Selasa, Februari 22, 2011

Mengarang Sebuah Cita- Cita





Tidak selalunya perkara yang kita harapkan itu kita peroleh. Kita mengharap untuk jadi begitu begini namun hasilnya tidak seperti yang dirancang juga diidam-idamkan.

Namun, perkara yang berlaku secara tidak dirancang itu sebanarnya mendatangkan lebih kebaikan kepada diri kita. Inilah yang dinamakan perancangan Allah. Kita sebagai hamba tekun merancang tetapi Allah SWT juga merancang hidup kita sebagai hamba kepadaNYa. Lalu rancangan siapakah yang lebih aula ( utama ) untuk berlaku??

Saya percaya setiap orang mempunyai cita-cita sendiri. Sejak dari kecil kita membina keinginan tersebut. Jika ditanya kepada anak-anak kecil, sudah tentu pelbagai jawapan kita akan dengari. Ada yang mahu jadi doktor, tentera, polis bahkan superman dan ultraman juga menjadi pilihan!

Seiring dengan peredaran usia, cita-cita kita juga turut berubah sama. Kalau dahulu ingin menjadi Superman, kini mahu menjadi juruterbang pula misalnya. Kalau dahulu mahu jadi doktor, kini hanya mahu menjadi jururawat sahaja.

Segalanya ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran seseorang itu.

Kali iini, setelah lam tidak menulis, tergerak hati mahu berkongsi kisah saya mengarang cita-cita.

Saya sama seperti anda semua, mempunyai cita-cita yang hebat sejak dari kecil.

Waktu itu, saya suka bermain permainan terutamanya mainan seperti jet pejuang atau kapal terbang. Jika tidak ada, saya akan melipat kertas lalu menerbangkan ia menerusi tingkap rumah.

Ketika itu rumah saya seperti rumah kampung biasa. Rumah kayu yang bertiang tinggi. Tingkapnya terbuka luas, mudah bagi jet-jet kertas saya melaluinya.

Minat itu telah menimbulkan keinginan dalam hati kecil saya mahu memandu jet pejuang. Saya mahu menjadi juruterbang yang hebat!

Selepas daripada itu, setiap kali ditanya tentang cita-cita, dengan bangganya saya akan menjawab :

" Cita-cita saya nak jadi pilot!"

Impian ini makin menebal dan bertambah kuat dengan kehadiran bapa saudara saya yang baru. Maksudnya suami kepada ibu saudara saya. Adik abah yang ke 7. Dia seorang guru, suaminya seorang anggota TUDM. Pegawai yang berpangkat juga la dalam pasukannya ketika itu.

Majlis perkawinan mereka menghadirkan 3 buah helikopter jenis Nuri di tanah rancangan, rumah almarhum atuk dan nenek saya berada.

Ketika mahu menyambut rakan-rakan sepasukannya, dia telah mengajak saya dan sepupu yang lain menghampiri helikopter tersebut. Angin tujahan kipas helikopter yang baru mendarat seolah-olah turut mengangkat saya lebih tinggi untuk menggapai cita-cita yang diimpi. Saya jadi amat bersemangat ketika itu!

Kesempatan yang ada, tidak saya lepaskan. Ketika sepupu-sepupu yang lain sibuk bermain, saya leka duduk berhampiran sahabat-sahabat bapa saudara saya itu. Mereka semua lengkap beruniform dengan logo TUDM tertera di dada. Segak.

Perbualan dengan mereka kemudiannya menyuntik semangat yang memang sedang hebat terbakar.

Selepas daripada itu, saya nekad mahu menjadi seperti mereka.

Namun....

Masa merubah segalanya.

Ketika di bangku sekolah menengah, saya menjadi kurang bersemangat untuk meneruskan cita-cita yang itu. Terasa seolah peluangnya pergi terlalu jauh dan payah untuk saya mengejarnya.

Masakan tidak, masuk Maktab Tentera Udara memerlukan fizikal tertentu yang digariskan dalam syarat-syarat kemasukannya dan juga perlu tahan tekanan yang tinggi. Saya pula tidak mempunyai segala syarat tersebut, ditambah lagi dengan penyakit buah pinggang yang dihidapi. Saya terpaksa lupakan cita-cita saya itu.

Penghujung tingkatan satu, saya merangka cita-cita baru. Saya tidak mahu terus kecewa dan tidak bersemangat.

Kini, saya mahu menjadi seorang jurutera aeroangkasa pula.

