Ahad, Februari 28, 2010

Malaysia Masih Kurang Perancang Kewangan Syariah

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Meskipun pertumbuhan pesat dalam industri perbankan dan kewangan Islam, terdapat kekurangan dalam Perancang Kewangan Berdaftar (RFP) Syariah, kata Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC).

Presidennya, Kee Wah Soong berkata, ketika negara membangunkan industri perbankan dan kewangan Islam, terdapat keperluan untuk melahirkan RFP Syariah yang cekap dan profesional bagi memenuhi amalan terbaik global.

"Sejajar dengan pembangunan industri, prospek dan permintaan bagi RFP Syariah adalah cerah dan kukuh pada masa depan.

"Justeru itu, penting untuk membangunkan modal insan bagi industri sejajar dengan agenda nasional," kata Wah Soong selepas majlis sambutan Tahun baru Cina MFPC di sini.

MFPC merupakan badan kawal atur sendiri bebas yang menggalakkan pembangunan dan peningkatan profesion perancangan kewangan seluruh negara.

Pada 2009, MFPC memperkenalkan program RFP Syariah bagi anggotanya dan pengamal dalam bidang berkaitan dan melahirkan 59 perancang kewangan yang layak.

Wah Soong berkata, dengan permintaan dalam industri kewangan Islam meningkat dengan pesat, MFPC menyasar melahirkan kira-kira 1,000 perancang kewangan yang layak tahun ini.

MFPC juga menubuhkan Tabung Biasiswa RFP Syariah bernilai RM300,000 untuk memberi faedah kepada orang awam.

"Dengan perancang kewangan profesional, MFPC boleh membantu meningkatkan kumpulan pakar kewangan Islam menerusi latihan dan pendidikan bagi menyediakan pemahaman mengenai pengaruh Syariah dalam perniagaan perkhidmatan kewangan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perancang kewangan konvensional juga mendapat banyak permintaan tetapi lebih ramai pakar dalam bidang berkaitan diperlukan bagi memenuhi perubahan dan aliran dalam industri kewangan.

Wah Soong berkata, MFPC dijangka mendapat pengiktirafan bagi RFP Syariahnya daripada Suruhanjaya Sekuriti pada pertengahan tahun ini.

Di Malaysia, terdapat dua badan yang memperakui dan mengiktiraf perancang kewangan - MFPC dan Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia.

Bercakap mengenai pembangunan industri itu di Malaysia beliau berkata, ia mencatatkan prestasi yang baik dengan kesedaran yang semakin tinggi tetapi masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam penerimaan awam tentang kepentingan perancangan kewangan.

"Bekalan pasaran, kapasiti, kesedaran sudah ada tetapi penerimaan pasaran masih belum ada kerana orang ramai masih teragak-agak untuk membayar bagi mendapatkan khidmat nasihat. Tetapi suasana penerimaan jelas lebih baik daripada lima tahun lalu.

"Orang ramai sudah mula yakin untuk melabur dan berbelanja, jadi mereka akan terus mendapatkan nasihat daripada pakar perancangan," katanya.

Potensi bagi industri untuk berkembang adalah cerah tahun ini memandangkan jangkaan pemulihan ekonomi, katanya.


Sumber : Utusan Malaysia Online

Leading the development of Ummah

Mencari Rentak

Alhamdulillah...

Hanya itu perkataan yang mampu diucapkan kala jari-jemari kembali memetik keyboard, menulis di blog ini.

Sudah berbulan-bulan blog ini tidak saya sentuh, tidak saya kemaskini dan lakukan apa-apa untuk mengelak dari terus bersawang. Ramai juga rakan yang bertanya, kenapa lama tidak menulis?

" Entah, rehat nak cari sesuatu.."

Itu jawapan yang saya berikan. Pendek dan kembali menimbulkan persoalan.

Nak Cari Apa?

Selepas artikel terakhir saya tulis, saya telah mengembara ke bumi khilafah, Turki. Kembara selama 2 minggu itu sudah tentu menghadirkan bermacam pengalaman dan peristiwa yang menarik untuk saya rakamkan di sini.

Namun pulang sahaja ke Jordan, saya hilang rentak. Tidak tahu kenapa terlalu sukar untuk menulis sesuatu.

Tidak betah menghurai apa pun.

Kadang-kadang rasa malas merantai diri.

