Rabu, Januari 25, 2012

Salam Tahun Baru Buat Diri

Semakin lama, semakin berat tangan ini untuk terus menulis. Entah penyakit apa yang menyinggahi idea dan ketangkasan tangan dari terus aktif menumpah kata dan suara. Entahlah. Membaca semula tulisan-tulisan lama tika kembara ke Ardul Kinanah dulu menyuntik rasa sedar bahawa setiap tulisan yang pernah tertampal kukuh di laman ini memberi harga yang tidak akan dapat saya nilaikan. Bermakna. Amat berharga.

Rugi jika saya gagal untuk meneruskan apa yang telah saya mulakan sejak tahun 2008 lagi. Terlalu banyak untuk dinukilkan sebenarnya sepanjang hari penghidupan ini. Saya tidak mengharap orang menatap membaca. Cuma ingin segala yang dicurahkan ini menceritakan siapa dan bagaimana saya ketika penghidupan saya yang singkat ini kepada diri saya sendiri di masa hadapan. Sama seperti saat saya membaca tulisan tahun-tahun yang lalu.

Lagi bagus jika ia menjadi santapan buat anak-anak dan cucu-cucu saya jika diperkenan Tuhan. Inilah ayah dan datuk mereka. Orang yang kerdil yang berjalan terhuyung-hayang di bumi Tuhan ketika hidupnya. Kadang tersadung, tersungkur. Sekejap-sekejap melompat menari kegirangan. Ada masa terperosok jauh di dalam gelap kesunyian dan kejahilan.

Perjalanan hidup tidak beerti andai tiada lagenda untuk memaknakannya. Siapa lagi yang akan mencipta lagenda diri kalau bukan kita sendiri?

Pada orang, mungkin langsung tiada erti. Pedulikan! Kita mahu lagenda untuk kita hayati sendiri. Terlalu jauh untuk dibanggakan. Ia bukan perhiasan atau pingat kemenangan! Lagenda ini untuk kita tahu hebat sangatkah kita ini mengharung denai usia. Supaya selesai membacanya kita sedar kita ini hanya seorang hamba kerdil di sisi Tuhan Esa. Biar kita tahu kita tidak pernah menjadi hero pun dalam lagenda itu. Kita cuma orang yang mensia-siakan peluang dan ruang dianugerah Tuhan. Kita rasa kita hebat. Tapi hebat sangatkah kita pada pandangan Tuhan?? Menarik sangatkah kita pada pandangan penghuni langit yang sentiasa menilai memerhati? 

Biar lagenda kita tidak pernah didendang, dilagukan. Asal ia menjadi simpanan berharga kita buat menilai diri sebelum dijemput menemui Tuhan.

Moga hari ini obor semangat untuk saya menulis dinyalakan semula! Bakarlah diriku ini! Biar sampai 'rentung'!