Masa tidak pernah menunggu manusia. Sentiasa bergerak, laju bagi yang tidak menghargai. Sedikit perlahan bagi yang pandai memanfaat diri. Namun, ia tidak pernah sesekali berhenti.
Seiring masa, kita turut berubah. Ini tidak dapat dinafikan. Dari kecil mencecah remaja kemudian berganjak ke dewasa lalu kemudiannya merangkak kepada tua. Fasa-fasa ini terus bertukar bersama kenangan dan memori yang istimewa. Perubahan inilah yang menjadikan kita dewasa pada kehidupan di dunia.
Saya sudah terlalu lama tidak menulis. Mungkin juga hanyut dibawa arus masa. Detik yang membawa saya mendaki ke fasa-fasa seterusnya kehidupan sebagai seorang hamba Tuhan di dunia, terkadang mengikat jari-jemari saya untuk menari di atas papan kekunci ini.
Alhamdulillah diberi-Nya waktu dan kemampuan pada ketika ini.
Tidak ada yang penting, cuma masa-masa di belakang menjentik jiwa saya. Lalu tergerak untuk hadir di sini.
Sekarang waktu kemuncak kesibukan saya. Kursus Intensif Bahasa Arab anjuran Kolej IKIP tempat saya bekerja sudah bermula. Dahulu sayalah pelajarnya. Kini Allah tukarkan saya menjadi gurunya pula. Baru tahu betapa susah payah guru-guru saya ketika itu mahu memandaikan saya. Terima kasih guru-guruku.
Fasa-fasa baru kehidupan satu persatu datang menerjah. Kadang membuat saya tersembam jatuh. Mujur ada pendinding yang menangkis. Alhamdulillah.
Begitulah kehidupan.
Sungguh pantas.
Moga apa yang dikejar diperoleh. Yang dikendong melekat kuat.
Allah jua yang menjadi matlamat. Agar dipermudahkan!