pembaca melakukan kebaikan serta menimbulkan rasa insaf.

Jadi apa pentingnya sebuah buku cerita dalam kehidupan?

Sebuah karya sastera yang mewakili bangsa dan negaranya akan memberikan beberapa perkara, antaranya :

jati diri

patriotisme

rasa syukur

Membaca puisi-puisi A. Samad Said, misalnya, menemukan saya dengan banyak perkara. Kecintaannya terhadap bahasa, kritikan sosialnya yang lembut tetapi dalam makna dan juga rakaman peristiwa yang diabadikan dalam karyanya. Begitu juga dengan karya-karya Usman Awang yang banyak berbicara tentang kedamaian dan keseimbangan masyarakat.

Cuba-cubalah membaca karya Siti Zainon Ismail, sama ada cerpennya ataupun puisi-puisinya yang penuh kewanitaan tanpa meninggalkan akarnya yang gemilang. Sebagai penyair dan ahli akademik, Siti Zainon telah merantau ke seluruh dunia, namun karya-karyanya masih segar mempertahankan jati dirinya sebagai wanita Melayu Islam yang sejati.

Di kalangan penulis yang lebih muda, bacalah karya-karya SM Zakir, Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim dan Nisah Haji Haron. Pendek kata, mereka ini bukan penulis yang hanya menggarap kisah cinta yang selapis, terlalu polos ataupun bersifat superficial. Penulis-penulis ini telah berjaya menyampaikan suatu mesej yang jauh lebih dalam berbanding usia mereka.

Dari aspek kelulusan dan kerjaya, penulis-penulis muda hari ini bukan sekadar berkelulusan sastera. Terdapat ramai penulis muda (berusia bawah 40-an) yang mempunyai latar belakang disiplin yang berbeza tetapi dapat menjadi penulis yang baik.

Mengapa mereka ini boleh menulis? Satu perkara penting yang ada dalam diri penulis-penulis ini ialah jati diri yang disebutkan tadi. Para penulis ini tahu akan identiti dirinya sebagai bangsa Melayu dan sedar diri bahawa, jika bukan merekalah yang melangsungkannya. Siapa lagi?

Lantas, apa pula peranan kita sebagai pembaca karya sastera?

Pilihlah bahan bacaan yang boleh menjentik pemikiran yang tinggi. Carilah bahan bacaan yang diiktiraf sebagai kesusasteraan Melayu tinggi yang boleh membangkitkan rasa kemanusiaan, kerana itulah peranan sastera yang utama : melahirkan rasa kemanusiaan dalam diri manusia.

Sastera sebagai satu elemen kehidupan bukannya untuk diasing-asingkan. Sastera tidak boleh bercampur dengan sains, ataupun sastera tidak boleh bercampur dengan ekonomi, perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya. Sastera itu boleh wujud dalam mana-mana cabang ilmu yang ada. Itulah kelebihannya.

Ada pihak yang menyatakan sastera ini berbelit-belit. Satu perkara yang langsung akan disampaikan dalam bentuk yang berkias-kias. Bagi saya, di situlah seninya penyampaian orang Melayu. Sebagai contoh, perhatikan tulisan Bapak Tenas Effendy dalam bukunya “Ungkapan Tradisional Melayu Riau” tentang peranan seorang anak :

Pertama anak manusia

Anak yang tahu asal jadinya

Yang tahu membalas guna

Kecil cencilak padi

Besarnya cencilak padang

Kecilnya duduk mengaji

Besarnya tegak sembahyang

Mengaji syarak dengan adat

Mengaji salah dengan silih

Mengaji aib dengan malu

Mengaji untung dengan rugi

Yang kuat mememang amanat

Yang setia memegang amanah

Duduk tahu akan dirinya

Tegak tahu akan maruahnya

Cakapnya berhingga-hingga

Baiknya berpada-pada

Sifatnya berpatut-patut

Patut bergaul sama sebaya

Patut duduk dalam majlis.


Andainya, kata-kata ini dikatakan secara langsung, kesannya tidak akan sama. Mesej yang cuba diperkatakan dalam ungkapan ini ialah, jadilah anak yang baik dan berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan tanah air. Namun, mesej ini disampaikan dalam bentuk yang indah.

Kata-kata ini tidak wujud dalam bahasa lain. Kalau ada pun, ia dalam bentuk yang berbeza. Pantun Melayu, contohnya, tidak wujud dalam mana-mana tamadun bukan Melayu. Pantun menjadi subjek kajian sarjana Barat yang hairan betapa hebatnya orang Melayu mencipta pantun. Mereka cuma ada quatrain – kata-kata dalam empat baris satu rangkap. Tetapi, orang Melayu boleh mencipta pantun dengan 2 baris pembayang dan 2 baris maksud. Kedua-duanya mempunyai perbezaan tetapi ada perkaitan.

Contoh :

Buah cempedak di luar pagar,

Ambil galah tolong jolokkan;

Saya budak baru belajar,

Kalau salah tolong tunjukkan.