Jurutera aeroangkasa adalah merupakan seseorang jurutera yang terlibat didalam mana-mana peringkat penyelidikan dan pembangunan industri aeronautik ( penerbangan dalam lingkungan atmosfera bumi ) dan juga astronautik ( penerbangan diluar lingkungan atmosfera bumi ).

Bagi saya, tidak dapat memandu kapal terbang atau jet pejuang pun tidak mengapalah asalkan masih terlibat dengan bidang penerbangan. Dan bidang ini lagi hebat. Kita yang merangka dan membina pesawat atau roket yang dipandu.

Saya merasakan ini pilihan terbaik. Lalu saya terus dengan matlamat mencapai impian ini.

Bermula dari situ, saya mula membaca buku-buku berkaitan dengan sains angkasa dan penerbangan, menonton dokumentari dan sebagainya. Saya jadi rapat dengan mata pelajaran Sains. Saya tahu, jika mahu terlibat dalam bidang ini tidak boleh tidak saya perlu kuasai ilmu sains dan matematik.

Saya berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Saya sudah merangka pelan 5 tahun kehidupan saya. Ketika itu saya sudah mula membaca buku-buku dan tulisan-tulisan motivasi.

Antara tokoh motivasi yang saya selalu jadikan rujukan buku mereka adalah Dr. HM Tuah Iskandar dan Dato' Dr Fadzilah Kamsah.

Melalui tulisan dan ceramah mereka yang saya tonton, saya mengetahui serba ringkas kaedah yang betul untuk merealisasikan apa yang kita impikan. Dalam pelan 5 tahun yang saya rangka, saya telah menulis dan mencatat perkara-perkara yang saya perlu lakukan untuk menjadi jurutera aeroangkasa.

Antaranya adalah permohonan masuk ke Sekolah Teknik dan mengambil bidang Kejuruteraan Mekanikal. Kemudian selepas SPM saya akan memohon untuk belajar di UPM dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa. Jika berjaya, saya ingin ke Rusia untuk mendalami ilmu kejuruteraan di sana.

Selepas keputusan PMR keluar, saya menerima surat yang menyatakan permohonan saya untuk masuk ke sekolah teknik dalam bidang yang saya mohon diterima.

Namun, lahir pula masalah baru.

Saya menjadi berbelah bahagi. Sayang mahu meninggalkan sekolah yang telah banyak mengajar dan mendidik saya selama 3 tahun lalu. Sekolah yang menyimpan terlalu banyak kenangan. Inilah sekolah yang mengenalkan saya bahawa saya ini hidup sebagai hamba kepada Tuhan.

Pendapat rakan-rakan ditanya.

" Kalau kau dah suka, teruskan saja," itu kata mereka.

" Rugilah kau berhenti sekolah ni, elok kau ambil SMA ( Sijil Menengah Agama- Tingkatan 4 ) dulu."

Pendapat guru-guru pula diminta.

" Sayang kalau awak berhenti..," kata seorang guru.

" Teruskan belajar agama, lebih bagus, lebih elok," kata guru yang lagi satu.

Ketika pendapat Mak dan Abah diharap.

" Ikutlah pada minat kamu, mak tak kisah janji benda tu baik bagi kamu. Tapi rugilah berhenti dari sekolah agama," nasihat Mak.

" Abah bagi awak buat keputusan. Bagi Abah, sekolah agama lebih baik," Abah pula memberi pandangan.

Lalu saya terperangkap. Terlalu ramai yang kurang menyokong. Tapi hati dan keinginan membuak-buak! Yang mana harus saya pilih??

Antara mahu dan buntu.

Antara kehendak dan harapan.

Saya istikharah. Mohon petunjuk.

Lalu saya memilih untuk kekal disitu. Mengharap ada hikmah yang Allah mahu kurniakan. Namun sebagai hamba yang lemah dalam usia yang amat muda itu saya amat kecewa dengan keputusan sendiri.

Kekecewaan yang menutup pintu saya mengecap cita-cita lampau yang dikarang. Pasti saya tidak akan gapai lagi.

Sedih mengenangkannya.

Saya terpaksa membuang segala kertas-kertas catatan pelan 5 tahun saya. Saya jauhkan diri dengan buku-buku sains angkasa dan yang berkaitan dengannya.

Saya terpaksa hapuskan semua sisa-sisa, saki-baki cita-cita dalam bidang yang saya suka.

Yang tinggal kini hanya harapan.

Mengharap Allah kurniakan sesuatu yang baru. Mengharap Allah membuka jalan yang lain pula untuk saya karang cita dan impian.