Bila buka sahaja dashboard blog ini, serta-merta idea yang penuh berkurang mendadak. Jadi, saya kesan ada sesuatu yang tidak kena dan perlu untuk saya ambil tindakan. Saya pun berhenti. Cuba mencari apa yang tidak kena.

Menulis sebenarnya memang perkara baru bagi saya. Saya gila membaca, tapi kurang minat menulis asalnya.

Bumi Syam inilah yang menghidupkan minat ini dalam diri. Mungkin sahaja angin Mediterranean yang bertiup atas bumi Isra' ini yang perlahan-lahan meresapkan rasa ingin menulis ini ke dalam jiwa saya. Saya tidak tahu sejauh mana benarnya.

Bagaimanapun saya bersyukur kerana sedar sebelum terlewat. Penulisan adalah medan besar untuk mahasiswa seperti saya melontar idea, menambah ilmu dan berkongsi maklumat dengan orang lain. Menulis juga adalah salah satu saluran dakwah yang besar untuk diberi perhatian. Jadi agak pelik jika saya sebagai mahasiswa muslim tidak mengambil langkah awal belajar menulis walaupun di blog sekerdil ini.

Lama berfikir di mana kesilapan dan kekurangan, saya tetap juga keliru dan masih kaku di depan keyboard walaupun idea mencurah-curah pada asalnya.

Mujur, di sini saya ada rakan yang juga seorang blogger dan penulis muda yang agak popular di Malaysia, Hilal Asyraf. Kepada Hilal saya kongsikan masalah. Alhamdulillah, perbincangan kami di kantin universiti menemukan saya dengan punca masalah dan juga cara terbaik mengatasinya.

Terima kasih ya Hilal!

Hilal telah mengingatkan saya akan perkara yang pernah dia sebutkan di dalam bengkel penulisan kelolaannya beberapa bulan sebelum itu. Saya adalah salah seorang pesertanya.

Dia telah menekankan aspek niat di dalam penulisan.

" Menulis dengan niat yang betul dan murni dapat buat kita terus istiqomah untuk terus menulis. Enta kena cek semula niat enta. Cuba betulkan niat, menulis untuk menyampaikan kepada Ummah. Lama-kelamaan, insyaallah kemahuan tu akan datang semula. Idea juga akan mencurah-curah.

Ubah cara dalam memerhati kehidupan. Idea boleh datang dari mana-mana sudut sekalipun, kemudian kaitkan dengan apa yang kita belajar.

Enta tulis apa yang dekat dengan diri enta. Kalau enta ni pelajar Ekonomi Islam, cuba masukkan maklumat tu dan sekali-sekala ceritakan juga kisah peribadi enta. Biar pembaca kenal siapa enta. Disebalik ilmu tu, enta ni sebenarnya bagaimana orangnya. Bila kenal, pembaca akan lebih menyukai dan lebih suka untuk selalu berkunjung ke blog. Tapi pastikan tulisan berkualiti."

Lebih kurang begitulah nasihatnya kepada saya.

Maka, saya pulang dengan memikirkan tujuan sebenarnya saya muncul di alam maya ini dengan bertemankan blog ini.

Apa sebenarnya yang saya inginkan?

Apa yang saya mahu sampaikan?

Persoalan tu perlahan-lahan saya hurai dan jawab.

Alhamdulillah, semangat baru pun muncul. Rentak juga dikenal-pasti. Setelah lama memikir, saya tahu apa yang ingin saya tulis. Saya ketemu niat sebenar yang sepatutnya saya jana di lubuk hati saya.

Langkah pertama saya adalah post ini dan transformasi blog ini.

Saya tukarkan nama blog ini sesuai dengan apa yang saya fikirkan. Dan saya juga akan hanya menumpukan pada blog ini. Blog Jihad Ekonomi akan saya tutup dan serapkan ke dalam blog ini. Insyaallah, artikel berkaitan ekonomi, kewangan dan perbankan Islam akan saya tulis di sini.

Saya harapkan sokongan dari rakan-rakan yang sudi membaca tulisan kerdil saya di sini. mudah-mudahan kita dapat berkongsi sesuatu dan beroleh redha dari-Nya.

The Idealist adalah titik transformasi diri saya.

Moga saya dapat menyumbang sesuatu kepada pembangunan ummah.

The Idealist telah menemukan rentak.

Doakan saya..







Leading the development of Ummah...