Pantun ini menujukkan akal budi orang Melayu pada zaman itu. Frasa di luar pagar, menujukkan melangkau had ataupun batasan kemampuan. Galah itu pula simbol bantuan dari luar. Jika bantuan dalam dirinya, mungkin frasa yang berbeza digunakan, misalnya ambil jari. Sedangkan kalau kita pernah lihat pokok cempedak, ia berbuah pada bahagian batang dan rendah pula. Itu menunjukkan betapa ‘budak’ tadi terlalu kecil sifatnya hinggakan buah cempedak yang yang rendah itu pun tidak boleh dicapainya, kerana dia berada ‘di dalam pagar’ sedangkan buah cempedak tadi di luar pagar.

Oleh itu, dia memerlukan bantuan untuk mengambilnya. 2 baris tadi pula digabungkan dengan baris “saya budak baru belajar / kalau salah tolong tunjukkan”. Perhatikan juga pemilihan kata yang santun iaitu “tolong”. Orang Melayu mempunyai sifat santun yang terpancar dalam bahasas dan karya sastera. Inilah yang tidak boleh kita tinggalkan. Saya teringat kepada petikan puisi Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul “Melayu”.

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun.

....

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya

Gedung akal laut bicara'

....

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi bukan melonjak.

.....

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan.

....

Semua ini hanya boleh ditemui dalam buku-buku sastera. Bukan sekadar buku-buku cerita yang hanya menggarap tema cinta biasa. Carilah keluarbiasaan dalam membaca. Bukan sekadar membaca cerita yang serupa dengan formula yang sama. Ya, cinta itu indah. Namun, cinta itu juga luas maknanya dan cinta juga dalam sifatnya.

Apabila kita melihat seorang gadis yang cantik, mengapa mesti jatuh cinta pada kecantikannya sahaja. Mengapa terhenti setakat itu? Jatuh cintalah kepada Dia yang mencipta kecantikan itu. Dialah meminjamkan kecantikan tersebut kepada gadis itu. Satu hari nanti, kecantikan itu akan diambil kembali. Sanggupkah nanti, kita bercinta dengan gadis yang sudah tidak cantik itu? Tetapi, kalau kita mencintai Dia yang mencipta kecantikan itu, nanti akan timbullah perasaan yang lebih dalam. Kecantikan gadis itu bukan lagi dilihat kepada sesuatu yang zahir tetapi apa yang terpancar daripada dalam diri.

Apa lagi kepentingan sastera dalam kehidupan? Dalam sastera ada ilmu. Penulisnya bertungkus-lumus memasukkan suatu ilmu yang boleh pembaca manfaatkan. Ilmu hanya boleh digali. Ilmu itu tidak datang sendiri. Ilmu bukan sahaja diperoleh melalui buku-buku teks. Tetapi aplikasi sesetengah ilmu itu boleh juga ditemui dalam karya sastera. Novel saya Mencari Locus Standi memasukkan ilmu perundangan dalam bentuk cerita. Sesiapa yang membacanya akan mengutip banyak hal tentang dunia perundangan, kehidupan pelajar undang-undang dan aplikasi undang-undang itu sendiri.


Kata Za’ba dalam syair Kelebihan Ilmu:

Ilmu itulah gemala sakti,

Sinarnya cerah cahaya sejati,

Asal puncanya lamun didapati,

Sukar bercerai sehingga mati.

Sejarah telah pun merakamkan bahawa tokoh-tokoh sarjana di dalam dunia sains Islam seperti

· Al-Harth ibn Kaladah (Ahli perubatan Islam terawal dan juga seorang pemuzik berkebolehan)

· Al-Kindi (Bapa Falsafah Islam dan sasterawan)

· Al-Razi (tokoh perubatan dan pemuzik)

· Al-Farabi (tokoh falsafah dan pemuzik)

· Ibn Yunus (pakar astronomi dan sasterawan yang kreatif serta penyair paling prolifik)

· Ibn Maskawaih (doktor yang berpengetahuan luas dalam bidang bahasa, sastera dan ilmu-ilmu klasik)

· Ibn Sina (tokoh multi-disiplin yang memulakan pengajiannya di bidang bahasa dan sastera)

·Ibn Haitham (Sarjana sains dan falsafah yang juga menulis tentang sastera)

dan ramai lagi merupakan tokoh-tokoh multi-disiplin yang menjadi sastera sebagai sebahagian daripada pengisian jiwa dan rohani mereka.

Hal yang sama turut berulang pada zaman permulaan di Andalus. Nama-nama seperti Abu Al-Sult ibn Abdul Aziz, Ibn Al-Sayid Al-Batalyausi, Ibn Bajjah dan Ibn Khaldun tidak boleh dicicirkan daripada senarai sasterawan Islam yang turut menguasai cabang-cabang ilmu yang lain.

Islam berada di puncak ketamadunannya apabila ramai di kalangan sarjana ini mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam pelbagai bidang. Rekod-rekod yang mereka tinggalkan menunjukkan bahawa masyarakat pada zaman ini tidak mengkategorikan setiap ilmu yang ada lantas menghalang golongan tertentu daripada melintasi disiplin ilmu yang lain. Sarjana dunia Islam ini dapat dilihat sebagai mereka yang amat mencintai ilmu dan mempelajari setiap ilmu serta benar-benar mempraktikkan kata-kata ‘tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad’.

Kesimpulannya, sastera itu ialah sebahagian daripada kehidupan. Usah dinafikan kepentingannya.


sumber: http://annyss.blogspot.com