Betapa saya kecewa, sepanjang tingkatan 4, saya tidak suka kepada subjek sains hingga menyebabkan saya tidak lulus dengan markah terendah berturut-turut. Warna merah seolah menjadi warna rasmi subjek tersebut.

Begitu juga dengan Matematik Tambahan. Saya benci semua subjek yang ada kaitan dengan cita-cita lampau saya.

Saya biarkan masa berlalu...

Sunyi dan sepi..

Namun, Allah SWT itu maha adil. Dalam kekecewaan itu, Allah ubat hati saya dengan beberapa pencapaian yang tidak pernah langsung saya bayangkan.

Sepanjang tingkatan 4, saya banyak menyertai pertandingan syarahan, bahas, tafsir dan sebagainya. Dengan kuasa Allah, saya menang semua pertandingan yang saya masuk. Kalau tidak di tempat pertama, tempat kedua dan ketiga. Dari peringkat sekolah, zon, daerah hinggalah mewakili negeri. Alhamdulillah.

Ketika itu juga saya terlibat aktif dengan persatuan dan badan kepimpinan.

Saya mula dikenali di sekolah. Terasa dihargai.

Ketika itulah saya merasakan hikmah kekalnya saya di sekolah ini iaitu SMA Al-Wosto, Temerloh.

Pertengahan tingkatan 4, tahun 2004, saya fokus kembali kepada pelajaran. Pada tahun tersebut kami di sekolah agama akan menghadapi peperiksaan besar iaitu SMA atau Sijil Menengah Agama.

Dalam sibuk menghafal dan menekuni pelajaran untuk persediaan menghadapi peperiksaan, saya mula merangka cita-cita baru. Bagi saya seorang manusia itu perlu ada matlamat, perlu ada cita-cita. Dalam erti kata lainnya, perlu ada sesuatu untuk dikejar dan digapai diakhirnya nanti.

Waktu itu, saya jadi sayang pada subjek agama. Bahasa Arab bagi saya mendatangkan rasa seronok dan tenteram, begitu juga dengan beberapa subjek. Di sudut lain pula, saya jatuh cinta dengan subjek perakaunan.

Lalu terhasillah satu cita-cita baru iaitu ingin menjadi akauntan tetapi akauntan yang Islamik dan mahir berbahasa Arab.

Maka proses yang sama yang saya lakukan ketika di tingkatan 1,2 dan 3 saya praktikkan semula. Saya menyusun pelan yang baru dengan puncaknya tertulis Akauntan Islamik.

Selesai SMA, saya fokus pula kepada SPM. Walau dalam sibuk menggalas jawatan Ketua Pelajar dan mengetuai beberapa persatuan saya cuba memberi tumpuan dalam setiap subjek yang dipelajari.

Matlamat saya jelas, mahu jadi profesional di bidang akauntan dalam masa yang sama pakar di bidang agama dan Bahasa Arab.

Saya mula cuba untuk membina karakter impian saya.

Buku dan majalah bertulisan berat kadang-kadang menjadi jamuan minda saya.

Selepas tamat menduduki SPM, saya memilih untuk meneruskan pengajian di sebuah institusi pendidikan agama di Pekan Pahang yang bernama Kulliah Al-Lughah Waddin Sultan Abu Bakar untuk mengambil peperiksaan STAM ( Sijil Tinggi Agama Malaysia ).

Matlamat saya selepas STAM - yang mana di sini saya dapat memperkukuh bidang agama - saya akan menyambung pelajaran di UUM dalam bidang perakaunan. Maka dengan izin Allah, saya dapat menjadi seperti yang diimpikan.

Namun, dalam semua perkara yang kita rancangkan, ada Allah sebagai sebaik-baik perancang.

Ketika di Kulliah, saya menyertai sebuah program anjuran Kolej IKIP, Kuantan. Program tersebut menerangkan tentang peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Yarmouk di Jordan dengan dibiayai Yayasan Pahang dalam bidang yang amat menarik minat saya ketika itu. Bidang tersebut adalah Ijazah Syariah pengkhususan dalam Ekonomi & Perbankan Islam.

Selepas daripada itu saya pun muhasabah semula semua rancangan dan pelan yang telah saya buat.

Bila disemak semula, program yang Kolej IKIP bersama Yayasan Pahang tawarkan lebih menghampiri impian dan matlamat saya. Belajar Syariah dalam masa yang sama fokus dalam bidang Ekonomi dan Perbankan. Saya amat berminat.

Selang beberapa bulan, saya menghadiri temuduga bersama pihak Yayasan Pahang dan alhamdulillah, saya terpilih untuk program tersebut.

