Setelah lama tidak menulis, tangan terasa gatal mahu menyentuh deretan papan kekunci laptop tua saya. Dalam gatal-gatal tangan itulah, terasa ada sesuatu yang mahu dinukilkan di laman yang lama bersawang ini. Andai tiada kepentingan untuk sesiapa yang membaca sekalipun, biarlah ia menjadi sesuatu yang istimewa untuk saya ingati.
Hari ini, adalah hari kedua Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berlangsung. Sebut sahaja tentang pesta ini, sudah tentu ramai yang dapat membayangkannya dalam fikiran masing-masing.
Apa yang pasti ianya bukanlah sebuah pesta yang dipenuhi dengan muzik dan persembahan yang berbagai rupa. Bukan juga dilimpahi dengan aneka makanan juga minuman. Tidak juga dipenuhi dengan manusia yang leka bergelak ketawa. Pesta ini nyata sebuah pesta yang luar biasa.
Ia adalah pesta biasa sahaja bagi orang 'biasa-biasa'. Isinya hanya timbunan kertas yang dijilid, dibuku dengan aneka warna. Penganjurnya adalah orang yang cita mereka menyebar luas ilmu pengetahuan. Pengunjungnya pula terdiri daripada orang yang niatnya tidak lain selain menambah ilmu di dada.
Namun, bagi orang yang 'gilakan' pesta ini, inilah syurga dunia yang selalu didamba dan juga sentiasa hadir dalam mimpi-mimpi indah mereka. Sebuah Taman Impian yang selalu didambakan kewujudannya.
Sebuah taman yang penuh dengan kenikmatan-bagi yang pandai dan suka menghayatinya. Itulah taman impian bagi pencintanya. Dan syukur alhamdulillah, saya adalah salah seorang yang terkena panahan cinta itu.
Semenjak dari bangku sekolah, setiap kali berlangsungnya pesta buku ini, saya akan cuba untuk hadirkan diri. Namun, keberadaan saya di Jordan selama 2 tahun lalu, telah menafikan 'hak' saya untuk masuk ke taman impian saya ini. Alhamdulillah, tahun ini Allah beri kesempatan pada saya menjadi antara ribuan @ jutaan pengunjung yang dapat mengutip buah nikmat taman impian bagi para pencinta buku ini.
Namun, apa yang menariknya, pesta buku kali ini cukup berbeza dari sebelumnya. Dan saya letakkan pesta buku tahun ini, antara nikmat yang terindah untuk saya semat dalam memori.
Sebab pertama mengapa ia istimewa adalah kali ini, saya hadir bukan sebagai pelajar atau anak muda yang teruja dengan buku! Bukan juga sebagai pengunjung biasa yang sekadar berkunjung mahu melihat dan memerhati. Tapi saya hadir atas kapasiti sebagai pensyarah dengan membawa misi dari majikan tempat saya bekerja. Saat kaki melangkah, satu rasa kelainan hadir menyelinap segenap tubuh. Ya, teruja dengan buku itu tetap ada namun ia berbeza.
Sebab kedua, saya juga hadir dengan buku hasil tulisan saya terpampang di salah sebuah rak di dalam taman impian saya ini. Biar ia bukanlah sehebat penulis lain, namun cukup memberi saya rasa puas.
Puas kerana apa yang pernah saya impikan dahulu tercapai. Bagai mimpi yang diterjemah menjadi kenyataan. Perkara yang paling penting adalah saya tidak tidur ketika itu. Syukur juga, kehadiran saya kali ini menemukan saya dengan peluang baru untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini. ( tulis buku barulah maksudnya ).
Sebab ketiga, kehadiran sahabat-sahabat seperjuangan yang amat saya rindui. Terima kasih kepada Dzhirar, Zaffirul, Abe dan Fadhil atas kesudian antum semua menghabiskan masa berjam-jam bersama saya walau sekadar bersila di atas lantai PWTC sahaja. Sesuatu yang menarik untuk dikenang. Berbagai perkara kami bincangkan. Bermula dari perkara berkait industri kewangan dan perbankan hinggalah kepada cerita-cerita lama sewaktu sama belajar di rantau orang dahulu. Cerita yang tidak pernah menjemukan!
Sungguh, saya mengimpikan saat-saat itu berlaku di sini, di dalam taman impian saya yang cukup unik ini.
Sebab keempat adalah peluang yang KOOPUM berikan kepada saya dan rakan-rakan pensyarah dari Kolej IKIP. Kami berpeluang untuk memilih mana-mana buku yang dirasakan dapat memanfaatkan para pelajar di IKIP untuk dibeli dan diletakkan di perpustakaan kolej. Amat menarik!
Jumpa sahaja, ambil. Jumpa lagi, ambil. Tidak perlu risau akan duit di dalam poket kiri dan kanan. Juga tidak perlu risau memikirkan bagaimana untuk memikul timbunan buku-buku tersebut. Walau bukan semuanya akan kami peroleh, namun peluang ini telah lama saya angankan. Jika dahulu, mahu membelek pun rasa sedih sahaja. Mana tidaknya, duit tidak cukup untuk membeli berdozen buku yang diminati dan penting!
Apa pun yang berlaku, semuanya tetap saya syukuri. Ini adalah nikmat yang jarang-jarang dapat saya kecapi.
Tahniah saya ucapkan kepada sesiapa yang banyak memainkan peranan dalam merancakkan industri buku di Malaysia ini. Saya, seperti juga yang lain amat mengharapkan rakyat Malaysia menjadi rakyat yang kasihkan buku, cintakan ilmu. Agar akhirnya menatijahkan umat Islam di sini khususnya, umat yang hebat dan dapat memberi saingan kepada bangsa lain di dunia ini.
Pesta buku adalah taman impian yang saya tidak akan jemu berada di dalamnya. Segalanya mencurahkan banyak nikmat ke dalam jiwa saya. Amat-amat mendamaikan.
Moga pada tahun akan datang ia menjadi lebih bermakna lagi ( mana tahu, ada dua atau tiga buku saya menyertainya nanti. Doakan!)