Bermula dari hari pertama belajar hinggalah hari terakhir saya di Universiti Yarmouk, saya benar-benar merasakan akan tepatnya pilihan saya ini. Amat sesuai dengan minat dan jiwa saya.

Ketika ini, cita-cita saya berubah sekali lagi.

Dengan ilmu dalam bidang Perbankan Islam dan melihat keadaan semasa, saya merasakan perlu untuk bangun menjadi seseorang yang dapat menyumbang dalam bidang ini. Saya ingin kuasi bidang yang saya tekuni.

Lalu keluarlah pula idea untuk persiapkan diri menjadi Penasihat Syariah. Atau jika tidak pun menjadi eksekutif Syariah di syarikat perbankan mahupun kewangan.

Ketika di tahun akhir, saya cukup beremangat mencari ruang untuk menempatkan diri dalam industri kewangan Islam negara yang pesat membangun. Rancangan saya, selepas pulang sahaja ke Malaysia, saya mahu berkhidmat di bank sebagai Eksekutif Syariah. Itu pelan saya sebelum saya memenuhi dada dengan ilmu bagi menapak ke tingkat yang lebih tinggi.

Namun, hakikat segalanya bukan semudah yang disangka.

Pulang sahaja ke Malaysia, berbagai cabaran yang ditempuh. Temuduga juga sudah bermacam yang dihadiri akan tetapi pekerjaan yang diimpi tidak juga mahu menjadi realiti.

Cuma saya tidak berdiam diri begitu sahaja. Saya tetap mahu terjun ke dalam bidang ini. Lalu dengan upaya yang ada, dengan semangat yang membara saya mengambil lesen menjadi konsultan unit amanah di bawah pengurus dana Public Mutual, lesen takaful di bawah Etiqa dan lesen megurus pusaka dengan syarikat Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd.

Selepas itu saya bekerja sebagai guru di sebuah sekolah agama swasta di Temerloh. Dan sekarang, Allah pilih saya selaku pensyarah di Kolej IKIP.

Walaupun menjadi pendidik bukan pilihan utama saya sejak dari kecil, namun ketentuan Allah itu mengundang hikmah yang besar untuk saya redhai. Kini saya cukup rasa berbesar hati. Juga berbangga sebenarnya dipilih Allah SWT menjadi seorang guru. Ada nikmat dan kepuasan besar terselindung di sebaliknya.

Dalam hati saya, saya masih cintakan bidang ini. Saya kini merancang untuk pergi lebih jauh dalam bidang yang saya pelajari dan kuasai, Insyaallah.

Satu hari, saya mahu menjadi ' seseorang ' yang mampu memberi sumbangan besar dalam bidang kewangan Islam sama seperti ikon besar dalam bidang ini umpamanya Dr Daud Bakar, Ustaz Zaharuddin dan ramai lagi.

Doakan saya mencapai cita-cita saya yang ini!

Setelah 23 tahun melukis angan dan cita-cita, saya belajar sesuatu.

Bahawa tidak semua yang kita rancang, yang kita ingin akan terlaksana. Ianya selalu sahaja datang dalam keadaan yang tidak kita sangka, tidak kita duga. Namun hasilnya, MasyaAllah amat membahagiakan jiwa.

Percayalah, jika sesuatu yang kita cita-citakan itu tidak berhasil dan masa depan kita tidak seperti yang kita harapkan sebenarnya terselindung berjuta hikmah yang Allah kurniakan kepada kita disebaliknya.

Maka, kita perlu redha dan tidak berburuk sangka dengan apa yang Allah tentukan pada kita.

Sepanjang perjalanan hidup yang setahun jagung ini, saya juga cukup menghormati didikan Abah kepada saya.

Antara didikannya adalah bagaimana untuk kita membuat keputusan dalam hidup. Walaupun saya terkadang berasa tertekan dan marah dengan cara tersebut nyata ia amat berguna. Didikannya itulah yang telah membawa saya terbang jauh merantau ke bumi orang.

Terima kasih tidak terhingga Abah & Mak. Moga Allah merahmati kalian berdua!

Perkara ini amat memberi kesan kepada saya hinggalah sekarang. Dan saya amat-amat mengharap suatu hari, saya akan perturunkan cara ini kepada anak-anak saya jika sesuai dan diizinkan Allah SWT.

Berkenaan cita-cita yang berubah, itu bukan tanda kita orang yang tidak tetap pendirian. Tetapi ia menggambarkan peningkatan ilmu kita dari tahap anak-anak hinggalah menjadi insan dewasa.

Moga Allah permudahkan urusan kita semua.

Ameen ya Rabb.